Tag: kes bunuh

  • Mayat ditemukan di tasik belakang masjid disyaki dibunuh

    Mayat ditemukan di tasik belakang masjid disyaki dibunuh

    POLIS mengklasifikasikan penemuan mayat lelaki yang terapung di tasik belakang Masjid Haji Fisabilillah, Cyberjaya, semalam sebagai kes bunuh.

    Menurut Ketua Polis Daerah (IPD) Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusoff, pihaknya menerima laporan pada 10.15 malam daripada seorang individu memaklumkan melihat satu mayat terapung di kawasan berkenaan.

    Katanya, Jabatan Siasatan Jenayah IPD Sepang bersama pasukan forensik hadir di tempat kejadian yang merupakan sebuah kawasan bekas tasik dan menemui mayat lelaki terapung.

    Beliau berkata, sepasukan Bomba daripada Balai Bomba dan Penyelamat (JBPM) Cyberjaya dipanggil bagi membantu mengangkat mayat ke tebing tasik.

    “Hasil siasatan mendapati terdapat unsur jenayah melalui pemeriksaan dan mengesan lima tetakan di kepala dan pergelangan tangan kiri mangsa yang hampir putus,” katanya lapor Berita Harian.

    Wan Kamarul berkata, saksi menyatakan kira-kira 8 malam, dia melihat hadapan sebuah kereta berada dalam tasik berkenaan.

    Katanya, saksi pergi memeriksa kenderaan itu dan mendapati satu objek menyerupai manusia dalam keadaan terapung berpakaian lengkap berada di dalam tasik itu pada jarak kira-kira tiga meter.

    “Pemeriksaan di sekitar kawasan tanah lapang seluas lima ekar di kawasan itu menjumpai sebuah kenderaan jenis Hilux berwarna hitam terjunam ke dalam tasik,” katanya.

    Wan Kamarul berkata, kawasan tasik itu juga tidak berpagar dan boleh dimasuki secara bebas dan merupakan tumpuan pemancing.

    Katanya, polis masih menjalankan siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK).

  • Mayat lelaki dengan kesan kelar dileher di ladang sawit

    Mayat lelaki dengan kesan kelar dileher di ladang sawit

    MAYAT seorang lelaki dengan kesan kelar di leher ditemukan di kawasan ladang sawit di Felda Kerteh 6 dekat sini, kira-kira 6.50 petang semalam.

    Ketua Polis Daerah Dungun Supt. Baharudin Abdullah berkata mayat yang berlumuran darah itu ditemukan dalam keadaan terbaring di ladang oleh saksi yang melalui kawasan berkenaan.

    “Saksi iaitu pengurus ladang yang terkejut dan cemas melihat keadaan mangsa yang tidak bergerak terus menghubungi Balai Polis Ketengah Jaya untuk membuat laporan.

    “Siasatan awal mendapati terdapat kesan kelar pada leher mangsa, namun tiada sebarang kecederaan ditemukan pada bahagian lain,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Baharudin berkata tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemukan pada mangsa, namun selepas siasatan lanjut mangsa dipercayai warga tempatan berusia 42 tahun.

    Katanya polis sedang  menjalankan siasatan terperinci daripada semua aspek termasuk motif kejadian dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

    Mayat mangsa dibawa ke unit forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk tindakan lanjut.- BERNAMA