Tag: Kerajaan nilai tender terbuka ganti pesawat Hawk

  • Kerajaan nilai tender terbuka ganti pesawat Hawk

    Kerajaan nilai tender terbuka ganti pesawat Hawk

    KERAJAAN kini dalam proses menilai tender terbuka perolehan pesawat dwifungsi tempur ringan dan latihan lanjutan (FLIT-LCA) bagi menggantikan pesawat Hawk 108/208 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

    Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, tender terbuka antarabangsa bagi perolehan itu sudah ditutup pada 6 Oktober lalu.

    “Kerajaan sudahpun merancang secara sistematik bagi penggantian pesawat Hawk 108/208 sebagaimana digariskan dalam Pelan Pembangunan Keupayaan TUDM (CAP55).

    “Kerajaan juga telah memulakan proses penggantian dengan meluluskan perolehan baharu FLIT-LCA melalui Rolling Plan 1 2021,” katanya pada sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

    Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Ahmad Nazlan Idris (BN-Jerantut) yang memohon kerajaan mempertimbangkan penggantian pesawat Hawk 108/208 secara sistematik dengan segera.

    Minggu lalu, sebuah pesawat Hawk milik TUDM terhempas di Butterworth, Pulau Pinang dan mengorbankan seorang juruterbang, manakala seorang lagi cedera parah.