Tag: kerusi

  • PN yakin menang kesemua empat kerusi di Bukit Gantang

    PN yakin menang kesemua empat kerusi di Bukit Gantang

    CALON Perikatan Nasional (PN) bagi Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal yakin gabungan itu mampu menang keempat-empat kerusi yang dipertandingkan di kawasan tersebut.

    Malah katanya, beliau yakin PN mampu memperoleh lebih banyak undi berbanding Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dengan menyasarkan lebih 30,000 undi dalam PRU-15 di kerusi Parlimen.

    “Kemenangan lepas atas nama BN, sebenarnya bukanlah semata-mata kerana BN tetapi atas kerja keras yang dibuat oleh jentera saya.

    “Sekarang jentera itu masih bersama dengan saya, jawatankuasa wanita peringkat (UMNO) Bahagian Bukit Gantang, satu-satunya jawatankuasa yang letakkan jawatan, ikut saya. Inilah keyakinan yang saya ada.

    “PAS dengan jentera yang ada dan saya dengan jentera yang telah terbukti pada pilihan raya lepas. Kombinasi ini akan menambah undi dalam pilihan raya akan datang,” katanya kepada Astro AWANI.

    Mengulas lanjut, Syed Abu Hussin berkata, beliau yakin mampu menang dengan majoriti lebih 8,000 undi, sekali ganda lebih besar berbanding keputusan pada PRU14.

    Dalam pada itu, beliau berkata sentimen dalam PRU15 berbeza dengan PRU14 kerana kali ini, rakyat lebih melihat kepada calon dan bukan kepada parti semata-mata.

    “Maknanya yang pertama sekali, mereka tidak lagi melihat parti. Perubahan dan berlaku di Malaysia.

    “Mereka akan lihat siapa menjadi calon, apa latar belakang calon, apa calon buat dan ini menjadi keyakinan pada saya bahawa kewibawaan calon, ketrampilan, calon, perkhidmatan calon akan diambil kira.

    “Kalau dulu orang kata letak songkok boleh menang tapi sekarang tak boleh dah,” ujarnya.

  • PRU-15: Abdul Latiff sedia beri laluan muka baharu di Mersing

    PRU-15: Abdul Latiff sedia beri laluan muka baharu di Mersing

    PENYANDANG kerusi Parlimen Mersing, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad bersedia memberi peluang kepada calon muka baharu mewakili Bersatu untuk bertanding di Parlimen itu pada Pilihan Raya Umum Ke-5 (PRU-15) nanti. 

    Beliau berkata telah tiba masanya untuk menonjolkan pemimpin baharu yang bersedia dan bertenaga untuk memberi khidmat di kawasan itu.

    “Saya dah bersedia memberi laluan kepada mereka yang lebih bertenaga kerana saya telah jadi wakil rakyat hampir enam penggal dengan memegang pelbagai jawatan di peringkat negeri dan Persekutuan.

    “Ini adalah masa untuk kita beri peluang kepada calon muka baharu tunjuk bakat mereka yang telah bersedia berkhidmat kepada rakyat,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke tapak projek tebatan banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di Kampung Tersang, Rantau Panjang, di sini, hari ini

    Mengulas lanjut, Abdul Latiff, yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), berkata sekiranya namanya tidak dicalonkan pada PRU15, beliau akan masih bergiat aktif dalam politik dan akan membantu calon-calon yang bertanding.

    Pada PRU14 lalu, Abdul Latif yang bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) ketika itu berjaya memenangi kerusi Parlimen Mersing dengan memperoleh 19,806 undi, menewaskan dua pencabarnya daripada PAS dan PKR.

    Beliau keluar daripada UMNO pada Disember 2018 dan menyertai Bersatu pada Februari 2019.- BERNAMA