Tag: kereta

  • Polis Kedah sedia hadapi jangkaan 2 juta kereta masuk utara tanah air

    Polis Kedah sedia hadapi jangkaan 2 juta kereta masuk utara tanah air

    Oleh RIZQI ZABIDI

    POLIS Kedah sudah pun membuat persiapan rapi bagi memastikan kelancaran trafik ketika hampir dua juta kenderaan dijangka akan memasuki kawasan utara tanah air di sepanjang tempoh musim perayaan ini.

    Menurut Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad, angka itu merupakan peningkatan antara 20 hingga 30 peratus kenderaan berbanding hari-hari biasa.

    Katanya, seramai 309 pegawai dan anggota bakal ditugaskan di seluruh negeri ini bagi memantau pergerakkan trafik serta melaksanakan tugas diperlukan di sepanjang tempoh itu.

    “Seramai 38 pegawai serta 182 anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) akan bertugas bagi memastikan kelancaran pergerakan trafik di seluruh Kedah di sepanjang musim perayaan ini. Mereka akan turut dibantu 89 anggota dari lain-lain elemen dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) merangkumi semua daerah dalam kontinjen Kedah.

    “Setakat ini pihak polis telah mengenal pasti 13 ‘black spot’ yang perlu diberi lebih perhatian di sepanjang pelaksanaan Op Selamat bermula esok hingga 27 April depan.

    “Antara lokasi itu adalah Jalan Alor Setar ke Butterworth, Jalan Kuala Ketil ke Bandar Baharu, Jalan Sungai Petani ke Baling dan Jalan Gurun ke Kepala Batas,” katanya.

    Beliau ditemui pemberita dalam sidang akhbar selepas menyampaikan sumbangan kuih raya sempena Aidilfitri kepada pegawai dan anggota di Markas Taktikal (Martak) Bukit Kayu Hitam di sini, hari ini.

    Beliau memaklumkan, pihak polis akan turut melakukan pemantauan dengan menggunakan dron bagi memastikan pengguna jalan raya sentiasa mematuhi peraturan ditetapkan.

    “Dalam masa sama, kami turut menubuhkan pasukan ‘Cantas’ dari Jabatan Siasatan Jenayah (CID) bagi melaksanakan rondaan lebih kerap bersama unit narkotik dan sebagainya. Elemen kawalan sempadan turut diperketatkan bagi mengelakkan pencerobohan anasir tidak baik di sepanjang musim perayaan ini,” katanya.

    Sementara itu katanya, jumlah kesalahan melibatkan mercun di Kedah setakat ini hanyalah 15 kes dengan nilai rampasan kira-kira RM53,000.

    “Kes itu disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dengan kebanyakannya melibatkan kesalahan tiada permit atau lesen menjalankan perniagaan.

    “Di Kedah, kami telah menerima 152 permohonan untuk mendapatkan lesen dan telah meluluskan 136 daripadanya. Pelbagai penilaian dibuat sebelum kelulusan diberi seperti dari aspek keselamatan simpanan dan rekod jenayah pemohon,” katanya.

  • Tunku Putera Johor selamat dalam kemalangan pada perlumbaan GT Australia

    Tunku Putera Johor selamat dalam kemalangan pada perlumbaan GT Australia

    SULTAN Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menzahirkan rasa syukur anakanda baginda, Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar tidak mengalami kecederaan selepas kereta dipandu ketika pusingan kelayakan GT World Challenge Australia terbabas dan terbalik di litar Mount Panorama, Bathurst, New South Wales, Australia, hari ini.

    “Saya bersyukur Tunku Putera tidak cedera. Pastinya tengah terkejut tetapi dia ok. Saya memberitahunya untuk terus kuatkan semangat, teruskan usaha dan harumkan nama Johor.

    “Dia hampir melayakkan diri di tempat ketiga untuk perlumbaan esok dan ia adalah penampilan pertama Tunku Abu Bakar di litar itu. Dia dan Tunku Panglima (Tunku Abdul Rahman) menunjukkan potensi serta persembahan yang baik. Semoga kita mendapat keputusan yang baik esok,” titah Sultan Ibrahim dalam hantaran yang dimuat naik dalam laman Facebook baginda.

    Menurut hantaran itu, pemanduan lebih 200 kilometer sejam melalui bahagian McPhillamy Park litar itu menyebabkan Tunku Abu Bakar hilang kawalan dan terbabas ke penghadang tayar sebelum kereta Mercedes-Benz GT3 yang dipandu terbalik.

    Orang ramai menarik nafas lega sejurus melihat Tunku Abu Bakar berjaya keluar dari kereta dan menunjukkan isyarat ‘peace’ kepada penonton sebelum menaiki kenderaan kakitangan litar dan perubatan.

    Berikutan insiden dan kerosakan yang dialami, Tunku Abu Bakar dan rakan sepasukan, Jamie Whincup terpaksa menarik diri daripada saingan perlumbaan ‘endurance’ tiga jam esok.

    Tunku Abdul Rahman bersama rakan sepasukan Broc Feeney pula akan meneruskan cabaran JMR Triple Eight Race Engineering, bermula dari petak kedua grid. – BERNAMA

  • Van rempuh majlis perkahwinan, 2 maut 10 lagi cedera

    Van rempuh majlis perkahwinan, 2 maut 10 lagi cedera

    DUA orang maut manakala sepuluh lagi cedera apabila sebuah kereta yang dipandu seorang wanita merempuh sebuah majlis perkahwinan di Vancouver, lapor Sputnik.

    Insiden tragis itu berlaku sekitar pukul 6.10 petang waktu tempatan pada Sabtu (01:10 GMT pada Ahad), menurut media Canada CTV memetik Perkhidmatan Kesihatan Kecemasan British Columbia.

    Menurut jurucakap polis Vancouver Barat Konstabel Nicole Braithwaite,  seorang wanita berusia lewat 60-an, memandu kenderaan di laluan masuk, kemudian memecut dan merempuh orang ramai”.

    Dua orang maut akibat insiden itu manakala 10 yang lain dibawa ke hospital (dua dalam keadaan kritikal).

    Wanita itu turut dibawa ke hospital, tetapi tidak berada dalam tahanan polis setakat Ahad.

    Siasatan berhubung kejadian sedang dilakukan.- BERNAMA

  • 3 maut kereta dinaiki terjatuh dari puncak Gunung Taif

    3 maut kereta dinaiki terjatuh dari puncak Gunung Taif

    TIGA orang maut apabila kereta dinaiki mereka terbabas dan jatuh dari puncak Gunung Hada di Taif , Arab Saudi yang dianggarkan mempunyai ketinggian kira-kira 2,000 meter pada Isnin.

    Menurut sumber Pasukan Pertahanan Awam Taif, ketika kejadian, terdapat kabus tebal yang menghalang penglihatan di lokasi dan menyebabkan kenderaan itu terjatuh ke dalam gaung.

    Saudi Gazette melaporkan, pihak Pertahanan Awam Taif menerima laporan kemalangan membabitkan sebuh kereta Mazda dinaiki tiga orang yang jatuh dari kawasan pemandangan gunung di Al-Hada.

    Pasukan Pertahanan Awam kemudian bergegas ke tempat kejadian dan memulakan pencarian besar-besaran untuk mengesan kedudukan kereta dan penumpang.

    Semasa pencarian, mereka menemukan mayat mangsa di pelbagai lokasi berbeza.

    Mayat ketiga hanya ditemui pada pagi Selasa.

    Sementara itu, pihak berkuasa telah membuka semula jalan Hada yang ditutup dari kedua-dua arah sejak beberapa hari lalu berikutan cuaca buruk dan hujan yang menjejaskan jarak penglihatan.

  • ‘Bengkel dari neraka’ tekan harga baiki kereta mangsa banjir?

    ‘Bengkel dari neraka’ tekan harga baiki kereta mangsa banjir?

    BENCANA banjir di berapa negeri baru-baru ini telah memberikan kesan buruk kepada mereka yang terkena musibah tersebut. Di Johor, banjir masih lagi berlaku dan masih tidak surut lagi.

    Ada mangsa banjir yang mengalami kerugian RM1,000, malah ada yang rugi RM100,000 sehingga lebih RM1 juta ringgit. Mana tidaknya, ada kereta-kereta yang bernilai lebih RM1 juta juga ditenggelami air dan lumpur.

    Jika hendak dituding kesalahan dan angkara siapakah musibah bencana kali ini, memang ramailah yang akan dipersalahkan.

    Namun, bukan mereka sahaja yang bermasalah, ada juga pihak lain yang mengambil kesempatan untuk menekan masyarakat yang sedang kepeningan menghadapi musibah ini.

    Baru-baru ini, gegak gempita dalam media sosial dengan invois-invois daripada beberapa bengkel yang mencecah puluhan ribu ringgit untuk membaiki kereta-kereta yang ditenggelami banjir.

    Malah, ada yang tergamak menggelarkan bengkel-bengkel tersebut sebagai ‘bengkel dari neraka’.

    Bagi menjawab isu tersebut, Nik Muhammad Izwan Nik Mohd Kamel, pengasas bersama Scrut Auto iaitu bengkel membaiki dan servis kereta di Jalan Ampang, Kuala Lumpur berkata, mungkin benar kejadian seperti itu berlaku kerana sifat tamak dan suka mengambil kesempatan itu sentiasa ada dalam jiwa manusia.

    Menurut beliau, lebih-lebih lagi ketika musim banjir kali ini, ekoran terlalu banyak tempat yang dinaiki yang terlibat.

    Kebanyakan bengkel di Lembah Klang penuh dan difahamkan masih banyak kereta yang rosak akibat banjir belum ditarik untuk dibaiki.

    “Mangsa banjir yang hendak menghantar kereta-kereta mereka yang telah terjejas hendaklah terlebih dahulu menghubungi bengkel-bengkel yang mereka kenali terlebih dahulu, dapatkan slot pemeriksaan dan anggaran harga (sebut harga).

    “Jangan terus hantar, kerana kebanyak bengkel sekarang penuh. Pastikan setelah diperiksa, sebut harga diberikan. Jika tidak setuju, rasa mahal, bawa pulang semula kerena anda.”

    “Biasa terjadi hal-hal sebegitu adalah disebabkan kecuaian kita sendiri yang bersifat tidak kisah. Seperti kata-kata, ‘buat je apa yang patut, nanti saya bayar.’ Tanpa meminta sebut harga dulu. Untuk pengetahuan, setiap kereta berbeza harga alat ganti dan kos penyelenggaraan,” katanya, baru-baru ini.

    scrut auto kereta banjir bengkel
    Seorang mekanik di Scrut Auto tekun membaiki kenderaan milik pelanggan.

    Nik Muhammad Izwan juga menyarankan, kereta yang rosak kerana banjir hendaklah dihantar kepada bengkel secepat mungkin bagi mengelakkan kos pembaikan melambung setelah lumpur yang ada di dalam kereta menjadi keras dan menyukarkan pembaikan.

    Sementara itu, seorang lagi pengasas Scrut Auto, Ahmad Aliff A S Ahmad Shariffuddin memberitahu, pihak bengkel juga harus bijak memilih pelanggan.

    Beliau menambah, jika pelanggan tidak mampu membayar, kerugian akan berlaku kepada pihak pengusaha bengkel pula.

    Sebagai contoh, kata Ahmad Aliff, di Scrut Auto, mereka memberi keutamaan kepada pelanggan yang mereka kenali, kemudian barulah pelanggan baharu jika ada slot kosong.

    “Tidak mustahil ada pengusaha bengkel yang hendak mengambil kesempatan ke atas musibah banjir kali ini, maka penggunalah yang harus bertindak bijak. Pilih bengkel yang telah dikenali, dapatkan sebut harga sebelum bersetuju dan pastikan jangan menggunakan khidmat broker!

    “Setiap bengkel ada kadar harga mereka sendiri. Kalau di Scrut Auto, kami menekankan kualiti dan servis terbaik. Bukan ala kadar. ‘You pay peanut, you get monkey’ itu slogan kami di sini.

    “Tetapi, kami akan memberikan sebut harga setelah kerosakan dianggarkan, diagnosis dibuat. Jika tidak bersetuju. Hanya bayar kos pemeriksaan dan diagnosis sahaja, kemudian boleh dibawa kereta anda ke bengkel lain. Begitulah praktis kami di sini,” jelasnya.

    Mereka berdua bersependapat, para pengguna perlu bijak menguruskan musibah ini dan jangan membuat keputusan tergesa-gesa.

    Pada masa yang sama pengusaha bengkel juga dinasihatkan tidak bersikap tamak dan cuba mengambil kesempatan. Jika pelanggan tidak mampu bayar, bagaimana?

    Semalam, Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz turut berkongsi dalam ciapan Twitter miliknya tentang insentif kerajaan bagi meringankan beban pemilik kenderaan yang rosak akibat bencana banjir.

    Menurut beliau, pemilik kenderaan terbabit boleh memohon Baucar Diskaun Automotif Keluarga Malaysia sehingga RM1,000 untuk pembaikan atau penggantian kenderaan penumpang persendirian.

    Selain itu, mereka layak menerima diskaun sehingga 50 peratus bagi kerja pembaikan oleh hampir 20 syarikat automotif dengan rangkaian lebih 1,000 pusat servis berdaftar di seluruh negara.

  • Wanita hilang seminggu ditemui maut kereta terbalik

    Wanita hilang seminggu ditemui maut kereta terbalik

    Oleh:RIZQI ZABIDI

    SEORANG wanita ditemukan maut dalam keadaan menyayat hati hari ini selepas lapan hari keluar dari rumahnya untuk ke kuil, bagi menjalankan upacara buat mendiang suami yang meninggal dunia sejak 2008.

    Menurut Ketua Polis Daerah Kulim, Superintenden Sazalee Adam, mayat L.Hemavathi, 43, ditemui dalam kereta miliknya yang terbalik di sebuah parit dekat Jalan Batu Puteh – Sungai Kob kira-kira pukul 8.30 pagi tadi.

    Katanya, mayat mangsa yang bekerja sebagai operator kilang di sebuah kilang di Kulim, didapati terperangkap dalam kereta tersebut.

    “Kereta mangsa dipercayai terbabas lalu terbalik dalam parit yang dikelilingi semak hingga tidak terlihat dari jalan besar.

    “Tempat mangsa ditemukan tidak jauh daripada kuil di Ladang Maryland dengan jasadnya sudah berbau dipercayai telah meninggal dunia sejak lebih seminggu lalu,” katanya.

    Tambahnya pemerhatian mendapati tiada kesan brek atas jalan tar dengan kereta itu remuk terutamanya di bahagian bumbung dan depan.

    “Mayat mangsa berjaya dikeluarkan dengan bantuan pihak bomba. Kecederaan tidak dapat dikenal pasti secara kasar kerana rupa fizikal mangsa yang telah terjejas,” katanya.

    Menurutnya, barang kemas berupa rantai leher, cincin, rantai tangan serta pakaian mangsa masih lengkap seperti mula-mula dia keluar dari rumah sebelum dilaporkan hilang.

    “Dipercayai tiada unsur-unsur jenayah yang boleh dikaitkan. Mangsa dipercayai tidak memakai tali pinggang keledar manakala ‘air bag’ pula kelihatan berfungsi,” katanya.

    Tambahnya, mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di Sungai Petani bagi tujuan bedah siasat.

  • Pemandu Perodua Viva lawan arus ditahan

    Pemandu Perodua Viva lawan arus ditahan

    POLIS menahan seorang pemandu kereta Perodua Viva yang dipercayai memandu secara melawan arus di bulatan Medini dekat Iskandar Puteri Isnin lepas.

    Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri ACP Dzulkhairi Mukhtar berkata lelaki berumur 34 itu ditahan pada 5 petang semalam di Balai Polis Trafik Gelang Patah selepas diminta hadir memberi keterangan.

    Beliau berkata hasil risikan yang dijalankan mendapati individu terbabit membawa kereta milik sepupunya pada hari kejadian.

    “Pemilik kereta itu diminta hadir ke balai polis trafik dan memberitahu bahawa sepupunya membawa kenderaan miliknya ketika kejadian, individu (pemandu) terbabit kemudian diminta hadir untuk diambil keterangan dan memberikan alasan bahawa keliru dengan jalan bulatan tersebut.

    “Individu tersebut juga mengaku memandu secara menyonsang arus yang boleh mendatangkan bahaya kepada dirinya serta pengguna jalan raya yang lain,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

    Dzulkhairi bagaimanapun berkata hasil ujian saringan air kencing mendapati individu terbabit negatif dadah.

    Katanya, pihak polis turut mengeluarkan saman kepada pemilik kenderaan itu atas kesalahan membenarkan individu memandu tanpa lesen dan kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Terdahulu, video berdurasi 17 saat tular dalam media sosial yang memaparkan sebuah Perodua Viva berwarna perak dipandu melawan arus dan dipercayai video itu dirakam pengguna lebuh raya lain sebelum ia dimuat naik dalam Facebook.- BERNAMA

  • Mayat penumpang Myvi ditemukan

    Mayat penumpang Myvi ditemukan

    MAYAT seorang lelaki ditemukan dalam kereta Perodua Myvi yang dihanyutkan arus deras di Jalan Kionsom Lama, Inanam di sini lewat petang semalam, selepas kenderaan itu berjaya dikeluarkan dari dalam air pada 11.28 pagi tadi.

    Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah dalam kenyataan terbaru memaklumkan, mangsa yang ditemukan merupakan penumpang kereta tersebut iaitu Juning Maturun, 37, dan mayat mangsa telah diserah kepada pihak polis.

    “Operasi pencarian bagi mangsa kedua (pemandu Simon Sanga Tupe, 68) masih dijalankan bersama Unit K9, Pasukan Penyelamat di Air, pihak polis dan penduduk kampung,” menurut kenyataan itu.

    Semalam tular video kereta berkenaan cuba menyeberangi sebuah jambatan yang dilimpahi air sebelum dihanyutkan arus deras ke dalam sungai berhampiran dalam kejadian kira-kira 6 petang.- BERNAMA

  • [Video]Myvi dihanyutkan arus deras di Inanam ditemukan pagi ini

    [Video]Myvi dihanyutkan arus deras di Inanam ditemukan pagi ini

    SEBUAH kereta Perodua Myvi yang dihanyutkan arus deras di Jalan Kionsom Lama, Inanam di sini lewat petang semalam ditemukan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah bersama orang awam pada 7.20 pagi tadi.

    Pusat Gerakan Operasi JBPM Sabah dalam kenyataan hari ini memaklumkan kereta berkenaan ditemukan kira-kira 200 meter dari lokasi ia dilapor hanyut dan pada masa ini pasukan selam jabatan itu sedang menjalankan operasi pemulihan kenderaan terbabit.

    https://youtu.be/8C0-MGylNNY

    Menurut kenyataan itu pasukan bomba masih dalam usaha mencari dua lelaki mangsa kejadian iaitu pemandu kereta bernama Simon Sanga Tupe, berusia 68 tahun dan seorang penumpang dikenali sebagai Juning, 30.

    “Anggota pasukan selam ada menemukan petanda mangsa berada di dalam kereta itu, bagaimanapun operasi masih dijalankan ketika ini dan pasukan sedang mendapatkan pengesahan,” menurut kenyataan itu.

    Semalam tular video kejadian kereta berkenaan cuba menyeberangi sebuah jambatan yang dilimpahi air sebelum dihanyutkan arus deras ke dalam sungai berhampiran dalam kejadian kira-kira 6 petang.- BERNAMA