Tag: Kerjasama

  • 5 ahli politik ditahan bantah kerjasama GPS-PN

    5 ahli politik ditahan bantah kerjasama GPS-PN

    PRESIDEN Parti Bumi Kenyalang (PBK), Voon Lee Shan bersama empat lagi pemimpin parti itu ditahan di Kuching, semalam, kerana terbabit dalam bantahan terhadap kerjasama Gabungan Parti Sarawak (GPS) dengan Perikatan Nasional (PN).

    Lapor Berita Harian, kesemua ahli politik itu difahamkan menaiki lima kenderaan berkonvoi sekitar bandar raya ini sambil melaungkan ‘Say no to PAS’ petang kelmarin.

    Bantahan itu diadakan kerana parti terbabit tidak menerima Pas yang menjadi komponen utama PN.

    Sumber berkata, kelima-lima ahli politik itu ditahan dan dibawa ke Balai Polis Simpang Tiga, di Kuching, kira-kira pukul 11 malam tadi.

    Jurucakap polis berkata, siasatan terhadap lima ahli politik itu dijalankan mengikut Seksyen 4 Akta Hasutan 1948, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Sementara itu, Lee Shan dalam hantaran di akaun Facebooknya berkata, mereka dibawa ke Mahkamah Majistret Kuching untuk mendapatkan perintah tahanan reman, hari ini.

    Ahad lalu, Pengerusi GPS, Tan Sri Abang Johari Abang Openg, mengumumkan keputusan GPS untuk menyertai kerajaan campuran bersama PN, Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

  • Kerjasama GRS-BN akan diteruskan pasaca PRU-15 – Hajiji

    Kerjasama GRS-BN akan diteruskan pasaca PRU-15 – Hajiji

    KETUA Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkeyakinan bahawa kerjasama antara Gabungan Rakyat Sabah-Barisan Nasional (GRS-BN) akan berterusan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).  

    Pengerusi GRS itu berkata formula GRS-BN telah terbukti di peringkat negeri dengan kerjasama erat untuk mentadbir dan membawa banyak pembangunan kepada negeri dan rakyat.  

    “Sudah tentu…ia adalah suatu kesinambungan mandat yang diberikan rakyat semasa Pilihan Raya Negeri lepas. Jadi, kami perlu ada kerjasama kukuh bagi memastikan kami mendukung mandat ini,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan bangunan baharu Sekolah Menengah Advent Tamparuli (SMAT) di sini hari ini.

    Ditanya sama ada Kerajaan Negeri Sabah akan mengisytiharkan Nov 18 sebagai cuti umum, beliau berkata perkara itu harus diteliti terlebih dahulu.  

    Menyentuh mengenai pendidikan, beliau berkata kerajaan negeri telah memperuntukkan sejumlah RM3.38 juta kepada badan agama bukan Islam, sekolah Cina dan mubaligh di Tuaran tahun ini.  

    Daripada angka itu RM1.078 juta untuk badan agama bukan Islam dan selebihnya untuk sekolah Cina dan mubaligh di Daerah Tuaran.

    Beliau menegaskan kerajaan negeri telah bersetuju untuk meningkatkan peruntukan keseluruhan untuk badan agama bukan Islam,  sekolah Cina dan mubaligh sebanyak RM7 juta kepada RM54 juta tahun depan.

    Dalam ucapan perasmian bangunan baharu SMAT yang boleh menampung 500 pelajar pada satu-satu masa,  Hajiji memuji sekolah itu yang sebelum ini dikenali sebagai Sekolah Menengah Seventh-Day Adventist kerana menghasilkan ramai pelajar berjaya sepanjang lebih dari 80 tahun kewujudannya.

    “Saya yakin SMAT akan meneruskan kecemerlangannya dalam pendidikan dengan menyediakan peluang kepada pelajar untuk cemerlang terutamanya mereka dari kawasan luar bandar,” katanya.

    Sebagai menghargai tenaga pengajar SMAT, Ketua Menteri mengumumkan peruntukan sebanyak RM100,000 untuk membantu pengurusan sekolah dalam meningkatkan program akademik dan pada masa sama beliau berkata kerajaan negeri juga akan mempertimbangkan permintaan SMAT untuk kemudahan lain  termasuk gelanggang bola keranjang berbumbung.

    Terdahulu, Hajiji berkata pendidikan merupakan aganda utama Kerajaan Negeri GRS-BN, maka pembangunan modal insan adalah antara teras Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) dan kerana itu kerajaan negeri tidak teragak-agak meluluskan permohonan tanah seluas 0.1 hektar  daripada Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) (Cina) Chung Hwa untuk projek “Green and Nature Park”.

    Hajiji juga mengejutkan guru dan murid SJK Cina Chung Hwa dengan meluluskan sumbangan untuk papan tanda pintar “Green and Nature Park” dan pancaragam sekolah itu berjumlah RM150,000 seperti yang dipohon Pengerusi Lembaga Pengarah sekolah itu   Chong Hong Kong dalam ucapannya terdahulu. – BERNAMA

  • Hubungan dengan PN : Abang Jo akan buat keputusan – Fadillah

    Hubungan dengan PN : Abang Jo akan buat keputusan – Fadillah

    PENGERUSI Gabungan Parti Sarawak (GPS) Tan Sri Abang Johari Tun Openg akan membuat keputusan mengenai hubungan atau kerjasama gabungan itu dengan Perikatan Nasional (PN).

    Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Seri Fadillah Yusof berkata ini susulan tindakan PN bertanding di empat kerusi Parlimen iaitu Saratok, Lubok Antu, Bintulu dan Batang Lupar di Sarawak pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Beliau berkata mengikut pemahamannya, PN mahu menjadi ‘kawan’ kepada GPS dan tidak akan bertanding di Sarawak.

    “Bila mereka (PN) dah letak calon (di Sarawak)… dalam negara yang demokrasi, GPS akan lawan mereka.

    “Kita akan buat keputusan (mengenai hubungan dengan PN) bila sampai waktunya dan kita beri mandat penuh pada Abang Johari untuk buat keputusan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program kempen sempena PRU15 di sini, hari.

    GPS dianggotai PBB, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).

    Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian pada 19 Nov manakala pengundian awal 15 Nov. – BERNAMA