Tag: kes rasuah Zahid

  • Zahid tahu penyalahgunaan dana Yayasan Akalbudi

    Zahid tahu penyalahgunaan dana Yayasan Akalbudi

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur, hari ini, diberitahu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengetahui berlaku penyalahgunaan dana Yayasan Akalbudi sejak 2014.

    Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran, berhujah tertuduh juga mengetahui mengenai kegunaan cek Yayasan Akalbudi dan pengeluaran deposit tetap daripada akaun yayasan berkenaan.

    Katanya, terdapat bukti jelas menunjukkan tertuduh menyalahgunakan dana Yayasan Akabudi dalam akaun semasa dan tujuh akaun deposit tetap yang diamanahkan kepadanya.

    Berdasarkan semua bukti dan keterangan, pihak pendakwaan berhujah satu kes prima facie berjaya diwujudkan membabitkan semua 12 kesalahan pecah amanah terhadap tertuduh.

    “Sehubungan itu, Ahmad Zahid wajar dipanggil membela diri bagi 47 tuduhan membabitkan pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram,” katanya.

    Pada prosiding itu, pendakwaan turut menyentuh mengenai kredibiliti saksi ke-90 pendakwaan (SP90) iaitu bekas setiausaha eksekutifnya, Mejar Mazlina Mazlan @ Ramly yang dicabar pihak pembelaan.

    Raja Rozela berkata, Mazlina adalah saksi yang dipercayai, malah tindak-tanduknya adalah konsisten sebagai tentera yang mematuhi arahan pegawai atasannya.

    “Penggunaan cop tandatangan oleh Mazlina juga mendapat kebenaran tertuduh untuk pembayaran kad kredit.

    “Sekiranya beliau bertindak sembarangan seperti dicadangkan pembelaan, beliau (Mazlina) boleh menggunakan cop itu ke atas semua 43 cek tanpa perlu menunggu tandatangan tertuduh,” katanya.

    Raja Rozela berhujah demikian pada prosiding hujahan di akhir kes pendakwaan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah.

    Ahmad Zahid, 69, berdepan 47 pertuduhan membabitkan 12 pertuduhan pecah amanah, lapan tuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah jutaan ringgit milik Yayasan Akalbudi.

    Prosiding hujahan bersambung Rabu ini.

  • Perbicaraan Zahid: Hakim tanya peguam kenapa sumbangan tidak dalam cek tetapi tunai

    Perbicaraan Zahid: Hakim tanya peguam kenapa sumbangan tidak dalam cek tetapi tunai

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    HAKIM Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah yang mendengar perbicaraan kes Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini, menyoal pasukan pembelaan mengapa sumbangan derma bernilai berjuta ringgit dikatakan daripada Yayasan Al-Bukhari (YALB) kepada Yayasan Akalbudi (YAB) tidak dalam bentuk cek tetapi dalam wang tunai.

    Persoalan itu ditujukan kepada ketua pihak pembelaan, Hisyam Teh Poh Teik apabila beliau berhujah mengapa pertuduhan ke-27 pengubahan wang haram ke atas Ahmad Zahid perlu digugurkan. 

    Sequerah: Semua wang tunai yang disumbangkan Yayasan Al-Bukhari kepada Yayasan Akalbudi akan lebih mudah jika hanya menulis sekeping cek. Mengapa perlu membawa tunai yang penuh dalam sebuah bag?

    Hisyam: Itulah aduan kami Yang Arif.  Pihak pendakwaan tidak menyiasatnya. Ia hanya boleh dijawab oleh Yayasan Al-Bukhari.  

    “Kami bertanya kepada pegawai penyiasat, pegawai penyiasat berkenaan tidak pernah menyiasat. Oleh kerana tiada siasatan, kita tidak boleh kata ia adalah hasil daripada kegiatan yang menyalahi undang-undang. Hanya dan sehingga mereka menyiasat, hanya dan sehingga mereka memanggil seorang saksi daripada Yayasan Al-Bukhari di hadapan Yang Arif dan memberikan bukti.

    “Tiada siasatan kerana tiada siasatan tidak boleh dikatakan ini adalah hasil daripada kegiatan haram, pertuduhan gugur. Kesimpulannya, kami mencabar dan mengajak pihak pendakwaan menunjukkan kepada kami bukti Yayasan Al-Bukhari tidak pernah memberi sumbangan, “ katanya.

    Pada 27 Julai tahun lepas, seorang saksi Omar Ali Abdullah pengurup wang yang didakwa mengubah wang bagi pihak Ahmad Zahid memberitahu mahkamah, bahawa bekas Timbalan Perdana Menteri itu meminta beliau membantu mendepositkan sumbangan kebajikan ke dalam akaun badan kebajikan Yayasan Akalbudi.

    Saksi ke-81 pendakwaan itu berkata beberapa lelaki daripada YALB akan menghubunginya dan bertemu di beberapa lokasi.

    Beliau berkata, apabila menerima panggilan pertama daripada individu yang tidak dikenali dan meminta untuk berjumpanya di Plaza Fahrenheit, Kuala Lumpur, lelaki itu kemudiannya memberikan beliau sebuah bagasi berisi wang tunai. 

    Ahmad Zahid, 68, berdepan 47 pertuduhan iaitu 12 pecah amanah jenayah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram membabitkan berpuluh-puluh juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

    Pihak pembelaan akan menyambung penghujahan esok.