Tag: kes SRC

  • Penolakan semakan keputusan SRC tak jejas kes 1MDB Najib, kata peguam

    Penolakan semakan keputusan SRC tak jejas kes 1MDB Najib, kata peguam

    PIHAK pendakwaan mahupun pembelaan dilihat tidak mungkin berkompromi dalam prosiding jenayah berkaitan kes 1MDB terhadap Datuk Seri Najib Razak, kata seorang peguam dan bekas timbalan pendakwa raya (TPR).

    Memetik laporan Free Malaysia Today, mereka berkata, peguam negara yang juga pendakwa raya, akan meneruskan semua pertuduhan yang dikenakan dalam tempoh lima tahun lalu, manakala Najib dijangka melawan semua kes itu bagi membuktikan beliau tidak bersalah.

    Bekas TPR kanan, Stanley Isaacs berkata, pengesahan terhadap sabitan Najib oleh Mahkamah Persekutuan minggu lalu bermakna tiada sebab untuk pihak pendakwaan menghentikan atau menarik balik pertuduhan lain yang belum selesai terhadapnya.

    “Apabila seseorang dihadapkan atas pertuduhan di mahkamah, bermakna peguam negara atau TPR berpuas hati terdapat bukti mencukupi untuk mendakwa dan sehingga 90% yakin untuk mendapatkan sabitan,” katanya kepada FMT.

    Tambahan, katanya, pertuduhan yang dihadapi Najib berdasarkan fakta dan merit mereka sendiri, justeru ia perlu diambil melalui kesimpulan logik mereka.

    “Melakukan sebaliknya akan menimbulkan kebimbangan orang ramai dan persoalan negatif mengenai integriti penggunaan kuasa pendakwaan oleh peguam negara,” katanya.

    Isaacs, yang juga bekas ketua pendakwaan, berdasarkan pandangannya terhadap tradisi dipegang di Jabatan Peguam Negara berkata, sebaik saja kes bermula, setiap prosiding jenayah mesti diteruskan sehingga selesai, dan diserahkan kepada hakim untuk membuat keputusan.

    Katanya, jika Najib disabitkan, terpulang kepada tertuduh atau pendakwaan untuk mencadangkan hakim perbicaraan memerintahkan sebarang hukuman penjara tambahan dijalankan serentak dengan tempoh hukuman sedia ada.

    Beliau mengulas sama ada pihak pendakwaan mungkin menarik balik pertuduhan terhadap Najib, jika beliau mengaku bersalah bagi memudahkan proses pengampunan.

    Pada 23 Ogos 2022, panel lima hakim Mahkamah Persekutuan mengesahkan sabitan dan hukuman Najib dalam kes rasuah SRC International.

    Dalam keputusan majoriti 4-1 minggu lalu, mahkamah tertinggi menolak permohonan semakan Najib, bermakna beliau akan terus menjalani hukuman penjara 12 tahun yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi pada akhir perbicaraannya pada Julai 2020.

    Najib juga boleh didenda RM210 juta atau tambahan penjara lima tahun, jika ingkar.

    Peguam Kitson Foong berkata, peguam negara tidak akan menarik balik pertuduhan yang dibicarakan di mahkamah secara sukarela.

    Katanya, peguam negara boleh menggunakan budi bicaranya selepas representasi bertulis dibuat tertuduh untuk mengkaji semula pertuduhan berdasarkan perkembangan baharu.

    Beliau berkata, tidak mungkin Najib akan “bertindak sebaliknya” dan mengaku bersalah atas mana-mana pertuduhan kerana beliau mengekalkan pengakuan tidak bersalahnya dalam semua prosiding jenayah setakat ini.

    Peguam Zainur Zakaria berkata, tidak mungkin Lembaga Pengampunan akan menasihatkan Yang di-Pertuan Agong memberi pengampunan kepada Najib kerana kes jenayah masih berterusan.

    “Biasanya permohonan untuk pengampunan akan dipertimbangkan hanya selepas kes di mahkamah selesai,” katanya sambil menambah beliau tidak menemui sebarang petisyen yang dipertimbangkan secara berperingkat.

    Najib berdepan 25 pertuduhan pengubahan wang dan salah guna kuasa ke atas dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion.

    Seramai 40 saksi sudah memberi keterangan dan pihak pendakwaan akan menutup kesnya dengan memanggil 10 saksi lagi.

    Beliau juga didakwa bersama bekas ketua setiausaha Perbendaharaan, Irwan Serigar Abdullah atas enam pertuduhan menyeleweng RM6.64 bilion dana awam untuk membuat pembayaran kepada International Petroleum Investment Co.

    Selain itu, Najib juga didakwa atas tiga pertuduhan pengubahan wang berjumlah RM27 juta membabitkan dana SRC International.

    Perbicaraan di Mahkamah Tinggi belum bermula.

    Najib dan bekas presiden merangkap ketua pegawai eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy dilepas dan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri pada 3 Mac lalu atas dakwaan meminda laporan audit 1MDB.

    Bagaimanapun, pihak pendakwaan memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan.

  • Najib boleh jelaskan denda RM210 juta sepanjang 12 tahun dipenjarakan – Peguam

    Najib boleh jelaskan denda RM210 juta sepanjang 12 tahun dipenjarakan – Peguam

    TERDAPAT ketidakpastian bila Datuk Seri Najib Tun Razak akan membayar denda RM210 juta yang dikenakan terhadapnya dalam kes rasuah membabitkan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd.

    Berkaitan hal ini, golongan peguam berpendapat bekas Perdana Menteri berusia 69 tahun itu boleh membayar jumlah denda yang besar tersebut pada bila-bila masa sepanjang tempoh 12 tahun beliau dipenjarakan.

    Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata berdasarkan prinsip undang-undang, Najib boleh membayar denda itu pada bila-bila masa namun jika beliau gagal berbuat demikian selepas hukuman penjaranya dijadualkan berakhir maka tempoh pemenjaraan akan ditambah lima tahun seperti perintah Mahkamah Persekutuan.

    Peguam Lim Wei Jiet turut berkongsi pandangan sama dan berkata tiada had masa yang dikenakan oleh Mahkamah Persekutuan berhubung tempoh pembayaran.

    “Oleh itu, beliau boleh melunaskannya pada bila-bila masa sepanjang tempoh 12 tahun pemenjaraannya,” kata peguam itu.

    Peguam M.Viswanathan pula berkata Najib boleh membuat bayaran secara ansuran atau mengeluarkan arahan untuk menjual hartanah seperti yang diperuntuk di bawah Seksyen 283 Kanun Tatacara Jenayah.

    “Kebiasaannya, tempoh masa yang munasabah diberikan untuk membuat pembayaran,” katanya.

     Semakan dengan pihak berkuasa pula mendapati adalah tidak jelas sama ada Najib sudah membayar denda itu atau sebaliknya.

    Semalam, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta yang dijatuhkan ke atas Najib bagi kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International.

    Panel lima hakim dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat menolak rayuan Najib untuk mengetepikan sabitan dan hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ke atas beliau pada 28 Julai 2020.

    Pada 8 Dis 2021, beliau turut gagal mengetepikan sabitan dan hukuman itu di peringkat Mahkamah Rayuan.- BERNAMA

  • Pasukan siasatan kes SRC difitnah, diugut dan ditawar habuan – Bahri

    Pasukan siasatan kes SRC difitnah, diugut dan ditawar habuan – Bahri

    KEPUTUSAN Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan sabitan dan hukuman terhadap Datuk Seri Najib Razak membuktikan kerajaan tidak campur tangan dalam sistem perundangan negara.

    Memetik laporan Berita Harian, Bekas Pengarah Bahagian Operasi Khas (BOK) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Bahri Mohammad Zin berkata, ia menutup terus ruang yang boleh dimanipulasi sesetengah pihak bahawa bekas Perdana Menteri itu akan ‘diselamatkan’ oleh kerajaan yang dipimpin Perdana Menteri daripada Barisan Nasional (BN).

    “Kerajaan kita diketuai pemimpin daripada BN yang berjaya menutup terus tanggapan kononnya ada campur tangan kerajaan dalam kes itu, sekali gus melambangkan sistem kehakiman kita benar-benar bebas walaupun membabitkan kes berprofil tinggi dan sensitif seperti ini.

    “Saya menyambut baik ketegasan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat dalam mengekalkan sabitan terhadap kes SRC,” katanya kepada BH.

    Semalam, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta yang dikenakan ke atas Najib yang bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

    Susulan itu, Ahli Parlimen Pekan itu dibawa ke Penjara Kajang, petang semalam, bagi menjalani hukuman terbabit.

    Bahri memainkan peranan utama sebelum ini dalam siasatan kes SRC pada 2015 sebelum ditukarkan ke Jabatan Perdana Menteri (JPM).

    Beliau yang memegang jawatan Pengarah BOK Khas sejak 16 Jun 2014 bersara awal berkuat kuasa 30 Disember 2016 berikutan keengganan bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali untuk mengeluarkan izin mendakwa ke atas sasaran kes berkenaan.

    Bagaimanapun, Bahri kembali kepada SPRM pada Mei 2018 bagi membantu menyambung semula penyiasatan kertas siasatan kes SRC.

    Pada masa sama, mengimbau kembali pengalaman siasatan kes SRC itu, Bahri berkata, paling tidak boleh dilupakannya apabila pasukannya difitnah, diugut dan ditawarkan habuan bagi menghentikan tugasan mereka.

    “Paling tidak boleh saya lupakan ialah apabila Timbalan Pendakwa Raya SPRM dan beberapa pegawai BOK ditahan sebelum difitnah.

    “Saya pernah berasa ‘keseorangan’ ketika anak buah saya dianiaya dan saya sendiri ditukarkan ke JPM ketika itu,” katanya.

  • Peguam Najib tak kemuka hujahan rayuan akhir kes SRC

    Peguam Najib tak kemuka hujahan rayuan akhir kes SRC

    PEGUAM utama Datuk Seri Najib Razak, Hisyam Teh Poh Teik memilih untuk tidak mengemukakan hujahan dalam rayuan akhir kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd yang dihadapi bekas Perdana Menteri itu.

    Memetik laporan Berita Harian, Hisyam yang sepatutnya terlebih dulu berhujah sebelum dibalas oleh pendakwaan sebaliknya memilih untuk bersandarkan kepada hujahan yang dikemukakan Najib ketika di peringkat Mahkamah Rayuan.

    Sejurus mahkamah memutuskan untuk tidak menerima permohonan Hisyam menarik diri daripada mewakili Najib, Ketua Hakim Negara Tun Tengku Tuan Maimun Tuan Mat yang memerintahkan prosiding rayuan akhir itu dimulakan.

    Tengku Maimun: Kamu mahu mengemukakan hujahan lanjut?

    Hisyam: Tidak

    Tengku Maimun: Adakah kamu sahkan bahawa kamu tidak ada apa-apa untuk dinyatakan berhubung 94 alasan dalam petisyen rayuan ini?

    Hisyam: Saya tiada apa-apa untuk dinyatakan.

    Tengku Maimun: Jadi adakah kamu bergantung kepada hujahan daripada Mahkamah Rayuan mengenai penemuan yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi?

    Hisyam: Hujahan daripada yang terdahulu, Ya.

    Tengku Maimun kemudian berkata, oleh kerana rayuan akhir itu membabitkan kepentingan awam, mahkamah dengan itu memanggil pendakwa raya untuk mengemukakan hujahan terlebih dahulu untuk memberikan peguam perayu lebih masa untuk bersedia dengan rayuannya.