Tag: Ketua Bahagian UMNO

  • Mahdzir satu-satunya calon Ketua Bahagian UMNO menang tanpa bertanding di Kedah

    Mahdzir satu-satunya calon Ketua Bahagian UMNO menang tanpa bertanding di Kedah

    Oleh RIZQI ZABIDI

    NAIB Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid merupakan satu-satunya calon Ketua UMNO Bahagian di Kedah yang tidak dicabar dalam pemilihan kali ini sekali gus membolehkannya menang tanpa bertanding.

    Mahdzir yang merupakan bekas Ahli Parlimen Padang Terap kekal memegang jawatan sebagai Ketua UMNO Bahagian Padang Terap dan akan dibantu Timbalannya, Datuk Ghazali Ibrahim yang juga menang tanpa bertanding.

    Menurut Setiausaha Kerja Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Ariffin Man, 14 bahagian lain di Kedah bakal menyaksikan pertandingan dua dan empat penjuru.

    “Bagi jawatan Timbalan Ketua UMNO Bahagian pula, selain Ghazali, terdapat tiga individu lain yang menang tanpa bertanding iaitu saya sendiri di Pokok Sena, Syed Hafiz Syed Mustafa di Alor Setar, Datuk Khairul Azhar Abdullah di Baling,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat UMNO Kedah dekat Bangunan Tunku, Alor Setar di sini,” katanya.

    Selain Mahdzir yang menang tanpa bertanding katanya, 10 lagi ketua bahagian telah pun menghantar borang untuk bertanding bagi mengekalkan jawatan masing-masing.

    Antara mereka yang berbuat demikian adalah Datuk Mohd. Tajuddin Abdullah akan mempertahankan jawatan Ketua Bahagian di Sik diikuti Annuar Ahmad di Merbok, Datuk Shahanim Mohamad Yusoff di Sungai Petani, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim di Baling, Datuk Asmaidi Abu Talib di Padang Serai dan Datuk Abdul Muhar Hussin di Kulim-Bandar Baharu.

    Selain itu, penyandang ketua bahagian lain yang turut berhasrat mempertahankan jawatan masing-masing adalah Datuk Othman Aziz di Jerlun, Datuk Said Ali Syed Rastan di Pokok Sena, Datuk Suraya Yaacob di Pendang serta Datuk Seri Jamil Khir Baharom di Jerai.

    “Terdapat empat bahagian di Kedah yang penyandang Ketua Bahagian tidak kembali berada dalam pertandingan iaitu Langkawi, Kuala Kedah, Kubang Pasu dan Alor Setar.

    “Justeru itu, jawatan tersebut bakal ditandingi oleh pemangku ketua bahagian dan muka-muka baharu serta individu berpengalaman yang membuat penampilan semula,” katanya.

    Ketua UMNO Bahagian Langkawi, Datuk Ir. Nawawi Ahmad dan Ketua UMNO Bahagian Kuala Kedah, Datuk Hashim Jahaya meninggal dunia tahun lalu manakala Ketua UMNO Bahagian Alor Setar, Datuk Mohd Yusof Ismail digantung dari parti sebelum ini.

    Difahamkan Ketua UMNO Bahagian Kubang Pasu, Datuk Zaini Japar mengambil keputusan untuk tidak mempertahankan jawatan tersebut atas faktor kesihatan.

    Sementara itu Ariffin memaklumkan, secara keseluruhannya terdapat 37 individu menawarkan diri untuk bertanding jawatan ketua di 15 Bahagian UMNO dalam negeri ini.

    Menurutnya, beberapa individu berpengalaman turut membuat penampilan semula antaranya bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah serta bekas Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohd. Johari Baharom yang sah bertanding sebagai Ketua Bahagian UMNO Alor Setar dan Kubang Pasu.

    Selain itu bekas Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Abdul Rahman Ariffin turut kembali untuk merebut jawatan Ketua UMNO Bahagian Jerlun dari bekas Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Othman Aziz.

    “Bekas Ketua UMNO Bahagian Sungai Petani, Datuk Mejar Abdul Rahim Saad turut mengesahkan untuk kembali bertanding menentang Datuk Shahanim Mohamad Yusoff bagi jawatan itu. Di Padang Serai juga, bekas Ketua Bahagian Abdul Rahman Mahamud akan kembali merebut jawatan itu dari penyandang, Datuk Asmaidi Abu Talib.

    “Bekas Ahli Parlimen Sik, Dr. Mansor Abd. Rahman turut menghantar borang untuk mencabar jawatan Ketua UMNO Bahagian Sik dari penyandang, Dr. Mohd Tajuddin Abdullah. Selain kedua-dua mereka, jawatan tersebut turut ditandingi oleh bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri, Mahadzir Abdul Hamid serta Datuk Mohd. Kizri Abu Kasim,” katanya.

    Antara individu lain yang turut merebut jawatan Ketua Bahagian UMNO di Kedah adalah anak Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Mohd. Nazifuddin Najib yang bertanding Ketua UMNO Bahagian Langkawi serta Timbalan Presiden Kelab Penyokong Perpaduan Ummah, Zamil Ibrahim.

  • ‘Kesabaran kami sudah maksimum, Zahid wajib letak jawatan segera’ – Annuar

    ‘Kesabaran kami sudah maksimum, Zahid wajib letak jawatan segera’ – Annuar

    GESAAN menuntut Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meletakkan jawatan sebagai Presiden UMNO terus kedengaran daripada ahli-ahli parti itu selepas kekalahan besar Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Terbaharu, beberapa Ketua Bahagian UMNO, berkumpul hari ini di Ibu Pejabat UMNO, Pusat Dagangan Dunia (WTC), di ibu negara, sejurus Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat pengumuman kerjasama yang bakal dijalinkan dengan Barisan Nasional (BN) untuk membentuk kerajaan pusat.

    Antara Ketua Bahagian yang membuat desakan itu ialah Ketua Bahagian Ketereh Tan Sri Annuar Musa; Ketua Bahagian Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman; Ketua Bahagian Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif; Ketua Bahagian Batu, Datuk Yahya Mat Ghani dan beberapa pemimpin lain.

    Menurut Annuar, kesabaran yang telah diberikan untuk patuh segala kehendak Zahid telah dituruti sehingga di saat-saat terakhir.

    Sehubungan itu tegas Annuar, Ahli Parlimen Bagan Datuk tersebut perlu mengikut tradisi serta mengambil tanggungjawab terhadap kekalahan terburuk BN dalam PRU15 dengan meletak jawatan sebagai Presiden UMNO dan Pengerusi BN.

    Beliau menegaskan, tindakan itu penting untuk dilakukan Ahmad Zahid dalam memastikan proses pemulihan dalam UMNO dan BN mampu dilakukan seberapa segera.

    Malah katanya, pendirian yang dibuat oleh parti itu serta akar umbi sebelum sebelum ini telah bercanggah dengan naratif yang cuba dirintis oleh Zahid ketika ini.

    “Kenapa UMNO mesti merangkak untuk mengangkat DAP menjadi kerajaan?

    “Kami terpaksa membuat pendirian kerana pemimpin telah terbuka nak mengangkat DAP menjadi kerajaan, PH jadi kerajaan dengan Anwar menjadi Perdana Menteri… kami tak boleh diam diri lagi,” kata Annuar dalam sidang media, hari ini.

    Dalam pada itu, majoriti Ketua Bahagian UMNO setakat ini menentang hasrat untuk menjalinkan kerjasama dengan PH.

    Kebanyakan mereka, jelas Annuar, redha dengan kekalahan UMNO/BN dalam PRU-15 dan rela menjadi pembangkang.

    Tegas Annuar, jika kengganan Zahid berterusan hanya akan memaksa ahli UMNO melakukan tindakan luar dugaan untuk memaksanya berundur.

    “Dalam UMNO kita ada pilihan-pilihan tertentu untuk itu, namun pada tahap ini tidaklah perlu dan lebih baik dia undur diri sekarang,” kata Annuar lagi, lapor Astro Awani.

    Annuar turut memberitahu, ketua-ketua bahagian akan mengadakan siri perbincangan selepas ini bagi menentukan hala tuju terbaik parti itu.

    Kata beliau lagi, kesabaran ahli-ahli UMNO ketika ini sudah sampai ke tahap maksimum dan Zahid perlu mendengar suara majoriti ahli parti.