Tag: Kertas siasatan

  • SPRM kaji semula dakwaan seleweng wang zakat MAINS

    SPRM kaji semula dakwaan seleweng wang zakat MAINS

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan kes berhubung dakwaan penyelewengan wang zakat membabitkan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), dikaji semula untuk melihat keterangan yang ada.

    Pengarah Kanan Siasatan SPRM Datuk Seri Hishamuddin Hashim berkata kertas siasatan kini dirujuk semula kepada Timbalan Pendakwa Raya, dan arahan telah dikeluarkan untuk dijalankan siasatan lanjut terhadap isu berbangkit.

    “SPRM ingin menjelaskan bahawa kes berkenaan telah pun dibuka dan disiasat pada 2019, dengan fokus kepada isu rasuah dan salah guna kuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Pada 9 Feb lepas, Pengarah SPRM Negeri Sembilan Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail dilaporkan berkata, siasatan berhubung isu dakwaan penyelewengan wang zakat melibatkan MAINS Zakat Sdn Bhd tidak menemukan sebarang unsur kesalahan jenayah rasuah di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

    MAINS juga dilaporkan turut mengeluarkan kenyataan menafikan tohmahan dan fitnah yang disebarkan melalui media sosial, berkenaan salah guna wang zakat di Negeri Sembilan.

    Sebelum ini, tular di aplikasi Telegram mengenai laporan pecah amanah wang kutipan zakat melibatkan pegawai jabatan tersebut. – BERNAMA

  • PRU-15: PDRM keluarkan lebih 3,000 permit berkempen di seluruh negara

    PRU-15: PDRM keluarkan lebih 3,000 permit berkempen di seluruh negara

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mengeluarkan sebanyak 3,457 permit bagi mengadakan ceramah sepanjang kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) setakat semalam.

    Pengarah Operasi PRU15 PDRM Datuk Seri Hazani Abdullah berkata daripada jumlah itu, 623 permit dikeluarkan di Sabah, Johor (482), Perak (413), Sarawak (372), Selangor (320), Kedah (257), Pahang (230), Negeri Sembilan (203), Melaka (162), Pulau Pinang (122), Kelantan (107), Terengganu (77),  Perlis (45) dan Kuala Lumpur (44).

    Beliau berkata pada masa sama, PDRM mengesan 177 ceramah yang tidak memiliki permit iaitu 39 di Negeri Sembilan, Perak (38), Selangor (25), Kedah (21), Kuala Lumpur (18), Johor (17), Pahang (sembilan), Terengganu (enam), Sarawak (tiga) dan Kelantan (satu).

    Mengenai kesalahan berkaitan PRU15, Hazani berkata di Johor kes pertama melibatkan seorang lelaki ditahan kerana disyaki membakar dan membaling mercun terlarang jenis ‘Cake Repeater 138 Shot’  di bahagian belakang pentas tapak kawasan ceramah Parti Pakatan Harapan (PH) di Jalan Bistari 4/1, Taman Yayasan, Segamat.

    “Suspek ditahan kerana mercun dibakarnya boleh membahayakan orang ramai yang hadir mendengar ceramah PH berkenaan dan disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Hazani berkata kes kedua pula melibatkan seorang lelaki tempatan ditemukan dalam keadaan mabuk telah membuat provokasi dengan mematahkan kayu dan membuang bendera Barisan Nasional (BN) di tepi Jalan JB Air Hitam berhadapan sebuah bank di Taman Senai Utama, Senai.

    Beliau berkata kes ketiga di Pulau Pinang, melibatkan seorang lelaki tempatan disyaki memeras ugut pengadu yang ingin memasang bendera di Jalan Padang Tembak, Ayer Itam di kawasan Parlimen Bukit Bendera.

    “Suspek mendakwa bahawa kawasan Ayer Itam adalah kawasan jajahan di bawahnya jika mahu  pasang bendera perlu membuat bayaran.

    “Jika tidak suspek akan mengganggu dan minta konco-konconya membuat kacau di kawasan terlibat,” katanya sambil menambah kes itu disiasat di bawah Seksyen 385 Kanun Keseksaan kerana melakukan pemerasan.

    Bagi kes keempat di Kelantan, seorang pengadu yang berada di Dewan Jeram Tekoh, Gua Musang, telah membuka aplikasi WhatsApp Group ‘Anak Muda Tolak Kuli P32’ dan mendapati ada seorang peserta dikenali sebagai Aznan Rosmadi telah memuat naik gambar kertas undi.

    “Kertas undi berkenaan memaparkan nama parti dan calon yang bertanding di Parlimen Gua Musang. Pengadu musykil bagaimana kertas undi berkenaan diperoleh dan tujuan ia dimuat naik dalam kumpulan WhatsApp,” katanya.

    Selain itu, PDRM turut membuka 22 kertas siasatan di seluruh negara melibatkan pelbagai kesalahan PRU15 antaranya di Sarawak, Sabah dan Selangor yang disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana khianat.

    Di SARAWAK, bertempat di pejabat DAP Cawangan Sarikei, seorang pengadu memaklumkan pekerja dikenali dengan nama panggilan ‘Tengki’ mengatakan di sepanjang Jalan Masjid Lama Sarikei, bermula  daripada sebuah farmasi hingga hadapan Jalan Sugarbun, Sarikei bendera parti DAP telah dipatahkan lebih kurang 30 batang oleh individu tidak dikenali.

    Di SABAH, bertempat di Kampung Kolapis Laut, Beluran, seorang pengadu mendapat makluman daripada ahli parti Warisan bahawa terdapat tiang bendera parti itu telah dirosakkan anggaran empat tiang yang diletakkan di laluan pejalan kaki tepi jalan Taman Arif.

    Hazani berkata pengadu tidak pasti motif atau tujuan serta individu yang melakukan perkara berkenaan.

    “Siasatan di lokasi kejadian mendapati beberapa tiang bendera jenis paip PVC berwarna putih telah dirosakkan.

    “Terdapat  beberapa bendera parti berkenaan berada di atas tanah dan jalan raya manakala tempat kejadian adalah gelap dan lampu jalan tidak berfungsi,” katanya sambil menambah tiada saksi berhubung kejadian itu.

    Di SELANGOR, bertempat di Kajang, seorang pengadu membuat laporan polis telah melihat bendera BN yang diletakkan di hadapan rumah kawasan parkir telah dirosakkan dengan dikoyakkan dan cubaan mencabut ikatan buluh.

    Hazani berkata pengadu mengesyaki ada pihak tidak bertanggungjawab dan mempunyai hasad dengki.

    “Perbuatan ini boleh menimbulkan perasaan marah dan tidak puas hati di mana perlu menghormati sensitiviti jiran dan parti yang disokong setiap individu,” katanya.

    Sementara itu, di JOHOR BAHRU, polis telah membuka tiga kertas siasatan berkaitan kesalahan sempena PRU 15 di negeri ini, setakat semalam.

    Jurucakap Media PRU15 Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor Supt Ibrahim Mat Som berkata tiga kertas siasatan yang dibuka, akan disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan, Seksyen 500 KK dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

    Katanya, sebanyak 477 permohonan permit ceramah oleh parti politik bertanding bagi kempen PRU15 telah pun diluluskan, setakat ini. – BERNAMA

  • Isu Tommy Thomas: Kertas siasatan diperkemas dirujuk semula ke Pejabat Peguam Negara

    Isu Tommy Thomas: Kertas siasatan diperkemas dirujuk semula ke Pejabat Peguam Negara

    KERTAS siasatan yang telah diperkemaskan, berhubung dakwaan-dakwaan yang terkandung dalam buku bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas bertajuk ‘My Story: Justice in the Wilderness’ akan dirujuk semula ke Pejabat Peguam Negara Isnin ini untuk arahan selanjutnya. 

    Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin dalam kenyataan hari ini berkata Polis Diraja Malaysia PDRM juga telah selesai mengambil keterangan Thomas.

    “Susulan laporan Pasukan Petugas Khas Siasatan Ke Atas Dakwaan-Dakwaan Dalam Buku Bertajuk ‘My Story: Justice in the Wilderness’ yang telah ditaklimatkan kepada Jemaah Menteri, dan arahan oleh Perdana Menteri agar siasatan lanjut segera dilaksanakan, kertas siasatan yang telah diperkemaskan akan dirujuk semula ke Pejabat Peguam Negara,” katanya.

    Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengarahkan agensi penguat kuasa segera melaksanakan siasatan lanjut bagi menyiasat kemungkinan salah laku Thomas, berhubung pelbagai dakwaan yang terkandung dalam bukunya.

    Ismail Sabri berkata berdasarkan siasatan, pasukan petugas itu telah mengkategorikan 19 isu penting yang dikesan dalam buku berkenaan kepada empat isu utama iaitu dakwaan ke atas Badan Kehakiman; pendedahan maklumat dan rahsia kerajaan; tindakan tidak sah, salah guna kuasa serta kecuaian profesional; dan kenyataan berbaur hasutan. – BERNAMA

  • Kertas siasatan pendakwah selebriti dirujuk kepada TPR

    Kertas siasatan pendakwah selebriti dirujuk kepada TPR

    DUA kertas siasatan membabitkan pendakwah selebriti berusia 40-an yang ditahan reman berkaitan kes amang seksual fizikal terhadap remaja lelaki sudah dirujuk kepada timbalan pendakwa raya (TPR).

    Harian Metro yang memetik sumber melaporkan, kertas siasatan yang dirujuk kepada TPR berkenaan membabitkan laporan dibuat mangsa di Selangor dan Negeri Sembilan.

    Katanya, reman membabitkan pendakwah selebriti berkenaan di Negeri Sembilan juga, sudah tamat kelmarin.

    “Setakat ini, polis menerima tujuh laporan polis membabitkan empat di Selangor, dua di Negeri Sembilan dan satu di Kuala Lumpur.

    “Kesemua mangsa yang membuat laporan membabitkan remaja lelaki berusia antara 16 sehingga 18 tahun,” katanya.

    Harian Metro, sebelum ini, melaporkan berkenalan sewaktu mengikuti program sesi motivasi sebelum dipujuk dan paksa melakukan perbuatan amang seksual fizikal.

    Itu antara hasil siasatan awal polis membabitkan seorang pendakwah selebriti yang dikaitkan dengan empat laporan polis berkenaan kes jenayah seksual terhadap empat remaja lelaki.

    Sumber berkata, mangsa kes amang seksual fizikal terbabit mendakwa diarah melakukan perbuatan tidak senonoh oleh suspek yang pernah menyertai program realiti agama sebelum ini.

    Sementara itu, Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed dilaporkan berkata, setakat ini, Polis Kontinjen Selangor menerima empat laporan polis iaitu dua di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, satu di IPD Shah Alam dan satu di IPD Kajang berhubung kejadian itu.

    Menurutnya, semua laporan polis itu dibuat oleh empat individu berusia antara 17 hingga 18 tahun yang mendakwa menjadi mangsa amang seksual fizikal oleh seorang penceramah bebas.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017,” katanya.

  • Polis rujuk kertas siasatan ahli Parlimen berhimpun kepada Pejabat Peguam Negara

    Polis rujuk kertas siasatan ahli Parlimen berhimpun kepada Pejabat Peguam Negara

    KERTAS siasatan membabitkan Ahli Parlimen yang terlibat dalam perhimpunan di ibu negara pada 2 Ogos lepas telah dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara.

    Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata kesemua Ahli Parlimen yang terlibat telah memberi keterangan masing-masing dan pihaknya juga telah selesai menjalankan siasatan berhubung perkara itu.

    “Semua yang terlibat sudah diambil keterangan. Insya-Allah akan ada keputusan dan tindakan yang diambil. Mungkin tidak berapa lama lagi,” katanya kepada pemberita selepas menghantar barangan keperluan harian ke rumah beberapa pesara polis di sini hari ini.

    Pada 2 Ogos lepas, sekumpulan Ahli Parlimen berhimpun di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur sebelum berarak dan cuba memasuki pekarangan bangunan Parlimen untuk mendesak supaya Mesyuarat Khas Dewan Rakyat diteruskan namun akhirnya bersurai tanpa sebarang kekecohan selepas diarah polis.

    Sidang khas lima hari itu, yang dijadualkan berakhir pada 2 Ogos, bagaimanapun ditangguhkan atas nasihat Kementerian Kesihatan berikutan penularan COVID-19.

    Acryl Sani juga berkata pembekuan cuti semua anggota serta pegawai polis yang dilaporkan berkuat kuasa pada 12 Ogos adalah sekadar proses pentadbiran dan sememangnya pasukan keselamatan itu perlu sentiasa berada dalam keadaan bersiap sedia.

    “Polis sentiasa dikehendaki berada dalam keadaan bersiap sedia. Cuti ini sebenarnya pentadbiran sahaja. Dalam keadaan siap sedia tersebut, kita akan mengetatkan dari segi pelepasan dan seumpamanya bagi memastikan tahap siap sedia sentiasa ditepati,” katanya.

    Sebelum ini, satu pekeliling bertarikh 12 Ogos tular di media sosial yang memetik Acryl Sani mengeluarkan arahan bahawa cuti dalam negeri, luar negara serta pergerakan luar daerah bagi semua pegawai kanan serta rendah anggota polis dibekukan berkuat kuasa mengikut tarikh ia dikeluarkan sehingga diberitahu kelak.

    Kepada pertanyaan adakah pihak polis sedang melakukan persiapan bagi menghadapi kemungkinan pilihan raya umum dalam masa terdekat, Acryl Sani berkata “Belum lagi.”

    Beliau turut memaklumkan bahawa setakat ini, polis belum menerima sebarang laporan berkaitan salah guna sijil digital vaksinasi namun pihaknya akan sentiasa memantau dan mengambil langkah tertentu bagi mengelakkan perkara itu berlaku.- BERNAMA

  • Kertas siasatan kes amang seksual artis veteran sedang dilengkapkan

    Kertas siasatan kes amang seksual artis veteran sedang dilengkapkan

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    IBU Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya masih menyiasat kes amang seksual membabitkan artis lelaki yang popular pada era 80-an.

    Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Abd. Khalid Othman berkata, pihaknya sedang melengkapkan siasatan kes terhadap artis veteran itu yang juga bapa kepada seorang penyanyi wanita.

    “Apabila kertas siasatan sudah lengkap akan dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

    “Setakat ini siasatan masih berjalan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Sebelum ini media melaporkan artis veteran berkenaan ditahan selepas dipercayai melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan sejak Ogos tahun lalu.

    Pihak polis menerima laporan berhubung kejadian itu pada 3 petang, 21 Julai lalu.

    Kejadian pertama berlaku terhadap mangsa berusia 14 tahun itu pada Ogos tahun lalu di rumah rakan ibunya di sebuah kondominium di Puchong Prima.

    Dua lagi kejadian amang seksual fizikal dilakukan suspek terhadap mangsa yang masih bersekolah di Tingkatan Dua di sebuah sekolah menengah di Puchong itu berlaku pada Oktober dan November lalu.

    Suspek yang ditahan sebelum ini dibebaskan dengan jaminan polis memandangkan dia menghidap penyakit jantung.