Tag: Kes Harian

  • COVID-19: Tujuh kes import antara 583 kes baharu

    COVID-19: Tujuh kes import antara 583 kes baharu

    SEBANYAK 583 kes baharu Covid-19 direkodkan di seluruh negara, semalam dengan tujuh daripadanya melibatkan kes import.

    Menurut data Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di portal KKMNow, pertambahan itu menjadikan jumlah kumulatif jangkitan wabak itu meningkat kepada 5,026,164 kes.

    Data sama turut merekodkan satu kematian baharu akibat Covid-19, menjadikan angka keseluruhan korban meningkat kepada 36,853 orang.

    Selain itu, sebanyak 930 kes sembuh pula dilaporkan, menjadikan angka keseluruhan meningkat kepada 4,976,990 kes.

    Sementara itu, secara keseluruhannya, Malaysia masih mempunyai 12,322 kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 dan daripada jumlah itu, 94.6 peratus bersamaan 11,653 kes sedang dalam kuarantin wajib di rumah.

    Selain itu, terdapat 637 atau 5.2 peratus mendapatkan rawatan lanjut di hospital, Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) (0), unit rawatan rapi (ICU) (16) dengan 16 kes memerlukan alat bantuan pernafasan.

    Sehingga kini, kadar penggunaan wad ICU di paras 65.6 peratus, alat bantuan pernafasan (39 peratus) dan katil hospital (70.6 peratus).

  • Kontak rapat penyumbang tertinggi kes harian Sabah

    Kontak rapat penyumbang tertinggi kes harian Sabah

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    SARINGAN kontak rapat terus menjadi penyumbang tertinggi jumlah kes harian positif Covid-19 di Sabah iaitu 591 kes atau 59 peratus daripada keseluruhan 1,002 kes harian semalam.

    Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, antaranya di Tawau 70 peratus daripada 171 kes baharu Covid-19 yang dikesan merupakan saringan kontak rapat diikuti Penampang (67 peratus daripada 100 kes), Kota Kinabalu (63 peratus daripada 171 kes) dan Sipitang (62 peratus daripada 90 kes).

    “Data ini menunjukkan ruang atau kawasan penyebaran jangkitan virus Covid-19 semakin meluas dalam komuniti. Andaian ini diperkukuhkan lagi dengan jumlah peratusan tinggi iaitu 18.36 peratus (184 kes) kategori bergejala. Kes melibatkan kluster sekadar 13.27 peratus (133 kes) dan saringan bersasar 5.49 peratus (55 kes).

    “Justeru, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) amat menganjurkan pematuhan secara menyeluruh prosedur operasi standard bagi mengelak diri dijangkiti Covid-19. Disiplin diri adalah komponen penjagaan kesihatan amat penting selain daripada keperluan mendapatkan vaksinasi lengkap,” katanya dalam satu kenyataan.

    Masidi yang juga jurucakap kerajaan negeri berkaitan Covid-19 berkata, ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) turut memberi kesan kepada individu yang telah menerima suntikan vaksin untuk dijangkiti dan ini dapat dilihat apabila seramai 181 daripada jumlah kes harian hari ini adalah mereka yang sudah lengkap divaksin.

    Sementara itu, Masidi berkata, semalam Sabah merekodkan dua kluster baharu Covid-19 iaitu Kluster Tembidong Bidong membabitkan Telupid serta Beluran dan satu lagi Kluster Jalan Patikang Ulu di Keningau.

    Kluster Tembidong Bidong disyaki berpunca daripada aktiviti kunjung mengunjung semasa sambutan Aidiladha dengan sebanyak 88 kes positif manakala Kluster Patikang Ulu (17 kes) melibatkan penularan jangkitan di tempat kerja dan siasatan serta kawalan kedua-dua kluster masih diteruskan, katanya.