Tag: kerajaan PN

  • Jana Wibawa: Kerajaan PN sedia RM7.1 bilion biaya 67 projek

    Jana Wibawa: Kerajaan PN sedia RM7.1 bilion biaya 67 projek

    KERAJAAN Perikatan Nasional (PN) terdahulu memperuntukkan RM7.163 bilion untuk membiayai 67 projek bawah Program Pembangunan Kontraktor Binaan Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa), kata Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan.

    “Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) ada dua projek, Jabatan Perdana Menteri (2), Kementerian Air dan Sumber Asli (7), Kementerian Kesihatan (1), Jabatan Kerja Raya (3), Kementerian Pembangunan Luar Bandar (42).

    “Kementerian Pendidikan (4), Kementerian Pendidikan Tinggi (4), Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kementerian Pertahanan masing-masing satu projek. Jumlah keseluruhannya sebanyak RM7.163 bilion,” katanya ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat. lapor Free Malaysia Today.

    Terdahulu, bekas perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berdepan tujuh pertuduhan berkait projek Jana Wibawa.

    Pagi tadi, pengerusi PN itu mengaku tidak bersalah terhadap satu lagi tuduhan pengubahan wang berhubung program Jana Wibawa, selepas beliau meminta dibicarakan atas empat tuduhan meminta rasuah berjumlah RM232.5 juta dan dua tuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM195 juta pada Jumaat lalu.

    Hutang 1MDB

    Menjawab soalan Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) berhubung jumlah hutang 1MDB, Ahmad berkata, jumlah hutang diambil alih sebanyak RM53.5 bilion.

    Setakat ini, katanya, RM24.5 bilion dibayar kerajaan melalui “shareholder advance” atau pinjaman dan bayaran melalui akaun amanah sebanyak RM19.3 bilion, menjadikan keseluruhan hutang dilangsaikan berjumlah RM43.8 bilion.

    “Jumlah baki hutang belum dibayar ialah RM9.7 bilion yang merupakan prinsipal RM5 bilion dan faedah RM4.7 bilion.

    “Tetapi, kita dapat aset diperoleh daripada 1MDB adalah RM20.3 bilion dan kita juga dapat penyelesaian International Petroleum Investment Company (Ipic) lebih kurang RM8 bilion,” katanya.

    Sebelum ini, Kementerian Kewangan memaklumkan dua firma pelaburan Abu Dhabi itu bersetuju membayar USD1.8 bilion kepada Menteri Kewangan (Diperbadankan) dan 1MDB.

    Katanya, penyelesaian itu dicapai menerusi prosiding di Mahkamah Timbang Tara Antarabangsa London dan Mahkamah Tinggi London.

  • Agong iktiraf prestasi cemerlang kerajaan PN, kata Tuan Ibrahim

    Agong iktiraf prestasi cemerlang kerajaan PN, kata Tuan Ibrahim

    SEMUA pencapaian yang dibentangkan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Riayatuddin Al Mustafa Billah Shah merupakan kejayaan cemerlang kerajaan terdahulu yang telah disahkan baginda sendiri.

    Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, prestasi cemerlang yang ditonjolkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) mendapat pengiktirafan baginda sebelum diteruskan oleh kerajaan Keluarga Malaysia di bawah pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    “Data-data yang dikatakan oleh Tuanku itu ialah hasil kejayaan-kejayaan kerajaan sebelum ini yang ternyata cemerlang.

    “Semua pencapaian yang dibentangkan adalah kejayaan kerajaan terdahulu dan ia bukti nyata sebagaimana yang dinyatakan oleh Tuanku.

    “(Kerajaan PH-BN) yang baru-baru ini baru dua bulan, tak ada apa-apa lagi,” katanya, lapor Harakahdaily.

    Beliau menyatakan demikian sebagai mengulas titah Al Sultan Abdullah semasa merasmikan Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Majlis Parlimen ke-15, hari ini.

    Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, Pas juga menyambut baik saranan Al Sultan Abdullahyang menyeru semua ahli politik supaya mengetepikan agenda politik sempit.

    Menurut beliau, Pas telah lama menyeru agar politik ekstrem diketepikan oleh rakyat.

    “Politik sempit bertentangan dengan nilai Islam dan tentunya tidak membantu negara,” katanya.

    Al Sultan Abdullah semasa merasmikan Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Majlis Parlimen ke-15, hari ini menyeru semua pihak mengenepikan agenda politik sempit dan bersatu hati atas nama perpaduan.

    Baginda bertitah, kestabilan lanskap politik menerusi ikatan perpaduan ahli-ahli parlimen perlu dijadikan sebagai manifestasi dalam membentuk bangsa Malaysia dan era Malaysia baharu yang gemilang.

    Tuan Ibrahim juga menambah, Pas akan memainkan peranan sebagai pembangkang yang konstruktif yang akan menjadi semak imbang kepada kerajaan persekutuan.

    “Kita menyambut baik titah Tuanku dan PN akan bertindak sebagai pembangkang yang konstruktif bagi semak imbang kerajaan yang ada,” katanya lagi.

  • CEO disyaki dalang agih projek runding terus kerajaan PN RM92.5b direman

    CEO disyaki dalang agih projek runding terus kerajaan PN RM92.5b direman

    SEORANG ketua pegawai eksekutif (CEO) sebuah syarikat swasta ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas disyaki menjadi “orang tengah” dalam pengagihan projek kerajaan bawah Pakej Rangsangan Ekonomi sepanjang 2020 hingga 2022.

    Suspek lelaki berusia 42 tahun itu ditahan malam tadi ketika hadir memberi keterangan di ibu pejabat SPRM Putrajaya bagi membantu siasatan.

    Menurut sumber, CEO itu dihadapkan ke Mahkamah Majistret Putrajaya pagi ini dan direman lima hari bermula hari ini hingga 10 Jan.

    Katanya, SPRM membuka beberapa kertas siasatan terhadap sekurang-kurangnya lima individu yang dipercayai menjadi dalang atau orang tengah kepada beberapa syarikat untuk memperoleh projek bernilai antara RM50 juta hingga RM500 juta secara runding terus.

    “Hampir 90 peratus projek yang diberikan secara runding terus masih belum dilaksanakan kerana tiada pengeluaran surat setuju terima lagi.

    “Justeru, SPRM akan memfokuskan kepada siasatan terhadap baki 10 peratus projek yang sedang berjalan membabitkan perkembangan projek antara 10 peratus hingga 20 peratus,” katanya.

    Pada 9 Dis lalu, SPRM berkata fokus siasatan berhubung dakwaan salah guna dana Pakej Rangsangan Ekonomi ketika Covid-19 akan tertumpu kepada RM92.5 bilion, iaitu jumlah dibelanjakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini.

    SPRM berkata, hanya RM92.5 bilion melibatkan dana kerajaan daripada peruntukan dianggarkan berjumlah RM530 bilion yang dibelanjakan pada 2020 dan 2021 berkaitan pengurusan Covid-19.

    Berdasarkan jumlah itu, RM92.5 bilion melibatkan dana kerajaan manakala RM437.5 bilion bukan daripada kerajaan.

    Dalam pada itu, sumber berkata suspek yang ditahan dipercayai menerima rasuah bagi menghubungkan antara kontraktor dan “pihak atasan”.

    Katanya, beberapa kontraktor yang disoal siasat mengaku bersetuju membayar komisen sebanyak 3 hingga 5 peratus dan dimasukkan ke dalam akaun sebuah parti politik konon untuk tujuan pembiayaan politik.

    Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, ketika dihubungi mengesahkan penahanan dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 16 (a) Akta SPRM 2009.

  • Kerajaan PH belum stabil, boleh diugut seperti kerajaan PN – Wan Saiful

    Kerajaan PH belum stabil, boleh diugut seperti kerajaan PN – Wan Saiful

    KERAJAAN Pakatan Harapan (PH) di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim masih tidak stabil dan boleh diugut pada bila-bila masa.

    Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, situasi itu sama sahaja ketika pemerintahan kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah pimpinan bekas perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    “Kasihan kepada perdana menteri cakap pasal reformasi tetapi berhadapan dengan kelompok yang boleh ugut dia, pernah ada rekod jatuhkan kerajaan sendiri, kalau tak penuhi tuntutan mereka masa Muhyiddin dan Ismail sebelum ini.

    “Muhyiddin dijatuhkan oleh beberapa pemimpin BN yang tarik sokongan,” katanya dalam temubual di Agenda Awani semalam lapor BeritaBersatu.

    Beliau merujuk kepada beberapa pimpinan BN yang menarik sokongan kepada Muhyiddin sebelum ini sehingga digantikan dengan Ismail.

    Dalam pada itu, Wan Saiful berkata kerajaan di bawah pimpinan Anwar pada masa ini bergantung pada BN dalam blok kerajaan.

    Katanya, sekiranya diganggu-gugat kesungguhan Anwar untuk reformasi, kerajaan akan terus tidak stabil

    “Jadi kes mahkamah ini akan jadi perhatian. Tiba-tiba Zahid Hamidi (presiden Umno) tak bersalah…..apa akan berlaku?…. dan jika Zahid bersalah apa kesannya dalam konteks kerajaan. Ini perkara besar,” katanya.

    Sementara itu, Wan Saiful yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor berkata beliau bangga PN berada dalam blok pembangkang dan prinsip sanggup ketepikan jawatan dan kuasa itu dijaga.

    Berbeza dengan PH yang sanggup kompromi dengan parti yang dikutuk dan dihina sebelum ini hanya demi dapatkan kuasa.

    “Saya bangga duduk di sebelah PN. Cuma saya bimbang dengan sikap ahli politik populis dalam kerajaan PH inilah yang membuatkan rakyat dalam negara muak dengan orang politik.

    “Sekejap cakap lain, esok cakap lain dan lusa cakap lain,” katanya.

  • Hadi tetap mahu UMNO, Bersatu berbaik demi selamatkan kerajaan PN

    Hadi tetap mahu UMNO, Bersatu berbaik demi selamatkan kerajaan PN

    PAS bertegas akan terus berada di tengah gelanggang pertembungan UMNO dan Bersatu demi menyelamatkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) kata Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang

    Hadi mengulangi pendirian itu di tengah-tengah spekulasi pembubaran Parlimen, selepas Barisan Nasional dan PN dilaporkan berbalah mengenai tarikh pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

    “Apabila UMNO mengajak Pas untuk berkumpul di PWTC yang dimiliki oleh UMNO, maka ditubuhkan gabungan Muafakat Nasional (MN) dengan persetujuan yang ditandatangani bersama piagamnya, kemudian bersetuju dimasukkan juga Bersatu ke dalam gabungan MN.

    “Maka, tiada sebab yang munasabah untuk merungkainya dan menasakhkan keputusan yang telah dimeteraikan kepada gabungan yang hanya terhad kepada UMNO dan Pas sahaja, setelah ada dalam kalangan UMNO menolak Bersatu atau kalangan Bersatu menolak UMNO.

    “Pas tetap mempertahankan konsep wasatiyyah dengan berada di tengah-tengah gelanggang pertembungan yang mahu merungkaikan kejayaan bersama menyelamatkan kerajaan PN,” katanya di Facebook sebagaimana Lapor Free Malaysia Today.

    Hadi turut menasihatkan UMNO dan Bersatu tidak terus berbalah kerana ia hanya akan menjadikan parti itu “gagal dan hilang kekuatan”.

    Terdahulu, media melaporkan 12 menteri PN mengutus surat kepada Yang di-Pertuan Agong berhubung pendirian mereka menolak PRU15 diadakan tahun ini.

    Spekulasi pembubaran Parlimen bertambah hangat selepas perdana menteri dilaporkan berkata, beliau akan mencadangkan tarikh pembubaran Parlimen pada majlis menghadap Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah petang ini, “jika berkesempatan”.