Tag: kilang

  • Sime Darby pasang Porsche, kilang pertama di luar Eropah

    Sime Darby pasang Porsche, kilang pertama di luar Eropah

    SIME Darby Bhd bekerjasama dengan Porsche AG untuk mengoperasikan kilang pemasangan pertama pengeluar kereta sport Jerman itu di luar Eropah.

    Memetik Dagang News, Sime Darby dalam satu kenyataan berkata, kerjasama tersebut akan membolehkan syarikat itu memasang kereta sport tersebut untuk pasaran Malaysia dengan pengeluaran dijadualkan bermula pada tahun 2022.

    Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Jeffri Salim Davidson berkata, kerjasama dengan Porsche itu menandakan kematangan dalam hubungannya dengan jenama tersebut.

    “Kepercayaan yang diberikan untuk memasang salah satu daripada jenama kereta sport paling dikagumi di dunia ini membuktikan tenaga kerja cekap dan berkemahiran tinggi yang kami miliki di Sime Darby dan keupayaa kami untuk memberikan nilai yang bermakna kepada rakan kami,” katanya, hari ini.

    Jeffri berkata, setiap kereta Porsche yang dipasang oleh Sime Darby akan melalui standard dan proses yang sama ketat dengan rakan sejawatnya di Eropah.

    “Kami akan meneruskan libat urus yang rapat dengan Porsche AG bagi memastikan kami memenuhi standard Porsche bagi setiap langkah yang diambil,” katanya.

    Sementara itu, Ahli Lembaga Eksekutif Porsche bagi Jualan dan Pemasaran, Detlev von Platen berkata, Malaysia dan seluruh ASEAN adalah rantau yang berpotensi besar dan syarikat kereta itu menantikan model pemasangan tempatan pertama yang akan menemui pelanggannya di Malaysia tahun depan.

    “Ketika Porsche bergerak ke era mobilisasi baharu, Malaysia dan rantau ASEAN menjadi bertambah penting. Langkah ini sekarang adalah sebahagian daripada inisiatif jangka panjang untuk bergerak seiring dengan permintaan pelanggan dan pasaran yang berkembang dengan pesat,” tambahnya.

  • 53,571 pekerja industri di Selangor positif Covid-19 sejak Julai

    53,571 pekerja industri di Selangor positif Covid-19 sejak Julai

    SIDANG Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor diberitahu hari ini bahawa, setakat ini seramai 53,571 orang pekerja industri telah dikenal pasti positif COVID-19 sejak Julai, melalui saringan yang dijalankan di tempat kerja masing-masing.

    Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata, saringan yang dijalankan itu adalah melalui pihak majikan sebagai persediaan sebelum masuk ke tempat kerja, kontak rapat kepada rakan kerja yang positif, dan saringan kendiri pekerja itu sendiri di fasiliti kesihatan swasta.

    “Daripada jumlah pekerja industri yang dinyatakan, 62 peratus adalah terdiri dari pekerja di sektor perkilangan (33,214 orang); 14.5 peratus adalah terdiri dari sektor perkhidmatan (7,768 orang); 13.5 peratus pekerja sektor pembinaan (7,232 orang) dan 10 peratus pekerja di sektor perdagangan (5,357 orang).

    “Secara kasarnya, jumlah tersebut meliputi 17.1 peratus kes yang dikenal pasti di Selangor adalah pekerja daripada (sektor) industri,” katanya yang menjawab soalan Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi (PAS-Sijangkang), yang ingin mengetahui jumlah individu yang disyaki dijangkiti dalam sektor industri semasa mereka bekerja.

    Dalam pada itu Amirudin berkata, sebanyak 79 buah kilang sektor pembuatan telah diberikan arahan penutupan, di bawah Seksyen 18(1)(f) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 disebabkan melakukan tiga atau lebih kesalahan yang melanggar prosedur operasi standard akta tersebut, mulai 13 Julai sehingga 23 Ogos oleh Jabatan Kesihatan Negeri Selangor.

    “Arahan penutupan ini dikeluarkan selama tempoh tujuh hari dan pemilik industri turut diberikan arahan kerja serta penambahbaikan, untuk diselesaikan dalam tempoh penutupan tersebut,” katanya.- BERNAMA

  • Imigresen tahan 55 pendatang asing di kilang seramik

    Imigresen tahan 55 pendatang asing di kilang seramik

    JABATAN Imigresen Negeri Sembilan (JIMNS) menahan 55 pendatang asing tanpa izin dalam satu operasi di sebuah kilang pembuatan seramik di Kawasan Perindustrian Nilai, dekat sini semalam.

    Pengarahnya Kennith Tan Ai Kiang berkata kesemua 48 warga Bangladesh dan tujuh warga Nepal itu ditahan dalam operasi bermula 7.30 pagi selepas disyaki melanggar Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal lebih masa di negara ini dan tidak memiliki dokumen perjalanan sah.

    Beliau berkata serbuan oleh seorang pegawai kanan dan 17 anggota imigresen itu mendapati kilang berkenaan memiliki seramai 241 pekerja warga asing dari Bangladesh dan Nepal.

    “Kesemua mereka ditahan mengikut Seksyen15(1)(c) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 bagi siasatan lanjut dan pendakwaan.

    “Mereka turut didapati tidak memohon untuk menyertai program Rekalibrasi Tenaga Kerja yang dijalankan oleh Jabatan Imigresen Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Katanya, orang ramai diminta menyalurkan maklumat mengenai pendatang asing tanpa izin supaya tindakan penguatkuasaan dapat dijalankan.- BERNAMA