Tag: kerjasama BN PH

  • Kerjasama BN-PH beri kelebihan calon PN di Padang Serai, Tioman

    Kerjasama BN-PH beri kelebihan calon PN di Padang Serai, Tioman

    PAS Kelantan yakin calon Perikatan Nasional (PN) di Parlimen Padang Serai dan DUN Tioman akan menjadi pilihan rakyat pada hari pengundian 7 Disember ini.

    Setiausaha Badan Perhubungan Pas negeri, Wan Roslan Wan Hamat berkata, situasi itu dapat dilihat berdasar momentum sokongan penduduk tempatan di kedua-dua lokasi terbabit.

    Menurutnya, tindakan Barisan Nasional (BN) melutut kepada Pakatan Harapan (PH) sukar diterima pengundi Melayu yang rata-rata menolak DAP.

    “Ia adalah antara beberapa isu panas yang semakin diperkatakan rakyat sekarang. Mereka melihat Umno terperangkap dengan agenda PH,” katanya di Kota Bharu lapor Harakahdaily.

    Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) bagi kedua-dua kawasan Parlimen itu terbabit ditangguh sebelum ini berikutan kematian calon yang bertanding sebelum hari pengundian berlangsung.

    Di Parlimen Padang Serai, PN menampilkan ADUN Lunas, Datuk Azman Nasrudin. Beliau berdepan calon PH, Dr Mohamad Sofee Razak; Dato’ C. Sivaraajh (BN); dan Hamzah Abd Rahman (Pejuang).

    Di Tioman pula Nor Idayu Hashim mewakili calon PN berdepan Mohd Johari (BN), Sulaiman Bakar (Bebas), Osman Bakar (Pejuang) dan Mohd Fadzli Mohd Ramly (PH).

    Sementara, Wan Roslan yang juga anggota Exco kerajaan negeri berkata, petugas pilihan raya Pas peringkat kawasan dialu-alukan membantu kempen PN di Tioman dan Padang Serai.

    Menurutnya biarpun tiada arahan rasmi, namun sekiranya ada petugas pilihan raya yang berminat membantu sangat dialu-alukan kerana keringat mereka diperlukan.

    “Atas dasar tanggungjawab dalam perjuangan, petugas pilihan raya dari Kelantan dialu-alukan turun padang membantu kempen calon PN.

    “Orang Kelantan terkenal dengan semangat kental dalam politik, sebut sahaja pilihan raya mereka sedia menggalas tanggungjawab bagi memastikan kemenangan calon kita,” ujarnya.

  • Keputusan bersama PH khianat orang Melayu, ahli UMNO

    Keputusan bersama PH khianat orang Melayu, ahli UMNO

    Oleh BADLISHAH MAT

    LANGKAH Barisan Nasional (BN) dan UMNO bersama-sama membentuk kerajaan diketuai Pakatan Harapan (PH) mengecewakan akar umbi UMNO dan orang Melayu.

    Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, tindakan itu juga mengkhianati keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) serta Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang tegas menyatakan tiada kerjasama akan dijalinkan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP.

    “Saya hendak beritahu bahawa banyak orang (pemimpin UMNO) telah dihukum, saya sendiri telah diboo ketika PAU kerana pada pandangan mereka saya melawan arus.

    “Tetapi kita dapati bahawa No Anwar dan No DAP adalah (keputusan yang dibuat) didalam PAU yang telah diputuskan dan telah diluluskan di peringkat MKT.

    “Saya nak bertanyakan di mana peringkat (yang mengatakan) tidak (kepada keputusan ini), (yang) mengatakan bahawa Yes Anwar, Yes DAP, ini mengecewakan orang UMNO dan orang Melayu yang menyokong UMNO,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa menemani calon Perikatan Nasional (PN) Parlimen Padang Serai, Datuk Azman Nasrudin berkempen di pasar malam Sungai Karangan, Kulim.

    Shahidan mengulas kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang menegaskan penolakan parti itu untuk bekerjasama dengan PKR, DAP dan Bersatu adalah ketika berdepan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan bukannya selepas itu.

    Pengerusi BN itu berkata, dalam konteks semasa, tindakan bersama-sama PH membentuk kerajaan adalah langkah membuat perubahan politik yang lebih sederhana.

    Sementara itu, Shahidan yang juga bekas Menteri Wilayah Persekutuan berkata, kekecewaan dalam kalangan akar umbi UMNO dan orang Melayu itu juga akan membawa kepada sokongan jitu kepada PN yang dilihat sebagai wadah terbaik penyatuan ummah.

    Mengulas mengenai peluang PN menang di Padang Serai, Shahidan menyatakan bahawa gelombang yang berlaku di Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu dan negeri-negeri yang menyokong gabungan itu akan berterusan dan mampu membawa kemenangan besar di kerusi itu.

  • Kerjasama BN-PH dianggap jual maruah parti demi kekal berkuasa

    Kerjasama BN-PH dianggap jual maruah parti demi kekal berkuasa

    TINDAKAN Pengerusi Barisan Nasional (BN) yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membentuk kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dianggap menjual maruah parti itu untuk kekal berkuasa.

    Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah menegaskan, demi mengekalkan kuasa politik, BN khususnya UMNO yang melaungkan ‘No PKR, No DAP, No Bersatu’, mengetepikan prinsip tersebut.

    Menurut bekas ahli majlis tertinggi UMNO itu, walaupun menyedari bahawa apa yang dilakukan Zahid adalah strategi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), beliau tetap beranggapan tindakan BN itu seolah-olah langsung tidak berpegang kepada prinsip dan nilai dalam sebuah perjuangan.

    “Pilihan raya umum kali ini benar-benar pelik, banyak perkara tidak disangka berlaku. Ini pun tak pernah berlaku, ada orang berkempen dalam pilihan raya maki orang bagai nak rak, lepas pilihan raya pergi peluk orang itu bagai nak rak. Tak ada dalam pilihan raya.

    “Tak ada dalam pilihan raya seorang pemimpin seperti Zahid yang laungkan ‘No Anwar, No DAP itu untuk pilihan raya saja, lepas pilihan raya lain.

    “Jadi kalaulah sebelum pilihan raya macam itu, selepas pilihan raya macam lain. Jadi esok dia cakap macam itu, lusa dia cakap lain lah agaknya. Sebelum dilantik dalam Kabinet lain, lepas dilantik lain.

    “Ada orang cakap dengan saya, dia kata ini soal strategi, betul saya faham soal strategi tapi kalau pun strategi, kita dalam Perikatan Nasional (PN) takkan sanggup sampai menjual maruah semurah itu, kita tak sanggup buat sebab itu bila kita kata tiada PH, memang tiada PH. Bila kita kata tidak mahu membentuk kerajaan dengan PH, kita tak kerjasama dengan PH,” katanya semasa ceramah PN di Rompin malam tadi.

    Mengulas lanjut, Saifuddin yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tinggi Bersatu menegaskan, PN kekal berpegang kepada pendirian parti dan sanggup jadi pembangkang yang bermaruah daripada mengemis kuasa bersama dengan PH.

    “Itu baru perjuangan, kalau hari ini maki PH, biarlah kita ni berpegang kepada sesuatu prinsip dan nilai.

    “Jangan kita terlalu mudah demi untuk jadi Perdana Menteri, Menteri Besar, Menteri, demi untuk jadi exco, maka kita boleh jual maruah kita dengan semurah dan semudah itu. Kita ada ada prinsip dan kita ada nilai,” katanya lagi.

    Menurut Zahid semalam, prinsip menolak sebarang kerjasama dengan PKR, DAP dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) adalah hanya untuk berdepan PRU-15, dan bukannya selepas pilihan raya umum itu.

    “Selepas pilihan raya umum, marilah kita merapatkan barisan. Umpama ‘lidi seikat’ ini perlu bagi menyapu segala kotoran yang telah dilemparkan kepada UMNO dan pembersihan ini penting bagi memastikan laman politik tidak kotor luar dan dalam,” katanya menerusi hantaran di laman facebook miliknya.

    Tambah Zahid lagi, apa yang berlaku dalam arena politik negara hari ini tidak akan menghilangkan identiti UMNO yang tetap tidak berubah objektif penubuhan parti iaitu sebagai wadah perjuangan orang Melayu dan Islam bagi memperkasa kemajuan bangsa.

  • Zahid tiada hak putuskan kerjasama BN, PH – Ismail Sabri

    Zahid tiada hak putuskan kerjasama BN, PH – Ismail Sabri

    PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak mempunyai hak untuk memutuskan mengenai pembentukan kerajaan campuran antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

    Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara itu hanya boleh ditentukan oleh Majlis Tertinggi (MT) BN.

    “Presiden tiada hak, biro politik pun tiada hak. Hanya MT BN saja boleh membuat keputusan,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

    Ismail Sabri bersama beberapa kepimpinan BN dilihat sudah tiba di Hotel Seri Pacific, dipercayai bagi mengadakan pertemuan dengan PH bagi membincangkan mengenai pembentukan kerajaan campuran.

    Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN, sudah tiba di Hotel Seri Pacific bagi tujuan itu.

    Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga dilihat sudah tiba.

    Ketika ditanya mengenai jemputan pertemuan ini, Ismail Sabri berkata, beliau dijemput Setiausaha UMNO Pahang.

    “Semua Ahli Parlimen Pahang dijemput,” katanya.

  • Hishammuddin ulangi gesaan tolak kerjasama BN dengan PH, rela dipecat

    Hishammuddin ulangi gesaan tolak kerjasama BN dengan PH, rela dipecat

    BENDAHARI Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengulangi pendirian beliau untuk menolak kerjasama parti itu dengan Pakatan Harapan (PH) bagi membentuk kerajaan.

    Malah kata beliau, beliau rela dipecat oleh parti namun tidak akan sesekali mengubah pendirian teguh ini.

    “Seperti saya tegaskan kelmarin dan sebelum ini lagi, (saya) tetap menolak kerjasama dengan Pakatan Harapan.

    “Saya rela dipecat oleh parti namun tidak akan sesekali mengubah pendirian teguh ini.

    “No Anwar, No DAP – pihak yang merasakan boleh mengambil tindakan memecat saya kerana berpegang kepada pendirian ini, silakan,” katanya menerusi kenyataan di Facebook beliau.

    Kenyataan beliau itu dipercayai merujuk kepada pertemuan antara pemimpin PH dan BN di Hotel Seri Pacific di ibu negara.

    Ia dikatakan berkaitan dengan soal pembentukan kerajaan Persekutuan dengan PH memenangi 82 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dan BN 30 kerusi.

    Sebelum ini, Hishammuddin dalam kenyataan semalam berpendirian untuk tidak bekerjasama dengan PH bagi membentuk kerajaan.

    Menurutnya, keperluan parti itu untuk bekerjasama dengan pihak yang berkongsi nilai dan matlamat yang sehaluan.

    Katanya, rakyat sudah membuat pilihan mereka dalam PRU-15 dan ia harus dihormati serta insafi.