Tag: kerajaan perpaduan

  • Bukan kerajaan perpaduan sebaliknya kerajaan minoriti – Takiyuddin

    Bukan kerajaan perpaduan sebaliknya kerajaan minoriti – Takiyuddin

    PAS menyifatkan kerajaan baharu sekarang bukannya Kerajaan Perpaduan, sebaliknya kerajaan minoriti.

    Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, ia kerana tiada parti yang mempunyai kerusi cukup untuk membentuk kerajaan.

    “Mungkin mereka mempunyai kepercayaan majoriti. Majoriti tidak semestinya majoriti mudah dan boleh jadi majoriti dalam kalangan lain-lain.

    “Pakatan Harapan (PH) mempunyai 82 kerusi, Perikatan Nasional (PN) pula mempunyai 73 kerusi. Maka, ketua PH ada majoriti, namun belum boleh membentuk kerajaan.

    “Sebab itu saya katakan kerajaan sekarang bukan Kerajaan Perpaduan, sebaliknya kerajaan minoriti,” katanya ketika ditemui selepas Kenduri Kesyukuran Parlimen Kota Bharu, hari ini, lapor Berita Harian.

    Pada soalan usul undi percaya di Dewan Rakyat pada 19 Disember ini, Takiyuddin berkata, pihaknya setakat ini tidak menerima maklumat berhubung usul berkenaan.

    “Bagi saya, apabila seorang Perdana Menteri membawa usul berkenaan ke Parlimen, itu bermakna Perdana Menteri yang sedia ada itu belum mempunyai kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.

    “Dalam perlembagaan untuk melantik seorang Perdana Menteri oleh Yang di-Pertuan Agong, orang itu mungkin mempunyai kepercayaan ahli Dewan Rakyat.

    “Sebagai alternatif, Perdana Menteri itu perlu membawa usul ke Parlimen untuk melihat sokongan,” katanya.

    Dalam perkembangan lain, Takiyuddin berkata, PN akan menjadi pembangkang yang membina kepada rakyat.

    “Kita akan melantik beberapa Ahli Parlimen untuk memantau setiap satu kementerian memandangkan kita mempunyai 73 Ahli Parlimen,” katanya.

  • Sabah sokong kerajaan perpaduan demi kebaikan , kestabilan

    Sabah sokong kerajaan perpaduan demi kebaikan , kestabilan

    SOKONGAN dan penyertaan parti-parti politik di Sabah dalam kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim diyakini dapat memastikan kestabilan dan kesejahteraan rakyat negeri, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

    Beliau berkata kerajaan negeri yang diterajui Gabungan Rakyat Sabah (GRS) serta Barisan Nasional (BN) mahu memberikan fokus kepada usaha memulihkan ekonomi negeri dan membangunkan Sabah ke arah merealisasikan pelan lima tahun hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

    “Kita (GRS-BN) ada tiga tahun lagi untuk memerintah Sabah. Kita tidak mahu terlampau berpolitik atau ada gangguan, kerana bagi kita adalah kepentingan rakyat dan negeri,” kata Pengerusi GRS itu kepada pemberita ketika ditemui selepas membentangkan Belanjawan Sabah 2023 di Dewan Undangan Negeri Sabah di sini hari ini.

    Sementara itu Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata kerajaan Sabah mahu konsep kerajaan perpaduan dipraktikkan dan dirasai di negeri ini supaya rakyatnya dapat menikmati limpahan ekonomi serta pembangunan sama.

    Pengerusi BN Sabah itu turut mengalu-alukan mana-mana parti di Sabah untuk menyertai kerajaan perpaduan dalam usaha memastikan kemakmuran pentadbiran negara yang dapat memacu kepada pemulihan ekonomi, dan nasib rakyat terbela.

    “Nama pun perpaduan, bermakna semua (parti) pun boleh menyertainya. Jadi, saya mengalu-alukan mana-mana parti menyertai kerajaan perpaduan bagi memastikan perpaduan dalam pemerintahan harus memakmurkan negara dan rakyat. Ini keutamaan kita,” katanya.

    Bagi Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sabah Datuk Christina Liew, kesediaan GRS menyertai serta menyokong pembentukan kerajaan perpaduan dilihat sebagai langkah terbaik demi pembangunan dan manfaat rakyat Sabah.

    Beliau berkata pihaknya menunggu pertemuan antara pemimpin GRS bersama pemimpin PH Sabah bagi membincangkan pelbagai perkara berkaitan yang boleh dibawa untuk bekerjasama.

    Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Afdal pula yakin kerajaan perpaduan adalah sebuah kerajaan yang stabil dan mampu memulihkan ekonomi negara.

    Anwar dalam sidang media pada hari pertama bertugas secara rasmi di Putrajaya berkata kerajaan perpaduan pimpinannya telah mencapai majoriti dua pertiga melalui penyertaan terkini oleh GRS, setelah dimaklumkan oleh Hajiji.

    Anwar, 75, mengangkat sumpah sebagai perdana menteri ke-10 di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara semalam. – BERNAMA

  • PN mahu berperanan sebagai pembangkang berwibawa – Muhyiddin

    PN mahu berperanan sebagai pembangkang berwibawa – Muhyiddin

    PERIKATAN Nasional (PN) berpendirian untuk tidak menyertai kerajaan perpaduan yang diterajui Pakatan Harapan (PH) kata Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Beliau sebaliknya berkata, PN akan memainkan peranan sebagai pembangkang berwibawa untuk membawa suara rakyat ke Parlimen.

    Menurutnya, ia juga bagi memastikan tadbir urus kerajaan yang berintegriti dan bebas rasuah selaras dengan prinsip prihatin, bersih dan stabil .

    “Perikatan Nasional akan memainkan peranan sebagai pembangkang berwibawa untuk membawa suara rakyat ke Parlimen.

    “Ia juga bagi memastikan tadbir urus kerajaan yang berintegriti dan bebas rasuah selaras dengan prinsip prihatin, bersih dan stabil,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Mengulas lanjut Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata, PN mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas tawaran agar gabungan itu menyertai kerajaan persekutuan pimpinan beliau.

    “Namun atas semangat untuk menyuburkan demokrasi dan melaksanakan peranan semak dan imbang yang berkesan dalam Parlimen, PN berpendirian untuk tidak menyertai Kerajaan yang diterajui oleh Pakatan Harapan,” jelas Muhyiddin.

    Namun Ahli Parlimen Pagoh itu menjelaskan, demi memastikan kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat, PN bersedia merintis bentuk kerjasama lain dengan kerajaan dalam ruang lingkup hubungan antara kerajaan dan pembangkang.

  • GRS sertai kerajaan perpaduan, capai majoriti dua pertiga – PM

    GRS sertai kerajaan perpaduan, capai majoriti dua pertiga – PM

    PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berkata kerajaan perpaduan pimpinannya telah mencapai majoriti dua pertiga melalui penyertaan terkini oleh Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

    Bercakap pada sidang media pada hari pertamanya memasuki Pejabat Perdana Menteri di Perdana Putra di sini hari ini, Anwar berkata perkara itu dimaklumkan kepadanya oleh Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor yang juga Pengerusi GRS.

    “Ini akan memperkukuh kestabilan politik negara dan boleh menumpukan perhatian dalam kerja-kerja mengangkat martabat negara, mengukuhkan ekonomi dengan maksud untuk membela nasib rakyat,” katanya.

    Jumlah kerusi diperlukan untuk mendapatkan majoriti dua pertiga Dewan Rakyat adalah 148 kerusi.

    Mengenai pembentukan Kabinet, Anwar berkata saiznya akan diperkecilkan dan beliau akan meminta persetujuan daripada ahli-ahli yang akan dilantik nanti untuk mengurangkan gaji mereka.

    Menurutnya, pembentukan Kabinet masih dalam perbincangan dan akan diumumkan segera mungkin.

    Anwar berkata beliau akan merujuk kepada parti-parti terlibat berhubung pembentukan Kabinet.

    “Parti masing-masing akan mengusulkan nama. Jadi, saya harus berikan pertimbangan sedemikian,” katanya ketika ditanya mengenai pecahan anggota Kabinet mengikut parti.

    Pada sidang media sulungnya sebagai perdana menteri malam tadi, Anwar menegaskan kerajaan perpaduan yang dibentuk dengan penyertaan beberapa parti akan memastikan kestabilan negara dan ekonomi serta menjunjung semangat Perlembagaan Persekutuan.

    Beliau berkata tiga komponen terbesar yang membentuk kerajaan perpaduan adalah Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

    Anwar sebelum ini dilaporkan berkata akan mengecilkan saiz Kabinet kepada maksimum 25 menteri sahaja berbanding jumlah 31 menteri dalam pentadbiran bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. – BERNAMA  

  • Kerajaan perpaduan: Pas bincang tawaran PM bersama rakan komponen PN

    Kerajaan perpaduan: Pas bincang tawaran PM bersama rakan komponen PN

    PAS akan membincangkan tawaran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyertai kerajaan perpaduan bersama rakan komponen Perikatan Nasional (PN) dalam waktu terdekat.

    Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan pada masa sama berkata, parti itu perlu meninjau pandangan dan kesediaan rakyat khususnya para pengundi yang telah memberikan undi yang amat memberangsangkan kepada Pas dan PN dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    “Mengenai tawaran Perdana Menteri (Anwar) kepada Perikatan Nasional untuk menyertai Kerajaan Perpaduan pimpinannya, Pas mengucapkan terima kasih seterusnya dalam waktu terdekat akan membincangkan perkara ini dengan rakan-rakan komponen dalam PN.

    “(Pada masa sama Pas) turut sama meninjau pandangan dan kesediaan rakyat khususnya para pengundi yang telah memberikan undi yang amat memberangsangkan kepada Pas dan PN dalam PRU-15 yang lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, Pas akur dengan keputusan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah melantik Anwar sebagai Perdana Menteri Ke-10 dan menerima dengan redha serta hati terbuka segala ketentuan Allah yang tentunya mempunyai hikmatnya yang tersendiri.

    Katanya, Pas mengucapkan syukur ke hadrat Allah kerana kemelut kepimpinan negara pasca PRU-15 tidak berterusan dan dapat diselesaikan dengan harmoni dan damai.

    “Pas menjunjung kasih dan mengucapkan setinggi-tinggi tahniah ke hadapan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di atas kebijaksanaan melaksanakan fungsi Baginda berdasarkan kuasa yang diperuntukkan di bawah undang-undang khususnya dalam soal perlantikan Perdana Menteri berdasarkan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a), Perlembagaan Persekutuan.

    “Pas turut mengucapkan tahniah kepada Anwar yang telah diperkenan dan dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia Ke-10.

    “Pas yakin beliau akan melaksanakan tanggungjawab dengan baik, adil dan ehsan serta turut mengutamakan konsep federalisma yang wajar kepada seluruh negeri-negeri dan rakyat jelata,” tambahnya.

  • Kerajaan Perpaduan: Masih terima penyertaan parti lain termasuk PN – Anwar

    Kerajaan Perpaduan: Masih terima penyertaan parti lain termasuk PN – Anwar

    KERAJAAN Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terbuka menerima mana-mana parti politik lain untuk menyertainya, ini termasuklah Perikatan Nasional (PN).

    Menurut Anwar, kerajaannya kini dianggotai oleh tiga blok politik terbesar iaitu Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sawarak (GPS).

    “Kerajaan ini adalah Kerajaan Perpaduan, kerajaan ini menetapkan penyertaan setakat ini tiga komponen terbesar Pakatan Harapan, Barisan Nasional dan GPS.

    “Jadi soal kestabilan tidak berbangkit, soalnya apakah Kerajaan Perpaduan yang juga disertai beberapa parti lain termasuk Warisan, MUDA dan Bebas.

    “Saya tetap bersedia menerima penyertaan semua yang lain untuk menjadikan negara ini satu, saya masih tunggu kesediaan rakan-rakan termasuk dari Perikatan Nasional,” katanya dalam sidang media malam ini lapor UtusanTV.

    Anwar pada masa sama memberi jaminan dua jawatan Timbalan Perdana Menteri akan diwujudkan bawah Kabinetnya dalam kalangan wakil komponen kerajaan perpaduan.

    Beliau berkata, ia akan diisi oleh wakil masing-masing daripada Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

    “Jawatan Timbalan Perdana Menteri itu, Perdana Menteri dari Pakatan Harapan (PH), Timbalan Perdana Menteri dari komponen kuat yang lain, iaitu Barisan Nasional.

    “Kepada Sabah dan Sarawak, yang terkuat antara Sabah dan Sarawak adalah GPS,” katanya pada sidang media di sini, malam ini.

  • Perikatan Nasional setuju tubuh Kerajaan Perpaduan

    Perikatan Nasional setuju tubuh Kerajaan Perpaduan

    PERIKATAN Nasional (PN) bersetuju untuk mempertimbangkan cadangan penubuhan Kerajaan Perpaduan melibatkan parti yang sehaluan dengan gabungan itu demi kesejahteraan rakyat dan kestabilan negara.

    Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, perkara itu diputuskan oleh Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi Perikatan Nasional hari ini.

    Katanya, mesyuarat itu membincangkan mengenai cadangan pembentukan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.

    “Selaras dengan itu, mesyuarat bersetuju untuk mempertimbangkan cadangan penubuhan Kerajaan Perpaduan yang melibatkan perbincangan dengan parti-parti yang sehaluan demi kesejahteraan rakyat dan kestabilan negara,” kata kenyataan itu hari ini.

    Kenyataan itu dikeluarkan ketika Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu berlangsung di Istana Negara pagi ini.

    Ia sebagai usaha Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk merungkai kemelut pembentukan kerajaan pasca Pilihan Raya Umum Ke-15.

  • Agong titah BN sertai kerajaan perpaduan – Ahmad Zahid

    Agong titah BN sertai kerajaan perpaduan – Ahmad Zahid

    YANG di-Pertuan Agong menitahkan 30 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) agar mengambil bahagian dalam kerajaan perpaduan.

    Lapor Malaysiakini, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu dititahkan Seri Paduka kepada beliau dan dua lagi pemimpin di Istana Negara, pagi tadi.

    Dua pemimpin BN tersebut adalah Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

    “Tak ada, tak ada (ditanya sikap berkecuali BN)…Bukan itu titah tuanku, titah tuanku ialah bentuk kerajaan perpaduan,” katanya, hari ini.’

    Susulan titah tersebut, Ahmad Zahid berkata, perkara itu akan dibincangkan bersama Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO sebelum dibawa ke Majlis Tertinggi BN.

    Berdasarkan surat yang dikeluarkan ibu pejabat parti, mesyuarat MKT UMNO dijadual berlangsung pada pukul 8 malam ini.

    Terdahulu, Ahmad Zahid, Mohamad dan Zambry tiba di Istana Negara kira-kira pukul 10.30 pagi bagi menghadap Yang di-Pertuan Agong.

    Semalam, Yang di-Pertuan Agong menitahkan semua 30 Ahli Parlimen BN hadir ke Istana Negara pagi ini untuk ditemu bual bagi melantik Perdana Menteri baharu.

    Bagaimanapun, menurut Ahmad Zahid, sesi itu digantikan dengan pertemuan mereka bertiga bersama Yang di-Pertuan Agong.

  • Ahli Parlimen BN dengar cadangan PN di Hotel St Regis

    Ahli Parlimen BN dengar cadangan PN di Hotel St Regis

    AHLI Parlimen Barisan Nasional (BN) dilapor bertemu pemimpin Perikatan Nasional (PN) di Hotel St Regis untuk mendengar cadangan PN tentang kerajaan perpaduan.

    Free Malaysia Today yang memetik sumber berkata, langkah ini selaras dengan keputusan Dewan Tertinggi BN semalam.

    “Kami sudah dengar cadangan PH, sekarang kami bertemu PN untuk dengar cadangan mereka pula,” katanya.

    Terdahulu, Presiden Gerakan, Dominic Lau dan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kelihatan di hotel berkenaan.

    Turut dilaporkan, BN dititah Agong supaya mengambil bahagian dalam kerajaan perpaduan.

    Difahamkan pemimpin BN akan bertemu malam ini untuk membincangkan cadangan PH dan PN.

  • Muhyiddin tolak cadangan kerajaan perpaduan bersama PH

    Muhyiddin tolak cadangan kerajaan perpaduan bersama PH

    TAN Sri Muhyiddin Yassin berkata, Perikatan Nasional (PN) tidak bersetuju dengan cadangan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah agar gabungan itu bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) untuk membentuk kerajaan perpaduan.

    Beliau berkata, cadangan Al-Sultan Abdullah dibuat selepas tiada gabungan yang mempunyai jumlah mencukupi untuk membentuk kerajaan.

    Namun Muhyiddin menegaskan, PN tidak akan kerjasama dengan PH kerana ia pendirian parti sejak dulu sampai ke hari ini atas tujuan apa sekali pun.

    “Tuanku (Yang di-Pertuan Agong) mencadangkan supaya kita bekerjasama dengan PH untuk membentuk kerajaan perpaduan tetapi kami telah berbincang perkara itu sejak awal lagi.

    “Memang kita sepakat atas sebab yang kita tahu mengapa kita tak boleh bekerjasama dengan PH. Ini umum semua tahu dan itu pendirian yang kita buat untuk tujuan itu (pembentukan kerajaan).

    “Tadi, saya diminta untuk menandatangani dokumen kerjasama tetapi saya tandatangan tidak bersetuju. Tan Sri Abdul Hadi Awang juga tandatangan tidak bersetuju atas sebab-sebab yang kita tahu tidak boleh kerjasama dengan PH,” katanya dalam sidang media di kediaman beliau petang ini.

    Mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu mendedahkan, PN telah pun menyerahkan dokumen akuan bersumpah sebanyak 115 sokongan ahli Parlimen untuk dilantik sebagai Perdana Menteri secara dalam talian kepada Istana Negara.

    Menurutnya, dokumen itu juga telah diperakukan penerimaannya oleh Setiausaha Sulit Kanan Yang di-Pertuan Agong, Kolonel (B) Datuk Nazim Mohd Alim.

    “Saya nak jelaskan bahawa semalam kita telah pun menyerahkan secara dalam talian dokumen diperlukan oleh pihak Istana Negara iaitu buktikan kami dari PN dengan gabungan banyak parti-parti dan ahli Parlimen parti lain berjumlah 115 disokong oleh akuan bersumpah (SD).

    “Telah pun ada akuan penerimaan daripada Datuk Nazim mengesahkan menerima dokumen ini.

    “Saya nak menunjukkan bukti bahawa waktu saya menyerahkan atau pun kami menghantarnya menerusi e-mel, ini bukti kami mempunyai sejumlah bilangan ahli Parlimen melebihi 112 yang dikehendaki dalam Perlembagaan.

    “Sebab itu kami yakin kami sewajarnya boleh membentuk kerajaan tapi maklumlah bila saya menghadap tadi, dikatakan ini tidak mencukupi.

    “Saya tidak tahu apakah sebab di sebalik itu tetapi buktinya ada di sini,” tambah beliau.