Tag: kerusi pengkhianat

  • PRU-15: Anwar yang pengkhianat, Jonathan pulang paku buah keras

    PRU-15: Anwar yang pengkhianat, Jonathan pulang paku buah keras

    DATUK Jonathan Yasin memulangkan paku buah keras kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu menyifatkan kerusi Parlimen Ranau sebagai tempat pengkhianat.

    Jonathan, calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan penyandang kerusi Parlimen Ranau berkata, Anwar yang selayaknya digelar pengkhianat, dan perlu dikalahkan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Beliau mendakwa, Pengerusi PKR itu juga yang menyebabkan PH berpecah belah pada Februari 2020.

    “Kalau bukan kerana beliau dan konco-konco yang mahu menyingkirkan Tun Dr Mahathir pada masa itu, tidak mungkin ada perpecahan dalam PH.

    “Lupakah mereka bahawa ada janji dan surat hitam putih yang kami tandatangani, mengatakan tidak ada tempoh masa perjanjian peralihan kuasa antara Dr Mahathir dengan Anwar.

    “… Dan sebab itu bila dikatakan pengkhianat, mereka yang menyingkirkan Tun (Mahathir) adalah pengkhianat,” katanya kepada Astro AWANI, hari ini.

    Terdahulu, Anwar berkata bekas Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman akan membantu kempen PH di Ranau, bagi memastikan kemenangan calon mereka, Taufik Dahlan kerana Ranau tempat pengkhianat.

    Pada PRU-14, Jonathan menang di kerusi Parlimen Ranau atas tiket PKR, dengan majoriti 1,076.

    Mengulas lanjut, Jonathan berkata perpecahan yang didakwa berlaku dalam PH, akan memberi kelebihan kepada GRS.

    Dalam pada itu, Jonathan menambah tindakan Anifah yang mahu membantu calon PH di kawasan tersebut juga menunjukkan gabungan itu lemah di Ranau.

    Ujarnya, penglibatan Presiden Parti Cinta Sabah (PCS) itu tidak akan memberi kesan besar terhadap sokongan kepada GRS.

    “Selama ini, kita dapati bahawa kekuatan Anifah di kawasan Ranau pun tidak lah begitu besar.

    “Sudah terbukti di masa lalu bahawa ada pun sokongan (orang luar) tidak begitu mengugat keadaan GRS di Ranau,” kata Jonathan.

    Pada PRU-15, kerusi Parlimen Ranau menyaksikan saingan lima penjuru.

    Selain Jonathan (GRS) dan Taufik (PH), turut memberi saingan di kerusi berkenaan ialah calon daripada Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Azizul Julirin, Markos Siton (Warisan), serta Datuk Ewon Ebin yang bertanding atas tiket Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).

  • PRU-15: Wakil rakyat tukar kawasan bertanding pemimpin tak jujur – Azmin

    PRU-15: Wakil rakyat tukar kawasan bertanding pemimpin tak jujur – Azmin

    DATUK Seri Mohamed Azmin Ali membidas sikap segelintir pemimpin parti politik yang menyimpan niat menukar kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) seperti dilaporkan.

    Menurut penyandang kerusi Parlimen Gombak itu, sikap sedemikian hanya mempamerkan personaliti pemimpin itu sebagai tidak jujur dan tidak ikhlas selain tidak menghormati mandat yang diberikan rakyat pada PRU14.

    Beliau berkata, pemimpin yang ikhlas seharusnya terus berkhidmat di kawasan yang telah diberi mandat dan bukannya menukar kawasan mengikut kehendak diri sendiri.

    “Lari ke satu-satu tempat ini tidak bagus, kita bertanding beri khidmat kepada rakyat bukan sebab hasad dengki dan dendam.

    “Ini bukan watak seorang pemimpin jujur dan ikhlas sebuah perjuangan, bila kita dipilih di kawasan itu, teruskan.

    “Kalau niat kita zahirkan niat secara terbuka, aku tak suka orang itu dan orang ini, maka nak pergi (bertanding) tempat itu dan ini, ini bukan pemimpin,” ujar Azmin lagi, lapor Astro Awani.

    Azmin yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Hari MITI 2022, di sini, pada Ahad.

    Meskipun tidak menamakan pemimpin terbabit, namun Azmin menegaskan kesediaannya, berdepan dengan mana-mana pemimpin dalam PRU15 termasuk di kawasannya Gombak.

    “Ini proses demokrasi siapa pun boleh datang (Gombak), saya sudah sebut banyak kali, kalau sesiapa pun dia nak hantar isteri pun boleh, anak pun boleh.

    “Kalau nak hantar menantu baharu pun boleh, menantu lama pun boleh. Hendak hantar diri sendiri pun boleh saya tiada masalah,” kata Azmin.

    Kenyataan Azmin itu susulan laporan yang menyebut Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan bertanding di ‘kerusi pengkhianat’ selain di beberapa kawasan lain yang ditawarkan kepadanya.

    Antara kerusi yang disebut-sebut bakal ditandingi Anwar ialah Parlimen Gombak.

    Dalam perkembangan sama, Azmin berkata, rakyat di Parlimen Gombak sudah matang untuk memilih pemimpin yang benar-benar dapat membawa pembangunan perkhidmatan serta pertumbuhan ekonomi di kawasan itu.