Tag: Kerajaan Madani

  • Anwar tak mahu billboard gambarnya dan kerajaan Madani dipasang

    Anwar tak mahu billboard gambarnya dan kerajaan Madani dipasang

    Oleh BADLISHAH MAT

    PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta jabatan berkaitan untuk menghentikan pemasangan papan iklan atau billboard baharu yang memaparkan imej beliau atau tulisan kerajaan Madani di seluruh negara.

    Anwar berkata, papan iklan sedia ada termasuk yang bersaiz gergasi sudah mencukupi buat masa ini tanpa perlu membuat penambahan pada masa akan datang.

    Katanya lagi, papan iklan yang sudah dipasang kini juga tidak mendapat persetujuan dan kelulusan daripada beliau.

    “Saya dalam perjalanan ke Alor Setar dan semalam diberitahu billboard Anwar dan Madani di seluruh negara, ini tidak mendapat persetujuan dan kelulusan saya.

    “Saya sudah beritahu, tidak payah belanja (untuk) ini, (tetapi) dijawab oleh jabatan berkenaan bahawa peruntukan ini peruntukan lama dan oleh kerana pertukaran Perdana Menteri dan kerajaan maka ia dipindahkan,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia Madani di Hotel Raia, Alor Setar, hari ini.

    Perdana Menteri berkata, walaupun memahami peruntukan sedia ada digunakan untuk tujuan itu, namun beliau merasakan adalah lebih baik wang tersebut digunakan untuk perkara lain yang lebih bermanfaat.

    “Jadi saya arahkan semua billboard baharu dihentikan, kekal yang ada sahaja dan saya tidak mahu ini diteruskan kerana ia tidak menunjukkan satu pendirian kerajaan Madani.

    “Saya tidak mahu dana kerajaan digunakan untuk buat billboard besar-besaran dan cukuplah yang ada tetapi tidak boleh diteruskan,” katanya.

  • Hassan Karim saran kerajaan guna dana parti anjur rumah terbuka

    Hassan Karim saran kerajaan guna dana parti anjur rumah terbuka

    KERAJAAN disaran agar menggunakan dana parti bagi menganjurkan Majlis Rumah Terbuka Kerajaan Madani tidak lama lagi, kata Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim.

    Menurut beliau, adalah menjadi kesalahan apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggunakan wang kerajaan Pusat untuk mengadakan majlis tersebut di banyak negeri.

    “Ia jelas satu penyalahgunaan kuasa, termasuklah jika kakitangan awam dan jentera kerajaan digunakan untuk mengendalikan rumah-rumah terbuka tersebut.

    “Memang ada peruntukan Perdana Menteri untuk mengadakan majlis rasmi keraian seperti rumah terbuka hari raya. Tetapi di satu tempat sahaja misalnya di kediaman rasmi Perdana Menteri di Seri Perdana, Putrajaya,” katanya di Facebook miliknya, semalam.

    Mengulas lanjut, Hassan memberitahu, rumah terbuka yang dianjurkan sehingga enam negeri tersebut adalah fenomena baharu yang ditakuti menyalahi kod etika dan undang-undang penggunaan wang awam.

    Katanya, meskipun jumlah digunakan tidak mencecah jutaan ringgit, namun perlu diingatkan ia adalah duit awam dan perlu dibelanjakan secara berhemah, tidak melanggar etika moral dan undang-undang.

    Beliau menjelaskan, satu ketika dahulu Perdana Menteri India, Indira Ghandi pernah didapati menggunakan helikopter kerajaan untuk berkempen dalam pilihan raya sehingga menyebabkan kerajaannya tumbang.

    “Berapalah sangat duit kerajaan India digunakan untuk menerbangkan sebuah helikopter kerajaan untuk Perdana Menteri India, Indira Ghandi berkempen pilihan raya.

    “Bukan quantum wang yang digunakan itu besar atau kecil. Yang menjadi isu pokok ialah telah berlaku penyalahgunaan kuasa,” katanya.

    Sementara itu Hassan berkata, kerajaan perlu berjimat memandangkan hutang negara ketika ini sudah mencecah RM1.5 trilion iaitu 82 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar.

    “Selain itu kerajaan sering memberitahu bahawa kerajaan sedang menanggung beban hutang 1MDB sebanyak RM18.2 billion,” katanya menurut laporan Sinar Harian.