Tag: Khaled Nordin

  • Majlis dialog: “Dia boleh kata apa saja”, Khaled jawab ADUN DAP

    Majlis dialog: “Dia boleh kata apa saja”, Khaled jawab ADUN DAP

    MENTERI Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mempertahankan majlis dialog bersama mahasiswa yang turut menampilkan dirinya baru-baru ini.

    Ini selepas beberapa pihak, antaranya ADUN Tanah Rata Ho Chi Yang yang mendakwa majlis dialog itu cuma ‘sesi cuci otak’ terhadap mahasiswa dalam isu pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971.

    Memetik laporan Malaysiakini, Khaled berkata, Ho bebas memberikan pandangannya walaupun tidak semestinya dikongsi oleh orang lain.

    “Dia boleh berkata apa-apa sahaja,” kata Khaled ketika diminta mengulas kritikan tersebut.

    “Ramai yang hadir tidak berpendapat seperti ADUN tersebut,” katanya lagi apabila ditanya jika ia akan memberikan imej negatif kepada kementeriannya.

    Kelmarin, Ho berkata sesi dialog yang berlangsung selama dua jam itu didakwa mengetepikan soalan berkenaan pemansuhan Auku yang dibangkitkan mahasiswa.

    Dakwa Ho yang juga ketua biro hal ehwal mahasiswa Pemuda DAP berkata sesi yang diadakan di Putrajaya itu hanyalah platform untuk para pegawai menayangkan pencapaian penunjuk prestasi utama kementerian itu.

    “Kementerian Pengajian Tinggi jelas tidak berniat untuk mendengar tuntutan pelajar untuk memansuhkan AUKU.

    “Mereka mengelak banyak soalan tajam daripada pelajar dan enggan menangani tuntutan untuk memansuhkan undang-undang zalim.

    “Akibatnya, ramai pelajar tidak berpuas hati dan kecewa,” katanya.

    Berdasarkan pemerhatian Malaysiakini sewaktu membuat liputan sesi dialog tersebut, meskipun Khaled hadir sepanjang majlis dialog itu, dia tidak menjawab majoriti soalan yang diajukan.

    Sebaliknya Ketua Pengarah Kementerian Pengajian Tinggi Husaini Omar yang menjawab soalan-soalan yang diajukan siswa.

    Rasa tidak puas hati jawapan berhubung AUKU itu kemudian disuarakan oleh hadirin, dengan ramai siswa meninggalkan sesi dua jam itu dengan perasaan kecewa, mendakwa maklum balas kementerian sebenarnya tidak menjawab soalan mereka.

    Ada di antara mereka yang melihat sesi itu diadakan untuk mendapatkan sokongan daripada universiti untuk mengekalkan Auku, kerana tidak menjawab soalan akta tersebut, sebaliknya mendakwa pihak kementerian sudah menyediakan jawapan mereka.

    Bagaimanapun, dalam sidang akhbar lewat hari itu, Khaled berkata pindaan terhadap Auku berkemungkinan akan dibentangkan di Dewan Rakyat tahun ini, dengan draf rang undang-undangnya terlebih dahulu dihantar ke Jabatan Peguam Negara untuk kelulusan pada pertengahan Jun.

    Untuk rekod, memansuhkan AUKU merupakan salah satu janji manifesto PH pada pilihan raya umum lalu. Namun, kerajaan sekarang turut menggabungkan BN yang pernah menjadi penyokong AUKU pada masa lalu.

    Khaled yang juga pemimpin utama BN sebelum ini berkata kerajaan tidak bercadang untuk memansuhkan AUKU.

  • UMNO tolak formula penyatuan ummah Pas babitkan Bersatu

    UMNO tolak formula penyatuan ummah Pas babitkan Bersatu

    UMNO menolak formula Pas yang mendukung Bersatu bagi menjayakan penyatuan ummah, memandangkan parti itu ditubuhkan untuk melemahkan UMNO.

    Lapor Berita Harian, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, hakikatnya, UMNO tidak pernah menolak segala usaha untuk penyatuan ummah, namun yang ditolak UMNO ialah penyelamatan Bersatu.

    “Bagi UMNO, formula Pas untuk mendukung Bersatu bukan rumus untuk ummah yang bersatu. Bersatu adalah parti yang jelas ditubuhkan untuk melemahkan kekuatan sebenar orang Melayu melalui UMNO.

    “Kekuatannya adalah ‘superficial’. Tidak dibangunkan melalui perjuangan hakiki, tetapi dibina melalui ‘sindiket’ pengkhianatan politik paling licik dan jelik dalam sejarah politik Malaysia,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

    Kerana itu, beliau berkata, Bersatu tidak mempunyai ‘standing’ sebagai pendukung kesatuan dan perpaduan Melayu, kerana DNA mereka ialah anti UMNO dan karakternya adalah khianat.

    “UMNO adalah gerakan politik. Ia bukan gerakan dakwah. Tugas UMNO ialah mengurus dan mentadbir negara,” katanya.

    Beliau dalam laporan itu berkata, penyatuan ummah tidak semestinya hanya akan terbit melalui kerjasama politik demi pilihan raya kerana UMNO sudah dan akan usahakan dalam pelbagai ruang lingkup, pada setiap masa dan bukan bermusim apabila ia mentadbir nanti.

    “Segala perhitungan UMNO adalah pada kelangsungan politiknya dan kepentingan bangsa Melayu. Adalah strategik untuk orang Melayu mempunyai parti terbesar dan paling dominan dalam kerajaan akan datang.

    “Fokus UMNO ialah untuk mengembalikan semula kekuatan sebenarnya supaya ia dapat menjadi jurucakap orang Melayu yang berkesan.

    “Ia tidak akan dapat dicapai melalui kerjasama dengan Bdrsatu pastinya. Kerana sudah menjadi cita-cita Bersatu untuk UMNO itu di diakhiri, ditolak dan dimatikan,” katanya.