Tag: kerjasama UMNO

  • Kerjasama UMNO, DAP tidak mampu bertahan lama – Noh

    Kerjasama UMNO, DAP tidak mampu bertahan lama – Noh

    BEKAS pemimpin veteran UMNO, Tan Sri Noh Omar menjangkakan kerjasama UMNO bersama DAP dalam Pakatan Harapan (PH) tidak akan mampu bertahan lama.

    Noh yang dipecat UMNO dan kini menyertai Perikatan Nasional (PN) berkata ,sejarah sudah membuktikan sebelum ini tiada mana-mana parti Melayu yang akan dapat bertahan lama dengan DAP kerana tidak tahan dengan tuntutan parti tersebut.

    “…. Dan saya salah seorang yang tak bersetuju bila bawa dalam mesyuarat Majlis Tertinggi untuk UMNO nak kerjasama dengan Pakatan Harapan.

    “Saya tak bersetuju. Saya cakap dekat setengah jam, saya berhujah. Saya kata fikirlah, tak ada mana-mana parti yang berteraskan Melayu ini yang boleh lama dengan DAP,” katanya semasa berucap pada ceramah PN di Sungai Burong malam tadi.

    Bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang itu berkata, kerjasama parti Melayu seperti Semangat 46, Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dengan DAP sebelum ini berakhir dengan kegagalan dan akhirnya terpaksa menamatkan hubungan politik.

    “…Akhirnya kawan dengan DAP kena kencing. Betul? Pas pun sama. Bersatu semasa Tun Dr. Mahathir Mohamad pun tidak boleh tahan dengan DAP,” katanya lapor portal AgendaDaily.

    Noh juga membidas pihak pengkritik yang menuduhnya sebagai pengkhianat kerana menentang UMNO sekarang, walhal realitinya pengkhianat sebenar adalah Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

    “Perhimpunan Agung UMNO dan putuskan No Anwar, No DAP… Tiba-tiba Presiden UMNO boleh paksa tandatangan sebagai Ahli Parlimen surat akuan bersumpah (SD) supaya Datuk Seri Anwar Ibrahim jadi Perdana Menteri.

    “Saya kata, gila apa engkau ini? Baharu sahaja kata No Anwar, No DAP tapi sekarang suruh saya tandatangan sokong (Anwar).

    “Jadi siapa pengkhianat sebenar? Saya ke pengkhianat?” ujarnya lagi.

    Untuk rekod, Zahid membawa UMNO bekerjasama dengan PH yang terdapatnya DAP dan memberi sokongan kepada Anwar untuk menjadi Perdana Menteri (PMX).

    Tanpa sokongan Zahid, sudah pastinya Anwar tidak dapat menjadi PM dan dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri (TPM).

    Zahid ketika ini sedang berdepan 47 pertuduhan kes rasuah yang masih lagi dibicarakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

  • Muktamar PAS lulus usuk penyatuan Melayu Islam, terus kerjasama dengan UMNO

    Muktamar PAS lulus usuk penyatuan Melayu Islam, terus kerjasama dengan UMNO

    MUKTAMAR Tahunan PAS Pusat ke-68 bertema Malaysia Sejahtera hari ini melabuh tirai dengan meluluskan 13 usul termasuk penyatuan parti politik dan pertubuhan Melayu-Islam pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

    Usul yang dikemukakan oleh Dewan Ulama PAS Pusat itu bertujuan mengembalikan kuasa parti-parti politik teras Melayu-Islam dalam pilihan raya berkenaan termasuk meneruskan kerjasama dengan UMNO melalui platform Muafakat Nasional (MN) untuk memastikan situasi satu lawan satu pada PRU15.

    Semasa sesi perbahasan usul itu di Kompleks PAS Kedah di sini, perwakilan Dewan Ulama PAS Pusat Roslan Md Isa berkata PAS perlu menyatukan parti-parti politik teras Melayu supaya tidak terjadi perpecahan undi.

    “Strategi satu lawan satu juga diperlukan bagi mengelak pertembungan parti politik teras Melayu Islam, kita juga menolak sebarang kerjasama politik dengan Pakatan Harapan dan juga khemah besar,” katanya.

    Ketika menyokong usul itu, perwakilan dari Taiping Mahjube Hanafi berkata kepimpinan PAS perlu mengeluarkan surat jemputan kepada pemimpin tertinggi UMNO untuk mengadakan rundingan agar sasaran satu lawan satu pada PRU15 dapat direalisasikan.

    “Saya percaya undi UMNO adalah penting untuk kita wujudkan politik Melayu Islam di negara ini. Walaupun Presiden UMNO ada menyebut jangan terhegeh-hegeh nak bersama PAS tetapi kita kena lihat juga hubungan PAS dengan UMNO dalam kalangan ahli akar umbi begitu mesra umpama kepala kereta api dengan gerabak,” katanya.

    Turut diluluskan usul berkaitan PAS perlu menerajui gerakan Islam bagi penyatuan ummah merentasi sempadan negara dan benua yang dibahaskan oleh perwakilan Dewan Pemuda PAS Pusat Mohd Hanif Jamaluddin.

    Mewakili dewan itu, Mohd Hanif berkata cadangan tersebut dikemukakan susulan krisis dan cabaran dunia politik semasa yang semakin hebat sejak kebelakangan ini dan pelantikan Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang selaku Utusan Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah seharusnya dimanfaatkan.

     Kedua-dua usul diluluskan bersama lima usul lain yang dibahaskan pada muktamar itu manakala enam lagi diterima tanpa dibahaskan.

    Antaranya (usul yang diterima tanpa dibahas) mewujudkan akta mengawal tindakan provokasi biadap terhadap agama dan membentuk Jawatankuasa Khas PAS Pusat untuk memantau tugas Ahli Parlimen serta Ahli Dewan Undangan Negeri daripada parti itu.

    Muktamar ditangguhkan ke suatu tarikh pada tahun depan yang akan ditetapkan kelak dan Kelantan dipilih sebagai tuan rumah bagi muktamar seterusnya.- BERNAMA