Tag: Kes Covid-19

  • Butiran terperinci kes harian hanya dimuat naik di COVIDNOW

    Butiran terperinci kes harian hanya dimuat naik di COVIDNOW

    SEGALA butiran terperinci mengenai kes harian baharu COVID-19 termasuk pecahan mengikut negeri hanya akan dimuat naik ke laman web COVIDNOW mulai hari ini.

    Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, itu sebagai satu daripada usaha peralihan ke fasa endemik.

    Menurut beliau, Kementerian Kesihatan (KKM) masih lagi akan melaporkan kes harian tetapi semua data atau petunjuk penting akan dipaparkan di laman web itu pada waktu malam.

    “Kita telah memberi tumpuan kepada jumlah kes harian untuk tempoh yang lama.

    “Sebagai peralihan ke fasa endemik, kita masih akan melaporkan jumlah kes harian tetapi segala butiran akan dimuat naik bersama-msama semua data atau petunjuk penting lain di COVIDNOW pada waktu malam bermula hari ini,” ciap beliau di Twitter hari ini.

    Sebanyak 8,743 kes baharu Covid-19 dilaporkan di seluruh negara hari ini, turun lebih 1,000 jangkitan berbanding semalam.

    Kadar yang direkodkan hari ini juga merupakan hari ketujuh berturut-turut kes berada di bawah paras 10,000.

    Jangkitan Covid-19 mula menurun ke paras empat angka pada hari Ahad lalu dengan 9,066 kes.

    Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, ia sekali gus menjadikan jumlah kumulatif pandemik itu telah pun mencecah 2.33 juta.

    Bagaimanapun, buat pertama kali, Dr. Noor Hisham tidak berkongsi pecahan penularan kes mengikut negeri seperti hari-hari sebelumnya.

    Sebaliknya, kata beliau, maklumat terperinci mengenai kes harian baharu COVID-19 hanya akan dimuat naik ke laman web Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) iaitu COVIDNOW.

    Kebiasaannya, laman web berkenaan hanya akan mengemas kini data jangkitan COVID-19 menjelang tengah malam.

  • Covid-19:208 kes kematian dilaporkan semalam, kini berjumlah 26,143

    Covid-19:208 kes kematian dilaporkan semalam, kini berjumlah 26,143

    MALAYSIA mencatatkan 208 kes kematian akibat Covid-19 setakat semalam, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 26,143 kes.

    Daripada jumlah kematian semalam, sebanyak 30.8 peratus (64 orang) meninggal sebelum dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

    Selangor mencatatkan jumlah kematian tertinggi, iaitu 76 orang atau 36.5 peratus.

    Ini disusuli dengan Johor (30), Pulau Pinang (30), Sabah (22), Kedah (12), Kelantan (9), Perak (8), Terengganu (7), Pahang (4), Perlis (4), Kuala Lumpur (4) dan Sarawak (2).

    Tiada kes kematian dilaporkan di Melaka, Negeri Sembilan, Labuan dan Putrajaya.

    Jumlah kes kematian harian melebihi 200 untuk enam hari berturut-turut.

    Sementara itu, daripada jumlah 26,143 itu, sebanyak 9,488 kes iaitu lebih satu pertiga berlaku pada September, menjadikan kes kematian pada bulan ini tertinggi sejak wabak Covid-19 mula menular di Malaysia.

    Ini menunjukkan kedudukan Malaysia sebagai negara terburuk di Asia dalam jumlah kes kematian per kapita.

    Sebagai perbandingan, 7,642 kematian akibat Covid-19 berlaku pada Ogos, 3,858 kes pada Julai, 2,380 kes pada Jun dan 1,302 kes pada Mei.