Tag: khalwat

  • Sorok atas siling, bakal pengantin antara gelagat pasangan dicekup khalwat

    Sorok atas siling, bakal pengantin antara gelagat pasangan dicekup khalwat

    BAKAL pengantin yang akan melangsungkan perkahwinan Oktober ini antara pasangan dicekup berkhalwat di hotel sekitar Sungai Petani, Kedah hari ini.

    Memetik laporan Harian Metro, pasangan yang berasal dari Serdang, Bandar Baharu itu dicekup pada 1 pagi oleh anggota penguatkuasa Pejabat Agama Daerah Kuala Muda (PADKM).

    Perempuan berusia 19 tahun itu turut memberi alasan sanggup mengambil cuti sakit semata-mata untuk meraikan sambutan Ambang Merdeka malam tadi bersama tunangnya yang berusia 23 tahun .

    Bagaimanapun tindakan mereka menyewa di hotel bajet mengundang padah meskipun memberi alasan sudah dua tahun bertunang dan bakal berkahwin.

    Mereka antara lima pasangan yang ditahan di beberapa hotel bajet di daerah ini ketika operasi dilakukan anggota penguatkuasa PADKM, anggota polis Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kuala Muda, Cawangan Penyiasatan Khas, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Skuad Badar.

    Pegawai Agama Daerah Kuala Muda, Mohd Noor Ismardi Ismail berkata, operasi 12 tengah malam hingga 5 pagi itu turut menahan lelaki, 20, yang bersembunyi di atas siling.

    Beliau berkata, sebaik pintu bilik hotel dibuka, didapati wanita berusia 20-an yang mengaku berseorangan.

    “Namun selepas pemeriksaan lanjut, kita dapati teman lelakinya bersembunyi di siling sebelum memintanya turun.

    “Mereka gagal menunjukkan sebarang bukti mempunyai sebarang hubungan suami isteri atau mahram sehingga menimbulkan syak mereka berkhalwat.

    “Kelima-lima pasangan itu yang berusia antara 19 hingga 40 tahun itu kemudian dibawa balai polis berhampiran,” katanya di sini, hari ini.

    Mohd Noor berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 25 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Kedah (EKJSK) 2014.

  • Duda ditangkap khalwat dengan ibu tunggal

    Duda ditangkap khalwat dengan ibu tunggal

    HELAH seorang lelaki berusia 46 tahun menumpang sementara di rumah seorang ibu tunggal yang dakwanya akan dinikahinya gagal apabila dia ditangkap berkhalwat oleh Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK), semalam.

    Lelaki berstatus duda itu ditahan bersama pasangannya, wanita 38 tahun yang mempunyai tiga anak di sebuah rumah kedai di Pekan Air Hitam, Kedah kira-kira pukul 12.45 tengah malam.

    Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguat kuasa JAIK, Syeikh Radzi Abdul Mutalib berkata, pasangan itu dicekup sepasukan anggota JAIK selepas pihaknya menerima aduan awam mengenai aktiviti maksiat.

    Menurutnya, ketika serbuan dilakukan, terdapat seorang kanak-kanak lelaki dipercayai anak wanita itu berada dalam rumah kedai berkenaan.

    “Pasangan itu gagal menunjukkan mempunyai hubungan mahram atau suami isteri dan disyaki melakukan maksiat.

    “Lelaki itu memberi alasan seperti itu bagi mengelak ditahan namun gagal kerana tidak munasabah dan ditahan untuk tindakan lanjut,” katanya di sini hari ini.

    Wanita berkenaan dipercayai menjalankan perniagaan di rumah kedai tersebut manakala lelaki terbabit bekerja sebagai pembantu kedai wanita itu.

    Radzi berkata, mereka kemudian ditahan mengikut Seksyen 25 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014.

    Beliau menambah, jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.