Tag: Khalid Samad

  • Jangan berfikiran pembangkang, Zahid beritahu Khalid

    Jangan berfikiran pembangkang, Zahid beritahu Khalid

    TIMBALAN Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad supaya tidak berfikiran seperti pembangkang berhubung bantahan terhadap permohonan pengampunan diraja kepada Najib Razak.

    Beliau yang juga presiden UMNO berkata, Khalid sepatutnya mendapatkan penjelasan daripadanya terlebih dahulu berhubung pendirian parti itu yang menjadi sebahagian daripada gabungan kerajaan perpaduan.

    “Jangan masih mempunyai tanggapan bahawa seolah-olah beliau sebagai individu berada dalam pemikiran pembangkang,” katanya menurut laporan Free Malaysia Today.

    Khamis lalu, Khalid dipetik berkata Amanah memohon pengampunan diraja kepada Najib yang juga bekas presiden UMNO ditolak.

    Kenyataan itu dikritik pemimpin UMNO termasuk “ugutan” memutuskan hubungan kerjasama politik di Kelantan.

    Mengulas lanjut, Zahid berkata beliau sudah bertemu UMNO Kelantan dan isu “ugutan” itu diselesaikan dengan baik.

    Najib yang kini dipenjara 12 tahun kerana menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd memohon pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong pada September tahun lalu.

  • Pemimpin Amanah berhak bersuara, tapi terikat keputusan parti – Mohamad

    Pemimpin Amanah berhak bersuara, tapi terikat keputusan parti – Mohamad

    PRESIDEN Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu menegaskan pemimpin parti itu berhak menyuarakan pandangan mereka sebagaimana hak dinyatakan dalam perlembagaan namun ia masih terikat dengan keputusan parti.

    Menurut beliau, amalan itu merupakan “normal practice” atau amalan biasa dalam mana-mana organisasi parti politik.

    Mohamad tampil membuat penjelasan itu ditengah-tengah pergeseran pandangan antara pemimpin Amanah dan UMNO berhubung permohonan pengampunan diraja kepada bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.

    Beliau berkata, dalam isu melibatkan pengampunan Najib kuasa tertinggi yang berhak membuat keputusan adalah Yang di-Pertuan Agong.

    “Maka semua pihak perlu menghormati sebarang keputusan Yang di-Pertuan Agong,” katanya menurut laporan Free Malaysia Today.

    Katanya, walaupun pemimpin Amanah dan UMNO mempunyai pandangan berbeza berhubung keputusan pengampunan Najib, ia tidak bermakna pandangan itu membawa kepada perpecahan kerajaan perpaduan yang dibentuk bersama.

    “Semua pihak yang menyuarakan pandangan dalam isu ini sayang kepada kerajaan perpaduan dan kerajaan perpaduan perlu memberi fokus kepada khidmat kepada rakyat sebagaimana yang diamanahkan,”katanya.

    Katanya, setiap individu mempunyai kebebasan untuk memberikan pandangan sebagaimana hak yang diberikan dalam perlembagaan, namun dalam konteks organisasi ia tidak mewakili parti melainkan keputusan rasmi diputuskan dalam mesyuarat.

    Semalam, Khalid yang juga pengarah komunikasi Amanah berkata pihaknya merayu agar permohonan pengampunan terhadap bekas presiden Umno itu ditolak.

    Kenyataan Khalid itu mendapat kritikan pemimpin UMNO, termasuk ugutan memutuskan hubungan kerjasama politik antara dua parti berkenaan.

  • Rayu tolak pengampunan Najib: Maaf tapi ini pendirian kami, kata Khalid

    Rayu tolak pengampunan Najib: Maaf tapi ini pendirian kami, kata Khalid

    PENGARAH Komunikasi Amanah Khalid Samad hari ini meminta maaf sekiranya rayuan dibuatnya agar Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menolak permohonan pengampunan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak telah menyebabkan UMNO tidak puas hati.

    Menurut Khalid, ia hanyalah soal perbezaan pandangan dalam perkara itu dan dia memohon maaf kerana tidak memiliki pendirian yang sama dengan UMNO.

    “Kita tidak serang atau kritik UMNO, kita hormat hak mereka untuk buat permohonan pengampunan. Itu hak mereka dan mereka boleh berbuat demikian, tiada isu.

    “Sekarang mereka kritik kita dan kata kita tidak pandai bekerjasama…kita cuma nyatakan pendirian berbeza.

    “Malangnya mereka nak jadikannya sebagai isu. Saya minta maaf kerana buat mereka tak puas hati, tetapi ini pendirian Amanah.

    “Jadi kita mohon maaf kerana tidak berpendirian sama (dalam perkara itu),” katanya menurut laporan Malaysiakini.

    Sehari selepas Khalid mengeluarkan kenyataan, Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menggesa semua pihak agar berhenti memberi ulasan “tidak sepatutnya” berhubung isu tersebut dan menyerahkannya kepada kebijaksanaan Agong.

    UMNO Kelantan pula berkata ia akan mempertimbangkan untuk memutuskan hubungan dengan Amanah jika Khalid tidak menarik balik kenyataannya dan memohon maaf.

    Hari ini, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Datuk Mohd Puad Zarkashi menyifatkan kenyataan itu menunjukkan Amanah tidak layak menjadi “sahabat perjuangan” dan tidak memberi jaminan kerajaan persekutuan boleh terus bertahan.

    Mengulas lanjut, Khalid berkata parti dalam kerajaan harus mengamalkan prinsip “bersetuju untuk tidak bersetuju” dan menghormati perbezaan pendapat.

    Ketika ditanya sama ada pertikaian mengenai pengampunan Najib akan menjejaskan kerjasama antara BN dan PH dalam PRN akan datang, Khalid berkata parti yang berbeza pasti ada pendapat yang berbeza dalam sesuatu isu.

    “Ia tidak sepatutnya membawa kepada pecah atau perbalahan,” kata bekas menteri PH itu lagi.

    Diampunkan atau tidak, terserah kepada Agong

    Khalid turut menyuarakan harapannya agar UMNO Kelantan tidak memutuskan hubungan dengan Amanah negeri susulan kenyataannya itu.

    “Saya membuat kenyataan untuk menjelaskan pendirian (Amanah), ia bukan bertujuan untuk memusuhi atau menimbulkan pergeseran antara parti gabungan,” katanya.

    Katanya lagi, keadaan pasti berbeza jika dia mengkritik tindakan UMNO untuk membuat permohonan pengampunan diraja untuk Najib, tapi bukan itu yang disuarakannya.

    “Saya cuma kata ini pendirian Amanah kerana hakikatnya kita mahu kerajaan bersih yang komited dalam melawan rasuah,” katanya.

    Dia menegaskan keputusan permohonan pengampunan untuk Najib adalah terletak pada Agong, dan ia jelas disebut dalam kenyataan awalnya.

    Dia berkata Amanah sedia menerima apa sahaja keputusan yang dibuat oleh Agong berhubung permohonan itu.

    Pada masa sama, dia berkata faktor penyatuan terbesar parti dalam kerajaan ialah keinginan mereka untuk mencapai Malaysia Madani dan “rahmah” dalam politik.

  • Tarik kenyataan atau putus kerjasama dengan Amanah, UMNO Kelantan beritahu Khalid

    Tarik kenyataan atau putus kerjasama dengan Amanah, UMNO Kelantan beritahu Khalid

    UMNO Kelantan sedia mempertimbang untuk memutuskan hubungan dengan Amanah sekiranya Pengarah Komunikasi parti itu, Khalid Samad tidak memohon maaf secara terbuka.

    Ini susulan kenyataan dibuat bekas Ahli Parlimen Shah Alam itu mengenai permohonan pengampunan diraja dibuat bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak.

    Menurut Ketua Penerangan UMNO Kelantan, Datuk Zawawi Othman, Khalid perlu memohon maaf kepada UMNO susulan kenyataannya merayu Yang di-Pertuan Agong supaya menolak permohonan pengampunan itu.

    “UMNO Kelantan mendesak Khalid selaku pengarah Komunikasi Amanah yang merangkap pengerusi Amanah Kelantan untuk memohon maaf secara terbuka kepada UMNO lanjutan daripada kenyataan beliau bahawa Amanah merayu kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah supaya menolak permohonan pengampunan terhadap bekas perdana menteri.

    “Untuk rekod, rayuan pengampunan diraja yang dibuat terhadap Najib adalah keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO,” katanya dalam kenyataan, lapor Malaysiakini.

    Pada 27 April lalu, Khalid yang mewakili Amanah dilaporkan merayu kepada Yang di-Pertuan Agong dan Lembaga Pengampunan agar menolak permohonan Najib daripada diberi pengampunan sekali gus dibebaskan dari penjara.

    Khalid berkata, Amanah berpendirian, hanya dengan cara itu saja nama baik negara dan komitmen untuk memerangi rasuah dan penyalahgunaan kuasa dapat dijaga.

    “Dengan penuh hormat dan takzim, kami dari Parti Amanah Negara (Amanah) ingin merayu kepada YDPA (Yang di-Pertuan Agong) dan Lembaga Pengampunan supaya permohonan pengampunan ini ditolak dan Najib terus dipenjarakan atas sebab kesalahan yang jelas telah beliau lakukan,” katanya dalam kenyataan.

    Mengulas lanjut, Zawawi berkata kenyataan Khalid jelas menyinggung perasaan ahli UMNO secara keseluruhannya.

    Katanya, UMNO Kelantan sedia memutuskan hubungan dengan Amanah sekiranya Khalid tidak menarik balik kenyataan berkenaan.

    “Sehubungan dengan itu, UMNO Kelantan akan mempertimbangkan untuk memutuskan kerjasama dengan parti Amanah di Kelantan.

    “Sekiranya Khalid tidak menarik balik pernyataan tersebut yang ternyata amat menyinggung perasaan ahli Umno keseluruhannya,” katanya lagi.

    Semalam, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menggesa semua pihak termasuk parti politik yang ‘bersahabat’ dengan BN untuk tidak membuat kenyataan tidak wajar mengenai pengampunan Najib.