Tag: keterangan

  • ‘Jom Ziarah Gereja’: Hannah Yeoh tampil beri keterangan

    ‘Jom Ziarah Gereja’: Hannah Yeoh tampil beri keterangan

    MENTERI Belia dan Sukan Hannah Yeoh hari ini hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di sini bagi membantu siasatan berkaitan penganjuran program ‘Jom Ziarah Gereja’ oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bernaung di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

    Beliau tiba di IPD Sentul bersama peguamnya, Sangeet Kaur Deo kira-kira pukul 5.30 petang.

    Ahli Parlimen Segambut itu berkata beliau memberikan kerjasama penuh kepada siasatan polis dan keterangannya konsisten seperti yang dijawab dalam Parlimen minggu lepas berkaitan program berkenaan.

    “Saya hadir selepas membaca berita bahawa saya dipanggil untuk memberi keterangan hari ini dan tidak mahu membuang masa,” katanya kepada pemberita di hadapan IPD Sentul di sini, hari ini.

    Beliau turut berharap polis dapat melengkapkan kertas siasatan berhubung kes itu.

    Ketua Polis Daerah Sentul ACP Beh Eng Lai ketika dihubungi mengesahkan Hannah telah hadir memberi keterangan hari ini bagi membantu siasatan.

    Semalam Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim dilaporkan berkata satu kertas siasatan dibuka berhubung penganjuran program itu walaupun program berkenaan telah dibatalkan.

    Program ‘Jom Ziarah Gereja’ adalah inisiatif di bawah Projek Artikel 11 diterajui Impact Malaysia iaitu sebuah NGO yang bernaung di bawah KBS.

    Selasa lepas, ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2023 bagi Kementerian Belia dan Sukan di Dewan Rakyat, Hannah menjelaskan bahawa program ‘Jom Ziarah Gereja’ tidak melibatkan individu beragama Islam. – BERNAMA

  • Jana Wibawa: Bekas Timbalan Pendaftar Mahkamah ditahan SPRM

    Jana Wibawa: Bekas Timbalan Pendaftar Mahkamah ditahan SPRM

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang bekas Timbalan Pendaftar Mahkamah, kerana disyaki bersubahat meminta wang suapan berjumlah kira-kira RM2 juta, bagi membantu menyelesaikan kes siasatan SPRM terhadap seorang ahli perniagaan yang dituduh berkaitan projek Jana Wibawa.

    Sumber berkata suspek lelaki berusia lingkungan 50-an itu, dipercayai meminta suapan tersebut sebagai balasan antaranya untuk meminta pihak SPRM menukar keterangan tertuduh kepada saksi, dan menukar pertuduhan rasuah kepada pertuduhan alternatif.

    Beliau berkata suspek ditahan kira-kira 9.30 malam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Kuala Lumpur semalam.

    “Suspek pernah bertugas sebagai Timbalan Pendaftar Mahkamah di Putrajaya, sebelum bersara pada Disember 2021,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurut sumber, Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin membenarkan individu tersebut direman tiga hari bermula hari ini sehingga Isnin, selepas pihak SPRM membuat permohonan tersebut di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi tadi.

    Sementara itu, Pengarah SPRM Kuala Lumpur Razaliah Ab Rahman ketika dihubungi, mengesahkan penahanan tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 16 (a)(A) Akta SPRM 2009. – BERNAMA