Tag: keselamatan

  • Air pasang besar: Enam beranak bermalam dalam kereta

    Air pasang besar: Enam beranak bermalam dalam kereta

    BIMBANG laluan ke rumahnya terjejas akibat fenomena air pasang di sebuah perkampungan atas air di Sandakan, sebuah keluarga enam beranak mengambil langkah bermalam dalam kereta sebagai langkah keselamatan malam tadi.

    Riden Abdul Mutalib, 43, berkata dia sekeluarga keluar rumah yang berkedudukan hampir dengan kawasan darat di Kampung Forest kira-kira 9 malam apabila mendapati paras air laut mulai meningkat.

    “Kami risau jambatan (ke rumah) roboh nanti, susahlah kami turun (keluar rumah).

    “Sudahlah banyak rumah di laut sudah roboh (malam Sabtu lepas). Jadi, tiada lampu di sana,” katanya ketika ditemui di kampung itu.

    Riden berkata dia sekeluarga memilih untuk tidak berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Sungai Anib 2 kerana mahu menyelamatkan barang lain milik keluarganya tetapi pihak keselamatan hanya membenarkannya pulang ke rumah apabila paras air telah surut.

    “Mana yang kita boleh selamatkan, kita selamatkanlah…kita sangkakan tiada lagi air pasang kembali begini dalam,” katanya.

    Seorang lagi penduduk Kampung Forest Zulaikah Ali, 23, berkata dia sekeluarga juga memilih tidak berpindah ke PPS malam tadi sebaliknya menumpang rumah saudara yang berada pada paras kedudukan tinggi.

    Jelasnya, insiden pecah masuk rumah di kawasan itu menjadi kebimbangan penduduk setiap kali sesuatu bencana berlaku.

    Meskipun rumahnya tidak terjejas teruk oleh air pasang, dia berkata bekalan elektrik di kampung itu dimatikan sebagai langkah keselamatan susulan kejadian Sabtu lepas manakala seorang bapa saudaranya bertindak tinggal untuk menjaga rumah bagi mengelakkan pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan.

    Pada malam 24 Dis lepas, kira-kira 100 rumah di Kampung Forest roboh akibat fenomena air pasang besar.

    Setakat ini, sebanyak 684 orang melibatkan 122 keluarga ditempatkan di PPS SK Sungai Anib 2. – BERNAMA

  • Keselamatan: Kedaulatan, pencegahan jenayah antara fokus utama RMK-12

    Keselamatan: Kedaulatan, pencegahan jenayah antara fokus utama RMK-12

    LANGKAH bagi memperkukuh keselamatan dan ketenteraman awam untuk tempoh lima tahun akan datang akan ditumpu kepada menambah baik usaha mencegah jenayah, membanteras penyalahgunaan dan pengedaran dadah, serta mengekang pemerdagangan orang.

    Selain itu, langkah juga akan diambil untuk menambah baik respons dan kesiapsiagaan menghadapi kecemasan, demikian menurut dokumen Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang dikeluarkan Unit Perancang Ekonomi.

    RMK-12 dibentang Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Dewan Rakyat hari ini.

    Menurut dokumen itu, usaha mencegah jenayah akan terus dipergiat melalui pelaksanaan pelbagai program yang melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), sektor swasta dan rakyat, selain meningkatkan kesedaran mengenai pencegahan jenayah menerusi kempen dan program kesedaran awam melalui media sosial.

    “Penglibatan agensi keselamatan dan penguatkuasaan akan dipergiat terutama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan PDRM, dalam mengekang ancaman jenayah siber seperti Macau Scam, penipuan e-dagang dan perjudian dalam talian,” demikian menurut dokumen itu.

    Selain itu, undang-undang berkaitan dadah akan disemak semula bagi memperluas definisi dadah dan bahan terlarang bagi merangkumi bahan psikoaktif baharu (NPS) dan ketum, dan peruntukan undang-undang berkaitan akan dipinda supaya penagih yang tidak terlibat dengan jenayah, tidak disenarai dalam daftar penjenayah.

    Pendekatan bagi membendung pemerdangangan manusia pula akan merangkumi pencegahan dan pendakwaan pemerdagangan orang, serta perlindungan kepada mangsa selaras dengan ‘United Nations Convention againts Transnasional Organised Crime’ (Palermo Protocol) dan indikator menyeluruh akan dibangunkan untuk mengenal pasti mangsa dan melapor jenayah berkenaan.

    Mengenai pengurusan dan operasi penjara, dokumen itu menyebut pelan yang menyeluruh akan dirangka untuk menambah baik pusat tahanan serta program pemulihan dan koreksional, dengan keupayaan dan kemampuan anggota penjara akan dipertingkat untuk menyokong usaha itu.

    “Pesalah dadah di bawah Seksyen 15 Akta Dadah Berbahaya 1952 ditempatkan secara berasingan dengan banduan lain. Alternatif pemenjaraan pula akan diperluas dengan mengadakan lebih banyak program percubaan dan pemulihan dalam komuniti,” menurut dokumen itu.

    Untuk langkah menambah baik kesiapsiagaan menghadapi kecemasan pula, dokumen itu menyebut fasiliti dan aset akan dinaik taraf bagi meningkatkan keupayaan agensi dalam menyediakan perkhidmatan kecemasan, termasuk menggalakkan penyertaan sukarelawan komuniti setempat dalam Pasukan Tindakan Kecemasan Pertahanan Awam (CDERT-C) yang akan dilatih untuk diiktiraf sebagai ahli tindak balas kecemasan.

    “Sistem panggilan kecemasan dan Sistem Penggera Awam akan dinaik taraf untuk mempercepat masa respons dan perkhidmatan bomba sukarela akan diperluas ke kawasan FELDA,” menurut dokumen itu. – BERNAMA

  • Lebih 3,600 insiden ancaman keselamatan siber setakat April – ATM

    Lebih 3,600 insiden ancaman keselamatan siber setakat April – ATM

    Lebih 3,600 insiden ancaman keselamatan siber dilaporkan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini, kata Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Affendi Buang.

    Beliau berkata angka yang tinggi itu membimbangkan perancang dan pengamal pertahanan.

    “Berikutan kewujudan dan kemunculan bahaya tersebut, pihak kerajaan dan ATM telah mempertingkat kapasiti keselamatan siber masing-masing dalam meramal, mengesan, mencegah dan bertindak terhadap ancaman ini.

    “Seperti kita sedia maklum usaha mengekang ancaman siber ini bukanlah murah, berikutan teknologi dan modus operandi pelanggaran keselamatan siber berkembang dengan begitu pantas, melampaui masa yang diambil untuk melaksanakan langkah memeranginya,” katanya.

    Affendi berkata demikan dalam ucaptamanya menerusi  seminar bertajuk “It Is Safe To Outsource Cyber Security Outside Your Borders?” (Adakah Selamat Untuk Penyumberluaran Keselamatan Siber di Luar Sempadan) anjuran Defence Services Asia (DSA) menerusi aplikasi Zoom, hari ini. 

    Beliau berkata kerajaan Malaysia telah memperuntukkan RM1.8 bilion untuk mentransformasikan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) bagi menangani ancaman tersebut, selari dengan aspirasi Strategi Keselamatan Siber Malaysia 2020-2024.

    Katanya, penilaian NACSA dalam Strategi Keselamatan Siber Malaysia 2020-2024 itu telah menjangkakan berlakunya peningkatan ancaman siber.

    Justeru, bagi menangani isu berkenaan, Affendi berkata ATM telah menubuhkan Bahagian Siber dan Elektromagnetik Pertahanan (BSEP) selaras dengan Kertas Putih Pertahanan, sebagai sebahagian daripada langkah untuk memastikan keupayaan menghadapi ancaman siber.

    Beliau berkata kerajaan dan agensi-agensi keselamatan lebih cenderung memilih untuk mengekalkan langkah keselamatan siber dalam lingkungan sempadan nasional, dalam mematuhi undang-undang dan strategi keselamatan siber negara, bagi membolehkan pihak tersebut mempunyai kawalan yang lebih baik ke atas persekitaran dan infrastruktur.

    “Sedia maklum, perang dingin moden berlaku dalam talian pada masa kini, dalam keseluruhan persekitaran kerajaan secara kaedah perang hibrid. Oleh yang demikian, menggunakan sumber luar untuk menjaga keselamatan siber berisiko mendedahkan negara kepada bahaya,” tambahnya.- BERNAMA

  • PDRM jamin keselamatan, ketenteraman awam negara terkawal – KPN

    PDRM jamin keselamatan, ketenteraman awam negara terkawal – KPN

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) memberi jaminan bahawa keselamatan dan ketenteraman awam negara terkawal susulan situasi semasa politik negara.

    Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata sehubungan itu orang ramai diminta tidak gusar dan membuat sebarang spekulasi kerana PDRM akan memastikan keselamatan negara kekal berada pada tahap selamat selain meningkatkan pemantauan bagi menjamin kesejahteraan masyarakat.

    “PDRM sentiasa memantau senario keselamatan semasa dan akan mengambil tindakan tegas jika terdapat mana-mana pihak menggunakan apa jua medium yang boleh menimbulkan hasutan dan menggugat ketenteraman awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Pada masa sama orang ramai diminta agar sentiasa mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam menjalani kehidupan harian, sebagai usaha bersama membendung penularan wabak COVID-19.

    Hari ini Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan sebagai Perdana Menteri kelapan selepas 17 bulan memegang jawatan itu.- BERNAMA