Tag: kes

  • 29,423 tunggakan kes pusaka berjaya diselesaikan setakat Ogos

    29,423 tunggakan kes pusaka berjaya diselesaikan setakat Ogos

    SEBANYAK 40 peratus atau 29,423 daripada 72,384 tunggakan kes pembahagian pusaka berjaya diselesaikan sejak awal tahun ini hingga Ogos lepas, kata Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

    Beliau berkata ia adalah hasil usaha berterusan oleh Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) menerusi Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG) dalam menangani tunggakan kes pembahagian pusaka sehingga jumlahnya berkurangan kepada 42,961 kes.

    Katanya pencapaian positif itu juga susulan semakan semula langkah kawalan COVID-19 semasa fasa peralihan ke endemik dan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 oleh kerajaan mulai April dan Mei lepas.

    “Penempatan semula pegawai Unit Petugas Khas (UPK) Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) yang sebelum ini ditempatkan di pentadbiran tanah negeri ke Pejabat Unit Pembahagian Pusaka (UPP) di setiap negeri di Semenanjung Malaysia telah membantu meningkatkan kapasiti penyelesaian kes dalam jangka masa pendek.

    “Penyelesaian tunggakan kes berjalan lancar dengan sokongan dan kerjasama berterusan daripada pihak-pihak berkuasa negeri,” katanya pada sidang media selepas pelancaran Klinik Penyelesaian Tunggakan Kes Pusaka Peringkat Kelantan di sini hari ini.

    Turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan Datuk Abdullah Ya’kub yang mewakili Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob.

    Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata KeTSA juga berharap pengambilan 50 pegawai dan 50 pembantu tadbir secara kontrak mulai Jan 2023 kelak dapat menyelesaikan baki tunggakan secara tuntas dan segera.

    “Tindakan ini juga supaya tunggakan kes dapat diselesaikan sebelum pindaan Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955 (Akta 98) dikuatkuasakan,” katanya.

    Menurutnya purata tahunan kes yang diterima pada waktu ini adalah 60,000 kes dengan Kedah mencatat angka tertinggi iaitu 13,000 kes.

    Katanya di Kelantan sahaja terdapat 7,570 kes pembahagian pusaka yang tertunggak setakat Ogos lepas dan diharap kes tunggakan ini dapat diselesaikan segera sebelum pindaan akta berkenaan dikuatkuasakan.

    Beliau berkata pihak JKPTG sedang bekerjasama dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Kewangan (MOF) bagi memastikan cadangan pelantikan kakitangan tambahan secara kontrak selama tiga tahun tersebut dapat dilaksanakan dengan kadar segera.

    “Kakitangan tambahan yang dilantik secara kontrak ini akan ditempatkan di UPP negeri berdasarkan keperluan dan dijangka proses pengambilan selesai dibuat menjelang Disember ini dan tarikh lapor diri pada awal Januari 2023.

    “KeTSA akan terus menerajui usaha bagi memastikan isu tunggakan pembahagian pusaka kecil diberi perhatian sewajarnya dalam memastikan suasana harmoni dapat diwujudkan dalam kalangan rakyat selaras dengan Nilai Kebersamaan dalam konsep Keluarga Malaysia,” katanya.

    Menurutnya JKPTG juga akan membuka klinik penyelesaian tunggakan pusaka bagi memberi peluang kepada pelanggan serta waris hadir mendapatkan khidmat nasihat mengenai isu harta pusaka yang dihadapi dan konsultasi berhubung tatacara permohonan pembahagian pusaka.- BERNAMA

  • COVID-19: Singapura catat kes harian tertinggi 1,504 kes

    COVID-19: Singapura catat kes harian tertinggi 1,504 kes

    SINGAPURA melaporkan sejumlah 1,504 kes baharu COVID-19 pada Khamis (23 September), tertinggi sejak virus itu dikesan tahun lalu.

    Menurut Kementerian Kesihatan republik itu, daripada jumlah tersebut, 1,218 kes adalah jangkitan tempatan, 273 di asrama pekerja migran, dan 13 kes import.

    Dalam kemas kini data hariannya, kementerian memaklumkan 1,120 pesakit dirawat di hospital dengan 163 kes serius yang memerlukan bantuan oksigen, dan 23 kritikal di unit rawatan rapi (ICU).

    Republik itu juga melaporkan dua kematian melibatkan wanita warga emas Singapura yang belum divaksin, menjadikan jumlah kematian akibat komplikasi jangkitan COVID-19 bertambah kepada 70 orang.

    Sepanjang 28 hari lalu, menurut kementerian daripada 15,791 individu yang dijangkiti, 97.9 peratus tidak bergejala atau bergejala ringan, 1.8 peratus memerlukan bantuan oksigen, 0.2 peratus dirawat di ICU, dan 0.1 peratus meninggal dunia.

    Sehingga tengah hari Khamis, jumlah keseluruhan kes adalah 82,860 dengan 10,379 kes aktif.

    Sebanyak 82 peratus penduduk Singapura telah lengkap dua dos vaksin COVID-19 setakat 22 September, dengan 84 peratus lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos.- BERNAMA

  • Covid-19: Singapura lapor 1,457 kes baharu, 3 kematian semalam

    Covid-19: Singapura lapor 1,457 kes baharu, 3 kematian semalam

    SINGAPURA melaporkan sejumlah 1,457 kes baharu COVID-19 pada Rabu (22 Sept), dengan 1,277 dalam komuniti, 176 di asrama pekerja migran dan empat kes import.

    Ia merupakan kes harian tertinggi yang dikesan sejak peningkatan kes sebanyak 1,426 pada 20 April 2020.

    Dalam data dikeluarkan lewat malam tadi, Kementerian Kesihatan Singapura memaklumkan 1,083 kes kini ditempatkan di hospital dengan 145 kes serius yang memerlukan bantuan oksigen, dan 19 dirawat di unit rawatan rapi (ICU).

    Republik itu juga melaporkan tiga kematian, semua membabitkan penduduk tempatan, menjadikan jumlah korban akibat jangkitan COVID-19 seramai 68 orang.

    Satu daripada kes itu melibatkan seorang lelaki berusia 50 tahun, didapati positif COVID-19 pada 13 September.

    Dia belum menerima suntikan vaksin COVID-19 dan keadaan perubatan tidak diketahui, menurut data berkenaan.

    Sementara itu, sejak 28 hari lalu, Kementerian Kesihatan Singapura menyatakan daripada sejumlah 14,412 individu yang dijangkiti, 97.9 peratus tidak mengalami gejala ringan atau ringan, 1.8 peratus memerlukan bantuan oksigen, 0.2 peratus memerlukan rawatan ICU dan 0.08 peratus meninggal dunia.

    Sehingga tengah hari Rabu, jumlah keseluruhan kes sebanyak 81,356 dengan 9,198 kes aktif.

    Setakat 21 September, 82 peratus penduduk menerima dua dos vaksin COVID-19 manakala 84 peratus lagi sekurang-kurangnya satu dos.- BERNAMA

  • Covid: 18,053 kes sembuh, atasi kes baharu

    Covid: 18,053 kes sembuh, atasi kes baharu

    JUMLAH kes sembuh daripada COVID-19 di Malaysia terus melebihi angka kes baharu untuk hari keempat berturut-turut apabila 18,053 kes dilaporkan berbanding 15,669 kes baharu direkodkan, setakat 12 tengah hari ini.

    Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata perkembangan baharu itu menjadikan jumlah kumulatif individu pulih daripada wabak berkenaan kini sebanyak 1,764,579 orang.

    Beliau berkata terdapat 1,266 kes sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) merangkumi 954 kes disahkan COVID-19 manakala 312 kes disyaki, kemungkinan dan kes dalam siasatan.

    “Sebanyak 689 kes memerlukan bantuan pernafasan melibatkan 432 kes disahkan COVID-19 sementara 257 kes disyaki, kemungkinan dan kes dalam siasatan,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan COVID-19 hari ini.

    Dr Noor Hisham berkata daripada jumlah kes harian dilaporkan hari ini, 283 kes atau 1.8 peratus adalah kategori tiga (radang paru-paru), empat (perlu bantuan oksigen) dan lima (perlu bantuan pernafasan), manakala baki 15,840 kes atau 98.2 peratus dalam kategori satu (tidak bergejala) dan dua (bergejala ringan).

    Daripada jumlah kes baharu itu juga, Dr Noor Hisham berkata 17 adalah kes import melibatkan tujuh warganegara, manakala 15,652 kes penularan dalam negara membabitkan 14,169 warganegara.

    Beliau berkata sebanyak 29 kluster juga dikesan dalam tempoh 24 jam lepas melibatkan 14 kluster di tempat kerja, 12 kluster komuniti serta tiga kluster kumpulan berisiko tinggi.

    Mengenai kadar kebolehjangkitan COVID-19 atau R-naught (Rt), Dr Noor Hisham berkata Rt di Malaysia semalam adalah 0.98 dengan semua negeri mencatat Rt sekurang-kurangnya 1.0 kecuali Sabah, Kedah, Melaka, Labuan, Negeri Sembilan, Putrajaya, Selangor dan Kuala Lumpur.

    Sarawak adalah negeri paling tinggi mencatatkan nilai Rt iaitu 1.16 diikuti Terengganu (1.08), Johor dan Perak masing-masing 1.02, Pahang (1.01), manakala Pulau Pinang, Kelantan dan Perlis masing-masing 1.00.

    Bagi data kematian pula akan dimuat naik dan dipaparkan menerusi laman Github dan laman web COVIDNOW di https://covidnow.moh.gov.my tengah malam ini.- BERNAMA

  • 20,988 kes baharu Covid-19, Sarawak, Kedah, Sabah Johor catat lebih 2,000 kes

    20,988 kes baharu Covid-19, Sarawak, Kedah, Sabah Johor catat lebih 2,000 kes

    JUMLAH jangkitan baharu Covid-19 di negara ini naik semula ke paras 20,000 kes apabila merekodkan sebanyak 20,988 kes hari ini berbanding 18,762 jangkitan semalam.

    Kenaikan jangkitan sebanyak 2,316 kes itu sekali gus menjadikan kumulatif kes Covid-19 di negara setakat ini ialah sebanyak 1,786,004 kes.

    Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Selangor terus mencatatkan kes harian Covid-19 tertinggi apabila merekodkan sebanyak 4,073 kes baharu berbanding 3,711 kes semalam.

    Peningkatan kes harian pula kebanyakannya disumbang oleh kadar jangkitan di empat negeri yang mencatatkan lebih 2,000 kes harian.

    Sarawak mencatatkan sebanyak 2,992 kes untuk berada di tangga kedua diikuti Kedah (2,455 kes); Sabah (2,329) dan Johor (2,145 kes).

    Perlis turut mencatatkan kenaikan ketara iaitu sebanyak 90 kes harian berbanding hanya 33 kes semalam.

    Dua negeri pula mencatatkan lebih seribu kes iaitu Pulau Pinang (1,600 kes) dan Kelantan (1,247 kes).

    Kuala Lumpur, Perak, Melaka, Terengganu, Negeri Sembilan dan Pahang masing-masing berjaya mengekalkan rekod kepada tiga digit kes sahaja.

    Sementara itu, Labuan menjadi wilayah yang menyaksikan rekod jangkitan paling rendah iaitu lima jangkitan diikuti Putrajaya (37 kes).

  • Covid-19: 18,762 kes baharu, turun 2,135 kes

    Covid-19: 18,762 kes baharu, turun 2,135 kes

    JUMLAH jangkitan baharu Covid-19 di negara ini kembali menurun di bawah paras 20,000 kes apabila merekodkan sebanyak 18,672 kes hari ini berbanding 20,897 jangkitan semalam.

    Penurunan jangkitan itu sehingga 2,135 kes sekali gus menjadikan kumulatif kes Covid-19 di negara setakat ini ialah sebanyak 1,765,016 kes.

    Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Selangor yang mencatatkan kes harian Covid-19 tertinggi seluruh negara mencatatkan penurunan kes apabila merekodkan hanya 3,711 kes baharu berbanding 4,371 kes semalam.

    Sabah dan Sarawak pula kekal di kedudukan kedua dan ketiga apabila merekodkan sebanyak 2,430 kes dan 2,414 kes.

    Empat lagi negeri mencatatkan lebih seribu kes iaitu Johor (1,993 kes), Pulau Pinang (1,762 kes), Kedah (1,585 kes) dan Kelantan (1,504 kes).

    Kuala Lumpur, Melaka, Terengganu, Negeri Sembilan dan Pahang masing-masing berjaya mengekalkan rekod kepada tiga digit kes sahaja.

    Sementara itu, Labuan menjadi wilayah yang menyaksikan rekod jangkitan paling rendah iaitu tiga jangkitan diikuti Perlis (33 kes) dan Putrajaya (34 kes).