Tag: Kes rayuan anak Mat Sabu

  • Anak Mat Sabu kekal bebas tuduhan salah guna dadah

    Anak Mat Sabu kekal bebas tuduhan salah guna dadah

    ANAK bekas Menteri Pertahanan Mohamad Sabu, Ahmad Saiful Islam hari ini kekal bebas atas tuduhan penyalahgunaan dadah, tiga tahun lepas.

    Ini berikutan keputusan sebulat suara oleh panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Seri Kamaludin Md Said, yang menolak rayuan pihak pendakwaan selaku perayu bagi mengetepikan keputusan hakim Mahkamah Tinggi berhubung pembebasan Ahmad Saiful Islam, 34.

    “Mahkamah telah mempertimbangkan hujahan kedua-dua pihak dan tidak bersetuju dengan pihak pendakwaan bahawa hakim Mahkamah Tinggi telah tersalah arah dari segi fakta dan undang-undang kerana membenarkan rayuan Ahmad Saiful Islam.

    “Mahkamah berpuas hati bahawa hakim Mahkamah Tinggi telah mempertimbangkan keterangan secara keseluruhan dan mahkamah ini mendapati tiada keraguan terhadap keputusan hakim itu yang melepas dan membebaskan Ahmad Saiful Islam.

    “Oleh itu, rayuan pendakwaan ditolak dan keputusan oleh Mahkamah Tinggi dikekalkan,” kata Kamaludin yang bersidang bersama-sama Datuk M. Gunalan dan Datuk Hashim Hamzah.

    Mengikut pertuduhan, Ahmad Saiful Islam didakwa menggunakan dadah jenis THC di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada 2.05 pagi, 5 Jan 2019.

    Pada 27 Okt tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membebaskan Ahmad Saiful Islam atas pertuduhan itu selepas membenarkan rayuannya untuk membatalkan sabitan dan hukuman penjara lapan bulan yang diputuskan oleh Mahkamah Majistret pada 24 Jun 2020.

    Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah ketika membuat keputusan itu berkata pengambilan hanya satu botol air kencing telah membuka kemungkinan berlakunya pencemaran kerana sampel yang sama digunakan oleh polis untuk ujian saringan dan ahli kimia untuk ujian pengesahan.

    Beliau berkata mahkamah mendapati kegagalan pihak polis untuk mematuhi garis panduan dengan tidak mengambil dua botol sampel air kencing telah menyebabkan sabitan itu cacat.

    Sebelum ini, Majistret Mohamad Aizat Abdul Rahim menjatuhkan hukuman penjara lapan bulan ke atas Ahmad Saiful Islam selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah dalam kes pendakwaan.

    Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya K. Mangai manakala Ahmad Saiful Islam diwakili peguam Datuk Nicholas Kow, Nasar Khan dan Emile Ezra Hussain.- BERNAMA

  • Keputusan rayuan anak Mat Sabu sabitan kes dadah 27 Oktober ini

    Keputusan rayuan anak Mat Sabu sabitan kes dadah 27 Oktober ini

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini menetapkan 27 Oktober untuk keputusan rayuan anak bekas Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu, Ahmad Saiful Islam bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara lapan bulan kerana penyalahgunaan dadah.

    Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan peguam Nasar Khan yang mewakili Ahmad Saiful Islam, 33, dan Timbalan Pendakwa Raya Izalina Abdullah.

    Terdahulu, Nasar berhujah, dalam kes itu pihak polis hanya mengambil satu sampel urin anak guamnya dan proses pengambilan sampel tersebut tidak mengikut peraturan serta terdapat percanggahan antara keterangan saksi pendakwaan berhubung sampel itu.

    “Selain itu, terdapat kesilapan pada ekshibit botol sampel air kencing itu dan kepincangan dalam rantaian penguasaan sampel tersebut selain sampel disimpan terlalu lama sebelum diuji di makmal,” katanya.

    Izalina berhujah, prosedur pengambilan sebotol sampel urin ke atas perayu  (Ahmad Saiful Islam) adalah memadai dan teratur mengikut undang-undang.

    “Isu sampel urin dicemari tidak pernah dibangkitkan oleh pihak pembelaan kepada mana-mana saksi pendakwaan dan tiada pada bila-bila masa perayu membuat laporan polis yang mengatakan dia dianiaya berikutan proses pengambilan sampel urin yang konon tidak teratur.

    “Oleh itu, Majistret (Mohamad Aizat Abdul Rahim) tidak tersalah arah dalam menjatuhkan hukuman ke atas perayu dan tiada faktor menyebabkan Mahkamah Tinggi perlu ubah dapatan Majistret.

    “Pihak kami memohon rayuan perayu ditolak dan hukuman ke atasnya dikekalkan,” katanya.

    Ahmad Saiful Islam didakwa menggunakan dadah jenis THC di sebuah hotel di sini, pada jam 2.05 pagi, 5 Jan 2019.

    Pada 2 Julai 2020, Ahmad Saiful Islam memfailkan rayuan terhadap keputusan Majistret Mohamad Aizat Abdul Rahim pada 24 Jun tahun sama yang mensabitkannya atas kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan menghukumnya dengan penjara lapan bulan.

    Mohamad Aizat menjatuhkan hukuman itu terhadap Ahmad Saiful Islam selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan dan mengarahkannya menjalani dua tahun pengawasan di bawah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) serta polis sejurus selesai menjalani hukuman penjara itu.

    Bagaimanapun mahkamah membenarkan permohonannya untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi. – Bernama