Tag: Kes mahkamah

  • Pendakwaan bantah rayuan Bung Moktar, Zizie Izette semak keputusan mahkamah

    Pendakwaan bantah rayuan Bung Moktar, Zizie Izette semak keputusan mahkamah

    PIHAK pendakwaan memfailkan bantahan awal terhadap rayuan Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad berhubung keputusan mahkamah yang memerintahkan mereka membela diri atas tiga pertuduhan rasuah.

    Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How ketika dihubungi pemberita berkata notis bantahan awal itu difailkan di Mahkamah Rayuan pada 7 Mac lepas.

    Berdasarkan notis tersebut, bantahan awal dibuat atas alasan keputusan Mahkamah Tinggi bukan suatu keputusan yang boleh dirayu mengikut Seksyen 50 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

    Pada 9 Dis 2022, Bung Moktar dan isterinya gagal dalam permohonan untuk menyemak keputusan Mahkamah Sesyen yang memerintahkan mereka membela diri atas pertuduhan itu setelah Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azhar Abdul Hamid membenarkan bantahan awal pihak pendakwaan terhadap permohonan tersebut.

    Sementara itu, Law berkata pengurusan kes bagi rayuan Bung Moktar dan isterinya itu ditetapkan pada 22 Mei di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan Mohd Khairi Haron.

    Menurut Law prosiding bela diri kedua-dua tertuduh sebelum ini ditetapkan pada 15 Jun di Mahkamah Sesyen di sini.

    Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar didakwa atas dua pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan FELCRA untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

    Beliau didakwa menerima rasuah daripada ejen Public Mutual iaitu Madhi Abdul Hamid menerusi Zizie Izette di Public Bank Cawangan Taman Melawati di sini antara 12.30 tengah hari dan 5 petang, 12 Jun 2015.

    Beliau juga didakwa menerima wang tunai RM337,500 daripada perunding Unit Amanah, Norhaili Ahmad Mokhtar, di bawah nama Zizie Izette atas sebab dan di tempat sama pada 19 Jun 2015 manakala Zizie Izette berdepan tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu di tempat, tarikh dan masa yang sama. – BERNAMA

  • Tuduhan rasuah: Wan Saiful akan kemuka representasi

    Tuduhan rasuah: Wan Saiful akan kemuka representasi

    BEKAS Ketua Penerangan Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan akan mengemukakan representasi membabitkan dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM6.9 juta membabitkan projek Jana Wibawa, yang dihadapinya.

    Perkara itu dimaklumkan peguam Datuk Rosal Azimin Ahmad yang mewakili Wan Saiful, 48, semasa sebutan kes kali pertama di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Rozina Ayob hari ini.

    Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Mohd ‘Afif Ali berkata pihaknya telah menyerahkan sebahagian dokumen kepada pembelaan mengikut Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah hari ini.

    “Bagaimanapun, sebahagian lagi dokumen-dokumen lain seperti dokumen bank dan dokumen Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) akan diserahkan nanti. Oleh itu, pihak kami mohon masa untuk mendapatkan dokumen asal daripada bank,” katanya.

    Semasa prosiding itu, Rozina menegur Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu supaya datang lebih awal ke mahkamah.

    “Saya harap ini kali pertama dan terakhir, (datang lewat ke mahkamah) selepas ini sila rancang perjalanan kamu,” kata hakim itu.

    Wan Saiful kemudian memohon maaf dan memberitahu mahkamah bahawa beliau telah keluar rumah pada 7.15 pagi namun tidak menyangka perjalanan mengambil masa selama dua jam.

    Mahkamah kemudian menetapkan 8 Mei untuk sebutan semula kes.
    Wan Saiful mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan itu di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi.

    Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa meminta suapan wang daripada Lian Tan Chuan sebagai dorongan untuknya membantu syarikat Nepturis Sdn Bhd mendapatkan projek ‘Central Spine Road: Sertik Ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur’ daripada kerajaan Malaysia secara prakelayakan yang jumlah keseluruhannya RM232 juta.

    Wan Saiful juga dituduh menerima bagi dirinya suapan wang tunai berjumlah RM6,962,694.54 melalui akaun CIMB Bank Berhad milik syarikatnya WSA Advisory Group Sdn Bhd daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Syarikat Nepturis Sdn Bhd sebagai upah membantu syarikat Nepturis mendapatkan Surat Setuju Terima bagi projek tersebut.

    Beliau didakwa melakukan kedua-dua perbuatan tersebut di Royal Lake Club, Taman Tasik Perdana di sini, pada April 2022 dan di CIMB Bank Berhad Cawangan Bukit Tunku, Taman Tunku, Bukit Tunku di sini antara 8 Julai 2022 hingga 30 Sept 2022. – BERNAMA

  • Tengku Maimun dedah pernah terima ancaman bunuh semasa kendalikan kes

    Tengku Maimun dedah pernah terima ancaman bunuh semasa kendalikan kes

    KETUA Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat mendedahkan bahawa beliau pernah mendapat ancaman bunuh semasa mengendalikan kes-kes membabitkan tokoh-tokoh dan personaliti tertentu.

    Beliau berkata kebiasaannya dalam setiap kes mahkamah yang diputuskan, akan ada pihak yang berpuas hati dan sebaliknya.

    “Itu lazim…yang menjadi luar biasa dalam kes-kes melibatkan tokoh atau personaliti tertentu, sokongan atau kecaman agak luar biasa kerana umum mengetahui saya sendiri pun pernah mendapat ancaman bunuh.

    “Serius atau tidak, itu soal lain tapi ia mencapai tahap begitu sekali,” katanya ketika sidang media pada Majlis Pembukaan Tahun Perundangan 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini.

    Tengku Maimun berkata berdasarkan pemerhatiannya apabila sesuatu kes melibatkan tokoh-tokoh tertentu, komen-komen yang ditujukan terhadap badan kehakiman agak keterlaluan, berat sebelah dan berbaur politik, bukannya komen yang membina.

    Sementara itu Tengku Maimun berkata setiap kes yang diputuskan oleh mahkamah tidak mempunyai sebarang agenda, sebaliknya ia berdasarkan undang-udang dan selaras dengan peruntukan sedia ada. 

    “Saya mengharapkan masyarakat di luar sana memahami struktur proses undang-undang di negara ini sebelum mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang menunjukkan ketidakfahaman.

    “Jadi fahami dulu, kemudian jika masih tidak faham bertanyalah kepada orang-orang yang faham dan jangan membuat kenyataan-kenyataan yang keterlaluan,” katanya.

    Tahun lepas media melaporkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan menerima laporan berhubung ancaman dan ugutan terhadap Tengku Maimun di media sosial dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang didapati menyalah guna platform media sosial untuk mengancam keselamatan. – BERNAMA

  • Tiada syarat baharu bagi urusan bertanding pilihan raya

    Tiada syarat baharu bagi urusan bertanding pilihan raya

    TIADA keperluan untuk menambah syarat baharu bagi urusan pencalonan wakil untuk bertanding dalam pilihan raya akan datang, khususnya bagi calon yang kesnya masih dibicarakan di mahkamah, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

    Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata syarat pencalonan pilihan raya sedia ada yang termaktub dalam Perkara 48 (1) Perlembagaan Persekutuan, adalah mencukupi.

    Ia menyatakan sekiranya individu itu didapati bersalah dan dihukum dengan hukuman pemenjaraan selama tempoh tidak kurang satu tahun atau denda tidak kurang daripada RM2,000 dan tidak mendapat pengampunan bebas, akan hilang kelayakan.

    “Perkara itu perlu dibaca bersama dengan Perkara 48 (5) berkaitan penamaan, pemilihan atau pelantikan mana-mana orang ke mana-mana satu Majlis Parlimen.

    “Sekiranya ditambah lagi, ia akan kembali ke era 90-an yang mana proses pencalonan adalah rumit. Adalah wajar kita berpandu kepada undang-undang sedia ada, yang sememangnya lengkap dan mencukupi untuk proses pencalonan pilihan raya,” katanya.

    “Bagi memartabatkan demokrasi, tidak perlu menambah syarat-syarat baharu bagi menghalang mana-mana individu daripada bertanding, sebagai contoh untuk menggubal undang-undang bagi individu yang kesnya masih dibicarakan di mahkamah untuk tidak layak bertanding,” katanya.

    Wan Junaidi berkata demikian merujuk kepada kenyataan Ketua Dewan Ulama Pas Pusat Datuk Ahmad Yahaya, yang mencadangkan kerajaan untuk mengetatkan syarat kelayakan calon bertanding bagi mana-mana pilihan raya, termasuk melarang individu sedang dalam perbicaraan mahkamah berkaitan kes salah laku, penyelewengan serta rasuah.

    Mengenai individu yang telah dipilih sebagai Ahli Parlimen pula, Wan Junaidi berkata keahlian individu terbabit tidak akan tergugur, melainkan syarat di bawah Perkara 48 (4) Perlembagaan Persekutuan berkaitan ahli Parlimen telah dihukum dan belum mendapat pengampunan.

    Katanya Perkara 48 (4) (c) menyatakan apabila proses yang terakhir iaitu proses pengampunan gagal, maka barulah keahlian ahli Parlimen tersebut tergugur dengan sendirinya.

    Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan mempunyai enam peruntukan berkaitan kehilangan kelayakan menjadi ahli Parlimen.- BERNAMA

  • Cadang larang individu berdepan kes mahkamah tanding pilihan raya

    Cadang larang individu berdepan kes mahkamah tanding pilihan raya

    DEWAN Ulama PAS mencadangkan kerajaan meminda undang-undang bagi melarang individu berdepan perbicaraan mahkamah dalam kes salah laku, penyelewengan dan rasuah daripada bertanding pilihan raya umum (PRU).

    Memetik laporan Free Malaysia Today, Ketuanya, Ahmad Yahya membuat cadangan itu kerana bimbang mereka yang terpalit kes mahkamah akan menggunakan kedudukan sebagai wakil rakyat dan pemimpin selepas menang pilihan raya untuk “mengelak” dikenakan tindakan atas kesalahan itu.

    “Mereka yang dalam perbicaraan mahkamah dalam kes salah laku, penyelewengan dan rasuah juga tidak wajar diberi peluang untuk bertanding kerana kita bimbang mereka akan menggunakan kedudukan untuk mengelak dikenakan tindakan.

    “Dalam aspek ini, kita mengharapkan agar kes melibatkan rasuah dan salah laku pemimpin parti politik dapat disegerakan perbicaraannya di mahkamah supaya proses pembersihan pemimpin politik dapat dilakukan dengan efektif.

    “Kita perlu mengangkat semula maruah demokrasi dalam negara selaras prinsip Islam,” katanya ketika ucaptama sempena Muktamar Dewan ulama PAS Pusat kali ke-61 di Dewan Serbaguna Guar Chempedak.

    Kata laporan itu lagi, Yahya turut mencadangkan kepada kerajaan, individu yang pernah mengeluarkan kenyataan menggugat keharmonian negara dan mempertikaikan hak keistimewaan termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan perlu digugurkan kelayakan bertanding pilihan raya.

    Katanya, cadangan pindaan itu bagi memperkasa perkara berkaitan soal integriti calon dan parti politik yang bertanding pilihan raya bergerak ke arah kematangan demokrasi.

    “Kita mengharapkan agar amalan demokrasi terus subur dan bersih daripada budaya rasuah dan salah laku sehingga akhirnya mengorbankan kepentingan rakyat,” katanya.

    Cadangan itu menyusul keputusan Parlimen meluluskan pindaan Perlembagaan bagi menyediakan ruang peruntukan berkenaan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti.

    Yahya berkata, ulama juga mencadangkan kerajaan menggubal akta pendanaan politik bagi membanteras budaya politik wang dalam kalangan parti politik.

    Beliau berkata, syarat mengetatkan kelayakan bertanding pilihan raya sama ada di peringkat DUN mahupun Parlimen juga perlu ditambah baik memandangkan peraturan sedia ada masih longgar.

    “Syarat yang menggugurkan kelayakan seseorang menjadi calon adalah kesalahan bagi hukuman satu tahun ke atas serta denda melebihi RM2,000 atau seseorang itu telah mengisytiharkan kesetiaannya kepada negara lain. Perkara ini kelihatan masih longgar tidak sejajar dengan ketegasan yang dipamerkan dalam pindaan Perlembagaan tersebut,” katanya.

    Pertahan konsep pengasingan kuasa

    Sementara itu, Yahaya dalam laporan Harakahdaily dipetik sebagai berkata, konsep pengasingan kuasa antara eksekutif, judikatif dan legislatif hendaklah terus dipertahan bagi memastikan sistem keadilan di negara ini terus dijunjung.

    Menurutnya, Dewan Ulamak mengharapkan agar kes-kes berprofil tinggi melibatkan ahli-ahli politik dan wakil rakyat dapat diadili di mahkamah dengan penuh kebebasan.

    Katanya pendirian kerajaan di bawah pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk tidak campur tangan urusan institusi kehakiman negara terutama kes berprofil tinggi wajar mendapat pujian tinggi.

    “Baru-baru ini seorang bekas pemimpin negara telah disabitkan kesalahan tuduhan pecah amanah, menyalahguna kedudukan dan pengubahan wang haram dana SRC International Shn Bhd,” katanya pada ucapan dasar Muktamar Dewan Ulamak PAS kaki ke-61 hari ini.

    Menurutnya Dewan Ulamak PAS Pusat berpendirian semua pihak perlu akur dan menerima keputusan penghakiman tersebut serta menjunjung prinsip kedaulatan undang undang yang terkandung dalam Rukun Negara.

    Baru-baru ini Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan bersalah terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak atas dakwaan penyelewengan dana SRC.

  • TPR tarik balik surat mohon hakim utamakan kes rasuah Ahmad Zahid

    TPR tarik balik surat mohon hakim utamakan kes rasuah Ahmad Zahid

    TIMBALAN pendakwa raya (TPR) dalam perbicaraan rasuah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menarik balik surat memohon hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah mengutamakan kes mahkamah Presiden UMNO itu.

    Memetik laporan Free Malaysia Today, TPR, Azmi Malik Ayob, yang juga anggota pasukan pendakwaan dalam kes Zahid, berkata perkara ini kini dianggap tamat susulan penarikan balik surat itu.

    “Oleh itu, tiada permohonan sedemikian di mahkamah. Mari kita teruskan kes ini,” katanya kepada mahkamah.

    Sequerah berkata, tiada orang boleh menentukan kes apa yang perlu diberikan keutamaan dalam mahkamah ini.

    Dalam surat itu, Malik berkata, beliau diarahkan meminta Sequerah mengutamakan perbicaraan rasuah Zahid berbanding perbicaraan 1MDB bekas perdana menteri, Najib Razak, yang turut dipengerusikan hakim itu.

    “Permintaan ini dibuat bagi memastikan perbicaraan kes (Zahid) yang di peringkat pembelaan boleh diselesaikan secepat mungkin,” menurut surat itu.

    Peguam utama Zahid, Hisyam Teh Poh Teik berkata, surat itu boleh ditafsir sebagai memberi tekanan kepada mahkamah.

    “Kami berharap perbicaraan ini boleh dikendalikan mengikut kedaulatan undang-undang,” katanya.

    Surat itu dihantar kepada setiausaha Sequerah petang semalam, dengan salinannya diberikan kepada pasukan pembelaan Zahid. Ada yang mempersoalkan kesahihan dokumen itu selepas ia tular di media sosial.

    Pendakwa Raya ad hoc untuk perbicaraan 1MDB Najib, Gopal Sri Ram ketika dihubungi berkata, beliau sudah memaklumkan Sequerah pada Khamis lalu bahawa beliau boleh memberi keutamaan kepada kes Zahid.

    “Saya memberitahu hakim bahawa kes Zahid di peringkat pembelaan, manakala Najib masih di peringkat pendakwaan,” katanya kepada FMT.

    Zahid berdepan 47 tuduhan pengubahan wang dan pecah amanah membabitkan jutaan ringgit dana Yayasan Akalbudi dan menerima rasuah atas pelbagai projek ketika beliau menjadi menteri dalam negeri.

    Bekas timbalan perdana menteri itu, yang juga saksi pembelaan pertama, sedang diperiksa balas.

    Sementara itu, Najib berdepan empat tuduhan menggunakan kedudukannya sebagai perdana menteri ketika itu untuk memperoleh rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang membabitkan jumlah sama.