Tag: Ketua Hakim Negara

  • Tugas sudah kami selesai, terpulang kepada Najib fail petisyen ke PBB

    Tugas sudah kami selesai, terpulang kepada Najib fail petisyen ke PBB

    PETISYEN difailkan Datuk Seri Najib Tun Razak kepada Kumpulan Kerja Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Berkaitan Penahanan Arbitrari (UNWGAD), yang memohon agar beliau dibebaskan daripada penjara atau kes membabitkan dana SRC International Sdn Bhd dihadapinya dibicarakan semula, tidak menjejaskan badan kehakiman.

    Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat berkata selepas Mahkamah Persekutuan menyampaikan keputusannya pada 23 Ogos tahun lepas, “terserahlah kepada Najib” untuk mengambil apa-apa tindakan.

    “Tugas kami sudah selesai. Kami telah melaksanakan tanggungjawab kami dari segi memutuskan kes itu. Apa sahaja yang beliau mahu lakukan, apa sahaja jalan yang beliau mahu lalui, itu di luar kuasa kami,” kata beliau pada sidang media selepas berucap pada majlis perasmian Tahun Undang-undang 2023, di Putrajaya hari ini.

    Minggu lepas, bekas perdana menteri, melalui Tetuan Shafee & Co, memfailkan petisyen di pejabat Suruhanjaya Tinggi Geneva secara digital.

    Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memberitahu sidang akhbar bahawa anak guamnya memfailkan petisyen itu untuk memohon pembebasan atau perbicaraan semula susulan pendengaran rayuan di Mahkamah Persekutuan yang didakwanya mempunyai kecacatan serius dan bercanggah dengan peraturan keadilan antarabangsa.

    Najib kini menjalani hukuman penjara 12 tahun di Penjara Kajang selepas gagal dalam rayuan terakhirnya di Mahkamah Persekutuan untuk mengetepikan sabitan, hukuman penjara dan denda RM210 juta kerana menyalahgunakan RM42 juta dana SRC International. – BERNAMA

  • Ketua hakim ketuai panel lima hakim dengar rayuan Najib,kemuka bukti baharu dana SRC

    Ketua hakim ketuai panel lima hakim dengar rayuan Najib,kemuka bukti baharu dana SRC

    KETUA Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat dan empat hakim lain sedang mendengar permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengemukakan bukti tambahan dalam kes penyelewengan SRC International Sdn Bhd yang dihadapinya bagi membatalkan perbicaraan yang menyaksikan dia disabitkan kesalahan serta dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.

    Hakim Tengku Maimun mengetuai panel lima hakim Mahkamah Persekutuan semasa prosiding bermula pada 9.48 pagi.

    Hakim lain ialah Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan hakim-hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Nallini Pathmanathan, Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah.

    Hari ini, mahkamah dijadual mendengar permohonan Najib untuk mengemukakan bukti baharu dalam kes SRC dalam usaha bekas perdana menteri itu untuk mendapatkan perbicaraan semula.

    Bukti tambahan yang cuba dikemukakan oleh Najib adalah berkaitan penemuan baru-baru ini bahawa hakim perbicaraan Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali adalah peguam dan setiausaha syarikat bagi Kumpulan Maybank pada 2006, yang mempunyai tanggungjawab keseluruhan muktamad dalam pengurusan dan pentadbiran semua jabatan undang-undang dalam seluruh kumpulan.

    Sekiranya Najib gagal dalam permohonan ini, Mahkamah Persekutuan dijangka meneruskan pendengaran rayuan Najib terhadap sabitan kesalahan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta yang dikenakan ke atasnya oleh Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu Mohd Nazlan pada 28 Julai, 2020.

    Najib, 69, diwakili peguam Hisyam Teh Poh Teik, Datuk Zaid Ibrahim, Liew Teck Huat dan M. Rueben, manakala pasukan pendakwaan diketuai oleh Pendakwa Raya ad hoc Datuk V. Sithambaram dengan dibantu oleh Timbalan Pendakwa Raya Donald Joseph Franklin, Sulaiman Kho Kheng Fuei, Mohd Ashrof Adrin Kamarul dan Manjira Vasudevan.- BERNAMA

  • Tuduhan konspirasi politik libatkan Ketua Hakim Negara tidak benar

    Tuduhan konspirasi politik libatkan Ketua Hakim Negara tidak benar

    PEJABAT Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan (PKPMP) telah membuat laporan polis berhubung tuduhan-tuduhan wujudnya konspirasi, pakatan sulit atau pakatan haram, antara pemimpin politik dan Ketua Hakim Negara untuk mempercepatkan kes dan jatuh hukum Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

    PKPMP dalam kenyataan hari ini menyatakan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, tidak pernah berkomunikasi dengan atau dihubungi oleh mana-mana pemimpin politik berhubung dengan kes-kes mahkamah yang melibatkan bekas perdana menteri (Najib) dan presiden UMNO (Ahmad Zahid).

    “Sehubungan itu, satu laporan polis telah dibuat oleh pejabat ini, menafikan tuduhan-tuduhan wujudnya konspirasi, pakatan sulit atau pakatan haram, antara pemimpin politik dan Ketua Hakim Negara,” menurut kenyataan itu.

    Pejabat itu merujuk kepada satu hantaran di laman Facebook Shahir Samad-Tok Uban bertarikh 20 April lepas, yang di antaranya menuduh Ketua Hakim Negara telah bersetuju membantu mempercepatkan kes dan jatuh hukum Najib dan Ahmad Zahid.

    Kenyataan itu menyebut kes-kes yang belum selesai di mahkamah, perlu berjalan dan diteruskan mengikut undang-undang tanpa sebarang campur tangan oleh Ketua Hakim Negara atau orang lain.

    “Pejabat ini menegaskan bahawa pihak yang bertanggungjawab membuat dan menyebarkan tuduhan-tuduhan tersebut, adalah bertujuan untuk memburukkan imej dan menyebabkan orang awam hilang kepercayaan terhadap badan kehakiman.

    Selain itu, tuduhan-tuduhan ini bertujuan untuk menjatuhkan pentadbiran keadilan dari segi perbicaraan kes yang belum selesai, terhadap Najib dan Ahmad Zahid.

    Pada 28 Julai 2020, Mahkamah Tinggi telah menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas Najib selepas mendapatinya bersalah menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

    Kes itu kini di peringkat rayuan di Mahkamah Persekutuan setelah Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan dan hukuman oleh Mahkamah Tinggi dan menolak rayuan Najib.

    Manakala, Ahmad Zahid telah diarahkan oleh Mahkamah Tinggi pada 24 Jan lepas untuk membela diri atas 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah, pengubahan wang haram melibatkan dana Yayasan Akalbudi (YAB).

    Ahmad Zahid telah memilih untuk membela diri melalui keterangan bersumpah daripada kandang saksi dan telah mengemukakan keterangannya pada 13 April lepas.

    Kes Ahmad Zahid bersambung 23 Mei. – BERNAMA