Tag: kerajaan Pusat

  • Kedah mohon pampasan RM200 juta daripada kerajaan Pusat

    Kedah mohon pampasan RM200 juta daripada kerajaan Pusat

    KEDAH memohon jumlah pampasan RM200 juta daripada Kerajaan Persekutuan berikutan pengorbanan negeri itu tidak membangunkan kawasan tanah yang luas bagi menyumbang kepada keterjaminan makanan kepada negara dan sumber air buat negeri jiran.

    Jelas Datuk Dr Ku Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu), demi kesejahteraan negara, Kedah terpaksa menyimpan seluas 107,495 hektar tanah untuk keterjaminan air bagi Pulau Pinang dan Perlis.

    Selain itu, Ku Abd Rahman yang juga EXCO berkata, kawasan seluas 107,472 hektar tanah pula digunakan untuk tanaman padi di mana Kedah menyumbang sebanyak 40 peratus kepada keperluan beras negara.

    “Kedah banyak berkorban demi kesejahteraan negara di mana tanah yang luas ini boleh ditanam kelapa sawit selepas ditebang balaknya yang boleh menyumbang hasil kewangan yang besar untuk negeri ini.

    “Justeru, Kedah mohon sebagai penghargaan terhadap pengorbanan ini supaya Kerajaan Persekutuan memberikan (Kedah) pampasan sebanyak RM200 juta, sepatutnya lebih daripada itu,” katanya pada sesi Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini, lapor Berita Harian.

    Dalam pada itu, Ku Abd Rahman berkata, pihaknya menekankan soal kepentingan aspek pelaburan kepada semua negeri kerana ia boleh mewujudkan banyak pekerjaan selain hasil premium tanah yang tinggi dapat dikutip, iaitu 10 kali ganda lebih tinggi berbanding cukai pertanian.

    Katanya, kerajaan Persekutuan juga mendapat manfaat apabila boleh meningkatkan kutipan antaranya cukai korporat dan cukai pendapatan.

    “Bagi negeri pula, Kedah sendiri contohnya berjaya meningkatkan hasilnya kepada kira-kira RM700 juta setahun, berbanding RM400 hingga RM500 juta pada 2008 hingga 2012, yang mana ia disumbang oleh pelaburan.

    “Bagi projek Kedah Rubber City contohnya, Majlis Daerah Padang Terap menerima hasil keseluruhan RM25.5 juta, di mana RM1.1 juta sudah diterima,” katanya.

    Beliau turut menghargai peranan Kerajaan Persekutuan yang mewujudkan ‘One Stop Centre (OSC) for Business Travellers’ ketika pandemik pada Oktober 2020, dengan pendekatan itu berjaya menarik jumlah pelaburan sebanyak RM171.8 bilion kepada negara.

    “Melalui OSC itu ia memudahkan pergerakan bagi tujuan perniagaan dengan mempercepatkan kelulusan kemasukan pelaburan ke Malaysia ketika itu,” katanya.

  • Agihan bantuan banjir: Kerajaan Pusat perlu hayati, hormati Perlembagaan

    Agihan bantuan banjir: Kerajaan Pusat perlu hayati, hormati Perlembagaan

    KERAJAAN negeri Terengganu berharap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tidak akan mengamalkan politik sengketa dalam hubungan dengan negeri di bawah pembangkang.

    Bagaimanapun menurut Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar,pendekatan itu terpulang kepada kepimpinan Kerajaan Pusat itu sendiri.

    “Saya tidak mahu komen soal anak tiri atau tidak, tetapi minta Kerajaan Persekutuan menghayati semangat dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan dari segi bidang kuasa jadual bersama antara Kerajaan Pusat dengan Kerajaan Negeri.

    “Segala perbincangan, penyelarasan serta pertemuan perlu dihormati dalam melaksanakan jadual bersama antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Majlis Penyampaian Bantuan Banjir Daerah Besut (Kota Putera dan Kuala Besut) di Kota Putera Square, Kampung Raja Besut, di sini, hari ini.

    Ahmad Samsuri mengulas mengenai dakwaan Terengganu dianaktirikan oleh Kerajaan Pusat dalam agihan bantuan kepada mangsa banjir, apabila peruntukan tidak disalurkan menerusi kerajaan negeri, sebaliknya disalurkan kepada Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP).

    Beliau berkata, namun Kerajaan Perpaduan yang dibentuk ketika ini, belum lagi mencapai 60 atau 100 hari.

    “Kita percaya mereka tidak ingin laksanakan politik sengketa, namun terpulang kepada mereka,” katanya, lapor Berita Harian.

  • Kerajaan Pusat sulitkan negeri ditadbir Pas, dakwa Hadi

    Kerajaan Pusat sulitkan negeri ditadbir Pas, dakwa Hadi

    PRESIDEN Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa pentadbiran negeri yang dipimpin parti itu mengalami kesukaran apabila dihalang dengan pelbagai cara dan penentangan sama ada secara nyata mahupun tersembunyi.

    Menurutnya, walaupun mentadbir dengan kuasa yang sangat terbatas dan tindakan Kerajaan Persekutuan itu jelas membelakangi konsep federalisme dan adab demokrasi diamalkan di negara Barat yang menjadi rujukan mereka.

    “Negeri (ditadbir PAS) tetap disusahkan dengan berbagai-bagai cara, halangan dan penentangannya yang nyata dan tersembunyi,” katanya menerusi ruangan Minda Presiden, di akaun Facebook miliknya, hari ini.

    Mengulas lanjut, Hadi yang juga Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata, tidak menghairankan apabila berlaku penubuhan kerajaan di luar tabii demokrasi pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) walaupun Pas berjaya mendapat jumlah kerusi terbesar.

    Beliau berkata, walaupun Pas sudah berusaha bersama dalam PN yang disertai pelbagai parti yang tidak ekstrem untuk menubuhkan kerajaan campuran mengikut prosesnya tanpa PAS menjadi pemimpin utama.

    Oleh itu kata ahli Parlimen Marang berkenaan, Pas tidak hairan dengan tindakan parti politik yang menentang Islam seperti DAP yang kini bertukar nada dengan tidak bersuara secara terang-terangan.

    Menurutnya, ini kerana parti itu kini berjaya mengadakan pasukan baharu daripada kalangan rakan berwajah Islam yang berwalikannya.

    “Mereka itu laksana kayu bersama mata kapak bagi menebang pokok besar, mengambil pendekatan menipu dengan segala cara seperti melaksanakan amar ma’ruf secara terpilih dan menjadi syaitan bisu terhadap kemungkaran yang nyata,” katanya.

    Bahkan, Hadi berkata, secara nyata parti politik berkenaan juga bergabung dengan kumpulan liberal daripada segi politik, ekonomi, pendidikan, sosial dan media, tanpa batas akhlak dan halal haram.

    “Semuanya demi mencukupkan jumlah sokongan yang dapat menghalang pengaruh Islam dalam kerajaan, walaupun mereka berlindung sementara waktu sebalik Islam dalam perlembagaan mengikut tafsiran salah oleh mereka yang buta al-Quran.

    “Gabungan itu juga turut diikut serta kluster mahkamah dan mereka yang sedang menunggu perbicaraan kerana kes rasuah berskala besar, termasuklah kesalahan lain yang bersedia dengan umpan untuk diselamatkan,” katanya.

    Dalam pada itu Hadi berkata, sikap permusuhan terhadap Islam terus membara sejak zaman awal sehingga zaman penjajahan dan ia berterusan sehingga kini.

    Jelasnya, sikap permusuhan terhadap Islam itu bukan kerana mencari kebenaran dan menegakkan keadilan, tetapi disebabkan hasad dengki walaupun ternyata salahnya.

    “Sehinggakan timbulnya fanatik perkauman yang mencipta berbagai-bagai ideologi bersama fanatik nasionalisme, cauvinisme, sama ada kiri atau kanan,” katanya.

    Sementara itu Hadi menegaskan orang Islam ketika mereka kuat dengan berkuasa, tidak pernah sekali-kali berdendam apabila mendapat kemenangan.

    Namun katanya, mereka tetap bersikap pemaaf, bersabar dan membawa konsep tiada paksaan dalam beragama serta adil kepada semua termasuklah bersedia menerima sesiapa saja dalam masyarakat majmuk.

    “Namun, (pemerintah bukan Islam) mereka terus bermusuh dan melancarkan serangan yang bertubi-tubi terhadap Islam dan penganutnya dengan segala persenjataan dan bala tenteranya yang ganas dengan membunuh dan membakar hangus segala yang melintasinya.

    “Sehinggakan, mereka berjaya menjajah tanah air umat Islam ketika dalam keadaan lemah, bahkan membahagikan tanah air dan rakyatnya sesama negara penjajah bagi memperhambakan rakyat penganut Islam serta merompak hasil kekayaan buminya,” katanya.