Tag: Kepala air

  • Tiga sungai di Hulu Selangor dikenal pasti Hotspot lemas, kepala air

    Tiga sungai di Hulu Selangor dikenal pasti Hotspot lemas, kepala air

    TIGA lokasi perkelahan di Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor dikenal pasti sebagai kawasan yang kerap melaporkan kejadian kes mati lemas dan terperangkap dalam kepala air sepanjang 2020 hingga 2022.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Datuk Norazam Khamis berkata kawasan tersebut adalah Sungai Batang Kali, Sungai Chiling dan Sungai Pertak.

    “Secara umumnya, kesemua sungai atau jeram berisiko untuk berlaku kepala air atau berlaku insiden lemas namun begitu jika dikategorikan sebagai lokasi hotspot (titik panas), ia adalah (lokasi di mana) kejadian yang berlaku lebih dari sekali,” katanya kepada Bernama.

    Beliau berkata berdasarkan statistik, sepanjang tempoh itu sebanyak 15 kes mati lemas dan enam kes terperangkap dalam kepala air dilaporkan di Selangor melibatkan 10 kawasan rekreasi di sungai, air terjun, hutan lipur dan lata.

    Daripada jumlah itu, katanya, Sungai Batang Kali mempunyai rekod kes lemas paling tinggi iaitu sebanyak lima kes dan empat kes melibatkan mangsa yang terperangkap dalam kepala air.

    Justeru, Norazam menasihatkan orang awam agar berhati-hati dan berwaspada terhadap tanda-tanda kepala air sebelum memulakan aktiviti perkelahan atau sebarang aktiviti rekreasi berdekatan sungai.

    “Sekiranya terperangkap di kepala air, hubungi pasukan penyelamat atau tunggu sehingga kepala air reda dan jangan sekali-kali menyeberangi sungai pada waktu itu,” katanya.

  • Sungai Kupang di Kampung Iboi melimpah lagi

    Sungai Kupang di Kampung Iboi melimpah lagi

    Oleh RIZQI ZABIDI

    PENDUDUK Kampung Iboi di Baling sekali lagi berdepan pengalaman menakutkan apabila air dari Sungai Kupang yang pernah membadai kawasan tersebut pada 4 Julai lalu, sekali lagi melimpah hari ini.

    Meskipun limpahan itu tidaklah seteruk seperti yang berlaku dalam kejadian menyayat hati mengorbankan tiga nyawa pada awal Julai lalu, limpahan air tersebut yang jelas berwarna kemerah-merahan cukup untuk mendatangkan kerisauan kepada penduduk setempat.

    Difahamkan kejadian iu berlaku akiba hujan lebat selama lebih sejam bermula kira-kira pukul 6 petang tadi.

    Menurut Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan Komuniti Kampung (JPKK) Iboi, Nor Mohamad Che Hussin, limpahan air sungai tersebut menyebabkan benteng pasir yang dibina dibawa arus.

    “Jambatan Bailey yang dibina sebagai penghubung sementara bagi penduduk kampung merentasi sungai itu juga terpaksa ditutup demi keselamatan,” katanya.

    Tambahnya, ketika ini penduduk sentiasa bersiap-sedia sekiranya keadaan menjadi lebih buruk.

    Pada 4 Julai lalu, lebih 1,000 rumah dan premis perniagaan terjejas akibat banjir yang berlaku manakala 17 buah rumah lagi rosak teruk.

    Kejadian itu mengorbankan tiga individu iaitu Khairul Ikhwan Nor Azman, 14, ibunya, Salmah Mat Akib serta menantu Salmah, Nurul Anis Abu Hassan, 23, yang mengandung empat bulan.

  • Pelajar pondok warga Malaysia maut dihanyutkan kepala air di Aceh

    Pelajar pondok warga Malaysia maut dihanyutkan kepala air di Aceh

    TINDAKAN lima pelajar Sekolah Pondok Raudhatul Qur’an al-Aziziah di Aceh, Indonesia mandi sungai semasa hujan lebat mengundang padah apabila mereka dihanyutkan arus deras sungai Sabtu lalu.

    Lapor CNN Indonesia, akibat kejadian itu, empat pelajar termasuk seorang dari Malaysia ditemukan meninggal dunia manakala seorang lagi diselamatkan penduduk setempat.

    Mangsa yang maut dikenalpasti sebagai Darazatul Aulia (17), M. Reza Asri (18), Ahmadal Hadi (17) dan Fakhrul Razi (20) dari Malaysia.

    Sementara seorang mangsa selamat bernama Saiful Amani (23).

    Ketua agensi Basarnas Banda Aceh, Ibnu Harris Hussain berkata, tragedi itu menimpa mangsa yang berenang di Sungai Brayeun semasa hujan lebat dan secara tiba-tiba datang kepala air datang menghanyutkan mereka.

    “Seorang pelajar berjaya diselamatkan penduduk setempat manakala empat lagi pelajar dihanyutkan dan ditemukan sudah meninggal dunia,” katanya.

    Mengulas lanjut Ibnu Harris berkata, mayat terakhir mangsa ditemukan ialah Fakhrul Razi yang dijumpai di Pantai Lampuuk di Aceh Besar.

    “Fakhrul Razi ditemukan nelayan yang ingin keluar menangkap ikan sebelum memaklumkan penemuan itu kepada pihak berkuasa,” katanya.

    Tambahnya, usaha membawa keluar jenazah pelajar itu berdepan kesukaran memandangkan laut bergelora dan angin kencang.

    “Kami sudah maklumkan kepada keluarganya di Malaysia dan semua urusan bakal selesai tidak lama lagi,” katanya. – AGENSI

  • Pasang segera sistem amaran awal Gunung Inas  

    Pasang segera sistem amaran awal Gunung Inas  

    Oleh BADLISHAH MAT

    SISTEM siren amaran awal di Kampung Iboi, Kupang di Baling perlu dipasang segera bagi mengelak risiko fenomena kepala air daripada berulang sehingga berlakunya kemalangan jiwa.
     
    Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kupang, Datuk Najmi Ahmad, kerajaan negeri Kedah akan menyerahkan kajian berkaitan perkara itu kepada agensi terlibat untuk tindakan segera.
     
    “Oleh kerana kita tidak dapat jangka, kita rasa amat perlu dipasang sistem amaran awal di Gunung Inas kerana dengan keadaan cuaca tidak menentu dan bentuk muka bumi, penduduk terdedah kepada risiko tragedi kepala air ini berulang.
     
    “Kita memang memberi keutamaan kepada keselamatan penduduk, di peringkat kerajaan negeri sudah bertindak pantas dalam menangani persoalan ini dan kita rasa sistem amaran ini sangat perlu,” katanya selepas menghadiri Muzakarah Cendekiawan Syariah Nusantara ke-16 di Alor Setar, hari ini.

    Tragedi kepala air di Gunung Inas pada 4 Julai lalu mengorbankan tiga nyawa penduduk serta mengakibatkan lebih 800 rumah penduduk terutamanya di Kampung Iboi dan sekitar Kupang terjejas.
     
    Najmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pendidikan dan Sumber Manusia Kedah berkata, pihaknya telah mengambil maklum mengenai kebimbangan penduduk di kawasan berkenaan terutamanya dengan impak kepala air itu.

    Beliau berkata, kesan tragedi tersebut turut mengubah struktur sungai terutama Hutan Lipur Lata Celak yang semakin cetek kerana dipenuhi pasir.
     
    “Kerja membuat benteng pasir dan mendalamkan sungai itu sedang dijalankan oleh agensi berkaitan dan pemantauan pihak terbabit sering dilakukan. 
     
    “Tindakan sedang dijalankan seperti mendalamkan sungai dan bina benteng. Kita harap orang kampung jangan risau kerana perkara itu dalam perhatian kerajaan dan semua agensi terlibat sedang melaksanakan kerja mereka,” katanya.
     

  • Kepala air: 80 pengunjung air terjun terperangkap

    Kepala air: 80 pengunjung air terjun terperangkap

    PETUGAS Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jasin menyelamatkan kira-kira 80 pengunjung Air Terjun Lama Tiga Budaya, Asahan selepas terperangkap akibat fenomena kepala air hari ini berikutan hujan lebat.

    Komander Operasi Mohd Rizuan Suliman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada seorang pengunjung pada pukul 1 tengah hari tadi sebelum tiba ke tempat kejadian 27 minit kemudian bersama sebuah jentera dan empat anggota.

    “Setakat ini, 60 pengunjung berjaya dibawa ke tempat selamat manakala 20 pengunjung lagi masih berada di kawasan air terjun berikutan mahu meneruskan aktiviti berkhemah di tempat tersebut.

    “Namun anggota bomba dan polis yang berada di lokasi menasihatkan mereka untuk menangguhkan aktiviti tersebut sehingga keadaan benar-benar selamat,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Katanya, kesemua mangsa diselamatkan dengan menyeberang kawasan sungai yang cetek dengan bantuan anggota bomba dan tiada pengunjung yang cedera dalam kejadian kepala air terbabit. – BERNAMA

  • Anggota badan milik pendaki wanita yang hanyut ditemukan

    Anggota badan milik pendaki wanita yang hanyut ditemukan

    PASUKAN mencari dan menyelamat (SAR) hari ini menemukan anggota badan manusia dipercayai milik seorang daripada dua pendaki wanita yang dihanyutkan kepala air semasa mendaki di Gunung Suku, Simpang Pulai di Ipoh semalam.

    Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Muhammad Shahrizal Aris berkata, anggota badan itu ditemukan di bawah timbunan kayu pada 10.20 pagi.

    “Kita telah menjumpai separuh anggota badan mangsa yang tidak dapat dikenal pasti lagi milik siapa dan Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM) telah membawa turun anggota badan itu seterusnya dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, di Ipoh untuk tindakan selanjutnya.

    “Anggota badan itu ditemukan di lokasi berbeza dari lokasi sebelah kaki yang ditemukan petang semalam. Anggota badan itu dijumpai di kawasan bawah manakala kaki dijumpai di kawasan air terjun iaitu di kawasan atas,” katanya kepada pemberita di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di Kampung Pos Atap Baru di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands, di Ipoh hari ini.

    Beliau berkata, operasi SAR diteruskan hari ini bergantung kepada keadaan faktor cuaca iaitu operasi akan berhenti sementara sekiranya hujan.

    Muhammad Shahrizal berkata, seramai 53 anggota penyelamat terlibat dalam operasi itu terdiri daripada bomba, polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Perhutanan Negeri Perak, Persatuan Malim Gunung Negeri Perak serta Unit Komunikasi RCRC Cameron Highlands.

    Terdahulu, kelihatan pasukan SAR membawa keluar anggota tubuh berkenaan kira-kira 11.30 pagi tadi dan diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

    Semalam, Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid dilaporkan berkata kedua-dua wanita itu dikenali sebagai See Su Yen, 32, dan Ng Yee Chew, 46 tahun.

    Beliau berkata, semasa kejadian kira-kira 5 pagi, sekumpulan 29 pendaki gunung telah mendengar bunyi air dan tanah runtuh di atas gunung lalu mengambil keputusan untuk berpatah balik.

    Namun, semasa dalam perjalanan turun ke kaki bukit, kepala air menimpa kumpulan pendaki tersebut dan dua orang pendaki gunung wanita itu yang berasal dari Cheras dan Klang, Selangor dipercayai telah dihanyutkan arus deras. – BERNAMA

  • [VIDEO] 13 mangsa terperangkap kepala air di Maran

    [VIDEO] 13 mangsa terperangkap kepala air di Maran

    TINDAKAN pantas pasukan bomba berjaya menyelamatkan 13 individu yang terperangkap dalam kejadian kepala air di Lubuk Ujik, Taman Che Minah Sayang, Maran, hari ini.

    Penolong Pe­ngarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 2.07 petang, sebelum enam anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Maran digerakan ke lokasi kejadian.

    Beliau berkata, sejurus tiba, pihaknya mendapati terdapat enam orang dewasa dan tujuh kanak-kanak terdiri daripada dua keluarga dari Muadzam Shah, Rompin terkandas dalam kejadian kepala air itu.

    https://www.tiktok.com/@epultowingtemerloh/video/7097891436133125403?is_copy_url=1&is_from_webapp=v1&q=kepala%20air%20maran&t=1652617669726

    “Operasi menyelamat dilaksanakan menggunakan peralatan personal flotation devices (PFD) dan tali dengan cara teknik river crossing. Kesemua mereka berjaya diselamatkan dan operasi tamat pada 4.10 petang,” kata Ismail dalam kenyataan hari ini.- BERNAMA

  • 2 wanita daki Gunung Suku hilang dalam tanah runtuh, kepala air

    2 wanita daki Gunung Suku hilang dalam tanah runtuh, kepala air

    DUA wanita dipercayai dibawa arus deras dalam kejadian tanah runtuh dan kepala air ketika sedang mendaki Gunung Suku di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands di Ipoh pagi tadi.

    Mangsa dikenali sebagai See Su Yen, 32, dan Ng Yee Chew, 46 tahun.

    Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada kira-kira pukul 6.50 pagi.

    “Semasa kejadian pada kira-kira pukul 5 pagi, sekumpulan pendaki gunung seramai 29 orang telah mendengar bunyi air dan tanah runtuh di atas gunung lalu mengambil keputusan untuk berpatah balik.

    “Namun, semasa dalam perjalanan turun ke kaki bukit, kepala air menimpa kumpulan pendaki tersebut dan dua orang pendaki gunung wanita itu yang berasal dari Cheras dan Klang, Selangor dipercayai telah dihanyutkan oleh arus deras,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Sehubungan dengan itu, beliau berkata, satu operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang diketuai oleh Ketua Polis Daerah Ipoh telah dilancarkan dengan dibantu oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Perhutanan Negeri Perak dan Persatuan Malim Gunung Negeri Perak.

    Menurutnya, tempat kejadian adalah di Hutan Simpanan Kekal Gunung Suku yang terletak kira-kira tiga jam perjalanan kaki dari jalan utama iaitu lebih kurang 32 kilometer perjalanan menaiki kereta dari Balai Polis Simpang Pulai.

    Beliau berkata setakat ini operasi SAR masih djalankan dan kedua-dua mangsa masih belum ditemui manakala 27 orang pendaki gunung yang lain ditemui dalam keadaan selamat oleh pasukan penyelamat. – BERNAMA

  • Kepala air, bukan EKVE punca banjir Hulu Langat – MB Selangor

    Kepala air, bukan EKVE punca banjir Hulu Langat – MB Selangor

    MENTERI Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata banjir di Hulu Langat berpunca daripada kepala air yang turun dari kawasan pergunungan sekitar.

    Amirudin berkata, kepala air itu turut membawa longgokan sampah dan kayu-kayan sehingga ke kawasan Batu 14, Sungai Lui dan sekitarnya.

    Beliau juga memaklumkan, tidak menerima maklumat bahawa pembinaan Lebuhraya Lembah Klang Timur (EKVE) dipercayai antara faktor menyebabkan banjir di kawasan Hulu Langat seperti yang dilaporkan media semalam.

    “Yang pastinya daripada maklumat awal yang saya perolehi, saya tidak dimaklumkan mengenai perkara itu (EKVE menjadi punca banjir). Daripada taklimat awal yang diperolehi saya, ia berpunca daripada kepala air yang jatuh dari kawasan pergunungan sekitar,” katanya pada sidang media khas berhubung perkembangan banjir di Selangor, hari ini.

    Dalam perkembangan sama, Amirudin mengakui kerja-kerja pembinaan sebatang tiang untuk sebuah projek lebuh raya di kawasan Kampung Asahan, Kuala Selangor, dekat sini telah memutuskan sebuah ban di kampung itu lalu menyebabkan air melimpah.

    “Saya sendiri datang ke Kuala Selangor dan kita dapati ada satu tiang untuk membina sebuah lebuh raya telah memotong satu ban di Kampung Asahan.

    Sebab itu air melimpah di Kampung Asahan dan sejak semalam banyak air sudah berjaya dikeluarkan daripada kawasan itu. Insya-Allah akan berlaku penyurutan air yang signifikan,” katanya. – BERNAMA

  • Cemas! 5 bayi terperangkap kepala air Sungai Kenerong

    Cemas! 5 bayi terperangkap kepala air Sungai Kenerong

    LIMA bayi antara 50 mangsa terselamat daripada dibawa arus sungai deras berikutan kejadian kepala air di kawasan perkelahan Sungai Kenerong, Jelawang, Dabong, di Kuala Krai petang semalam.

    Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan II (PBK II) Mohd Azwan Daud berkata, enam anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Dabong tiba di lokasi kejadian 5.26 petang selepas menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 5 petang.

    Beliau berkata, setibanya di tempat kejadian kepala air Sungai Kenerong, didapati ada mangsa terperangkap di kawasan perkelahan itu dan operasi menyelamat dijalankan menggunakan tali serta bot bagi membawa keluar dan memindahkan kesemua mangsa.

    “Difahamkan, mangsa yang terdiri daripada 35 dewasa, 10 kanak-kanak serta lima bayi yang terperangkap di kawasan perkelahan berkenaan sedang berkelah bersama keluarga sebelum kejadian tersebut berlaku,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

    kepala air Sungai Kenerong
    Gambar: Facebook Balai Bomba dan Penyeamat Dabong

    Katanya, kesemua mangsa berjaya diselamatkan dan operasi menyelamat tamat pada 8.50 malam. – BERNAMA