Tag: khairul dzaimee

  • Pengasas pengganas Royal Sulu Force antara individu dakwa waris Sultan Sulu

    Pengasas pengganas Royal Sulu Force antara individu dakwa waris Sultan Sulu

    PENGASAS Royal Sulu Force (RSF), sebuah entiti pengganas terbabit dalam tragedi pencerobohan di Sabah pada 2013 dikenal pasti adalah antara lapan individu mendakwa sebagai waris kumpulan Sulu.

    Menurut Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud, individu itu bernama Fuad A Kiram dan disenaraikan sebagai pengganas.

    “Kementerian Dalam Negeri (KDN) memaklumkan bahawa Fuad A Kiram merupakan seorang pengasas RSF.

    “Kumpulan terbabit sebelum ini sudah diklasifikasikan sebagai entiti pengganas oleh kerajaan,” katanya menurut laporan Berita Harian.

    RSF telah dihukum oleh mahkamah susulan kes pencerobohan di Lahad Datu, Sabah, dan diisytiharkan sebagai kumpulan pengganas oleh Kerajaan Malaysia sejak April 2022.

    Pencerobohan pada 2013 itu mengakibatkan 12 perwira negara terbunuh, selain menyebabkan kematian 56 pengganas dan enam orang awam. Konflik itu diisytiharkan tamat pada 10 April 2013.

    Mengulas lanjut, Khairul Dzaimee berkata, Menteri Dalam Negeri sudah memasukkan Fuad A Kiram ke dalam senarai entiti yang diklasifikasikan sebagai pengganas, mengikut Seksyen 66B Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA).

    Beliau berkata, penyenaraian individu itu berkuat kuasa 6 April lalu menerusi Warta Kerajaan Persekutuan.

    Pada 28 Februari tahun lalu, agensi berita Sepanyol melaporkan penimbang tara negara itu, Dr Gondoza Stampa mengarahkan Malaysia membayar pampasan AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion) kepada pihak mendakwa sebagai waris kumpulan Sulu.

    Malaysia didakwa tidak membayar wang pemisah (pampasan) berjumlah RM5,300 setahun sejak 2013 dan oleh itu dikatakan melanggar Perjanjian 1987 yang ditandatangani Sultan Jamal Al-Alam dengan Baron De Overbeck dan Alfred Dent mewakili syarikat British Utara Borneo.

    Pada 11 Julai tahun lalu, peguam pihak yang menuntut itu dilaporkan merampas aset PETRONAS yang didaftarkan di Luxembourg, iaitu Petronas Azerbaijan (Shah Deniz) dan Petronas South Caucasus, dengan nilai dilaporkan mencecah lebih AS$2 bilion (RM8.8 bilion).

    Bagaimanapun, PETRONAS dalam kenyataannya memaklumkan sudah melupuskan dua asetnya di Azerbaijan dan hasilnya sudah dipulangkan.

    Pada 12 Julai tahun lalu, Mahkamah Rayuan Paris membenarkan permohonan Kerajaan Malaysia untuk menggantung penguatkuasaan Final Award yang dikeluarkan Mahkamah Arbitrasi Paris, dengan alasan perundangan kes itu menjejaskan kekebalan kedaulatan Malaysia.

  • Khairul Dzaimee ditukar, Ruslin kini KP Imigresen

    Khairul Dzaimee ditukar, Ruslin kini KP Imigresen

    KETUA Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud sah ditukarkan ke sebuah bahagian di Jabatan Perdana Menteri (JPM) berkuat kuasa hari ini, menurut laporan.

    Memetik laporan Sinar Harian, ia selepas jabatan itu mengadakan majlis Paluan Berundur Ketua Pengarah Imigresen Malaysia di ibu pejabat jabatan itu, dekat Putrajaya pada pukul 5 petang hari ini.

    Difahamkan beliau akan melaporkan diri ke bahagian itu pada Isnin depan.

    Jawatan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) kini disandang oleh bekas Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Datuk Ruslin Jusoh.

    Kedudukan Khairul Dzaimee menjadi tanda tanya selepas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memperkenalkan Ruslin sebagai Ketua Pengarah Imigresen dalam Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri pada pagi tadi.

  • Imigresen tumpaskan sindiket penyeludupan manusia di Kelantan

    Imigresen tumpaskan sindiket penyeludupan manusia di Kelantan

    JABATAN Imgresen Malaysia (JIM) menumpaskan sindiket penyeludupan manusia yang aktif sejak Mei lalu dalam serbuan di Terminal Bas Utama Kota Bharu dan Pasir Mas, Kelantan, semalam.

    Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, Ops Gelombang dilancarkan bermula pukul 6 petang oleh sepasukan pegawai Bahagian Perisikan dan Operasi Khas Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya bersama Jabatan Imigresen Kelantan.

    Dalam serbuan itu katanya, pasukan operasi berjaya menahan seramai lapan orang lelaki warganegara Malaysia berumur antara 17 hingga 37 tahun yang bertindak sebagai Transporter bagi sindiket ini.

    Menurut beliau, turut ditahan adalah seramai 49 orang pedatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar terdiri daripada 32 lelaki, 16 wanita dan seorang kanak-kanak perempuan yang dipercayai baru tiba dari negara jiran melalui jalan tikus.

    “Semasa serbuan, terdapat transporter tempatan dan PATI yang cuba melarikan diri, namun gagal kerana kawasan berkenaan telah dikepung.

    “Pasukan operasi juga mengambil tindakan berjaga-jaga kerana sindiket ini dipercayai agresif dan bersedia melakukan ancaman fizikal untuk melepaskan diri,” katanya dalam kenyataaan hari ini.

    Mengulas lanjut, Khairul Dzaimee berkata, JIM turut merampas 10 buah kenderaan pelbagai jenis dianggar bernilai RM200,000 yang digunakan sindiket untuk membawa PATI.

    Beliau berkata, berdasarkan maklumat awam dan hasil risikan, modus operandi sindiket ini adalah menyeludup PATI melalui jalan laut melintasi sempadan Malaysia-Thailand dengan mengambil bayaran antara RM6,000 hingga RM7,000 setiap seorang.

    “Kesemua PATI ini kemudian akan di bawa ke destinasi tertentu di luar Kelantan seperti Lembah Klang, Melaka, Pulau Pinang dan Johor Bahru untuk bekerja secara tidak sah. Bagi PATI wanita pula, mereka dipercayai bekerja sebagai tukang urut atau menawarkan perkhidmatan seks.

    “Berdasarkan anggaran seramai 160 PATI sebulan yang di bawa masuk oleh sindiket ini, kerajaan dianggarkan telah mengalami kerugian hasil sebanyak RM1.7 juta dalam bentuk kutipan levi pekerja asing,” katanya.

    Sementara itu, Khairul Dzaimee berkata, kesemua PATI ditangkap disyaki melakukan kesalahan dibawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Pasport 1966 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

    “Lapan lelaki tempatan yang ditahan pula akan dihadapkan ke mahkamah untuk perintah tahanan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bagi tujuan siasatan,” tambahnya.

  • Pegawai  Imigresen keluar kata kesat ditukar bahagian lain

    Pegawai  Imigresen keluar kata kesat ditukar bahagian lain

    PEGAWAI Jabatan Imigresen (JIM) yang mengeluarkan kata-kata kesat terhadap orang awam dalam video tular baru-baru ini, sudah ditukarkan ke bahagian lain.

    Memetik laporan Berita Harian, Ketua Pengarah JIM, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud, berkata selain itu, kertas siasatan mengikut peraturan dan prosedur tatatertib penjawat awam juga akan dibuka segera oleh Bahagian Integriti JIM.

    “Jabatan ini memandang serius kejadian berkenaan, walaupun daripada siasatan awal mendapati terdapat unsur provokasi orang awam berkenaan, namun tindakan yang diambil pegawai JIM yang terbabit dalam insiden berkenaan adalah bertentangan dengan slogan jabatan iaitu “Integriti, Professional, Mesra.”

    “Selain itu, adalah diakui bahawa menjerit dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap orang awam adalah sesuatu yang tidak sepatutnya dilakukan oleh seseorang pegawai imigresen yang juga penjawat awam.

    “Pegawai imigresen seharusnya bijak mengawal diri dan mengambil sikap profesional apabila berdepan dengan provokasi lisan oleh orang awam kerana mereka diberi latihan dan tunjuk ajar yang mencukupi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Sebelum ini tular di media sosial, video berdurasi 26 saat apabila seorang lelaki berusia 50an berang kerana tidak mendapat layanan sewajarnya ketika membuat pasport di kaunter Imigresen Pusat Transformasi Bandar (UTC) , Seksyen 14, Shah Alam.

    Berikutan itu berlakunya pertengkaran di antara lelaki berkenaan dengan pegawai imigresen di kaunter terbabit sehingga mengeluarkan kata-kata kesat.

    Menurut laporan polis yang dibuat oleh lelaki berkenaan, beliau yang bekerja sendiri itu hadir ke kaunter Imigresen di Kuala Selangor kira-kira pukul 3 petang bersama anaknya, namun dimaklumkan sistem tidak berfungsi sebelum ke kaunter Imigresen di UTC, Seksyen 14 kira-kira pukul 4.30 petang hari sama.

    Bagaimanapun, lelaki itu sekali lagi dimaklumkan sistem angka giliran sudah habis dengan hanya 200 nombor sahaja dikeluarkan sehari di kaunter Imigresen UTC berkenaan dan beliau meminta anggota bertugas supaya meletakkan Notis Pemberitahuan secara rasmi tetapi tiada sebarang tindakan.

    Berikutan itu, pegawai yang bertugas memberikan nombor giliran iaitu 1201 dan 1202 kepada anak-anak lelaki itu sekitar pukul 6.30 petang dan apabila nombor giliran salah seorang anaknya sudah selesai dan tiba giliran satu lagi nombor dipanggil, didapati pegawai terbabit di kaunter kemudian memaklumkan sistem Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tidak berfungsi dan akan dipanggil semula pada pukul 8 malam.

    Disebabkan itu, lelaki berkenaan ke kaunter untuk berjumpa dengan seorang penyelia lelaki di Jabatan Imigresen bagi mendapatkan penjelasan. Namun, dipertikaikan kenapa tidak pergi kaunter.

    Dalam pada itu, Khairul Dzaimee turut meluahkan rasa kesalnya dengan tindakan provokasi yang dilakukan orang awam berkenaan.

    “Pelbagai kemudahan disediakan untuk orang ramai memperbaharui pasport mereka seperti permohonan atas talian dan pemanjangan waktu operasi termasuk Sabtu dan Ahad.

    “Justeru, JIM menasihatkan orang ramai supaya sentiasa merujuk laman sosial jabatan ini untuk maklumat terkini. JIM ingin menegaskan bahawa tiada kompromi terhadap pegawai yang bersikap tidak profesional dan dalam masa yang sama jabatan ini juga akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap mana-mana pihak yang cuba memburukkan imej dan kredibiliti jabatan ini,” katanya.

  • Lebih 9,000 pasport dipohon dalam talian masih belum dituntut

    Lebih 9,000 pasport dipohon dalam talian masih belum dituntut

    LEBIH 9,000 Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) telah dicetak tetapi masih tidak dituntut oleh individu yang memohon dan memperbaharui pasport berkenaan secara dalam talian, kata Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud. 

    Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang telah membuat permohonan PMA untuk mengambilnya dengan segera di pejabat pengeluar pasport seluruh negara bagi mengelak pasport berkenaan dibatalkan. 

    Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata rakyat Malaysia yang telah memperbaharui pasport secara dalam talian perlu menuntut segera dokumen berkenaan bagi mengelak daripada dilupuskan dalam tempoh 90 hari.

    Khairul Dzaimee dalam kenyataan sama turut memaklumkan waktu operasi baharu bagi semua pejabat pengeluar PMA dan Pusat Transformasi Bandar (UTC) di Semenanjung Malaysia berkuat kuasa 15 Ogos ini berikutan trend statistik permohonan PMA yang semakin berkurangan pada sesi malam.

    Pejabat pengeluar PMA di semua negeri dan cawangan beroperasi bermula 8 pagi hingga 7 malam  pada hari bekerja kecuali bagi negeri Perlis, Pahang, Terengganu dan Kedah yang beroperasi mulai 8 pagi hingga 5 petang

    Sementara itu, pejabat pengeluar PMA di semua negeri dan cawangan pula beroperasi bermula 8 pagi hingga jam 12.30 tengah hari pada hari Sabtu kecuali bagi Perlis, Pahang, Terengganu dan Kedah.

    Pejabat UTC pula beroperasi dari 8 pagi hingga 9 malam pada hari bekerja kecuali bagi negeri Perlis, Pahang, Terengganu dan Kedah beroperasi dari 8 pagi hingga 5 petang.

    Semua pejabat UTC termasuk Perlis, Pahang, Terengganu dan Kedah beroperasi dari 8 pagi hingga 5 petang pada hujung minggu.

    Sebelum ini, waktu pengoperasian di enam pejabat pengeluar pasport dan kaunter Jabatan Imigresen dipanjangkan hingga 10 malam manakala enam lagi telah dilanjutkan hingga 6 petang sejak 11 Mei lepas bagi mengatasi kesulitan rakyat Malaysia dalam mendapatkan PMA.

    Enam premis yang dipanjangkan waktu operasi hingga 10 malam ialah Putrajaya, Kuala Lumpur, Selangor, Johor, Negeri Sembilan dan Melaka, manakala Pulau Pinang, Kedah, Perak, Kelantan, Terengganu dan Perlis dilanjutkan hingga 6 petang.- BERNAMA

  • 84 PATI ditahan: Penempatan dalam kontena, parti persendirian diserbu JIM

    84 PATI ditahan: Penempatan dalam kontena, parti persendirian diserbu JIM

    SEBUAH penempatan pendatang tanpa izin (PATI) di dalam kontena tiga tingkat di Brickfields, diserbu Jabatan Imigresen (JIM), Sabtu lepas.

    Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata seramai 294 warga Bangladesh, Indonesia, Myanmar, Pakistan dan Nepal diperiksa dalam serbuan pada 11.30 malam itu dengan 59 daripadanya ditahan.

    “Antara kesalahan dilakukan adalah tinggal lebih masa, tiada dokumen atau pas yang sah serta peserta Program Rekalibrasi yang ditolak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Khairul Dzaimee berkata dalam serbuan ke atas satu parti persendirian di Bukit Bintang pada 9.30 malam hari sama pula, pihaknya menahan 25 warga asing kerana tidak memiliki dokumen yang sah, pas tamat tempoh dan salah guna pas, hasil pemeriksaan terhadap 171 warga asing.

    Beliau berkata parti itu dianjurkan oleh warga tempatan dengan petugas majlis, artis persembahan, pelayan dan tetamu terdiri dalam kalangan warga asing.

    “Siasatan mendapati setiap tetamu dikenakan yuran masuk sebanyak RM150 secara dalam talian dan lokasi parti hanya akan dimaklumkan pada hari terakhir kepada tetamu bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

    “Parti ini menghidangkan minuman keras dan persembahan yang mencolok mata serta mereka yang membuat persembahan dan tetamu terdiri daripada warga asing yang memegang pas pelajar asing,” katanya.

    Menurutnya, beberapa individu warga tempatan termasuk penganjur majlis dan majikan turut dikenakan notis untuk hadir memberi keterangan.

    Katanya, kesemua 84 pendatang tanpa izin berusia lingkungan 20 hingga 50 tahun yang ditahan dalam dua serbuan itu dibawa ke Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.- BERNAMA

  • Sindiket pemalsuan dokumen perjalanan didalangi warga Pakistan tumpas

    Sindiket pemalsuan dokumen perjalanan didalangi warga Pakistan tumpas

    JABATAN Imigresen (JIM) menumpaskan sindiket pemalsuan dokumen perjalanan serta menahan tiga warga Pakistan yang mendalanginya di Setapak, Kuala Lumpur dan Seri Kembangan, Selangor dalam satu operasi khas pada 16 dan 17 Ogos hasil risikan selama tiga bulan.

    Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata sindiket pemalsuan dokumen perjalanan seperti visa dan pasport negara asing menggunakan aplikasi media sosial sebagai medium mencari pelanggan, menetapkan pertemuan serta transaksi lain.

    JIM menumpaskan sindiket pemalsuan dokumen perjalanan serta menahan tiga warga Pakistan yang mendalanginya di Setapak, Kuala Lumpur dan Seri Kembangan, Selangor baru-baru ini. Foto JIM

    Beliau berkata dua daripada mereka ditahan ketika melakukan transaksi penyerahan dokumen palsu di dalam sebuah kereta di Setapak, yang membawa kepada penahanan seorang lagi warga Pakistan disyaki sebagai pembuat dokumen palsu untuk sindiket itu di sebuah kawasan perumahan mewah di Taman Mesra, Seri Kembangan pada 17 Ogos.

    Mereka yang ditahan berumur lingkungan 32 hingga 56 tahun dengan dua adalah pemegang Pas Lawatan Sosial yang telah tamat tempoh manakala seorang lagi memiliki Pas Lawatan Sosial Jangka Panjang yang disyaki palsu, menurutnya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata seorang daripada mereka juga pernah diusir dari Kanada pada 2008 atas kesalahan imigresen.

    Khairul Dzaimee berkata sindiket itu berkemahiran menghasilkan pelbagai dokumen palsu negara asing seperti pasport, visa serta lesen memandu dan dokumen tersebut akan digunakan sebagai satu kelebihan dalam sejarah perjalanan pemegang pasport semasa memohon visa untuk perjalanan ke negara ketiga.

    “Sindiket ini memberi fokus kepada negara maju seperti Amerika Syarikat, Kanada dan Jepun kerana visa negara-negara ini mempunyai nilai yang tinggi dan boleh meyakinkan negara ketiga yang ingin dilawati bahawa pemegang pasport adalah pengembara yang kerap melakukan perjalanan ke negara-negara maju di atas,” katanya.

    Beliau berkata sindiket itu turut dipercayai menjalankan kegiatan memalsukan pelekat Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) sejak dua tahun lepas dan kebanyakan pelanggan terdiri daripada pendatang tanpa izin warga Pakistan, Myanmar dan Bangladesh yang bekerja sebagai buruh binaan serta pekerja kedai.

    “Sindiket menggunakan aplikasi WhatsApp serta In My Opinion (IMO) sebagai medium untuk mencari pelanggan dan akan berjumpa dengan pelanggan bagi tujuan transaksi,” katanya.

    Khairul Dzaimee berkata kadar bayaran yang dikenakan sindiket kepada pelanggan ialah antara RM100 dan RM300 bagi sekeping pelekat PLKS palsu manakala bayaran bagi dokumen negara asing seperti visa, lesen memandu, kad pelarian dan pasport ialah antara RM100 hingga RM1,000.

    Turut ditemukan dalam operasi itu ialah 2,320 keping dokumen yang disyaki palsu, dua set komputer meja, dua unit mesin pencetak, satu unit mesin lamina, satu unit pembaca pasport, lima keping plat plat mengecap pelbagai negara, 20 unit pemidang saring sutera pelbagai negara dan satu unit meja pencetak saring sutera.

    Beliau berkata pihak kedutaan negara terbabit mengesahkan bahawa dokumen yang dirampas adalah palsu.

    Katanya mereka ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 55(D) Akta Imigresen 1959/63 iaitu membuat, memalsukan atau meminda suatu pengendorsan atau suatu dokumen untuk digunakan sebagai suatu visa, permit, pas atau kelayakan di bawah akta.- BERNAMA