Tag: Ketua Menteri Melaka

  • Tiada desakan, lepaskan jawatan kerana desakan hati, kata Sulaiman

    Tiada desakan, lepaskan jawatan kerana desakan hati, kata Sulaiman

    SELEPAS 48 jam mengunci mulut, Datuk Seri Sulaiman Md Ali menegaskan keputusannya melepaskan jawatan sebagai ketua menteri dibuat tanpa desakan mana-mana pihak.

    Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu itu sebaliknya berkata, keputusan tersebut sudah lama dibuat kerana ‘desakan hatinya’ selain pernah beberapa kali menyatakan hanya ingin memikul tanggungjawab berkenaan selama sepenggal.

    “Apa nak komen lagi, kenyataan sudah dikeluarkan Kerajaan Negeri dan Presiden UMNO dan apa yang (mereka) cakap, itu lah dia.

    “(Tiada) desakan, (ini) desakan hati saya dan datangnya daripada naluri. Dah penat lah, bagilah orang lain peluang pula, itu sahaja,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Sumbangan Ramadan Parlimen Masjid Tanah di Kompleks Jawatankuasa Penyelaras Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Kuala Linggi dekat Masjid Tanah, hari ini

    Mengulas lanjut Sulaiman berkata, beliau sudah beberapa kali menyatakan hasrat berkenaan kepada Ahmad Zahid untuk melepaskan jawatannya sebelum ini.

    “Sudah lama dah (mohon lepas jawatan), dulu saya pernah cakap sepenggal cukup lah,” katanya.

    Menurut Sulaiman, beliau mengharapkan sesiapa sahaja yang bakal menggantinya termasuk Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh yang disebut-sebut bakal mengambil alih tugas itu dapat menjalankan tanggungjawab dengan sempurna.

    “Masing-masing semua ada kelebihan, kita mesti sokong dan saya harap siapa sahaja bakal menggantikan buat lah yang terbaik (kerana) benda semua sudah ada,” tambahnya.

    Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Melaka pada Khamis turut mengesahkan Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Angkat Sumpah Jawatan, Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Melaka akan diadakan Jumaat ini.

    SUK negeri, Datuk Zaidi Johari dalam kenyataannya berkata, Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam sudah menerima surat peletakan jawatan Datuk Seri Sulaiman Md Ali sebagai Ketua Menteri Melaka ke-12.

  • Sulaiman tak sedih tinggal jawatan KM Melaka, cuma…

    Sulaiman tak sedih tinggal jawatan KM Melaka, cuma…

    DATUK Seri Sulaiman Md Ali mengakui berasa sedih untuk meninggalkan kakitangan yang telah berkhidmat dengan cukup baik sepanjang beliau menjawat jawatan Ketua Menteri Melaka.

    Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu itu yang melepaskan jawatan Ketua Menteri berkuatkuasa esok turut meminta semua kakitangan pejabatnya di Seri Negeri terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada penggantinya.

    Memetik laporan BH Online, Sulaiman meminta supaya prestasi perkhidmatan kakitangan dikekalkan untuk Ketua Menteri baharu, sama seperti yang diberikan kepada dirinya.

    Beliau juga mengakui tidak berasa sedih untuk melepaskan jawatan Ketua Menteri Melaka itu.

    “Saya tidak sedih untuk meninggalkan jawatan ini (Ketua Menteri), saya tidak sedih untuk meninggalkan kerusi yang empuk di tingkat empat Seri Negeri ini, tetapi saya sedih untuk meninggalkan semua kakitangan saya yang baik, cemerlang dalam perkhidmatan serta sentiasa jujur dan amanah dalam menjalankan tugas.

    “Saya tidak mampu lagi memperoleh staf seperti ini dan sudah pasti jasa serta budi baik semua akan saya kenang selagi hayat dikandung badan,” katanya yang turut menitiskan air mata ketika menyampaikan ucapan ringkas ada hari terakhir memasuki pejabatnya, hari ini.

    Video ucapan Sulaiman yang dilihat mengesat air mata turut tular di media sosial.

    Pertemuan turut membabitkan kira-kira 50 kakitangan Pejabat Ketua Menteri Melaka, termasuk pegawai kanan, staf sokongan, kerani, pembantu tadbir, pekerja am serta pengawal keselamatan.

    Pada masa sama, Sulaiman turut mengucapkan terima kasih dan menyampaikan penghargaan kepada semua kakitangan di pejabatnya.

    “Saya sangat berterima kasih kepada semua kakitangan pejabat ini yang banyak membantu saya dan memberikan perkhidmatan sangat cemerlang sepanjang saya berada di sini.

    “Sama-sama kita berdoa semoga Allah limpahkan rahmat dan keberkatan kepada kita semua,” katanya.

    Sulaiman, 58, pertama kali diangkat menjadi Ketua Menteri Melaka pada bulan Mac 2020 selepas Barisan Nasional (BN) dan rakan sekutu mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri daripada Pakatan Harapan (PH).

    Beliau kemudiannya dilantik semula selepas BN menang besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) pada November 2021.

    Terdahulu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan bahawa parti itu sudah pun mencadangkan ADUN Tanjung Bidara, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh sebagai Ketua Menteri Melaka yang baharu.

    Ahmad Zahid memberitahu, Sulaiman meletakkan jawatan disebabkan masalah kesihatan.

    Menurut Ahmad Zahid, UMNO sudah pun mengutuskan warkah kepada Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam berhubung peletakan jawatan Sulaiman.

  • ‘Badi Ketua Menteri Melaka’ masih berterusan

    ‘Badi Ketua Menteri Melaka’ masih berterusan

    LANGKAH Datuk Seri Sulaiman Md. Ali di pusat pentadbiran kerajaan, Kompleks Seri Negeri selaku ketua tertinggi kerajaan Melaka berakhir setelah beliau secara rasmi meletak jawatan Ketua Menteri ke-12, hari ini.

    Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu daripada UMNO itu akhirnya terpaksa akur dengan ketentuan partinya sendiri setelah beberapa kali ‘usaha’ menukar beliau dengan pemimpin lain berjaya dielakkan sebelum ini.

    Sulaiman atau mesra disapa Tok Leman mula menjadi Ketua Menteri Melaka pada Mac 2020 yang bermakna beliau hanya mampu bertahan selama tiga tahun selepas kali kedua mengangkat sumpah jawatan itu pada November 2021, susulan kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN).

    Pengunduran diri Sulaiman itu menjadikan beliau menjadi Ketua Menteri Melaka seterusnya yang terpaksa mengosongkan kedudukan secara ‘terpaksa’, ‘kontroversi’, ‘tidak bersedia’ dan pelbagai lagi pandangan pemerhati politik.

    Sebelum ini, Tun Dr. Mohd. Ali Mohd. Rustam yang menjadi Ketua Menteri Melaka kesembilan juga tidak bernasib baik pada karier politiknya apabila tewas Pilihan Raya Umum setelah bertindak bertukar kerusi daripada Dewan Undangan Negeri (DUN) kepada Parlimen.

    Malah, pengunduran paling kontroversi sudah tentu melibatkan Ketua Menteri Melaka keenam iaitu Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik yang menduduki jawatan itu sejak 1982 hingga 1994.

    Selepas Mohd. Ali, Datuk Seri Ir. Idris Haron pula berdepan nasib sama, kerana walaupun berjaya mempertahankan kerusi DUN Sungai Udang pada 2018, parti diketuainya di Melaka tumbang kepada Pakatan Harapan (PH) sekali gus beliau hanya bergelar Ketua Menteri sepenggal.

    ‘Badi ketua menteri’ Idris disambung pula oleh Adly Zahari pada tahun 2020 meskipun beliau daripada parti berbeza apabila Adly yang satu-satunya bukan Ketua Menteri berasal dari UMNO setakat ini dijatuhkan pada 2 Mac tahun berkenaan.

    Kekosongan yang terpaksa ditinggalkan Adly selepas mengangkat sumpah jawatan Ketua Menteri ke-11 pada Mei 2018 itu diteruskan pula oleh Sulaiman hari ini yang menerima nasib sama dengan ketua-ketua menteri sebelumnya.

    Jawatan beliau hampir pasti akan digantikan dengan Pengerusi Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh yang merupakan nama sering menjadi spekulasi selepas PRN Melaka 2021 lalu.

    Sekiranya Ab. Rauf direzekikan menjadi Ketua Menteri Melaka yang seterusnya esok, sudah pasti beliau hanya ada tempoh kurang tiga tahun sebelum PRN seterusnya perlu diadakan pada 2025.

    Sama ada beliau mampu bertahan atau berdepan cabaran besar untuk mempertahankan Melaka di bawah cengkaman UMNO bagi penggal seterusnya, Ab. Rauf sudah tentu perlu bersedia pula dengan segala kemungkinan kerana beliau menyandang ‘badi’ seterusnya.

    Maka benar seperti hikayat Hang Tuah dahulu yang diceritakan penderhakaan Hang Jebat kerana perbalahan dua wira Melaka itu menjadikan negeri itu kacau bilau sehingga tidak ada Sultan sampai ke hari ini.

  • Ab Rauf calon ketua menteri Melaka baharu – Zahid Hamidi

    Ab Rauf calon ketua menteri Melaka baharu – Zahid Hamidi

    PENGERUSI Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan beliau mencadangkan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka Ab Rauf Yusoh sebagai calon ketua menteri Melaka baharu.

    Memetik laporan Free Malaysia Today, Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, cadangan itu telah dibuat kepada Yang di-Pertua Negeri Tun Mohd Ali Mohd Rustam.

    “Saya telah mengutuskan warkah kepada Yang di-Pertua Negeri Melaka untuk menerima peletakan jawatan ketua menteri Melaka.

    “Dengan ini parti mencadangkan melalui warkah itu Datuk Seri Ab Rauf Yusoh sebagai ketua menteri baharu, noktah, ia telah dipersembahkan,” katanya kepada media di Parlimen.

    Pada soalan alasan peletakan jawatan ADUN Lendu, Datuk Seri Sulaiman Md Ali sebagai ketua menteri, Zahid memaklumkan keputusan itu dibuat atas faktor kesihatan.

    “Dia (Sulaiman) beritahu sebab kesihatan,” katanya.

    Ditanya sama ada barisan exco baharu akan membabitkan wakil rakyat Pakatan Harapan (PH), Zahid berkata, pelantikan itu akan mengambil semangat pembentukan kerajaan perpaduan di peringkat pusat.

    “Saya membincangkan barisan exco oleh kerana kita mengambil semangat kerajaan perpaduan yang berjalan baik di nasional, saya yakin semangat itu akan dihilirkan ke Melaka supaya optik yang baik dapat diperlihatkan kepada bukan sahaja rakyat Melaka tetapi rakyat Malaysia,” katanya.

    Rauf sebelum ini berulang kali dikaitkan dengan jawatan ketua menteri sejak Barisan Nasional menang PRN Melaka, pada November 2021.

    Sebelum PRN Melaka, Sulaiman adalah ketua menteri, manakala Rauf sebagai speaker Dewan Undangan Negeri (DUN). Sulaiman kemudian dilantik semula sebagai ketua menteri selepas kemenangan besar BN.

    Bagaimanapun, khabar angin Sulaiman akan digantikan timbul sejurus keputusan PRN mula diketahui, yang mana Rauf mendakwa ada cubaan melobi pimpinan tinggi parti untuk jawatan ketua menteri. Beliau tidak hadir ketika Sulaiman mengangkat sumpah.

    Rauf selepas itu menafikan cakap-cakap berlaku pergeseran dalam kerajaan negeri baharu ditubuhkan, sambil menyatakan Sulaiman disokong semua ketua bahagian UMNO negeri.

  • “Tunggu pengumuman rasmi”, kata Ab Rauf

    “Tunggu pengumuman rasmi”, kata Ab Rauf

    PENGERUSI Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh meminta semua pihak agar menunggu pengumuman rasmi berhubung spekulasi pertukaran Ketua Menteri.

    “Tunggu pengumuman rasmi. Saya tak boleh beri apa-apa maklum balas setakat ini,” katanya ketika ditemui selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Badan Perhubungan UMNO negeri di Seri Negeri, Ayer Keroh.

    Ab Rauf yang juga EXCO Kanan Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri berkata, semua pihak diminta bertenang dan bersabar susulan spekulasi yang mengaitkan namanya untuk dilantik sebagai Ketua Menteri Melaka baharu.

    “Saya tidak boleh memberikan apa juga komen mengenai spekulasi ini. Kita tunggu pengumuman rasmi daripada mana-mana pihak yang akan memberikan pengumuman, sedikit masa lagi ya,” katanya menurut laporan Berita Harian.

    Ab Rauf berkata, isu pertukaran Ketua Menteri Melaka itu tidak dibincangkan pada mesyuarat berkenaan, sebaliknya tertumpu kepada kelancaran jawatankuasa baharu sejurus tamat musim pemilihan UMNO baru-baru ini.

    “Tak perlu bincang (isu pertukaran Ketua Menteri) sebab tak ada kena mengena (dengan agenda mesyuarat),” katanya.

    Spekulasi pertukaran Ketua Menteri kini kembali hangat apabila penyandang jawatan itu, Datuk Seri Sulaiman Md Ali dikatakan akan meletakkan jawatan esok.

    Difahamkan, tindakan itu diambil selepas beliau mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam.

    Ia sekali gus bakal memberi laluan kepada Ab Rauf yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara untuk dilantik sebagai Ketua Menteri Melaka baharu.

  • Jawatan Ketua Menteri Melaka ‘bertukar tangan’ Jumaat ini?

    Jawatan Ketua Menteri Melaka ‘bertukar tangan’ Jumaat ini?

    SPEKULASI jawatan Ketua Menteri Melaka tercetus semula selepas Datuk Seri Sulaiman Md Ali dikatakan akan melepaskan jawatan itu, Jumaat ini.

    Memetik laporan Astro AWANI, jawatan itu difahamkan akan diambil alih oleh Pengerusi Perhubungan UMNO negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

    Sumber Pejabat Ketua Menteri berkata, Istiadat Angkat Sumpah berkenaan akan diadakan pada pukul 3 petang Jumaat ini di hadapan Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam.

    “Istiadat angkat sumpah jawatan akan diadakan pada petang Jumaat ini, tetapi kami perlu tunggu arahan selanjutnya daripada Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK),” dakwanya ringkas.

    Situasi politik di Melaka beberapa kali berdepan detik genting apabila timbul dakwaan kononnya jawatan ketua menteri akan bertukar tangan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka November 2021 lalu.

    Ia susulan timbul dakwaan Ab Rauf yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO negeri, berhasrat untuk mengambil alih jawatan berkenaan, meskipun beliau yang juga Exco Kanan Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Koperasi dan Usahawan negeri itu sudah beberapa kali menafikannya.

    Ab Rauf ketika dihubungi pada Rabu enggan mengulas lanjut berhubung perkara berkenaan sehingga mendapat pengesahan sebenar.
    “(Setakat ini) ada pengesahan rasmi ke? Saya tidak mahu komen apa-apa sehingga ada makluman yang seterusnya,” katanya.

    Isnin lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ketika mengadakan lawatan ke Melaka memberi bayangan struktur pentadbiran kerajaan negeri Melaka akan berubah susulan pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri yang dijangka selewat-lewatnya Jun ini.

    Beliau berkata, meskipun Melaka sudah melalui proses PRN lebih awal, namun negeri yang kini diterajui oleh Sulaiman belum lagi membentuk Kerajaan Madani seperti yang dilaksanakan di peringkat Persekutuan.

    Usaha petugas media menunggu Sulaiman kira-kira tiga jam di pejabatnya di Kompleks Seri Negeri gagal apabila beliau terus pulang ke kediaman rasminya selepas selesai Mesyuarat Exco Mingguan, hari ini.

    politik melaka, ketua menteri bertukar, Sulaiman Md Ali, Ab Rauf Yusoh,

  • ‘Perubahan pasti akan berlaku bila tiba waktu’ – KM Melaka

    ‘Perubahan pasti akan berlaku bila tiba waktu’ – KM Melaka

    KETUA Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali menganggap spekulasi kononnya bakal berlaku perubahan pada corak pimpinan di negeri itu ketika ini, hanya perkara biasa dalam dunia politik.

    Katanya, tiada yang akan kekal dalam landskap politik negara yang mana perubahan pasti akan berlaku samada cepat atau lambat.

    “Maaf, saya enggan ulas mengenai desas-desus perubahaan kerajaan Negeri ketika ini.

    “Bagi saya, ini perkara biasa dalam dunia politik, perubahan pasti akan berlaku bila tiba waktunya nanti,” katanya seperti dilaporkan Astro Awani, hari ini

    Terdahulu, media melaporkan, spekulasi kini bertiup kencang mendakwa, kerajaan negeri Melaka yang diterajui UMNO bakal tumbang pada bila-bila masa.

    Ini berikutan empat ADUN kerajaan dikatakan akan melompat ke Pakatan Harapan (PH) dan difahamkan, keempat-empat ADUN berkenaan sudah menandatangani Akuan Bersumpah (SD).

    Empat wakil rakyat yang disebut-sebut ialah bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas – Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (BERSATU-Telok Mas).

    Untuk rekod kerajaan Melaka dipimpin Sulaiman selepas PN mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri daripada Pakatan Harapan (PH) yang tumbang Mac tahun lalu.

    Kerajaan negeri mempunyai 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala pembangkang pula 11.

  • Langkah tepat kekalkan jemaah menteri terdahulu

    Langkah tepat kekalkan jemaah menteri terdahulu

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengambil langkah tepat apabila mengekalkan sebahagian besar menteri dan timbalan menteri daripada kerajaan terdahulu, kata Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali.

    Sulaiman berkata, keputusan itu penting bagi memastikan kelancaran dan kesinambungan segala pelan perancangan serta inisiatif yang telah dan sedang dilaksanakan untuk menyelesaikan cabaran pandemik Covid-19.

    Ia termasuk usaha memulihkan ekonomi negara, mengekalkan kestabilan, menjamin kelangsungan hidup rakyat serta mengembalikan semula keyakinan pelabur dapat dilakukan dengan lebih pantas serta berkesan.

    “Bagi pihak kerajaan negeri, saya menzahirkan ucapan menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah kerana telah memperkenan senarai anggota jemaah menteri Persekutuan baharu.

    “Tindakan Perdana Menteri mengekalkan sebahagian besar ahli jemaah menteri Persekutuan dalam Kabinet Persekutuan yang baharu ini dianggap sebagai langkah tepat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

    Selain itu, ujar Sulaiman, pelantikan beberapa muka baharu yang dilihat berpengalaman juga dapat membantu Perdana Menteri dalam memperkasakan lagi fungsi dan peranan Kabinet Persekutuan sebagai pasukan pengurusan yang tertinggi serta utama.

    “Saya berharap dan mendoakan semoga Allah memberi kejayaan kepada Keluarga Malaysia dan merahmati pertiwi bertuah ini,” katanya.