Tag: Ketua Polis Negara

  • Kes Musa Hassan, polis buka kertas siasatan

    Kes Musa Hassan, polis buka kertas siasatan

    POLIS membuka kertas siasatan berhubung kejadian membabitkan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan isterinya, yang rakaman video berkenaan tular di media sosial sejak semalam.

    Perkara itu disahkan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim.

    Menurutnya, kertas siasatan itu akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut dalam masa terdekat.

    “Saya sahkan kita (polis) terima laporan dan kertas siasatan sudah dibuka.

    “Kita akan rujuk kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya sebaik sahaja siasatan selesai dalam masa terdekat,” katanya, lapor Astro AWANI di sini hari ini.

    Difahamkan kedua-dua pihak sudah dipanggil untuk memberi keterangan.

    Sebelum ini, tiga rakaman video berdurasi sembilan saat, 56 saat dan 10 saat dimuat naik pengguna Twitter memaparkan pertelingkahan antara sepasang suami isteri yang turut disaksikan seorang kanak-kanak.

    Susulan itu, Musa menerusi ciapannya di Twitter meminta orang ramai supaya menghormati privasi dan tidak mencampuri urusan keluarganya.
    Beliau turut mengesakan, mereka yang membuat spekulasi akan berhadapan dengan tindakan undang-undang.

  • PDRM gerak pasukan Op Cantas Khas pantau perjalanan PRU-15

    PDRM gerak pasukan Op Cantas Khas pantau perjalanan PRU-15

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mengatur gerak pasukan Op Cantas Khas untuk menjalankan risikan, pemantauan dan mengambil tindakan terhadap pihak yang cuba melakukan kekacauan sepanjang proses Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata pasukan itu turut bertindak mengawal tingkah laku dan gerak kerja pihak terlibat dengan gangsterisme yang cuba mengambil kesempatan sepanjang tempoh PRU15 diadakan.

    Selain itu, pihaknya menempatkan pegawai PDRM dalam Pasukan Pemantau Kesalahan Pilihan Raya (PP-KPR) bagi memastikan setiap pihak melakukan kempen mengikut garis panduan yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

    “PDRM bersama SPR serta agensi lain yang berkaitan juga akan melakukan pemantauan setiap masa dalam memastikan proses berkempen dan pengundian dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata seramai 80,000 pegawai dan anggota seluruh negara diaturgerak untuk penugasan PRU15 bagi memastikan tahap keselamatan terjamin dan memberi keyakinan kepada orang ramai untuk keluar mengundi secara selamat.

    Acryl Sani turut menasihatkan parti-parti politik untuk berkempen secara beretika dan matang serta tidak menyentuh isu sensitif seperti agama dan perkauman.

    “Pihak yang terlibat secara langsung dalam proses pilihan raya seperti calon dan pengurus kempen harus memikul tanggungjawab dalam mengendali dan menguruskan sentimen penyokong masing-masing agar tidak berlaku insiden seperti di Tenom, Sabah.

    “Kejadian berkenaan merupakan contoh bagaimana situasi penyokong yang tidak dikawal boleh mengakibatkan kemudaratan yang seharusnya tidak berulang kembali kerana (ia) merupakan ancaman kepada tahap keselamatan dan ketenteraman awam,” katanya.

    Beliau berkata, pihaknya turut mengenal pasti kesalahan lazim yang berlaku ketika berkempen iaitu mengoyak poster, mengeluarkan kata-kata atau perbuatan yang berbaur hasutan, bergaduh, demonstrasi, kesalahan melalui medium Internet dan tohmahan.

    Acryl Sani berkata selain tindakan di bawah Akta Kanun Keseksaan, PDRM juga akan menggunakan undang-undang dan peraturan-peraturan yang berkait secara langsung dengan pilihan raya.

    “Tindakan itu adalah Akta Pilihan Raya 1958, Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981 dan Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2003,” katanya.

    “PDRM sentiasa komited dalam memastikan situasi keselamatan terkawal sepanjang tempoh berkempen, hari mengundi dan pasca PRU…kita berharap proses demokrasi pada kali ini berjalan dengan lancar dan aman tanpa insiden-insiden yang tidak diingini,” katanya. – BERNAMA

  • Polis akan pastikan tiada kejadian penyalahgunaan identiti sijil digital vaksin Covid-19

    Polis akan pastikan tiada kejadian penyalahgunaan identiti sijil digital vaksin Covid-19

    Oleh Mohd. Lazim Endut

    POLIS akan memastikan kejadian atau aktiviti penyalahgunaan identiti sijil digital Vaksin Covid-19 dalam kalangan ahli keluarga atau kenalan rapat tidak berlaku.

    Sehubungan itu kata Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah, beberapa langkah tertentu akan diambil bagi memastikan kejadian tersebut tidak berlaku.

    Menurut beliau, ketika ini pihaknya belum menerima laporan berhubung kes tersebut dan pihaknya akan terus membuat pemantauan.

    “Kità perlu bersedia kerana kalau sudah ada niat untuk buat macam-macam, memang mereka akan lakukan.

    “Kita sentiasa mengambil maklum terhadap perkara seperti ini dan akan melaksanakan beberapa langkah tertentu bagi mengatasinya,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan sumbangan Op Bantu kepada pesara polis, Sarjan Jali Dawi di Taman Permint Seberang Takir, Kuala Nerus, petang ini.

    Turut hadir ialah Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md. Isa.

    Baru-baru ini, polis Kedah ada menerima satu laporan  berhubung penjualan sijil digital vaksin palsu berharga RM15 yang tular di media sosial.

    Sementara itu, Acryl Sani mengulangi jaminannya bahawa keadaan keselamatan dan ketenteraman awam di negara ini ketika ini masih kekal terkawal.

    “Kita perhatikan setakat ini tiada isu, jadi pihak polis berharap orang ramai kekal bertenang dan menunggu apa jua keputusan akan dibuat di Parlimen nanti,” ujar beliau.