Tag: Kertas Pandora

  • 4 laporan diterima, 2 kertas siasatan dirujuk BNM susulan pendedahan Kertas Pandora

    4 laporan diterima, 2 kertas siasatan dirujuk BNM susulan pendedahan Kertas Pandora

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) menerima laporan polis berkait dakwaan wang Malaysia yang dibawa ke luar negara secara haram susulan pendedahan Kertas Pandora baru-baru ini.

    Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah PDRM, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan menjelaskan, dua daripada laporan yang diterima telah diklasifikasi sebagai tiada tindakan lanjut kerana berkaitan dengan aktiviti penyerahan memorandum menggesa siasatan.

    Bagi dua lagi laporan polis katanya, PDRM telah pun membuka kertas siasatan dan menjalankan rakaman percakapan pengadu.

    “Satu kertas siasatan yang dibuka telah pun dirujuk kepada Bank Negara Malaysia (BNM) pada 14 Oktober 2021 manakala satu lagi kertas siasatan akan dirujuk kepada BNM pada 18 Oktober 2021 untuk siasatan lanjut,” memetik kenyataan media yang dikeluarkan beliau hari ini.

    Antara badan politik yang pernah membuat laporan berhubung isu ini adalah Pergerakan Wira Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan Pemuda Pakatan Harapan (PH).

    Pendedahan Pandora Papers seperti yang telah dilaporkan oleh Global Financial Integrity (GFI) mendapati terdapat pengaliran wang Malaysia ke luar negara secara haram yang berjumlah RM1,800 billion dari tahun 2005 sehingga 2015.

    Pendedahan itu turut mendapati beratus ahli politik Malaysia yang terlibat dalam isu ini, termasuk Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Zainal Abidin; Timbalan Menteri Kewangan, Yamani Hafez Musa dan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

    Hari ini, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pula menegaskan, kerajaan terbuka dan tidak akan mencampuri dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa berkenaan kandungan dan pendedahan Kertas Pandora baru-baru ini.

    Perdana Menteri memberi jaminan kerajaan terbuka untuk mana-mana pihak berkuasa yang terlibat untuk melakukan siasatan sekiranya ada bukti terhadap apa yang dilaporkan oleh pihak berkenaan.

  • Dewan Rakyat kekal tolak usul Kertas Pandora

    Dewan Rakyat kekal tolak usul Kertas Pandora

    DEWAN Rakyat hari ini kekal dengan keputusan menolak usul untuk membahaskan pendedahan Kertas Pandora yang didakwa membabitkan fail kewangan sulit beberapa pemimpin negara.

    Permintaan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim itu sekali lagi ditolak Yang Dipetua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun selepas usul secara bertulis itu dihantar kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat pada 4 Okt dan ditolak kali pertama ketika sidang Parlimen pada 6 Okt.

    Azhar berkata, penolakan kali kedua bagi usul dibawa Anwar di bawah Peraturan 90 (1) dan 90 (2) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat kerana ia tidak lengkap, sebaliknya beliau berkata Ahli Parlimen Port Dickson itu perlu menggunakan Peraturan 43.

    “Saya dah tengok surat (notis) Yang Berhormat (Anwar) dan saya sudah tandatangani surat itu dan tepat jangkaan Yang Berhormat saya menolak usul tersebut kerana Yang Berhormat membuat usul untuk (peraturan) 90 (1) dan 90 (2) untuk menghentikan kuat kuasa peraturan, tapi tidakpun dinyatakan peraturan mana yang nak dihentikan.

    “Kedua, pokok pangkal persoalan yg dibangkitkan usul terbaharu ini ialah mengenai perkara sama dan usul di bawah (peraturan) 18(1) dan 18 (2) yang dibuat minggu sudah yang telahpun saya tolak… jadi terpaksalah saya tidak boleh terima 90 (1) dan 90 (2).

    “Mengenai keputusan (tolak usul) minggu sudah, sebenarnya saya rasa aturan yang patut Yang Berhormat gunakan ialah Peraturan 43, iaitu untuk dewan ini melihat semula keputusan saya itu… tapi yang saya dapat usul di bawah 90(1) dan 90(2),” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

    Ketua Pembangkang itu hari ini sekali lagi mempersoalkan keputusan Azhar yang menolak usul tersebut yang dianggap penting untuk segera dibahaskan di Dewan Rakyat.

    Mengulas lanjut, Azhar berkata pendedahan Kertas Pandora itu tidak menyentuh mengenai penyorokan dan aktiviti pengeluaran wang dari negara ke syarikat luar persisir, sebaliknya ia mengenai pemegangan saham dalam syarikat itu.

    “Ia dua perkara yang berlainan Yang Berhormat. Saya telah baca sedikit sebanyak Kertas Pandora itu, ia bukan mengenai aliran keluar wang tapi mengenai pegangan saham beberapa individu dalam syarikat luar pesisir… bukan seperti yang ditanyakan Yang Berhormat,” katanya.

    Penjelasan Azhar bagaimanapun dipersoalkan Anwar yang menyifatkan Yang Dipertua Dewan Rakyat itu bertidak seolah-olah seperti seorang peguam kepada individu yang dikaitkan dengan pendedahan itu.

    Namun, Azhar menepis tuduhan itu dengan menegaskan beliau hanya menjelaskan dan memperbetulkan fakta yang dibangkitkan Anwar.

    “Saya bukan nak jadi peguam, saya cuma membetulkan fakta… takpa Yang Berhomat saya telah buat keputusan dan saya nyatakan keputusan saya itu muktamad. Terpulang pada Yang Berhormat untuk rujuk keputusan itu di bawah Peraturan 43,” katanya. – BERNAMA