Tag: kerusi parlimen

  • BN tarik diri bertanding Parlimen Padang Serai?

    BN tarik diri bertanding Parlimen Padang Serai?

    Oleh RIZQI ZABIDI

    BARISAN Nasional (BN) dikatakan akan menarik diri daripada bersaing di Parlimen Padang Serai bagi memberi laluan kepada sekutu terbaru mereka, Pakatan Harapan (PH) dalam Piliha Raya Umum Ke-15 (PRU15) kali ini.

    Ketika ini khabar mengenai perkara itu bertiup kencang dengan jadual perjalanan kempen calon BN, C. Sivaraj juga sudah tidak dikeluarkan seperti kebiasaan, malam tadi.

    Difahamkan pengumuman mengenai perkara itu akan dibuat dalam satu ceramah pengumuman khas di depan sebuah pasaraya dekat Taman Desa Aman, Padang Meiha di Padang Serai malam ini.

    Ceramah tersebut bakal menampilkan Presiden Amanah, Mohamad Sabu; Pengerusi PH Kedah, Datuk Mahfuz Omar serta Pengerusi BN Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

    Malah Pengarah Komunikasi Exco MIC Kedah yang lebih dikenali sebagai Cikgu Ramasamy turut memuat naik status di Facebooknya seakan-akan mengesahkan perkara itu.

    “Dengan hati yang sedih, calon BN bagi Parlimen Padang Serai, Datuk C. Sivaraj menerima arahan daripada daripada kepimpinan BN supaya menarik diri dan memberi laluan kepada calon PH.

    “Dengan berat hati, kami akan berundur dari gelanggang pertandingan Parlimen Padang Serai dan menerima nasihat kepimpinan di peringkat nasional,” katanya.

    Sementara itu Warta Rakyat difahamkan, beberapa pondok dan khemah pusat daerah mengundi milik BN juga sudah pun dikemas sejak malam tadi.

  • Tiga EXCO Kedah ‘naik pangkat’ bertanding kerusi Parlimen

    Tiga EXCO Kedah ‘naik pangkat’ bertanding kerusi Parlimen

    SEBANYAK tiga Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Kedah diumum sebagai calon Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Parlimen di negeri itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Nama mereka diumumkan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Majlis Pengumuman Bakal Calon PN PRU-15, malam tadi.

    Mereka terdiri daripada EXCO Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi, Sains Teknologi dan Inovasi, Datuk Ku Abd Rahman Ku Ismail; EXCO Pertanian dan Industri Makanan, Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Pengangkutan dan Hal Ehwal Masyarakat India, Datuk Azman Nasrudin.

    Turut diumum adalah EXCO Perumahan, Alam Sekitar, Perpaduan, Hal Ehwal Masyarakat Cina dan Siam, Dr Robert Ling Kui Ee.

    Ku Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guar Chempedak bakal bertanding di Parlimen Kubang Pasu.

    Azman yang juga ADUN Lunas, akan bertanding di Parlimen Padang Serai, manakala Dr Robert adalah ADUN Sidam yang akan bertanding di Parlimen Sungai Petani.

  • PRU: Amanah tanding 54 kerusi Parlimen

    PRU: Amanah tanding 54 kerusi Parlimen

    PARTI Amanah Negara (Amanah) akan meletakkan calon untuk bertanding di 54 kerusi Parlimen di seluruh negara dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang akan diadakan pada 19 Nov ini.

    Jumlah itu meningkat 35 peratus berbanding kerusi Parlimen yang ditandingi Amanah semasa PRU14 pada 2018, iaitu sebanyak 27 kerusi.

    Timbalan Presiden Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata beliau akan bertanding di kerusi Parlimen Pulai manakala Presiden Mohamad Sabu akan mempertahankan kerusi Parlimen Kota Raja.

    Pada PRU14, Mohamad Sabu memenangi kerusi itu dengan majoriti 71,142 undi sementara Salahuddin   menewaskan bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed yang juga penyandang kerusi Parlimen Pulai dengan majoriti 28,924 undi.

    Turut diumumkan sebagai calon ialah dua Naib Presiden iaitu Datuk Mahfuz Omar dan Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa masing-masing mempertahankan kerusi Parlimen Pokok Sena dan kerusi Parlimen Parit Buntar. 

    Selain itu, Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Abdul Samad diumum sebagai calon bagi kerusi Parlimen Titiwangsa manakala Pengarah Strategi Amanah Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad pula akan mempertahankan kerusi Parlimen Kuala Selangor.

    Dalam pengumunan di Wisma Amanah Negara dekat sini, empat penyandang digugurkan sebagai calon iaitu Naib Presiden Datuk Hasanuddin Mohd Yunus (Hulu Langat), Ahli Parlimen Sepang Mohamed Hanipa Maidin, Ahli Parlimen Tampin Datuk Dr Hasan Bahrom dan Ahli Parlimen Temerloh Datuk Mohd Anuar Mohd Tahir.

    Bagi calon yang akan bertanding di kerusi Parlimen Sepang ialah Raj Muni Aiman Athirah, Mohd Hasbie Muda (Temerloh), Mohd Sany Hamzan (Hulu Langat) dan Muhammad Faiz Fadzil (Tampin), manakala kerusi Parlimen Shah Alam yang disandang Khalid sejak 2008 akan ditandingi oleh Azli Yusof.

    Khalid berkata keempat-empat penyandang sebelum ini tidak dinamakan sebagai calon bagi memberikan peluang kepada muka baharu untuk bertanding pada PRU15.

    “Ia tidak menggambarkan seolah-olah mereka tidak berprestasi dengan baik, (tetapi) hanya satu peralihan dan pertukaran yang kita nak galakkan berlaku di Amanah…kita ingin bakat baharu dan muka baharu diberi peluang. 

    “Mereka semua telah menunjukkan prestasi yang baik dan memuaskan dan kita anggap ini peluang untuk muka baharu,” katanya. 

    Sementara itu, dalam sidang media yang sama, Mohamad berkata watikah pencalonan kesemua calon Amanah yang akan bertanding mewakili Pakatan Harapan (PH) akan dipersetujui Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim dahulu. 

    Katanya, watikah pencalonan itu akan dimuktamadkan sebelum hari penamaan calon pada 5 Nov.

    Ditanya mengenai reaksi dua ahli Amanah yang keluar parti, Nik Omar Nik Abdul Aziz dan Datuk Husam Musa yang bertanding di bawah tiket PKR, Mohamad berkata tindakan itu dialu-alukan memandangkan mereka masih di bawah PH. 

    Nik Omar akan bertanding di bawah tiket PKR di Parlimen Pasir Salak dan Husam menjadi calon PKR bagi kerusi Parlimen Pasir Mas. – BERNAMA

  • PRU-15: BN tanding 191 kerusi Parlimen

    PRU-15: BN tanding 191 kerusi Parlimen

    PENGERUSI Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, BN akan bertanding di 191 kerusi Parlimen pada pilihan raya umum ke-15 (PRU-15), akan datang.

    Beliau juga berkata, selain UMNO dan parti komponen BN yang lain termasuk parti politik dari Friends of BN juga akan mendapat peluang untuk bertanding di bawah gabungan itu buat kali pertama.

    “Kami tidak akan pernah melupakan calon-calon yang datang dari Friends of BN. Ini pertama kali kita akan bagi peluang kepada calon-calon Friends of Barisan Nasional (bertanding di bawah BN),” katanya dalam mesyuarat tahunan UMNO Bahagian Bagan Datuk di Bagan Datuk, Perak.

    Friends of BN dianggotai Parti Makkal Sakti, Parti Cinta Malaysia (PCM), Barisan Kemajuan India Se-Malaysia (IPF), Kongres India Muslim Malaysia (Kimma), Parti Bersatu India Malaysia (MUIP) dan Parti Punjabi Malaysia (PPM).

    Makkal Sakti merayu untuk menyertai BN sejak ia ditubuhkan pada 2013 tetapi difahamkan, MIC telah menentang usaha parti itu untuk menjadi ahli gabungan itu. Tahun lalu, Zahid berkata, BN mungkin meletakkan calon parti itu pada PRU15.

    Pada Jun lalu, Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan dilaporkan berkata, kerusi parlimen dan DUN yang sebelum ini ditandingi Gerakan semasa berada di bawah gabungan itu mungkin ditandingi oleh Friends of BN dan beberapa parti komponen lain pada PRU15.

    Sementara itu, Timbalan Pengerusi BN, Mohamad Hasan berkata, gabungan itu menyasarkan untuk memenangi sekurang-kurangnya 112 kerusi Parlimen untuk membolehkan membentuk kerajaan.

    “Setakat ini kita (BN) belum bercakap soal sasaran kerusi, tapi kita nak menang dan kita mesti mendapatkan atau melepasi 112 kerusi untuk pastikan kita dapat menubuhkan kerajaan pada pilihan raya akan datang.

    “Itu sasaran kita. Jadi kita kalau boleh menang banyak lebih baik,” katanya dipetik Berita Harian sebagai berkata.

  • PRU-15: Amanah sasar tanding 40 kerusi Parlimen

    PRU-15: Amanah sasar tanding 40 kerusi Parlimen

    AMANAH mensasarkan bertanding di 40 kerusi Parlimen, pada pilihan raya umum ke-15 (PRU-15).

    Timbalan presidennya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, ia pertambahan 13 berbanding 27 kerusi sebelum ini.

    Menurutnya, Amanah akan meletakkan calon di semua kawasan sama ada di bandar dan kawasan luar bandar.

    “Kita tidak memilih kawasan tertentu sahaja, Amanah bertanding di semua kawasan.

    “Untuk masa depan Amanah kita mesti bertanding di semua kawasan, ada kawasan majoriti dan kawasan campuran, kita akan letakkan calon,” katanya mengikut laporan Berita Harian.

    Mengulas lanjut, Salahuddin menjelaskan, pemilihan senarai calon Amanah akan meneliti semua aspek dan latar belakang mereka termasuk biodata serta rekod

    Beliau menambah, senarai calon akan dimuktamadkan pada hujung bulan ini.