Tag: kesalahan

  • 4 individu ditahan, 8 kertas siasatan dibuka berkaitan PRU-15 – PDRM

    4 individu ditahan, 8 kertas siasatan dibuka berkaitan PRU-15 – PDRM

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) menahan empat individu iaitu seorang di Selangor dan tiga di Sarawak kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan berkaitan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), semalam.

    Pengarah Operasi PRU15 PDRM Datuk Seri Hazani Ghazali yang juga Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman dalam kenyataan hari ini berkata PDRM juga telah membuka lapan kertas siasatan berkaitan PRU15.

    Ia melibatkan siasatan di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan (KK) kerana fitnah, Seksyen 447 KK kerana menceroboh, Seksyen 506 KK melakukan ugutan jenayah dan Seksyen 147 KK kerana merusuh.

    Selain itu adalah Seksyen 233 (1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKMM), Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam (PPPA) 2016, Seksyen 24(B)(10) Akta Pilihan Raya 1955 dan Seksyen 24(A)(2) Akta Pilihan Raya 1954.

    Hazani berkata antara yang dibuka kertas siasatan itu adalah dua di Selangor mengikut Seksyen 500 KK, Seksyen 447 KK, Seksyen 233 AKMM 1998 dan Seksyen 143(1) PPPA 2016, satu di Pulau Pinang mengikut Seksyen 24(B)(10) Akta Pilihan Raya 1955 dan satu di Pahang di bawah Seksyen 506 KK.

    Hazani berkata bagi permit ceramah pula, PDRM telah mengeluarkan sebanyak 289 permit iaitu 52 permit di Perak, Johor (47), Selangor (32), Kedah (29), Sabah (28), Sarawak (22), Pulau Pinang (18), Negeri Sembilan (15), Pahang dan Melaka masing-masing (14), Terengganu (tujuh), Kelantan (enam), Perlis (tiga) dan Kuala Lumpur (dua).

    “Sebanyak 19 ceramah tidak berpermit dikesan, dengan di Selangor mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 11 kes, Perak (lima), Pahang (satu), dan Terengganu (dua),” katanya.

    Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 19 Nov sebagai hari pengundian bagi PRU15 manakala pengundian awal pada 15 Nov. – BERNAMA

  • Tommy Thomas dipercayai lakukan empat kesalahan

    Tommy Thomas dipercayai lakukan empat kesalahan

    PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas, dipercayai melakukan empat kesalahan berdasarkan siasatan terhadap kandungan buku memoir ‘My Story: Justice In the Wildernes’, yang ditulisnya.

    Beliau berkata kesalahan itu melibatkan di bawah Kanun Keseksaan, Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Akta Rahsia Rasmi (OSA).

    “Untuk tindakan, kita ada empat kesalahan yang dijangka dia melakukan kesalahan…ini kita serah kepada pihak berkuasa berkaitan, kalau kes SPRM, SPRM akan siasat, kalau Kanun Keseksaan, pihak polis akan siasat,” katanya ketika ditanya mengenai perkembangan siasatan terhadap bekas peguam negara itu.

    Ismail Sabri berkata laporan siasatan ke atas memoir Thomas yang disediakan pasukan petugas khas, telah dinyahklasifikasikan dan sesiapa sahaja boleh melihat laporan tersebut, melalui laman sesawang Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri.

    Ismail Sabri berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri taklimat khas sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan Monsun Timur Laut 2022, di Bukit Aman di sini hari ini.

    Ditanya tindakan Pakatan Harapan yang tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berkenaan isu Thomas itu, Ismail Sabri berkata beliau tidak pasti mengapa mereka ‘berdiam diri’.

    “Saya tak tahu kenapa diam. Biasanya kalau dia rasa bersalah dia diam, tetapi saya pun tak tahu dalam kes ini kenapa (diam),” katanya.

    Buku yang diterbitkan pada Januari 2021, telah menimbulkan kekecohan pelbagai pihak hingga mengakibatkan kira-kira 244 laporan dibuat oleh individu mahupun kumpulan terhadap Thomas dan buku itu.- BERNAMA