Tag: Ketua UMNO Bahagian

  • Ketua UMNO Bahagian Shah Alam didakwa salah guna peruntukan korban, anak yatim

    Ketua UMNO Bahagian Shah Alam didakwa salah guna peruntukan korban, anak yatim

    KETUA UMNO Bahagian Shah Alam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menyalahgunakan peruntukan program korban dan anak yatim berjumlah RM440,000 dan menggunakan dokumen palsu.

    Datuk Azhari Shaari, 53, didakwa atas  tiga pertuduhan iaitu sebagai penandatangan tunggal akaun bank bagi Persatuan Belia Kampung Kuantan Timur,  Persatuan Belia Bersatu Teguh Shah Alam dan Persatuan Belia Kampung Kuantan Utara secara tidak jujur menyalahgunakan dana bagi program ibadah korban dan sumbangan pakaian sekolah anak yatim masing-masing sebanyak RM120,000; RM120,000 dan RM200,000.

    Dia dituduh melakukan kesemua perbuatan itu di sebuah cawangan bank di Pelabuhan Klang, Klang pada 8 dan 27 Sept 2017.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum enam bulan serta maksimum lima tahun dan dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

    Azhari juga didakwa atas  tiga pertuduhan menggunakan tiga minit mesyuarat agung tahunan pada 2009 daripada persatuan-persatuan sama sebagai tulen, yang tertuduh ketahui ia adalah dokumen palsu.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan di cawangan bank sama pada 19 Mei 2010 dan pertuduhan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 465 kanun serupa yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Allan Suman Pillai menawarkan jaminan RM100,000 dengan dua penjamin bagi keenam-enam pertuduhan serta syarat tambahan pasport perlu diserahkan kepada mahkamah.

    Azhari yang diwakili peguam S. Ashok Kandiah memohon jaminan yang rendah atas alasan anak guamnya adalah penanggung utama keluarga selain kini tidak mempunyai sumber pendapatan tetap.

    Hakim Rozilah Salleh membenarkan tertuduh diikat jamin RM80,000 dengan dua orang penjamin serta syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah dan menetapkan 13 April untuk sebutan semula kes. – BERNAMA

  • Dua Ketua UMNO Bahagian letak jawatan Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti

    Dua Ketua UMNO Bahagian letak jawatan Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti

    Oleh: Bernama

    AHLI Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan hari ini meletak jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Sabah (UMS) berkuat kuasa serta-merta.

    Ketua UMNO Bahagian Tuaran itu berkata ia selaras dengan ketetapan yang telah diputuskan di dalam MKT UMNO pada 3 Ogos lepas dan sebagai Ahli MKT UMNO, beliau patuh dan setia dengan ketetapan parti.

    “Saya dengan ini meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Sabah dengan serta-merta,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada seluruh kakitangan UMS kerana telah memberikan kerjasama yang baik sepanjang perkhidmatannya di universiti itu.

    Abdul Rahman, bekas Ahli Parlimen Kota Belud, dilantik ke jawatan itu pada 3 Feb lepas.

    Di PULAU PINANG, Ketua UMNO Bahagian Balik Pulau Datuk Shah Headan Ayoob Hussain Shah turut mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Ahli Lembaga Pengarah Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Lembaga Pengarah UPM Holdings Sdn Bhd berkuat kuasa serta-merta.

    Shah Headan, yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Teluk Bahang, berkata keputusan itu berikutan tindakan UMNO Pusat menarik balik sokongan terhadap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kerajaan Perikatan Nasional.

    “Saya mengambil tanggungjawab ini selaku ahli parti yang akan terus akur dan hormat dengan sebarang keputusan serta ketetapan parti. Keputusan ini dibuat atas kerelaan saya serta bukan paksaan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

    Terdahulu, tular di laman sosial Facebook status terkini Shah Headan yang memuat naik surat peletakan jawatannya bertarikh semalam ditujukan kepada dan diterima oleh Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

    Semalam, Noraini yang juga Ketua Wanita UMNO, turut mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Menteri Pengajian Tinggi berkuat kuasa serta-merta.- BERNAMA