Tag: kes rasuah ahmad zahid

  • PAS minta semua pihak terima keputusan mahkamah bebas Ahmad Zahid

    PAS minta semua pihak terima keputusan mahkamah bebas Ahmad Zahid

    PAS meminta semua pihak menerima keputusan mahkamah yang membebaskan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi daripada 40 pertuduhan menerima rasuah daripada sebuah syarikat untuk menyambung kontrak berkaitan sistem visa luar negara (VLN).

    Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang dipetik Free Malaysia Today sebagai berkata, parti itu juga menghormati setiap keputusan dan sudah tentu hakim mempunyai asas dalam membuat pertimbangan beliau.

    “Kita menghormati keputusan mahkamah. Setiap keputusan akan ada yang gembira dan akan ada yang dukacita, namun negara ini ada sistem dan menjadi ikrar bersama untuk menjunjung kedaulatan undang-undang.

    “PAS menggesa agar masyarakat perlu dididik menghormati keputusan mahkamah, dalam apa jua keputusan, jangan bila kita setuju kita sokong keputusan (mahkamah), bila kita tak setuju kita bantah.

    “Hakim mempunyai asas dalam membuat sesuatu keputusan dan dia bertanggungjawab dunia akhirat dengan keputusannya,” katanya kepada FMT.

    Terdahulu, Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam Yazid Mustafa memutuskan pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap presiden UMNO itu.

    Zahid, 69, didakwa atas 33 tuduhan menerima rasuah berjumlah SGD13.56 juta (RM42 juta) daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) ketika menjadi menteri dalam negeri, untuk menyambung kontrak firma itu sebagai pengendali perkhidmatan Pusat Sehenti (OSC) di China dan sistem VLN, serta untuk mengekalkan perjanjian kontrak bagi pembekalan sistem bersepadu VLN.

    Dia juga didakwa atas tujuh lagi tuduhan memperoleh untuk dirinya SGD1.15 juta; RM3 juta; 15,000 franc Swiss; dan USD15,000 daripada syarikat sama berkaitan dengan tugas rasminya.

    Ahli Parlimen Bagan Datuk itu didakwa melakukan kesalahan berkenaan di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya, dan Country Heights, Kajang, antara Oktober 2014 dan Mac 2018.

    Zahid masih berdepan 35 tuduhan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berkait pengubahan wang haram dan pecah amanah jenayah membabitkan jutaan ringgit dana Yayasan Akalbudi dan menerima rasuah untuk pelbagai projek semasa beliau menjadi menteri dalam negeri.

  • Kes rasuah: Ahmad Zahid perlu bela diri atau tidak diketahui Jumaat

    Kes rasuah: Ahmad Zahid perlu bela diri atau tidak diketahui Jumaat

    DATUK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan mengetahui sama ada beliau dipanggil membela diri terhadap 40 dakwaan menerima rasuah daripada sebuah syarikat untuk melanjutkan kontrak sistem visa luar negara (VLN), Jumaat ini.

    Memetik laporan Free Malaysia Today, Hakim Mahkamah Tinggi Yazid Mustafa akan menyampaikan keputusannya selepas mendengar keterangan 18 saksi dan menyemak 107 eksibit.

    Peguam A Srimurugan berkata, bekas timbalan perdana menteri dan menteri dalam negeri itu akan dibebaskan tanpa dipanggil pembelaannya jika hakim mendapati pihak pendakwaan gagal mewujudkan kes prima facie.

    “Bagaimanapun, Zahid akan diperintahkan membela diri jika hakim mendapati pendakwaan telah membuktikan semua elemen pertuduhan,” katanya.

    Zahid yang juga presiden UMNO dan Ahli Parlimen Bagan Datuk berdepan 33 tuduhan menerima rasuah berjumlah SGD13.56 juta (RM42 juta) daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) sebagai menteri dalam negeri ketika itu bagi tujuan menyambung kontrak syarikat berkenaan sebagai pengendali pusat sehenti di China dan VLN serta mengekalkan kontrak pembekalan sistem bersepadu VLN.

    Zahid juga berdepan tujuh lagi tuduhan iaitu memperoleh SGD1.15 juta, RM3 juta, 15,000 Franc Swiss dan USD15,000 daripada syarikat sama berhubung tugas rasminya.

    Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di Seri Satria di Presint 16, Putrajaya, dan di Country Heights, Kajang, antara Oktober 2014 dan Mac 2018.

    Timbalan Ketua Pendakwa Raya, Raja Rozela Raja Toran, berkata Zahid menerima rasuah secara ansuran bulanan antara 2014 dan 2018, sambil menambah Pengarah UKSB, David Tan telah menyimpan rekod semua pembayaran dalam lejar.

    Katanya, keterangan yang dibawa oleh pihak pendakwaan menunjukkan bahawa Zahid telah mendapatkan pelanjutan kontrak OSC dan VLN untuk UKSB walaupun pegawai kementerian berasa ragu.

    Raja Rozela berkata, gabungan keterangan langsung, mengikut keadaan dan dokumen, menyokong pendirian pihak pendakwaan bahawa kes bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM telah dibuat terhadap Zahid.

    Beliau mengakui Tan dan dua lagi Pengarah UKSB, Harry Lee dan Wan Quoris Shah Wan Abdul Ghani, adalah rakan sejenayah Zahid dalam melakukan kesalahan itu dan peraturan berhemat memerlukan pengesahan bukti mereka.

    “Bukti mereka telah disahkan satu sama lain dan lejar adalah sebagai tambahan,” katanya.

    Raja Rozela juga berkata, wang yang diterima adalah suapan bawah Akta SPRM, dan percubaan pihak pembelaan untuk mengklasifikasikannya sebagai derma politik tidak membantu tertuduh.

    Menurutnya, unsur-unsur pertuduhan yang dirangka bawah Kanun Keseksaan juga telah berpuas hati kerana Zahid mempunyai urusan perniagaan dengan UKSB yang merupakan kontraktor dilantik kementerian.

    Beliau berkata, ia juga tidak penting sama ada wang tunai diterima mempunyai sumbernya di Hong Kong atau Labuan.

    Timbalan Pendakwa Raya, Xander Lim yang membantu Raja Rozela memberitahu mahkamah bahawa perbicaraan Zahid telah dilakukan secara adil dan tertuduh diwakili oleh peguam cekap dan diberi hak untuk menyoal balas semua saksi pendakwaan.

    Bagaimanapun, peguam utama Zahid, Hisyam Teh Poh Teik, berhujah bahawa anak guamnya adalah subjek pendakwaan terpilih dan peguam negara, yang juga pendakwa raya, tidak bertindak adil.

    Katanya, ahli politik dan penjawat awam lain turut menerima wang daripada UKSB tetapi tidak didakwa.

    Hisyam berkata, keterangan Tan, Lee dan Wan Quoris harus ditolak kerana mereka bukan saksi yang boleh dipercayai.

    “Mahkamah mesti mengambil pengiktirafan kehakiman bahawa mereka tidak jujur dan bercanggah dengan diri sendiri (semasa) memberikan keterangan,” katanya.

    Beliau juga berkata, ketiga-tiga mereka telah menyembunyikan perkara itu daripada pengetahuan pengawal kewangan UKSB Fadzil Ahmad berhubung lejar yang menyenaraikan bayaran tunai kepada ahli politik, termasuk Zahid.

    Katanya, menerusi pemeriksaan balas, Lee dan Tan juga mengakui bahawa wang yang diberikan kepada Zahid adalah derma politik, satu pembelaan yang kini diiktiraf oleh Mahkamah Rayuan.

    Peguam, Ahmad Zaidi Zainal berhujah bahawa kegagalan pendakwaan untuk memanggil saksi dari Hong Kong adalah “fatal” kerana ia bermakna ramuan pertuduhan rasuah bawah kedua-dua Akta SPRM dan Kanun Keseksaan tidak dipenuhi.

  • Mahkamah arah sebahagian pernyataan bertulis saksi Ahmad Zahid dibuang

    Mahkamah arah sebahagian pernyataan bertulis saksi Ahmad Zahid dibuang

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini mengarahkan sebahagian daripada tiga perenggan dalam pernyataan saksi bertulis Pengarah Media Presiden UMNO, Mejar Jeneral (B) Datuk Fadzlette Othman Merican Idris Merican dibuang.

    Memetik laporan Sinar Harian, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah memutuskan demikian selepas pasukan pendakwaan membuat pemohonan agar perenggan 16 hingga 30 pernyataan saksi pembelaan kedua itu diketepikan, pada Isnin lalu.

    Ketika prosiding kes pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi membabitkan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Sequerah berkata, tiga daripada 34 perenggan itu perlu dikeluarkan sementara selebihnya dibenarkan untuk dibaca dalam prosiding kes ini.

    Menurutnya, maklumat yang perlu dipadamkan iaitu menyentuh kredibiliti bekas Setiausaha Eksekutif Ahmad Zahid, iaitu Mejar Mazlina Mazlan @ Ramly membabitkan keseluruhan perenggan 18 dan ayat terakhir bagi 17 serta 22.

    “Selain daripada tiga perenggan itu, mahkamah mendapati maklumat lain adalah berkaitan dengan fakta secara langsung kepada isu yang membentuk teras kes pembelaan ini.

    “Oleh itu, sebahagian besar perenggan yang terkandung dalam pernyataan saksi ini, bukan perkara sampingan, sebagaimana mengikut Seskyen 153 Akta Kererangan 1950,” katanya.

    Susulan itu beliau berkata, pernyataan saksi akan diterima dengan tidak memprejudiskan hak pendakwaan untuk meminta perenggan atau bahagian mana yang perlu dibuang, pada akhir kes itu melalui hujahan kes,” katanya.

    Menyentuh isu bantahan sama, yang mungkin akan dibangkitkan bagi saksi-saksi lain, Sequerah berkata, kedua-dua pihak boleh menyerahkan hujahan di akhir kes ini.

    Pada Isnin, pasukan pendakwaan memohon kepada mahkamah, agar 15 perenggan dalam pernyataan bertulis saksi pembelaan kedua, Fadzlette yang kini bertugas sebagai Setiausaha Akhbar Ahmad Zahid selaku Presiden UMNO itu, dikeluarkan.

    Raja Rozela berkata, mereka mengemukakan bantahan terhadap pernyataan itu kerana ia dianggap boleh merosakkan kredibiliti Mazlina selaku saksi ke-90 pendakwaan.

    Beliau berkata, pembelaan berulang kali membangkitkan isu bahawa Mazlina adalah saksi yang tidak boleh dipercayai dalam perbicaraan sebelum ini.

    Ahmad Zahid, 69, berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.