Tag: kerajaan sementara

  • Parlimen bubar, kerajaan sementara tadbir negara

    Parlimen bubar, kerajaan sementara tadbir negara

    NEGARA kini ditadbir oleh kerajaan sementara, dan segala urusan urusan kerajaan akan dijalankan oleh kerajaan berkenaan selepas Parlimen dibubarkan hari ini. 

    Pakar perlembagaan yang juga Pensyarah Undang-undang dan Polisi Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Madya Dr Muhammad Fathi Yusof berkata berdasarkan kepada Konvensyen Perlembagaan, kerajaan sementara atau ‘caretaker government’ akan memerintah sesebuah negara bermula daripada pembubaran Parlimen sehingga kepada penubuhan kerajaan baru selepas Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan.

    Beliau berkata tiada sebarang formaliti diperlukan untuk pembentukan kerajaan sementara kerana ia terbentuk dengan sendiri sebaik Parlimen dibubar.

    “Di Malaysia kita tiada panduan bertulis, tapi kita sepatutnya mengguna pakai amalan konvensyen Perlembagaan yang sesuai dengan sistem demokrasi berparlimen dengan had-had tertentu,” katanya kepada Bernama di sini. 

    Teka teki mengenai bila Parlimen dibubar bagi memberi laluan kepada PRU15 terjawab selepas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri mengumumkan pembubaran Parlimen berkuat kuasa hari ini..

    Muhammad Fathi berkata antara had itu termasuk sekatan ke atas kuasa badan eksekutif, dengan peranan mereka hanya terhad kepada peranan pentadbiran asas untuk memastikan kelancaran hal ehwal pentadbiran kerajaan.

    Berikutan itu, beliau berkata Perdana Menteri dan ahli kabinet tidak harus dibenarkan membuat keputusan dasar utama yang berkemungkinan melakukan sesuatu yang dibuat oleh kerajaan yang baharu, membuat pelantikan ke jawatan penting atau membuat kontrak atau aku janji yang memberi kesan besar.

    Selain itu, Muhammad Fathi berkata kerajaan sementara tidak dibenarkan menggunakan dana dan jentera kerajaan untuk iklan politik semasa tempoh berkempen dalam PRU.

    Bagi Ahli Majlis Profesor Negara Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood prinsip utama kerajaan Persekutuan ialah tiada perbelanjaan boleh dibuat jika ia tidak diluluskan Parlimen.

    Bekas Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu berpandangan Perdana Menteri yang menerajui kerajaan sementara juga tidak sepatutnya melantik pembantu kerana kerajaan boleh berjalan dengan sokongan dan bantuan penjawat awam di bawah Ketua Setiausaha Negara.

    Ditanya mengenai tempoh mandat kerajaan sementara, Nik Ahmad Kamal berkata terdapat pandangan mengatakan bahawa kerajaan sementara masih berfungsi selagi belum ada kerajaan baharu dilantik manakala pendapat lain mengatakan bahawa kerajaan sementara ini tamat apabila sampai hari mengundi.

    “Saya lebih cenderung kepada pendapat pertama kerana jentera kerajaan seharusnya terus berfungsi semasa hari pilihan raya, dan selepas, sehinggalah kerajaan baharu dilantik dengan Perdana Menteri yang baharu mengangkat sumpah,” katanya.- BERNAMA

    PRU15, Ismail Sabri, Perdana Menteri, kerajaan sementara, konvensyen perlembangaan

  • ‘Kerajaan sementara’ ini berjaya capai banyak perkara jangka masa panjang

    ‘Kerajaan sementara’ ini berjaya capai banyak perkara jangka masa panjang

    PENTADBIRAN yang dianggap sebagai ‘kerajaan sementara’ ketika ini oleh sesetengah pihak dilihat telah berjaya mencapai banyak perkara jangka masa panjang.

    Memetik laporan Astro Awani, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, ia termasuk usaha mewujudkan rang undang-undang yang memastikan negara bebas daripada asap rokok.

    “Dalam tempoh masa setahun, kerajaan yang dianggap sebagai ‘kerajaan sementara’ ini sebenarnya telah berjaya mencapai perkara-perkara yang long term dan long reaching in nature.

    “Tadi Datuk Seri Wan Junaidi sebut reformasi Parlimen, macam-macam undang-undang yang sebelum ini sangat susah nak dilakukan, dapat diluluskan dalam tempoh 12 bulan sahaja.

    Dalam isu kesihatan, saya maklum pada beliau, “Sir (Perdana Menteri), let do something for the future. Jangan ingat kepada next election sahaja, tetapi ingat kepada generasi yang akan datang dan sebab itu beliau sokong saya bawa rang undang-undang untuk kita wujudkan negara bebas asap rokok di Malaysia, pada Oktober kita akan luluskan RUU ini,” katanya.

    Khairy berucap pada Simposium Keluarga Malaysia: Pencapaian dan Harapan, di sini yang dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Ahad.

    Sementara itu, Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang dilaksanakan negara ini disifatkan sebagai antara yang terbaik di dunia.

    Jelas Khairy, kajian dilakukan kementeriannya mendapati, program itu berjaya menyelamatkan lebih dari 17,000 nyawa.

    Walaupun mengakui sebelum ini ramai yang marah dengan sikap tegasnya dalam menangani COVID-19, Khairy berkata, beliau tidak akan memohon maaf di atas ketegasannya itu.

    “Saya tahu ada juga ramai yang marah saya sebab paksa, tegas dalam vaksinasi. I don’t apologize for it, sebab kalau kita melihat kepada hari ini, antara kejayaan kita keluar dari COVID-19 adalah kejayaan program imunisasi COVID-19 kebangasaan, antara terbaik di dunia yang dilaksanakan di Malaysia.

    “Kajian dibuat oleh institut penyelidikan klinikal di bawah KKM menunjukkan program vaksinasi kita telah menyelamatkan tidak kurang dari 17,000 nyawa,” ujarnya.

  • Kerajaan baharu Afghanistan akan mula berfungsi dalam masa terdekat

    Kerajaan baharu Afghanistan akan mula berfungsi dalam masa terdekat

    PEMIMPIN Tertinggi Taliban Hibatullah Akhundzada pada Selasa berkata kerajaan sementara Taliban yang baharu dibentuk bakal berfungsi tidak lama lagi, lapor Xinhua.

    “Memandangkan kerajaan sementara dan Kabinet telah diumumkan pihak berkuasa Islamic Emirate, ia akan mulai berfungsi secepat mungkin untuk mengawal dan menjalankan urusan negara.

    “Saya meyakinkan semua rakyat bahawa kami akan bekerja keras untuk mematuhi peraturan Islam dan undang-undang Syariah,” kata Akhundzada dalam satu kenyataan.

    Kerajaan itu akan diketuai oleh Mullah Mohammad Hassan Akhund (gambar), seorang yang berada dalam senarai hitam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)

    Ini adalah kenyataan pertama dikeluarkan pemimpin tertinggi Taliban sejak kumpulan itu mengambil alih Kabul pada pertengahan Ogos.

    “Kami mahukan kedamaian dan kemakmuran di Afghanistan dan negara yang tidak bergantung kepada orang lain. Kami akan berusaha untuk menghapuskan semua penyebab peperangan dan perselisihan di negara ini dan rakyat hidup aman serta damai,” katanya.

    Kenyataan itu dikeluarkan pada Selasa ketika jurucakap Taliban Zabihullah Mujahid mengumumkan barisan pemerintahan baharu, menyaksikan Mullah Hassan Akhund dilantik sebagai pemangku perdana menteri.- BERNAMA