Tag: ketua pembangkang

  • Dakwaan PN mahu tukar ketua pembangkang tak betul, kata Tuan Ibrahim

    Dakwaan PN mahu tukar ketua pembangkang tak betul, kata Tuan Ibrahim

    DATUK Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menafikan laporan sebuah portal kononnya Perikatan Nasional (PN) akan menggantikan Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai ketua pembangkang gabungan itu di Dewan Rakyat.

    “Tak betul,” kata ahli Majlis Tertinggi PN itu ringkas dalam mesej WhatsApp kepada Free Malaysia Today, merujuk laporan Malaysia Gazette bahawa Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Ahli Parlimen Ketereh, Datuk Khlir Mohd Nor disebut-sebut sebagai pengganti Hamzah.

    Terdahulu, portal itu melaporkan PN dijangka membuat penggantian itu atas kegagalan Hamzah memainkan peranannya sebagai ketua pembangkang yang aktif sepanjang sidang Dewan Rakyat dari 3 Feb hingga 4 April lalu.

    Dalam pada itu, Khlir berkata, sebagai ketua pembangkang, Hamzah perlu hadir ke Dewan Rakyat untuk berdepan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim bagi membahaskan isu rakyat.

    “Kita nak bahas. ‘By right’ ketua pembangkang (kena ada), tapi kebanyakan masa perdana menteri ada, ketua pembangkang tiada,” katanya yang mengakui tidak tahu khabar angin dirinya disebut-sebut sebagai pengganti Hamzah.

    Beliau berkata, ketiadaan Hamzah di Dewan Rakyat kerana menjalani rawatan sakit mata.

    “Hamzah mata dia sakit sebab itu dia tak masuk dewan banyak kali, sebab dia tak sihat…dia bukan sengaja tak nak datang. Saya ingat dah dua kali pembedahan mata.”

    Khlir tidak menolak kemungkinan namanya disebut-sebut disebabkan pengalamannya, selain beliau terkenal dengan jolokan “kaki balun orang” di Dewan Rakyat.

    “Mungkin mereka dah kaji perkara ini. Pasal apa? Saya sudah 40 tahun dalam (Angkatan Tentera bahagian) perisikan, saya pencen mejar jeneral, jadi dia tengok pengalaman saya banyak, itulah mungkin nama saya terselit. Agak-agak saja, tapi tak ada orang pun cakap dengan saya.

    “Dia tengok saya selalu pergi seminar, ke luar negara, sebab saya ketua perisikan, agaknya dia tengok sesuai nak berbahas, tapi saya baru sertai parti politik, saya sudah lama berada dalam perkhidmatan awam.”

    Ditanya jika ada keperluan untuk melantik ketua pembangkang baharu, Khlir berkata, Hamzah masih sesuai memegang jawatan itu berdasarkan pengalamannya.

    “Hamzah bagus, dia sesuai jadi ketua pembangkang, dia orang lama. Lagipun, dia ada latar belakang perundangan,” katanya.

  • ‘Bagi PN jadi Ketua Pembangkang Selangor’, Shahidan beritahu UMNO

    ‘Bagi PN jadi Ketua Pembangkang Selangor’, Shahidan beritahu UMNO

    UMNO diminta melepaskan jawatan Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor bagi membolehkan Perikatan Nasional (PN) mengambil alih kedudukan itu.

    Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) secara berseloroh membuat cadangan itu berkata, UMNO merupakan sebahagian Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bukan lagi pembangkang di negeri itu.

    “Saya dengar cerita di Selangor, UMNO ada lima kerusi, PN ada tujuh kerusi tetapi Ketua Pembangkang tidak mahu berhenti sebab dia ingat UMNO masih pembangkang, padahal UMNO sekarang (kerjasama) PH.

    “Dia kena berhenti dan bagi PN yang jadi Ketua Pembangkang di Selangor. Orang Selangor walau macam mana pun cari sesuatu yang lebih menarik, sokong PN dalam PRN (Pilihan Raya Negeri) akan datang sebab UMNO nampaknya walaupun dah kalah, tidak mahu berhenti jadi Ketua Pembangkang,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Beliau menyatakannya ketika perbahasan sesi penggulungan Kementerian Belia dan Sukan di peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat, hari ini.

    Media melaporkan, kerajaan negeri Selangor belum menerima surat peletakan jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tawar, Datuk Rizam Ismail sebagai ketua pembangkang negeri itu setakat ini.

    Perkara itu disahkan Speaker Dewan Negeri Selangor, Ng Suee Lim ketika mengulas usul dibangkitkan ADUN Bukit Antarabangsa, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) berhubung lantikan Ketua Pembangkang DUN Selangor yang baharu susulan Rizam daripada Barisan Nasional kini menjadi sebahagian kerajaan negeri selepas pembentukan Kerajaan Perpaduan.

    Sementara itu mengenai atlet yang dihantar menyertai pertandingan peringkat antarabangsa, Shahidan yang juga Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) memohon kerajaan mempertimbangkan untuk membiayai pasukan kedua atau B tanpa perlu membebankan persatuan.

    “Apabila kita menghantar pasukan untuk bertanding di peringkat antarabangsa, ada pasukan A yang kerajaan bayar dan pasukan B dibayar oleh persatuan.

    “Ini tidak bagus, tidak boleh berterusan. Atlet perlu diberi pendedahan dan ada potensi, mereka dipilih oleh Majlis Sukan Negara (MSN), Majlis Olimpik yang pilih.

    “Kita juga kena bayar jurulatih terlibat, jadi saya merayu kepada Yang Berhormat Menteri (Belia dan Sukan), supaya pasukan B kalau tidak dibiayai sepenuhnya tidak apa, sekurang-kurangnya dibayar separuh dan jurulatih dibayar 100 peratus oleh MSN,” ujarnya.

  • Berdepan fitnah, PN tidak akan lari daripada perjuangan bela rakyat – Hamzah

    Berdepan fitnah, PN tidak akan lari daripada perjuangan bela rakyat – Hamzah

    KETUA Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin menegaskan, Perikatan Nasional (PN) tidak akan lari daripada perjuangan membela agama bangsa dan negara walaupun berdepan pelbagai tuduhan dan fitnah kerajaan.

    Dakwa Setiausaha Agung PN itu, agak malang ‘witch hunt’ kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap musuh politiknya dilihat masih belum berkesudahan dengan pelbagai tuduhan dan fitnah dilemparkan.

    Beliau berkata, ini memaksa PN menjadi terlalu bertahan dengan menjawab setiap tuduhan sehingga ada pihak mengatakan gabungan itu yang melemparkan fitnah berkenaan.

    Malah katanya, keadaan itu memaksa PN memaklumkan kepada rakyat bahawa gabungan itu adalah kumpulan yang wujud untuk membantu rakyat.

    “Kami tidak akan jadikan isu ini isu yang boleh buatkan kami lari daripada perjuangan yang sebenar.

    “InsyaAllah selagi mana kami mampu, buatlah apa sahaja fitnah buatlah apa sahaja, kami tetap akan meneruskan perjuangan membela agama bangsa dan negara,” katanya ketika membahaskan usul Titah Diraja di Dewan Rakyat, hari ini.

    Mengulas lanjut, Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut mendakwa rakyat mula gelisah dengan prestasi kerajaan yang sudah bergelut dengan beberapa masalah walaupun belum sampai 100 hari mentadbir negara.

    Katanya, kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah pun diselubungi kelemahan, ketidakcekapan dan pencabulan kuasa ketika ini.

    “Saya sedar kerajaan pimpinan Yang Amat Berhormat Tambun (Anwar) belum sampai 100 hari memerintah, tetapi sudah banyak persoalan yang ditimbulkan rakyat.

    “Satu demi satu kelemahan, ketidakcekapan serta pencabulan kuasa muncul yang menimbulkan kegelisahan dalam kalangan rakyat.

    “Kurangkanlah bercakap, buat kerja dan bawa hasil kepada rakyat. Bila kita banyak sangat bercakap, kadang kita lupa yang sebenarnya kita sedang menepuk air di dulang, percikannya terkena muka sendiri,” jelasnya.

    Hamzah dalam pada itu mendakwa kerajaan masih gagal membuktikan kemampuan menyelesaikan segala isu rakyat yang berbangkit, khususnya membabitkan kos sara hidup rakyat, seperti mana yang disuarakan ketika kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

    Mengambil contoh isu kekurangan telur ayam, Hamzah menyifatkan isu itu masih belum selesai meskipun selepas kerajaan mengimportnya dari India, selain mencetus rasa tidak puas hati rakyat kerana harga telur import lebih mahal sedangkan saiznya lebih kecil berbanding telur tempatan.

    “Semasa berkempen dalam PRU15, bukan main berdegar-degar Yang Amat Berhormat Tambun dan beberapa menteri kerajaan hari ini bercakap, kononnya kalau mereka mengambil alih kerajaan, semua masalah selesai.

    “Hakikatnya, bukan sahaja masalah telur tidak kunjung selesai, kini harga sayur pula melonjak 160 peratus,” katanya.

    Sementara itu, Hamzah turut mendakwa konsep MADANI yang dibawa Anwar menimbulkan kekeliruan hingga ada pihak mengaitkannya dengan fahaman pluralisme yang bertentangan dengan Islam.

    Dakwanya, ia berikutan Perdana Menteri lebih banyak menggunakan idea pemikir Barat apabila membentangkan konsep MADANI, berbanding memberi fokus pada istilah ‘madani’ mengikut ajaran Islam yang dihuraikan cendekiawan Islam.

    “Dasar MADANI yang hendak dibawa kerajaan perlu jelas supaya tidak timbul kekeliruan dan kekhilafan yang boleh membawa perpecahan dalam kalangan rakyat, terutamanya membabitkan kumpulan ilmuwan dan agamawan.

    “Mereka tercium bau-bauan sekularisme, liberalisme dan pluralisme dalam konsep, kerangka serta epistimologi Malaysia MADANI jika banyak mengutip pemikiran Amartya Sen, Pico Mirandola, Ziauddin Sardar dan John Locke itu sendiri.

    “Sedangkan, fabrik sosial dalam madani mengikut Islam juga telah dihuraikan dengan panjang lebar oleh Al-Farabi menerusi istilah Al-Madinah Al-Fadilah sebagai reaksi balas kepada pandangan Aristotle, serta Ibnu Khaldun yang mengupas konsep dan epistimologi madani dari sudut ilmu sosiopolitik menerusi kitab al-Muqaddimah.

    “Mereka bimbang madani ini selari dengan ucapan Yang Berhormat Tambun (Anwar) bertajuk ‘Religion and Pluralism in a Divided World’ di London School of Economic (LSE),” katanya.

  • PN miliki kriteria jadi pembangkang semak dan imbang – Pemerhati

    PN miliki kriteria jadi pembangkang semak dan imbang – Pemerhati

    MESYUARAT pertama Dewan Rakyat bagi Parlimen ke-15 yang bermula pada Isnin depan dijangka membincangkan beberapa agenda termasuk usul undi percaya kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memimpin kerajaan perpaduan.

    Tumpuan pastinya kepada Perikatan Nasional (PN) yang mempunyai jumlah kerusi Dewan Rakyat kedua terbanyak selepas Pakatan Harapan (PH), namun memilih menjadi pembangkang dengan tidak menyertai kerajaan perpaduan yang setakat ini diwakili PH, Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) serta disokong beberapa parti lain termasuk Parti Warisan Sabah dan Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA).

    PN yang mempunyai 74 kerusi Parlimen ternyata bersedia untuk menjadi blok pembangkang yang kuat apabila ia memilih Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai Ketua Pembangkang. Ahli Parlimen Larut yang juga bekas Menteri Dalam Negeri itu terkenal dengan kelantangan dan ketegasan. 

    Pemilihan Hamzah sebagai Ketua Pembangkang disifatkan tepat oleh pemerhati, khususnya dalam konteks semak dan imbang, memandangkan ini kali pertama negara ditadbir oleh kerajaan perpaduan diketuai oleh PH dengan 82 ahli Dewan Rakyat. Selain itu, ia diperkuat oleh 30 ahli Parlimen BN, GPS (22), GRS (6) dan lain-lain parti.

    Pembentukan kerajaan perpaduan itu disyorkan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 yang lalu menyaksikan Parlimen tergantung buat pertama kali dalam sejarah negara apabila tidak ada sebuah parti pun boleh membentuk kerajaan menerusi majoriti mudah 112 kerusi Parlimen.

    KERAJAAN BAYANGAN

    Ketika mengulas akan kemampuan PN selaku blok pembangkang, pensyarah sains politik daripada Universiti Putra Malaysia Datuk Dr Jayum Jawan berkata sebagai gabungan yang pernah mentadbir kerajaan selama kira-kira dua tahun sebelum ini, PN mampu menjadi pembangkang yang berkesan dalam melaksanakan fungsi semak dan imbang.

    Jelasnya, memandangkan PN mempunyai jumlah kerusi kedua terbanyak, mereka boleh membentuk ‘kabinet bayangan’ yang cekap.

    “Ketua Pembangkang akan menjadi ‘Perdana Menteri Bayangan’ dan  difahamkan PN akan mengagihkan dua atau tiga ahli Parlimen mereka untuk menjaga dan memantau satu kementerian… ini merupakan satu tindakan yang tepat,” kata Felow Akademi Sains Malaysia itu kepada Bernama.

    Menurutnya, Malaysia tidak pernah mempunyai kabinet bayangan sekalipun BN yang menjadi blok pembangkang selepas PRU14 pada 2018 pernah mengutarakan cadangan tersebut.

    “Pada 2018 rakyat tidak tahu siapa menteri bayangan kerana mereka tidak menonjol dari segi menyemak tindak-tanduk menteri dalam kerajaan.

    “PN boleh mewujudkan dengan jelas peranan kabinet bayangan, namun mereka yang dilantik perlu menunjukkan kesungguhan melaksanakan amanah dan tanggungjawab tersebut kerana ia bersifat  kerja sukarela dan tidak ada bayaran,” katanya.

    Kewujudan kabinet bayangan juga dilihat sejajar dengan ciri demokrasi  berparlimen (Westminster) yang diamalkan Malaysia yang mana ahli-ahli kanan daripada parti pembangkang diberikan tugas memantau dasar dan tindakan kerajaan serta membuat cadangan alternatif.

    “Tugas utama mereka (menteri bayangan) ialah memastikan dasar itu baik, betul, bermanfaat kepada rakyat selain pastikan menteri dalam kerajaan buat kerja kerana menteri bayangan boleh berdebat dengan menteri yang dibayanginya mengenai isu berkaitan kementerian semasa Parlimen bersidang.

    “Kedua-dua pihak perlu buat ‘homework’ untuk berdebat secara profesional di Parlimen tentang dasar kementerian, bukan serangan peribadi sesama mereka,” jelasnya.

    Menurut Jayum, dengan strategi itu, pastinya jemaah menteri pimpinan Anwar  akan lebih berhati-hati dan  bersungguh dalam melaksanakan tanggungjawab kerana ada pihak yang sentiasa memantau tindak-tanduk mereka, sekali gus menjamin kerajaan baharu mentadbir negara dengan amanah, telus dan adil.

    GANDINGAN BAHARU DAN LAMA 

    Jayum juga menyifatkan gandingan muka lama dan baharu dalam PN sebagai saling melengkapi, khususnya dalam menyalurkan idea yang lebih segar dan menjadi pengkritik kerajaan yang dinamik.

    Malah katanya, mandat yang diberikan kepada Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Ketua Ahli Parlimen PN dapat mengukuhkan lagi blok pembangkang kerana beliau seorang yang berpengalaman luas dalam pentadbiran negara termasuk selaku perdana menteri ke-8.

    Jayum juga berkata pelantikan Presiden PAS  Tan Sri Abdul Hadi Awang yang  pernah menjadi Menteri Besar Terengganu sebagai Timbalan Ketua Ahli Parlimen PN  merupakan gandingan pelengkap kepada Muhyiddin dalam menjadikan PN blok pembangkang berwibawa.

    “PN mempunyai ramai pemimpin berpengalaman dalam kalangan bekas menteri, menteri besar dan Exco yang boleh dijadikan panduan oleh muka baharu dalam blok pembangkang untuk bertindak lebih matang,” ujarnya.

    KEKUATAN PAS  

    Sementara itu,  penganalisis politik Dr Muhammad Shamsinor Abdul Azzis berkata ini bukan kali pertama PAS menjadi pembangkang dan semestinya sudah berpengalaman luas dalam peranan mereka sebagai pengkritik kerajaan.

    Malah kata pensyarah kanan  di Pusat Latihan Intern dan Pengayaan Akademik Universiti Malaya itu, Abdul Hadi sendiri pernah menjadi Ketua Pembangkang iaitu dari 2002 hingga 2004.

    “PAS menjadi pembangkang selama lebih enam dekad sejak PRU pertama diadakan pada 1955, dan saya pasti pengalaman PAS sebagai pembangkang akan digunakan sebaik mungkin dalam menyemak dan mengimbang kerajaan yang diketuai PH.

    “Pada PRU lepas juga PAS menyumbang kerusi Parlimen terbanyak (dalam PN) dan sudah pastinya rakyat akan menilai peranan yang dimainkan ahli Parlimen parti itu terutamanya dalam menambah baik dasar-dasar kerajaan,” katanya.

    Sebelum ini, ramai yang menjangkakan Abdul Hadi dilantik Ketua Pembangkang. Lebih-lebih lagi PAS mencatat prestasi cemerlang pada PRU15 apabila memenangi 43 kerusi Parlimen berbanding Bersatu dengan 31 kerusi.

    Pada pilihan raya itu, PAS menyapu bersih lapan kerusi Parlimen di Terengganu dan 14 kerusi di Kelantan, sementara Abdul Hadi pula menang besar di Parlimen Marang dengan majoriti 41,729 undi, mengatasi BN, PH dan Pejuang Tanah Air. – BERNAMA

  • Tuan Ibrahim ketua pembangkang DUN Pahang

    Tuan Ibrahim ketua pembangkang DUN Pahang

    PERIKATAN Nasional (PN) memilih Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cheka Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai ketua pembangkang mewakili gabungan itu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang.

    Pengerusi PN Pahang Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata beliau akan memaklumkan pemilihan Timbalan Presiden PAS itu kepada Yang Dipertua DUN Pahang. 

    “…. seterusnya kami mencadangkan jawatan Ketua Pembangkang di DUN ini diberikan fungsi dan status yang rasmi sebagaimana di sesetengah DUN lain dan mengikut contoh di Dewan Rakyat,” katanya pada sidang media di sini hari ini. 

    Selain itu, Saifuddin juga berkata PN turut bersetuju untuk menamakan ADUN Lepar Mohd Yazid Mohd Yunus sebagai Ketua Whip di DUN Pahang. 

    Pada PRU15, Tuan Ibrahim memenangi kerusi DUN Cheka dengan majoriti 1,223 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Ho Fong Mee yang mendapat 4,411 undi, Rashid Mohamad (Pakatan Harapan) memperoleh 2,255 undi dan calon pejuang Aishaton Abu Bakar hilang deposit selepas hanya mendapat 81 undi.

    Selain DUN Cheka, Tuan Ibrahim juga menang di Parlimen Kubang Kerian, Kelantan. – BERNAMA

  • PN belum putuskan siapa ketua pembangkang

    PN belum putuskan siapa ketua pembangkang

    KETUA pembangkang yang akan mewakili Perikatan Nasional (PN) masih belum diputuskan gabungan itu, kata Naib Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

    Bagaimanapun, beliau menjangkakan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin bakal dipilih sebagai Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat.

    “Kebiasaannya ketua-ketua parti akan memegang jawatan (Ketua Pembangkang) itu, contoh Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim, selaku Pengerusi PH serta Presiden PKR.

    “Jadi, perkara sama juga akan berlaku terhadap Muhyiddin. Cuma setakat ini, bukan ketua parti, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (Naib Presiden UMNO) pernah memegang jawatan itu. Ia bergantung kepada ketetapan (keputusan) yang dibuat parti.

    “Bagaimanapun, saya tidak pasti ada nama lain yang akan diangkat. Justeru, kita akan berjumpa dengan Presiden minggu depan, maksudnya (keputusan) masih belum dibincangkan atau dicadangkan lagi perkara ini,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Dalam pada itu, Mas Ermieyati turut berpandangan kenaikan status menteri kepada Ketua Pembangkang tidak wajar dijadikan fokus utama.

    Jelasnya, ini kerana bukan pangkat yang dikejar sebaliknya memenuhi tuntutan kerja yang lebih penting.

    “Ketua pembangkang bertaraf menteri itu bukan isu, yang penting keberkesanan menjalankan tanggungjawab tersebut dalam mengemudi dan mengetuai blok pembangkang menjadi pasukan berwibawa,” ujarnya.

    Pada 11 Oktober 2021, media melaporkan Anwar menerima ‘surat kenaikan status’ yang mengesahkan pejabat Ketua Pembangkang itu menikmati kemudahan setara pejabat menteri seperti dipersetujui dalam Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan dan PH.

    Dalam hantaran di Facebook, Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, Perdana Menteri, Ismail Sabri dalam mesyuarat kedua jawatankuasa pemandu MoU itu, menyerahkan surat pengesahan kepada Anwar membabitkan perkara itu.