Tag: kerjasama politik

  • Beri mesej buruk jika PH, UMNO gerak solo hadapi PRN, kata Mahfuz

    Beri mesej buruk jika PH, UMNO gerak solo hadapi PRN, kata Mahfuz

    TIDAK boleh tidak, PH dan BN mesti bergabung tenaga untuk menghadapi pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri beberapa bulan akan datang bagi menghadapi Perikatan Nasional (PN).

    Pengerusi PH Kedah, Datuk Mahfuz Omar berkata, bergerak secara solo dan menentang satu sama lain pada PRN akan datang hanya akan memberikan mesej yang buruk kepada kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Justeru katanya, kerjasama antara Pakatan Harapan (PH), dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi PRN itu, sudah hampir pasti berlaku selepas kedua-dua gabungan itu membentuk kerajaan perpaduan.

    “Saya melihat ia (kerjasama) hampir pasti akan berlaku. Keadaan seperti itu tidak boleh jika tidak berlaku.

    “Jika ia tidak berlaku, bermakna kita memberikan satu mesej salah terhadap Kerajaan Perpaduan yang ada di peringkat Persekutuan ini di mana berlaku gandingan PH-BN dan parti-parti lain.

    “Jadi, hampir pasti PRN enam negeri akan berlangsung dengan gandingan PH, BN bagi menghadapi Perikatan Nasional,” katanya dalam satu temubual eksklusif bersama Harapan Daily.

    Dalam perkembangan sama, Mahfuz yang juga bekas Ahli Parlimen Pokok Sena itu memberitahu bahawa PH di peringkat nasional telah pun memberi lampu hijau kepada semua pemimpin untuk mengadakan perbincangan awal bersama BN bagi menghadapi PRN.

    Di peringkat Kedah, kata Mahfuz, beliau sendiri bersama dua lagi pemimpin AMANAH telah bertemu dengan Pengerusi BN Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom bagi membincangkan kerjasama tersebut.

    Beliau melihat ia sebagai pendekatan positif yang akan mendorong kepada persefahaman yang lebih baik.

    “Saya telah dimaklumkan bahawa di enam negeri khususnya telah diberikan green light untuk memulakan perbincangan awal antara PH dan BN.

    “Saya sendiri bersama lagi dua orang pimpinan AMANAH telah bertemu dengan Jamil Khir selaku Pengerusi BN Kedah bersama Setiausaha BN Kedah dan beberapa orang lagi di pejabat UMNO untuk membincangkan soal Kedah, khususnya nak menghadapi PRN,” ujarnya.

    Di Kedah, Perikatan Nasional menguasai 13 daripada 14 kerusi Parlimen, sementara BN dan UMNO gagal memenangi sebarang kerusi.

  • Kerjasama PH-BN dalam PRN: Bukan soal sukar, masa akan tentukan – Loke

    Kerjasama PH-BN dalam PRN: Bukan soal sukar, masa akan tentukan – Loke

    SETIAUSAHA Agung DAP Anthony Loke Siew Fook berkata tidak timbul soal kesukaran dalam rundingan kerjasama politik antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun ini.

    Ahli Parlimen Seremban yang juga Menteri Pengangkutan itu berkata dalam politik, pemasaan sangat penting untuk membuat sebarang keputusan mengenai parti.

    “Dalam politik, yang penting adalah pemasaan… sesuatu perkara yang hendak dilakukan perlu dipertimbang… apabila sampai masanya, keputusan akan dibuat, jadi memang ada prosesnya untuk kita berbincang dan berunding,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Pertandingan Bakat Belia N9 2022 di sini hari ini.

    Bagaimanapun, beliau berkata fokus ketika ini adalah memastikan pentadbiran kerajaan berjalan lancar kerana rakyat mahu melihat Kerajaan Perpaduan berfungsi dan menjalankan tugas dengan baik.

    “Kalau pembubaran Dewan Undangan Negeri dibuat, masih ada tempoh 60 hari baru ada pilihan raya. Masing-masing ada pengalaman yang cukup, jadi saya tidak bimbang soal lambat untuk berunding, tidak timbul masalah itu,” katanya.

    Enam negeri yang terlibat dengan PRN tahun ini ialah Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

    Semalam, media melaporkan Setiausaha Agung PH Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata gabungan politik itu belum memulakan perbincangan mengenai kerjasama dengan BN untuk menghadapi PRN. – BERNAMA

  • “Saya tidak lihat orang Melayu gembira dengan senario politik PH-BN,” kata Peja

    “Saya tidak lihat orang Melayu gembira dengan senario politik PH-BN,” kata Peja

    PINTU kerjasama Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) hanya akan terbuka sekiranya kepimpinan koalisi itu adalah bersih daripada kelompok kleptokrat serta komited memperjuangkan agenda mengangkat kepentingan agama, bangsa dan negara.

    Timbalan Pengerusi PN, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, beliau secara peribadi kurang bersetuju sekiranya agenda penyatuan dua koalisi terbesar itu hanya digerakkan menerusi idea kerjasama parti tanpa mengambil kira soal integriti kepimpinannya.

    Jelasnya, PN dan BERSATU sehingga kini konsisten mengekalkan agenda perjuangan rakyat terutama dalam mempertahankan kepentingan kaum Melayu, Bumiputera dan kedaulatan agama Islam.

    Beliau yang juga Timbalan Presiden BERSATU turut menuntut UMNO-BN membuktikan terlebih dahulu bahawa kepimpinan koalisi itu benar-benar bersih daripada amalan kleptokrasi, tidak menggadaikan prinsip demi kuasa serta selari dengan perjuangan membela rakyat dijuarai PN.

    “Secara peribadi saya tidak bersetuju PN bekerjasama dengan UMNO-BN pada masa hadapan hanya berasaskan kehendak parti tanpa mengambil kira soal integriti dan prinsip kepimpinannya.

    “Dengan kerajaan gabungan diketuai Pakatan Harapan (PH) dan BN tidak layak dianggap Kerajaan Perpaduan, pada saat ini saya tidak melihat orang Melayu gembira dengan senario politik sedia ada di mana pucuk kepimpinan UMNO seolah-olah menggadaikan prinsip parti demi meraih kuasa melalui penyertaan kerajaan sekarang.

    “Dengan pengundi Melayu dan Bumiputera melihat PN merupakan parti alternatif paling konsisten memperjuangkan hak mereka, saya hanya bersetuju PN membuka pintu kerjasama dengan UMNO-BN setelah pucuk kepimpinan mereka bukan lagi terdiri daripada kelompok kleptokrat,” katanya kepada Sinar Premium, semalam.

    Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang menegaskan koalisi itu berpendirian terbuka untuk menjalin kerjasama dengan mana-mana gabungan parti politik pada masa depan termasuk BN.

    Ketua Pembangkang Dewan Rakyat itu bagaimanapun enggan merujuk cadangan kerjasama itu sebagai Muafakat Nasional (MN) dan menegaskan ia hanya boleh direalisasikan jika semua pemimpin bersetuju dengan satu matlamat yang sama.

    Pendirian Hamzah itu dibuat di tengah-tengah spekulasi satu gerakan politik dipanggil Langkah London kini sedang hangat diperkatakan melibatkan beberapa pemimpin PN dan UMNO.

    Terdapat pihak tertentu mendakwa Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengadakan pertemuan sulit bersama beberapa pemimpin UMNO di London bagi tujuan menjatuhkan Kerajaan Perpaduan Malaysia dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Ditanya mengenai dakwaan Langkah London dikaitkan dengan penglibatan Muhyiddin dan beberapa pemimpin PN, Ahmad Faizal enggan mengulasnya kerana menyifatkan perkara itu sebagai mengarut.

    “Saya tidak berminat untuk ulas isu spekulasi sebegini. Ia menunjukkan seolah-olah mentaliti kita terlalu sempit sehinggakan orang pergi bercuti di luar negara pun dianggap cuba mengadakan gerakan politik sulit.

    “Kalau begitu, selepas ini kalau saya singgah (kedai serbaneka) 7-Eleven pun, takkan dianggap Langkah 7-Eleven pula?” ujarnya.

    Sementara itu, Ahmad Faizal yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan percaya PN dengan kekuatan parti-parti komponen sedia ada masih mampu mengekalkan momentum kejayaan koalisi itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Pilihan Raya Negeri (PRN) enam negeri yang tertangguh sebelum ini.

  • Anwar ‘tak sentuh langsung’ Zahid, tapi serang saya, kata Muhyiddin

    Anwar ‘tak sentuh langsung’ Zahid, tapi serang saya, kata Muhyiddin

    TAN Sri Muhyiddin Yassin mendakwa Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak ‘menyerang’ Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, ketika beliau berkempen di Parlimen Bagan Datuk Isnin lalu.

    Situasi itu seolah-olah menyokong dakwaan adanya suatu ‘persefahaman’ antara Barisan Nasional dan Pakatan Harapan selepas PRU-15, meskipun ia dinafikan oleh pemimpin kedua-dua gabungan itu.

    Muhyiddin mendakwa, Anwar ‘tidak sentuh’ Zahid meskipun pemimpin BN itu berdepan kes mahkamah.

    “Dia (Anwar) tak sentuh langsung. Jadi apakah betul pandangan sesetengah pihak seolah-olah ada bentuk satu persefahaman atau kerjasama kalau tak cukup bilangan (kerusi menang).

    “Anwar tahu UMNO korup, salah guna kuasa, penyelewengan, ada sudah masuk penjara. Kes ‘kluster mahkamah’ di hadapan dia, yang itu dia tak serang. Saya ini apa ada? Kalau ikut, kes tiada. Kenapa saya diserang?” soalnya selepas program bersama penduduk Kampung Jawa di Pagoh.

    PRU-15 menyaksikan PN pimpinan Muhyiddin bersaing dengan BN meskipun parti beliau pernah bekerjasama Umno untuk membentuk kerajaan sebelum ini, di sebalik laporan mengenai perseteruan kedua-dua parti.

    Sementara itu, Muhyiddin percaya Anwar amat bimbang dengan sokongan terhadap PN, terutama trend anak muda yang menurut beliau menjurus ke arah gabungan pimpinannya itu.

    “Muka dia tak cerah sekarang, sedih saja. Bagi saya, ini soal persaingan dalam sistem demokrasi. Ada orang suka, ada orang tak suka, itu biasalah. Saya serang dia juga. Dia kata saya ‘bapa perintah kawalan pergerakan’…tak apalah, mungkin dia sudah tertekan,” tambah beliau lapor Free Malaysia Today.

  • PRU-15:PN sedia pertimbang kerjasama politik jika…

    PRU-15:PN sedia pertimbang kerjasama politik jika…

    PERIKATAN Nasional (PN) sedia mempertimbangkn langkah kerjasama dengan gabungan parti politik lain sekiranya tiada parti yang berjaya mendapat majoriti mudah 112 kerusi Parlimen untuk membentuk kerajaan.

    Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, jika keadaan itu berlaku, PN akan akan mengadakan mesyuarat tergempar untuk memikirkan strategi atau langkah selanjutnya.

    Bagaimanapun jelas beliau, PN akan melihat haluan dan tujuan parti yang tidak bercanggah dengan dasar perjuangan mereka jika ingin bekerjasama.

    “Kalau kita fikir perlu gabungan, PN mempunyai sahabat di Sarawak seperti Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang sejak dahulu menyokong beliau membentuk kerajaan.

    “Dan (parti itu) tidak ada isu janggal ataupun hala tuju sama yang tidak bercanggah dengan dasar perjuangan kita sehingga kita perlu mengorbankan prinsip kita macam isu Islam dan Hak orang Melayu dan sebagainya.

    “Itu antara asas atau perkara yang akan kita ambil kira jika tinbul keadaan seperti itu,” katanya dalam sesi temubual bersama AstroAWANI.

    Mengulas lanjut Muhyiddin berkata, ramai penganalisis politik serta pemerhati yang membuat perkiraan dan jangkaan angka parti yang bertanding dalam PRU-15 boleh mencapai majoriti, namun sebahagian besar tidak boleh mencapai majoriti.

    Namun kata Presiden Bersatu itu, apa yang perlu dilakukan oleh PN menjelang hari terakhir berkempen ialah berusaha bersungguh-sungguh dengan harapan akan berlaku peningkatan sokongan dalam bentuk gelombang dari orang Melayu.

    “Apa pun strategi kita sekarang ini adalah untuk usaha bersungguh-sungguh, dengan harapan ada satu gelombang.

    “Kalau gelombang di kalangan melayu itu kukuh dan kuat, dan sudah ada lihat tanda-tanda begitu, kemungkinan ia akan tercapai,” ujarnya.

  • PRU-15: Muhyiddin ulang penegasan PN tidak akan kerjasama mana-mana parti

    PRU-15: Muhyiddin ulang penegasan PN tidak akan kerjasama mana-mana parti

    TAN Sri Muhyiddin Yassin sekali lagi menegaskan Perikatan Nasional (PN) tidak akan bekerjasama dengan mana-mana parti pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Beliau yang juga pengerusi gabunagn itu berkata, tiada kerjasama itu kerana berpegang pada prinsip bahawa PN ada kekuatan sendiri.

    “Kenapa nak gabung dengan pihak lain. Berbaki tiga hari lagi PRU yang agak kritikal menjadi penentu.

    “Saya mengharap atau menjangka akan ada satu bentuk gelombang kesedaran baru di kalangan pengundi terutama pengundi Melayu bahawa kita perlu bertindak sekarang,” katanya ketika ditemubual Sinar Live ‘Cukup-Cukuplah fitnah PN’ hari ini.

    Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, jika berlaku satu peningkatan gelombang peratusan sokongan Melayu dan orang Cina meningkat sedikit, PN boleh menang pada PRU-15.

    Beliau berharap sokongan Melayu akan meningkat sehingga 70 peratus kepada PN.

    Ini kerana dalam PN ada Bersatu dan Pas. Selain Gerakan, ini dua gabungan besar parti politik Melayu dan Islam.

    “Kalau situ tarikan terbesarnya dan kita dapat menarik sekurangnya 70 peratus dan yang sekarang hampir dekat 60 peratus dalam tempoh hari ke depan, saya fikir akan berlaku kawasan yang 50-50 akan ada peningkatan dari situ kita boleh menang,” katanya.

    Sebelum ini, Muhyiddin dilaporkan berkata, PN tidak pernah memberi mandat kepada Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan untuk berunding dengan BN bagi membentuk kerajaan selepas PRU15.

    Beliau berkata, tujuan PN bertanding pada PRU15 bagi membentuk kerajaan tanpa perlu bergabung dengan Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Harapan (PH).

    Pada Selasa, Takiyuddin berkata, kenyataannya berhubung PN dan BN dapat bergabung membentuk kerajaan selepas PRU15 diambil di luar konteks.

    Katanya, sebarang kenyataan berhubung kerjasama dengan BN tidak berbangkit dan tajuk laporan media juga mengelirukan pengundi.

  • PRU-15: Tiada kerjasama PN, GTA – Muhyiddin

    PRU-15: Tiada kerjasama PN, GTA – Muhyiddin

    PERIKATAN Nasional (PN) memutuskan untuk tidak bekerjasama dengan Gerakan Tanah Air (GTA) pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad pada Pilihanraya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pihaknya mengambil keputusan untuk bergerak ke depan dengan parti komponen sedia ada.

    “Tidak ada perbincangan untuk bekerjasama dengan GTA. Bukan PN tidak mahu ada kerjasama tetapi kita memutuskan untuk bergerak ke hadapan dengan apa yang sudah dirancang sejak awal,” katanya.

    Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden PN di ibu pejabat Bersatu di Petaling Jaya, lapor Berita Harian, hari ini.

    Turut hadir ialah Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

    Muhyiddin juga menafikan dakwaan ada perbincangan antara PN dan GTA tetapi belum dimuktamadkan kerana ada isu belum selesai.

    Pengerusi Penaja GTA, Dr Mahathir hari ini berkata pihaknya masih meneruskan perbincangan kerjasama dengan GTA dan menyelesaikan beberapa isu dan memberikan masa kepada PN selama dua hari untuk putuskan.

    Muhyiddin berkata, beliau tidak tahu mengenai perbincangan itu kerana tidak dibawa ke Majlis Presiden PN.

    “Tidak ada perbincangan dan tidak ada mesyuarat rasmi. Mungkin ada bincang di peringkat bawahan tetapi tidak sampai kepada majlis (presiden), saya tidak tahu,” katanya.

  • Hasrat kerjasama Tun M-Anwar hanya ‘retorik’ – Wan Saiful

    Hasrat kerjasama Tun M-Anwar hanya ‘retorik’ – Wan Saiful

    HASRAT kerjasama di antara Pengerusi Penaja Gerakan Tanah Air (GTA) Tun Dr Mahathir Mohamad dan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim disifatkan sebagai retorik perpaduan politik.

    Menurut Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan, kerjasama berkenaan bukanlah benar-benar ikhlas sebaliknya parti yang bersungguh-sungguh mahukan perpaduan ummah adalah Perikatan Nasional (PN) yang terdiri daripada Bersatu dan Pas.

    Malah, Pengerusi Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini telah melakukan perjumpaan dengan beberapa pemimpin parti-parti politik lain mengajak kepada perpaduan.

    “Saya rasa yang menunjukkan kesungguhan untuk mencapai perpaduan ummah adalah daripada kita yang berada dalam Perikatan Nasional (PN), baik Pas baik Bersatu.

    “Pengerusi Perikatan Nasional Tan Sri Muhyiddin Yassin sebenarnya dah secara berterusan sebelum ini berjumpa dengan presiden dan juga pemimpin daripada parti parti lain mengajak ke arah perpaduan.

    “Tapi sebenarnya di sebelah parti lain ni, bagi saya, banyak retoriknya. Kesungguhan yang mungkin belum terbuktilah setakat ini.

    “Jadi ini contoh terkini bagaimana ada retorik mengenai perpaduan dan akhirnya yang menolak perpaduan itu bukan kita,” kata Wan Saiful, lapor Astro AWani.

    Wan Saiful mengulas kenyataan Dr Mahathir sebelum ini yang menilai kemungkinan kerjasama dengan PN yang dipimpin Muhyiddin bagi menghadapi PRU-15.

  • Kerjasama politik PAS dalam MN ‘dangkal’, tiba masa UMNO ke depan

    Kerjasama politik PAS dalam MN ‘dangkal’, tiba masa UMNO ke depan

    UMNO perlu bergerak ke depan memandangkan PAS hanya menawarkan kerjasama politik yang disifatkan “dangkal” dalam Muafakat Nasional (MN).

    Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kestabilan, keyakinan dan kerjasama kukuh dalam MN tidak dapat dijalin, lebih-lebih lagi PAS menjalinkan hubungan dengan parti yang secara jelas mahu menghancurkan UMNO dari luar dan dalam.

    Beliau merujuk kepada keputusan PAS menyertai Perikatan Nasional (PN) yang diterajui oleh Bersatu, parti serpihan Umno.

    “Apa yang saya lihat, kerjasama yang PAS sampaikan hanya satu bentuk kerjasama politik dangkal yang tidak mengambil kira keperluan rakyat sebagaimana semangat MN yang sebenar.

    “Hanya dengan kembali kepada kerjasama asal, barulah keikhlasan PAS dapat dilihat,” kata Zahid di Facebook sebagaimana lapor Free Malaysia Today.

    Menurutnya, UMNO perlu bergerak ke hadapan dan keputusan untuk bergerak solo pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) hasil sikap PAS sendiri.

    “UMNO tak perlu sedu-sedan apabila PAS sendiri sentiasa main selamat dan mandi dalam beberapa kolam,” katanya.

    Zahid berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, semalam, bahawa parti itu tidak pernah mengisytiharkan MN dibubarkan, begitu juga dengan UMNO.

    Tuan Ibrahim berkata, platform penyatuan ummah itu perlu diteruskan demi kepentingan bangsa Melayu dan Islam serta masa depan negara.

    Dua parti Melayu terbesar itu membentuk pakatan berkenaan pada September 2019 sebagai persefahaman pilihan raya dengan matlamat utama menyatukan undi Melayu-Islam.

    Namun, pada Disember tahun lalu, PAS menolak gagasan MN jika UMNO enggan menerima Bersatu dan badan bukan kerajaan (NGO) menyertai gagasan itu.

    Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang ketika itu berkata, berdasarkan piagam MN, kedua-dua parti sedia menerima parti lain termasuk Bersatu dan NGO.

    Pada 2 Ogos, Zahid mengajak PAS mengadu kekuatan terlebih dulu pada PRU15, sekiranya ingin bercakap berhubung pembentukan kerjasama.

    Katanya, jika PAS masih mahu membentuk kerjasama dengan Umno, ia boleh dilakukan selepas PRU15.

    “Kalau nak jalin sebarang bentuk kerjasama, jalin selepas keputusan PRU15…sekarang kita turun ke gelanggang dan adu kekuatan..kekuatan dari segi pengaruh pengundi-pengundi.

    “Walaupun mahukan persefahaman dan sebagainya itu hanyalah harapan, tetapi realitinya rakyat tahu parti mana boleh membela nasib mereka,” katanya dalam wawancara “Jawab, Saya Tanya!” yang disiarkan secara langsung di Facebook miliknya.

  • PN boleh bincang dengan GTA, kerjasama ‘tak tahu lagi’ – Tun M

    PN boleh bincang dengan GTA, kerjasama ‘tak tahu lagi’ – Tun M

    GERAKAN Tanah Air (GTA) terbuka untuk berbincang dengan Perikatan Nasional (PN) mengenai kerjasama menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), namun keputusan sama ada kerjasama akan dijalinkan ‘tidak tahu lagi’, kata Pengerusi Penaja GTA Tun Dr Mahathir Mohamad.

    Beliau yang mengulas saranan Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin agar parti pembangkang mempertimbangkan untuk membuka semula pintu rundingan dengan PN berkata, kerjasama dengan PN perlu dibincangkan dengan semua parti gabungan dan badan bukan kerajaan (NGO) dalam gerakan itu.

    “Dia (Muhyiddin) boleh datang bincang tapi keputusan (untuk kerjasama) kita tidak tahu lagi,” katanya kepada pemberita selepas sesi ‘flag off’ Program Semangat Merdeka anjuran GTA di sini hari ini.

    Dr Mahathir berkata Muhyiddin ada datang bertemu dengannya baru-baru ini, namun ia hanya pertemuan biasa dan bukan perbincangan mengenai kerjasama politik.

    Muhyiddin ketika berucap pada Konvensyen PN Sabtu lepas menyarankan semua pimpinan parti pembangkang untuk mempertimbang semula rundingan dengan PN untuk mencapai kesepakatan pada PRU15 akan datang.

    Dr Mahathir berkata GTA yang dianggotai empat parti iaitu Pejuang, Berjasa, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman) serta NGO berjuang berpaksikan kepada penentangan salah guna kuasa, rasuah dan memperjuangkan hak kaum Melayu bagi membina sebuah kerajaan yang bersih.

    Beliau berkata GTA akan mengemukakan permohonan pendaftaran gerakan itu dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) pada 6 Sept ini.- BERNAMA