Tag: Kerajaan PH-BN

  • Apakah kerajaan PH-BN ‘putus asa’ dengan pengundi Melayu?

    Apakah kerajaan PH-BN ‘putus asa’ dengan pengundi Melayu?

    MUKA depan akhbar Utusan Malaysia pernah memaparkan laporan Kenyataan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak dengan tajuk “Apa lagi Cina mahu?” sehingga mencetuskan polemik kerana dianggap berbaur perkauman dan hasutan oleh media arus perdana diaungi parti politik utama kerajaan ketika itu, UMNO.

    Kenyataan itu diletakkan muka depan akhbar berbahasa Melayu itu kira-kira 10 tahun yang lalu selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang menyaksikan undi popular beralih kepada pembangkang, Pakatan Rakyat (PR).

    Laporan itu antara lain menyebut pengundi Cina terperangkap dengan politik perkauman DAP tetapi gagal menumbangkan kerajaan ketika itu yang dikuasai Barisan Nasional (BN) serta mendapat sokongan majoriti orang Melayu.

    Polemik daripada laporan itu melihat BN-UMNO sudah berputus asa dengan sokongan pengundi Cina.

    Selepas sedekad berlalu, keadaan yang sama kembali dikesan apabila penganalisis mengatakan parti politik yang menjadi kerajaan dilihat hampir berputus asa dengan sokongan pengundi Melayu.

    Perikatan Nasional (PN) muncul menjadi satu gabungan politik yang memberi saingan sengit kepada BN dan Pakatan Harapan (PH) selepas PRU15.

    Pada PRU15, PN menguasai 74 kerusi Parlimen, sekali gus mendominasi kerusi Parlimen Melayu.

    Memetik laporan MalaysiaNow, penganalisis mengatakan pemimpin parti politik kerajaan mula menunjukkan “tanda” mereka mungkin sudah tidak lagi berharap kepada pengundi Melayu apabila isu-isu melibatkan kebajikan golongan itu seperti peneroka Felda tidak dibela dalam pembentangan Belanjawan 2023.

    Malah, inisiatif kerajaan terdahulu untuk menghapuskan hutang peneroka keseluruhan bernilai RM8 bilion turut dihentikan.

    Selain itu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail juga dikecam hebat apabila membuat kenyataan dikatakan menghina pengundi muda mengatakan yang rendah taraf pendidikan dan tidak bergaji tinggi adalah penyokong PN pada PRU15.

    Penganalisis politik berpandangan situasi-situasi itu membuktikan PH-BN sememangnya sedang menghadapi cabaran besar memenangi hati dan sokongan majoriti orang Melayu.

    Anis Anwar Suhaimi dari O2 Research Malaysia berkata kenyataan Saifuddin dan ketiadaan fokus Belanjawan 2023 terhadap Bumiputera menunjukkan mereka kurang faham kepada rungutan sosioekonomi orang Melayu.

    “Membaca data tanpa kefahaman yang mendalam terhadap akal budi Melayu akan menjurus pada pemesongan tafsiran kepada kelompok ini khususnya penilaian yang dilakukan bersifat urban centric,” katanya kepada MalaysiaNow.

    Katanya, sokongan pengundi Melayu hakikatnya lebih kompetitif dan demokratik kepada parti-parti yang bertanding.

    Menurut Anis, ianya diterjemahkan pada pola pengundian mereka yang rencam dan berbeza antara PRU13, PRU14 dan PRU15.

    Katanya, ini menunjukkan adanya mesej politik yang sedang disampaikan oleh masyarakat Melayu kepada seluruh pemimpin politik yang inginkan sokongan mereka.

    Tambah Anis lagi, di sisi demokrasi tahap pendidikan dan pendapatan ekonomi bukanlah melambangkan kualiti demokrasi semata-mata tetapi menunjukkan setiap kumpulan masyarakat yang berbeza mempunyai tuntutan tersendiri yang perlu diberikan perhatian oleh kerajaan.

    “Perangkaan dasar negara yang tidak memenuhi aspirasi masyarakat Melayu berserta pandangan yang prejudis terhadap demografi mereka akan mengundang tindak balas yang lebih reaktif kepada PH.

    “Khususnya di mana PRN akan datang bakal menjadi medan ujian kedua dalam menentu ukur tahap sokongan orang Melayu khususnya di kawasan majoriti Melayu terhadap kerajaan semasa.”

    Sementara itu, Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisommudin Bakar melihat kenyataan yang dibuat oleh setiausaha agung PKR sebagai kenyataan kurang tepat.

    Hisommudin berkata Saifuddin dikenali sebagai selalu bercakap bersandarkan fakta dalam ucapannya.

    Tetapi berbeza kali ini apabila petikan ceramah berkenaan kurang tepat dari sudut fakta.

    Katanya, sokongan PN adalah merentasi umur jika dilihat kepada keputusan pilihan raya yang lepas.

    Katanya, di negeri jajaran Melayu semua saluran pengundian berlaku peningkatan berganda kepada PN jika dibandingan dengan keputusan PRU14.

    Menurut Hisommudin, ini bermakna sokongan kepada PN disumbangkan oleh semua lapisan masyarakat sama ada muda atau tua, pendidikan tinggi atau rendah.

    “Kekurangan kepada PN ialah segmen bukan Melayu.

    “Oleh itu, saya melihat kenyataan berkenaan lebih kepada menyedapkan hati jentera PH tetapi bukan berlandaskan fakta sebenar,” katanya.

  • Beku akaun Bersatu agenda tutup kelemahan kerajaan PH-BN

    Beku akaun Bersatu agenda tutup kelemahan kerajaan PH-BN

    PEMBEKUAN beberapa akaun milik Bersatu dianggap sebahagian agenda pihak tertentu untuk memberi persepsi buruk kepada Perikatan Nasional (PN).

    Ketua Bersatu Bahagian Maran, Datuk Jasri Jamaludin berkata, langkah itu bagi menutup kelemahan kerajaan PH-BN yang belum berjaya menangani isu-isu membelenggu rakyat, terutama kos sara hidup yang semakin membebankan.

    Menurutnya, melalui strategi itu mereka berharap dapat memberi persepsi buruk kepada PN, terutama bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri tidak lama lagi.

    “Mereka tahu sokongan dan gelombang kebangkitan rakyat masih bersama PN. Oleh itu pihak terbabit terpaksa mencipta agenda bagi memburukkan PN,” katanya di sini.

    Semalam, media melaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan beberapa akaun milik Bersatu dipercayai ada kaitan dana RM92.5 bilion yang didakwa diseleweng kerajaan PN ketika melaksanakan pelbagai pakej rangsangan susulan pandemik Covid-19.

    Mengulas lanjut, Jasri yang juga ADUN Kuala Sentul berkata, orang ramai boleh melihat laporan audit Bersatu tahun 2020 yang tular.

    “Daripada pemerhatian saya terhadap laporan tersebut, tiada unsur rasuah dan duit berbilion ringgit seperti yang didakwa pihak terbabit.

    “Semuanya jelas dilaporkan dan diterima baik Jabatan Pendaftaran Pertubuhan. Saya mengalu-alukan siasatan SPRM bagi menangani persepsi liar sebelum ini,” katanya, lapor Harakahdaily.

    Beliau turut yakin SPRM sebuah badan yang berintegriti dan menjalankan tugas secara professional.

  • Kerajaan PH-BN tak hormat semangat demokrasi

    Kerajaan PH-BN tak hormat semangat demokrasi

    KERAJAAN PH-BN mengulangi agenda yang pernah dilaksanakan kerajaan BN apabila melanggar semangat federalisme dengan menyalurkan peruntukan melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP).

    Menurut Ahli Parlimen Rantau Panjang, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff, tindakan itu membuktikan kerajaan PH-BN tidak menghormati demokrasi yang mereka laungkan sebelum ini.

    “Mereka kembali ke era yang pernah dilakukan kerajaan UMNO dan BN ketika mentadbir negara sebelum 2018.

    “Rakyat Kelantan juga membayar cukai, jadi tidak wajar mereka didera kerana hanya perbezaan politik antara negeri dan pusat,” katanya, lapor Harakahdaily.

    Baru-baru ini Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob mendedahkan peruntukan RM50 juta yang diumum Perdana Menteri bagi membantu mangsa banjir di Kelantan disalur melalui JPP.

    Pada Disember lepas ketika melawat mangsa banjir di Kelantan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan segera RM100 juta kepada Kelantan dan Terengganu bagi membantu mangsa banjir.

    Bagaimanapun difahamkan peruntukan tersebut belum lagi diterima mangsa banjir terlibat sehingga sekarang.

  • Ditawar jawatan MB Perak punca BN setuju bentuk kerajaan BN-PH – Saarani

    Ditawar jawatan MB Perak punca BN setuju bentuk kerajaan BN-PH – Saarani

    PAKATAN Harapan (PH) menawarkan peranan yang boleh dimainkan Barisan Nasional (BN) dalam kerajaan negeri, antaranya sebagai menteri besar berbanding tiada tawaran diterima daripada Perikatan Nasional (PN), kata Datuk Seri Saarani Mohamad.

    Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan itu berkata itu antara satu faktor beliau menerima tawaran dari PH, selain pelantikan tiga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak dan speaker DUN dari BN.

    “Peranan itu (menteri besar) sesuai pada saya, sebab saya orang yang ketuai Perak Sejahtera 2030, saya nak meneruskannya jadi saya terima.

    “Dalam pukul 3 pagi malam keputusan, saya dikunjungi Setiausaha Bersatu negeri Datuk Zainol Fadzi Paharudin, tapi dia kata tidak boleh buat apa-apa mandat sebab mandat dia hanya uruskan perjumpaan saya dengan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

    “Kemudian kami bertiga bertemu dan saya memaklumkan bahawa telah diberikan tawaran dari PH (menteri besar). Jadi jika PN ingin memberi sebarang tawaran kepada saya, silalah, tapi setakat semalam saya tidak dapat apa-apa,” katanya dalam sidang media selepas selesai Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Perak di Balai Istiadat Kecil Istana Iskandariah di sini hari ini.

    Saarani berkata kerajaan negeri tidak boleh dibiarkan dalam keadaan tidak keruan, apatah lagi DUN perlu bersidang segera bagi membolehkan bajet diluluskan, maka kerana itu beliau untuk bersama-sama membentuk kerajaan yang kuat dan stabil.

    Justeru, Pengerusi BN Perak itu berkata atas dasar untuk mewujudkan keamanan, kestabilan dan kesejahteraan, pihaknya telah mengambil keputusan menubuhkan kerajaan perpaduan.

    “Kedua-dua parti juga bersetuju secara dasar bahawa pembentukan kerajaan ini mestilah berpaksikan kepada komitmen bersama dalam menjunjung keluruhan Perlembagaan serta kedaulatan Undang-Undang Tubuh Negeri Perak Darul Ridzuan,” katanya.

    Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak itu turut memaklumkan, istiadat angkat sumpah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak akan diadakan di Istana Iskandariah di sini 11.30 pagi esok.

    Terdahulu, Saarani, ADUN Kota Tampan mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Perak penggal baharu di hadapan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah, pada 5.40 petang tadi.

    Dilapor PH dan BN bersetuju menjalin kerjasama membentuk kerajaan negeri, selepas masing-masing mendapat 24 serta sembilan kerusi pada pada PRU15, manakala PN memperoleh 26 kerusi. – BERNAMA

    Sultan Nazrin, Saarani, Menteri Besar, angkat sumpah, BN, PN, PH, UMNO, DUN, Perak