Tag: kes dera

  • Kes dera: Tahanan wanita terduduk, menangis dibenar tatap jenazah anak

    Kes dera: Tahanan wanita terduduk, menangis dibenar tatap jenazah anak

    LULUH hati seorang tahanan wanita ketika dibenarkan menatap wajah anaknya buat kali terakhir sebelum jenazah kanak-kanak lelaki yang dipercayai menjadi mangsa dera itu dikafankan hari ini.

    Wanita berusia 39 tahun itu dilihat terduduk dan menangis ketika melihat jenazah anaknya itu buat kali terakhir.

    Dia yang masih berada dalam tahanan Penjara Simpang Renggam, Kluang diberi peluang kira-kira lima minit melihat jenazah anak bongsunya selepas selesai dimandi dan dikafankan di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Sultan Ismail (HSI) di Johor Bahru.

    Lapor Berita Harian, wanita yang memakai pakaian tahanan berwarna ungu itu, dilihat menangis sebaik keluar menuju ke van sambil diiringi dua pegawai penjara.

    Difahamkan, ibu kepada 11 anak itu, hanya diberitahu mengenai kejadian malang menimpa anaknya itu sebaik tiba di bilik mayat kerana wadar ingin mengawal emosi ibu terbabit sepanjang dalam perjalanan dari penjara.

    Datuk saudara kepada kanak-kanak itu, Ruslan Ahmad, 47, melahirkan rasa terkilan mengenangkan nasib malang menimpa kanak-kanak itu.

    Katanya, dia tidak menyalahkan ibu kepada cucu saudaranya itu, tetapi terkilan kerana kanak-kanak terbabit tidak diserahkan semula kepadanya atau Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) apabila wanita itu ditahan semula polis pada September lalu.

    “Saya betul-betul terkilan. Kalau saya tahu perkara ini nak berlaku, memang saya ‘simpan’ dia, tak mahu serah pada ibunya. Ketika itu, saya diberitahu ibu arwah sudah pulih, sudah dilepaskan (daripada tahanan) dan dia mohon nak jaga anak dia, saya dan JKM berbincang beri dia peluang.

    “Sepanjang dalam jagaan ibunya selama sebulan, saya difahamkan keadaan arwah baik. Saya juga bertanya khabar hampir setiap hari dan mereka maklumkan arwah sihat dan semuanya ‘okay’.

    “Tetapi, lama kelamaan saya gagal hubungi ibu arwah dan apabila saya dimaklumkan tentang kejadian menimpa arwah, saya baharu dapat tahu yang ibu arwah ditahan semula dan arwah dijaga kakaknya,” katanya yang ditemui ketika hadir menuntut jenazah kanak-kanak yang dipanggil Lokman itu di HSI, hari ini.

    Ruslan yang juga bapa saudara kepada bapa kanak-kanak itu adalah individu yang diberikan hak penjagaan sementara oleh JKM sejak kedua ibu bapa kanak-kanak itu ditahan dan dimasukkan ke dalam penjara akibat kes dadah.

    Bapa kanak-kanak yang berusia 40-an itu juga kini berada dalam tahanan Penjara Sungai Udang, Melaka.

    Ruslan yang turut menjaga seorang lagi adik-beradik arwah, berkata dia reda dengan kejadian menimpa cucu saudaranya itu dan akan menyelesaikan amanah dan tanggungjawab diberikan sehingga ke proses pengebumian.

    “Saya pernah menjaga arwah selama sebulan ketika dia baharu lahir sebelum JKM menjaganya selama tiga tahun. Kemudian saya diberi hak penjagaan lagi selama sebulan sebelum diserahkan kepada ibu arwah.

    “Jadi pada saya, biarlah saya yang menguruskan jenazah Lokman kerana saya menyayanginya sejak masih bayi lagi. Saya reda, perkara pun dah berlaku,” katanya yang membawa pulang jenazah ke Labis, Segamat untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Gatom.

    Ruslan turut berharap siasatan polis terhadap insiden yang meragut nyawa cucu saudaranya itu dijalankan seadil-adilnya dan mereka yang terlibat dikenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran.

    Kelmarin, seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun dilaporkan meninggal dunia selepas tiga hari dirujuk ke HSI akibat pengsan di rumahnya dekat Senggarang, Batu Pahat.

    Siasatan awal polis mendapati kematian kanak-kanak itu adalah dipercayai akibat didera dengan terdapat pelbagai kesan kecederaan baharu dan lama di seluruh tubuh badannya.

    Antara kecederaan yang dapat dilihat adalah kesan dicucuh api atau benda panas di seluruh badan mangsa, termasuk di kemaluan dan digigit di telinga.

    Lima suspek ditahan polis termasuk kakak mangsa dan suami serta tiga rakan kepada wanita berkenaan, untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

  • Ibu ditahan bantu siasatan, kematian bayi ada unsur dera

    Ibu ditahan bantu siasatan, kematian bayi ada unsur dera

    SEORANG wanita warga tempatan ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes kematian bayi lelaki berusia enam bulan di Kampung Klang Gate di sini, semalam.

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohamad Farouk Eshak berkata wanita berusia 34 tahun yang juga ibu kepada bayi malang itu ditahan di lobi Hospital Tunku Azizah pada 8.40 malam tadi.

    Beliau berkata dalam kejadian Sabtu lepas, pegawai perubatan hospital telah menerima pesakit seorang bayi lelaki dalam keadaan tidak sedarkan diri akibat muntah dan sawan namun telah disahkan meninggal dunia pada 4.30 petang semalam.

    Katanya, hasil pemeriksaan mendapati kesan lebam di bahagian peha kanan dan kening mangsa disyaki terdapat unsur penderaan.

    “Suspek yang ditahan tidak mengaku membunuh mangsa namun mengakui mangsa mengalami kecederaan di bahagian dahi dan kening akibat terjatuh dari katil semasa dalam jagaannya beberapa hari sebelum dibawa ke hospital,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Mohamad Farouk berkata suspek yang bekerja sebagai pembantu kedai tidak mempunyai sebarang rekod lampau manakala ujian saringan awal air kencing didapati bebas sebarang jenis dadah.

    Menurutnya, suspek akan dihadapkan ke Mahkamah Ampang untuk permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bagi membantu siasatan manakala kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

    Sementara itu, Mohamad Farouk berkata polis sedang giat mengesan suami suspek iaitu lelaki warga Indonesia berusia 31 tahun untuk membantu siasatan.

    Orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kejadian berkenaan boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya di talian 03-42897222.- BERNAMA