Tag: Kerajaan hormat keputusan mahkamah bebas Najib

  • Kerajaan hormat keputusan mahkamah bebas Najib, kata Fahmi

    Kerajaan hormat keputusan mahkamah bebas Najib, kata Fahmi

    KERAJAAN menghormati keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membebaskan bekas Perdana Menteri, DatuK Seri Najib Razak daripada pertuduhan menyalahgunakan kuasa dan menyebabkan pindaan pada laporan akhir audit 1MDB.

    Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, perkara itu sudah diperjelaskan Perdana Menteri, DatuK Seri Anwar Ibrahim sebelum ini.

    “Perdana menteri dah kata (kerajaan) tidak akan campur urusan mahkamah. Dakwaan kerajaan campur tangan dalam kes itu adalah penghinaan kepada mahkamah.

    “Ini adalah proses mahkamah dan kami menghormati keputusannya,” katanya dalam sidang akhar hari ini, lapor FMT.

    Terdahulu, bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Arul Kanda Kandasamy turut dibebaskan daripada pertuduhan bersubahat dengan Najib dalam melakukan kesalahan itu.

    Hakim Zaini Mazlan mendapati pendakwa raya gagal membuktikan bahawa ada kes prima facie terhadap Najib, bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

    Pihak pendakwaan menutup kesnya pada 7 Sept 2022 selepas memanggil 16 orang saksi, termasuk Allahyarham Tan Sri Ali Hamsa, bekas ketua setiausaha negara.

    Mahkamah juga sebelum ini membenarkan permohonan pendakwa raya untuk memanggil Arul Kanda memberikan keterangan bagi pihaknya.

    Najib didakwa menyalahgunakan kuasa untuk mendapat kekebalan daripada tindakan undang-undang dan menyebabkan pindaan pada laporan akhir audit 1MDB sebelum dibentang dalam mesyuarat Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

    Arul Kanda dituduh bersubahat dengannya dalam melakukan kesalahan itu.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya antara 22 dan 26 Feb 2016.

    Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, berkata keputusan berkenaan memulihkan semangat bekas pemimpin UMNO itu yang menjalani hukuman penjara 12 tahun kerana menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd.

    Peguam Najib, Tan Sri Shafee Abdullah berharap pembebasan Najib dan Arul Kanda berhubung kes pindaan laporan audit 1MDB hari ini akan menjadi permulaan kepada ‘banyak perkara baik yang akan datang’.