Tag: Kepala air

  • 3 remaja cedera dalam insiden kepala air Lata Bayu

    3 remaja cedera dalam insiden kepala air Lata Bayu

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Tiga remaja perempuan cedera dalam kejadian kepala air yang berlaku di pusat rekreasi terkenal, Lata Bayu di Baling, Kedah petang semalam.

    Ketua Polis Daerah Baling, Supritendan Shamsudin Mamat berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira pukul 5 petang semalam yang turut mengakibatkan beberapa pokok tumbang.

    Dalam kejadian itu katanya, sebuah kereta dan sebuah motosikal telah dihempap oleh sebatang pokok balak yang tumbang.

    “Terdapat tiga pengunjung cedera terkena dahan pokok yang tumbang itu. Seorang daripadanya merupakan remaja perempuan berusia 13 tahun yang patah kaki di bahagian buku lali kiri.

    “Dua lagi merupakan remaja berusia 15 dan 16 tahun yang mana kecederaan mereka masih belum dapat dikenal pasti,” katanya dalam satu kenyataan.

    Bomba menjalankan kerja-kerja menyelamat di lokasi kejadian kepala air di Lata Bayu, Baling, Kedah.

    Tambahnya, remaja berusia 13 tahun itu dibawa ke Hospital Baling manakala dua lagi mangsa dibawa ke Hospital Sungai Petani untuk menerima rawatan.

    “Pihak Jabatan Perhutanan Negeri Kedah telah menutup pusat rekreasi Lata Bayu dan Lata Hijau yang berada di bawah kawalan jabatan tersebut.

    “Orang ramai dinasihati tidak mengunjungi pusat-pusat rekreasi air terjun di Baling ketika ini kerana kawasan tersebut berisiko tinggi dilanda kepala air.

    Tambahnya, orang ramai juga dinasihatkan untuk mematuhi peraturan dikeluarkan pihak berkuasa dari semasa ke semasa.

  • Bomba selamatkan sembilan lelaki terperangkap di Sungai Kedondong

    Bomba selamatkan sembilan lelaki terperangkap di Sungai Kedondong

    JABATAN Bomba dan Penyelamat Selangor menyelamatkan sembilan lelaki yang terperangkap di kawasan batu di Sungai Kedondong, Kuala Kubu Bharu, dekat sini malam tadi, ekoran kejadian kepala air.

    Kesemua mangsa yang berusia 16 hingga 20 tahun terperangkap di sungai berkenaan akibat arus deras.

    Pengarahnya Norazam Khamis berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada  7.55 malam.

    Beliau berkata sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu dikerahkan ke lokasi kejadian.

    “Anggota tiba pada 8.27 malam dan mendapati dua daripada sembilan lelaki terbabit berjaya melepasi sungai berkenaan manakala tujuh lagi rakannya masih terperangkap,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Norazam berkata pihaknya berjaya menyelamatkan kesemua mangsa dan dibawa ke tempat selamat.-BERNAMA

  • Mayat keenam mangsa fenomena kepala air ditemukan

    Mayat keenam mangsa fenomena kepala air ditemukan

    MAYAT mangsa keenam yang dilaporkan hilang dalam kejadian banjir akibat fenomena kepala air di Yan ditemukan di kawasan sekitar Titi Hayun di sini pada 1.30 tengah hari ini.

    Ketua Polis Daerah Yan DSP Shahnaz Akhtar berkata mayat Ridwan Poniman, 61, ditemukan pasukan penyelamat kira-kira satu kilometer dari tempat mangsa dipercayai dihanyutkan di Titi Hayun.

    “Mayat mangsa yang terakhir ini ditemukan di bawah timbunan kayu dan mayat dalam keadaan masih sempurna,” katanya ketika ditemui Bernama di pusat gerakan mencari dan menyelamat di Titi Hayun.

    Shahnaz berkata seramai 400 anggota pasukan penyelamat termasuk bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta polis terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat hari ini.

    Katanya mayat Ridwan dihantar ke Hospital Yan untuk bedah siasat.

    Beliau berkata sehubungan itu pencarian mangsa hilang dihentikan selepas penemuan mayat terakhir tersebut.

    Insiden pada petang Rabu itu turut menjejaskan kira-kira 800 rumah di sekitar daerah Yan dan 200 di Kuala Muda.- BERNAMA

  • RM78j perbaiki infra, bantu penduduk terjejas kepala air Gunung Jerai- PM

    RM78j perbaiki infra, bantu penduduk terjejas kepala air Gunung Jerai- PM

    RIZQI ZABIDI

    PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini meluluskan peruntukan sebanyak RM78 juta bagi membaik pulih dan menaik taraf infrastruktur selain membantu penduduk yang terjejas dalam tragedi kepala air dekat Gunung Jerai, Rabu lalu.

    Daripada keseluruhan peruntukan itu katanya, sebanyak RM50 juta akan diperuntukkan menerusi Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) bagi tujuan membaiki dan menaik taraf sistem saliran, membina dua jambatan baharu Jabatan Kerja Raya serta pembinaan Empangan Sabo fasa satu.

    Sebanyak RM25 juta lagi diluluskan di bawah bantuan khas kecemasan dan bencana bagi tujuan pembaikan kemudahan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pemulihan sektor pelancongan desa, pembaikan infrastruktur bekalan air masyarakat, membaik pulih kerosakan kawasan tanaman padi, pembaikan jalan, longkang dan titi kampung.

    “Sebanyak RM3 juta lagi diperuntukkan di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar untuk tujuan membaiki rumah terjejas serta bantuan-bantuan lain.

    “Penyaluran peruntukan ini adalah nilai siling berdasarkan penilaian awal. Mungkin kalau ada keperluan lain, Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor akan maklumkan kepada kerajaan Persekutuan,” katanya dalam sidang akhbar di Masjid Jamek Badlishah, Pekan Yan di sini, hari ini.

    Terdahulu beliau dengan diiringi Muhammad Sanusi, melakukan lawatan kerja di kawasan-kawasan terjejas dalam daerah Kuala Muda dan Yan bagi melihat sendiri kerosakan yang berlaku.

    Ismail Sabri menambah, beliau mahu supaya semua bantuan itu disegerakan agar penduduk terlibat dapat kembali menikmati kehidupan seperti sebelum ini secepat mungkin.

    Sementara itu katanya, barisan Kabinet dijangka akan diumumkan minggu ini selepas beliau mempersembahkan nama kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan mendapat perkenan dari baginda.

    “Sekarang ini setiap hari ada keluar senarai nama baharu di media sosial. Yang itu jangan percaya kerana semuanya palsu,” katanya.

    Sementara itu katanya, pembangkang sama sekali tidak akan dilibatkan dalam barisan Kabinet baharu kerana kerajaan sedia ada kini bukanlah kerajaan perpaduan.

    “Kerjasama yang saya sebutkan sebelum ini tidak semestinya memerlukan keberadaan mereka dalam Kabinet.

    “Kalau betul nak bantu berkaitan Covid-19, kita ada Jawatankuasa Khas menangani Covid-19 manakala untuk pemulihan ekonomi pula, kita ada Majlis Pemulihan Negara (MPN) yang saya jemput mereka sertai sebelum ini,” katanya.

    Tambahnya, beliau berterima kasih terhadap maklum balas menggalakkan dibuat pembangkang termasuk kesudian mengadakan perbinangan.

    “Insya Allah saya akan berjumpa mereka untuk bincang apa yang boleh terutamanya mengenai peranan dimainkan mereka,” katanya.

  • Kepala air di Gunung Jerai: Seorang lelaki maut, 2 hilang

    Kepala air di Gunung Jerai: Seorang lelaki maut, 2 hilang

    RIZQI ZABIDI

    Seorang lelaki maut manakala dua lagi dilaporkan masih hilang berikutan fenomena kepala air dan tanah runtuh yang berlaku di sekitar kawasan Gunung Jerai dekat Kedah, hari ini.

    Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, identiti lelaki berusia 60 tahun yang maut itu setakat ini masih belum dikenal pasti.

    Dua individu yang hilang bersabit dengan kejadian tanah runtuh di Gunung Jerai dan rumah runtuh di Chalet Salak Denai.

    “Anggaran mangsa terlibat masih dalam siasatan. Maklumat awal mengatakan terdapat 60 individu perlu dipindahkan segera.

    “Selain itu terdapat juga 14 individu yang positif Covid-19. Mereka ini ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Teroi,” katanya dalam satu kenyataan, malam ini.

    Mengulas lanjut katanya, banjir itu dipercayai berpunca dari hujan lebat yang berterusan di kawasan Gunung Jerai dengan air mengalir laju ke kaki Gunung melibatkan Sungai Kunyit, Sungai Teroi dan Sungai Puteri Mandi.

    Laporan pertama katanya, diterima kira-kira pukul 5.30 petang.

    “Banjir melibatkan kawasan di kaki gunung dan kawasan berhampiran sungai, Perigi, Teroi Bukit, Singkir, Kampung Permatang Keramat, Kampung Lubuk Boi, Pekan Yan Besar, Titi Keras, Kampung Acheh dan Kampung Setoi.

    “Terdapat juga mangsa yang terperangkap di atas bumbung rumah di Kampung Setoi,” katanya.