Tag: kereta api

  • [VIDEO] Nahas kereta api: Seorang maut, berpuluh mangsa cedera

    [VIDEO] Nahas kereta api: Seorang maut, berpuluh mangsa cedera

    SEORANG mangsa maut dan berpuluh-puluh lagi cedera dalam nahas kereta api penumpang yang berlaku di selatan Vienna, Austria petang semalam.

    Memetik laporan Mirror, dua jurucakap Pertubuhan Palang Merah mengesahkan kereta api terbabit tergelincir dari landasan.

    Punca kemalangan yang tragik berhampiran bandar Muenchendorf itu belum diketahui.

    Gambar-gambar kereta api dalam keadaan terbalik akibat kemalangan kini tular dalam media sosial.

    Tiga mangsa yang cedera dilaporkan dalam keadaan parah.

    Nahas kereta api laluan Pottendorfer itu dipercayai berlaku kira-kira pukul 6 petang waktu tempatan.

    Para penumpang yang cedera dibawa ke pusat bantuan bencana Munich Village yang dikendalikan Pertubuhan Palang Merah.

    Sejumlah besar anggota penyelamat dihantar ke lokasi kejadian dengan disertai empat helikopter.

  • Kereta api diserang, lapan penumpang maut 26 cedera

    Kereta api diserang, lapan penumpang maut 26 cedera

    SEORANG pegawai di negeri Kaduna di utara Nigeria pada Selasa mengesahkan lapan penumpang terbunuh dan 26 yang lain cedera dalam serangan ke atas kereta api penumpang Kaduna-Abuja oleh sekumpulan lelaki bersenjata, lapor Xinhua.

    Pesuruhjaya Keselamatan Dalaman dan Hal Ehwal Negeri, Samuel Aruwan dalam mengesahkan angka itu dalam satu kenyataan, mendedahkan bahawa maklumat daripada Nigerian Railway Corporation (NRC) menunjukkan seramai 362 penumpang disahkan telah membeli tiket.

    Menurut Aruwan, senarai penumpang tidak termasuk petugas NRC dan pegawai keselamatan di dalam kereta api, sambil menambah terdapat beberapa penumpang yang tidak diketahui.

    Siasatan bagi mengenal pasti status penumpang masih berjalan dan belum diketahui setakat ini.

    Pada malam Isnin sebuah kereta api penumpang dalam perjalanan dari Abuja menuju ke Kaduna, ibu negara Nigeria, diserang oleh lelaki bersenjata di Rijana, sebuah bandar di Kaduna. Pengganas menanam alat letupan di sepanjang landasan, dan letupan berlaku sebaik kereta api menghampirinya, menyebabkan keretapi tergelincir.

    Presiden Nigeria, Muhammadu Buhari pada Selasa mengutuk sekeras-kerasnya pengeboman kereta api penumpang, menyifatkannya sebagai perkara yang membimbangkan. – BERNAMA

  • Enjin kereta api ekspres Tumpat – JB terbakar

    Enjin kereta api ekspres Tumpat – JB terbakar

    BAHAGIAN enjin sebuah kereta api ekspres dari Tumpat ke Johor Bahru terbakar di Kampung Anok Machang, Sungai Keladi dekat Pasir Mas pada pukul 9.44 malam tadi.

    Bagaimanapun tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan.

    Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Pasir Mas Shapawi Setapa berkata, kejadian kebakaran berpunca daripada enjin di bahagian hadapan kereta api yang membawa 13 gerabak penumpang itu dan berjaya dipadamkan pada pukul 1.44 pagi tadi.

    “Dua jentera dari balai bomba dari Pasir Mas dan Tanah Merah serta turut dibantu anggota bomba sukarela Rong Chenok dan anggota polis daripada Balai Polis Tok Uban melibatkan kira-kira 30 orang.

    “Kesemua penumpang seramai 180 orang berjaya diselamatkan dan tiada sebarang kecederaan berlaku,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

    Kereta api tersebut telah dibawa ke stesen Pasir Mas untuk tindakan pihak Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB). – BERNAMA

  • Lelaki maut dilanggar kereta api

    Lelaki maut dilanggar kereta api

    SEORANG lelaki warga tempatan berusia 40-an maut selepas dilanggar kereta api di Kilometer (KM) 4.5 Landasan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) berhampiran kawasan perusahaan Perai di Kampung Jawa, Butterworth, Pulau Pinang.

    Kejadian itu berlaku kira-kira pukul 8.20 malam tadi melibatkan sebuah kereta api yang dalam laluan landasan dari arah Butterworth menghala ke Bukit Mertajam.

    Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abdul Samad berkata, dalam kejadian itu mangsa maut di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah pada seluruh badan.

    “Mayatnya dibawa ke Bahagian Forensik Hospital Seberang Jaya (HSJ) di sini untuk tujuan saringan Covid-19 dan bedah siasat,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

    Menurut Shafee, siasatan awal polis mendapati tidak terdapat sebarang unsur jenayah dalam kejadian itu dan kes tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

    Dalam masa sama, beliau menasihatkan orang ramai tidak menceroboh mana-mana kawasan yang dipagari atau cuba melintas landasan milik KTMB kerana boleh membahayakan nyawa serta mengundang kepada kerosakan harta benda.