Tag: Ketua Pemuda UMNO

  • Dr Akmal menang jawatan Ketua Pemuda UMNO – Asyraf Wajdi

    Dr Akmal menang jawatan Ketua Pemuda UMNO – Asyraf Wajdi

    AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Dr Muhamad Akmal Saleh berjaya memenangi jawatan Ketua Pemuda UMNO, untuk sesi 2023-2026 berdasarkan kiraan tidak rasmi.

    Perkembangan itu dikongsikan penyandangnya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menerusi hantaran di Facebook malam ini.

    “Keputusan tidak rasmi Dr Akmal Saleh berjaya memenangi jawatan KETUA PERGERAKAN PEMUDA UMNO MALAYSIA untuk Sesi 2023-2026.

    “Setakat ini undi yang diperolehi 103 Bahagian; melepasi 96 undi untuk majoriti mudah daripada keseluruhan 191 Bahagian,” katanya.

    Keputusan itu menyaksikan beliau mengetepikan saingan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Paya Besar, Datuk Mohd Shahar Abdullah dengan 16 undi manakala Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanifah pula mendapat enam undi.

    Seorang lagi calon iaitu Meor Hassan Mat Ali, gagal mendapat sebarang undi.

    Berdasarkan infografik yang dikongsikan Asyraf Wajdi, antara bahagian yang memberikan undi kepada Dr Muhamad Akmal antaranya Gerik, Sembrong, Bagan Serai, Kampar, Alor Setar,Lumut dan Parit Sulong.

    Bahagian lain yang memberikan undi kepada beliau ialah Shah Alam, Indera Mahkota, Masjid Tanah, Iskandar Puteri, Keningau, Ipoh Timur dan Petaling Jaya.

    Sementara itu, Dr Akmal dalam reaksinya mengucapkan syukur di atas kemenangan berkenaan dan memohon ahli UMNO membantunya menggalas amanah dan tanggungjawab tersebut.

    “Alhamdulilah Alhamdulilah Alhamdulilah. Saya mohon sahabat-sahabat semua bantu saya untuk menggalas amanah dan tanggungjawab yang besar ini. Demi sebuah pengharapan, Pemuda cara kita,” katanya di Facebook.

  • Tiga pencalonan Ketua Pemuda UMNO ditolak

    Tiga pencalonan Ketua Pemuda UMNO ditolak

    TIGA calon yang menawarkan diri untuk bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO pada pemilihan parti kali ini bagi sesi 2023-2023 ditolak, kata Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO, Tan Sri Shahrir Abdul Samad.

    Menurut beliau, keputusan itu diambil berikutan kesemua individu itu tidak memenuhi kelayakan perlembagaan parti.

    Bagaimanapun Shahrir tidak menjelaskan lebih lanjut senarai tiga calon yang telah ditolak itu.

    “Yang kita tolak Ketua Pemuda tiga (calon) atas (faktor) kelayakan yang tidak memenuhi perlembagaan parti,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Beliau ditemui pemberita selepas proses cabutan nombor undi di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC), hari ini.

    Sementara itu, dalam perkembangan sama, Shahrir turut memaklumkan lapan calon sah bertanding untuk merebut jawatan Naib Presiden UMNO pada pemilihan parti bagi sesi kali ini.

    Dua calon itu, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Datuk Seri Mahdzir Khalid disahkan bertanding bagi mempertahankan jawatan tertinggi parti berkenaan.

    Calon lain termasuk tiga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) iaitu Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

    Tiga calon lagi adalah Ahli Parlimen Simpang Renggam yang juga bekas Menteri Besar Johor, Datuk Seri Hasni Mohamad; Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said dan ahli UMNO Bahagian Iskandar Puteri, Mohd Yusof Musa@Jamaludin.

    Dalam pada itu, enam calon disahkan merebut jawatan Ketua Puteri UMNO iaitu Ketua Puteri UMNO Bahagian Pandan, Wan Noor Akyilah Wan Shapuddin; Exco Puteri UMNO, Dr Masliha Harun dan Naib Ketua Puteri UMNO, Nurul Amal Mohd Fauzi.

    Tiga calon lain adalah Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Datuk Khaidhirah Abu Zahar; Exco Puteri UMNO, Fadwah Anuwar dan Setiausaha Puteri UMNO, Nurul Hazwani Haslan.

    Dalam perkembangan sama, seramai empat calon mengesahkan bertanding bagi jawatan Ketua Pemuda.

    Mereka merupakan Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Mohd Shahar Abdullah; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau; Dr Muhamad Akmal Saleh; Ahli MKT UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanifah dan Meor Hassan Mat Ali.

  • Ketua Pemuda UMNO Seremban masuk Pas

    Ketua Pemuda UMNO Seremban masuk Pas

    KETUA Pemuda UMNO Seremban, Zool Amali Hussin mengesahkan akan menyertai Pas hujung minggu ini.

    Beliau berkata, borang keahlian penyertaannya akan diserahkan kepada Pesuruhjaya Pas Negeri Sembilan, Rafiei Mustapha Sabtu ini.

    “Kita juga akan membuka kaunter untuk siapa yang mahu jadi ahli Pas pada Sabtu nanti,” katanya kepada Free Malaysia Today.

    Ditanya adakah ia membabitkan keseluruhan jawatankuasa Pemuda bahagian itu, Zool berkata keseluruhan ahli yang keluar UMNO akan diumumkan pada sidang media di kediamannya di Seremban selepas sesi penyerahan borang keahlian berkenaan.

    Zool sebelum ini antara yang lantang mengkritik kepimpinan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang didakwanya menjadi punca orang Melayu hilang keyakinan terhadap parti itu.

    Sumber turut memaklumkan FMT, Zool telah dikeluarkan daripada kumpulan sembang WhatsApp “Ketua Pemuda Malaysia”.

    “Kami dah singkir dia (Zool) dari kumpulan (WhatsApp), dia keluar Umno sebab tak sokong presiden,” menurut sumber rapat dengan perkara itu.

    Berdasarkan jemputan yang dilihat FMT, Zool akan mengadakan penyerahan borang keahlian dan sidang media pada 5 petang Sabtu.