Tag: kenyataan berbaur perkauman

  • Kenyataan berbaur perkauman, akar umbi PKR tak puas hati Najwan dicalonkan

    Kenyataan berbaur perkauman, akar umbi PKR tak puas hati Najwan dicalonkan

    AHLI akar umbi Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Kota Anggerik tidak berpuas hati dengan keputusan parti mencalonkan Najwan Halimi bagi pilihan raya negeri (PRN) susulan komennya baru-baru ini yang berbaur perkauman.

    Najwan mengundang kontroversi awal bulan ini selepas menyifatkan Parti Sosialis Malaysia sebagai parti India estet.

    Timbalan Ketua Pemuda PKR Shah Alam itu kemudian memohon maaf atas kenyataannya itu.

    Seorang ahli akar umbi enggan dinamakan berkata, pencalonan Najwan memberi gambaran buruk terhadap parti itu dan mampu mengakibatkan PKR kehilangan undi masyarakat India.

    “Mencalonkan seseorang yang membuat kenyataan berbaur perkauman menunjukkan parti itu tidak mempedulikan nilai teras berjuang bagi semua kaum.

    “Saya sendiri berbangsa India dan terkedu apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Najwan sebagai calon,” kata sumber itu sambil menambah ramai ahli India dalam PKR tidak senang dengan pencalonan Najwan.

    Anwar mempertahankan pencalonan Najwan dengan berkata, semua orang pernah melakukan kesilapan dan sebagai Presiden PKR, beliau mempunyai kuasa untuk membuat keputusan akhir.

    Namun sumber itu berkata, Anwar yang juga Perdana Menteri perlu memahami justifikasi seperti itu memberi gambaran bahawa PKR tiada beza dengan Pas.

    PKR sering menyelar Pas atas retorik berunsur perkauman terhadap orang Cina dan India.

    “Namun kini, seseorang yang membuat kenyataan perkauman terhadap masyarakat India dibenarkan bertanding. Ini tidak dapat diterima.”

    Katanya, permohonan maaf Najwan tidak bermakna dan parti sepatutnya mengambil tindakan lebih tegas dengan menghalangnya bertanding, malah menggantungnya.

    Seorang lagi pemimpin PKR bersetuju parti itu tidak patut membenarkan Najwan bertanding dalam PRN, namun mengakui sukar menggugurkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) itu.

    “Mengikut pemahaman saya, Najwan dibenarkan bertanding kerana presiden melihat beliau mampu mempertahankan kerusinya,” lapor FMT.

    Najwan memenangi kerusi itu pada PRU14 dalam pertandingan tiga penjuru dengan majoriti 17,004 undi.

  • Kenyataan berbaur perkauman, bekas pemain badminton mohon maaf

    Kenyataan berbaur perkauman, bekas pemain badminton mohon maaf

    BEKAS pemain badminton tempatan, Bong Guang Yik hari ini membuat permohonan maaf selepas kenyataannya yang berbaur perkauman menerima kecaman ramai pihak.

    Menerusi video yang dimuat naik di akaun media sosialnya, Guan Yik berkata, dia mengeluarkan kenyataan itu hanya untuk menegur Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk menjadi lebih baik.

    Namun dia mengakui mengeluarkan kenyataan bersifat ekstrim kerana menyentuh sensitiviti orang Melayu.

    “Di sini saya ingin memohon maaf kepada rakan badminton Melayu di Malaysia. Minta maaf.

    “Kandungan video ini saya kata masalah BAM tetapi di bahagian belakang saya kaitkan dengan isu perkauman,” katanya, lapor UtusanTV.

    Mengulas lanjut, Guang Yik berkata, dia berharap agar tahap pengurusan pihak BAM bagus di setiap peringkat yang akan melahirkan atlet-atlet yang cemerlang.

    Dia turut mengakui ramai rakan-rakannya di Malaysia menghubunginya selepas mengeluarkan kenyataan rasis tersebut.

    Terdahulu, tular di media sosial video seorang lelaki dipercayai bekas pemain badminton tempatan yang mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman terhadap BAM.

    Lelaki tersebut yang dikenali sebagai Bong Guang Yik mendakwa pengurusan BAM yang majoritinya dimonopoli orang Melayu menyebabkan prestasi pemain-pemain yang bernaung di bawah persatuan tersebut terjejas teruk.

    Rentetan itu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh Tseow Tsuan mengecam tindakan Guang Yik dalam satu kenyataan terbuka.

    Hannah memaklumkan, beliau telah melakukan semakan dengan Majlis Sukan Negara (MSN) dan BAM berhubung identiti bekas pemain tersebut.

    Jelas beliau, hasil semakan itu mendapati yang Guang Yik bukan lagi atlet negara dan merupakan bekas pemain pelapis percubaan BAM pada tahun 2014.

    Hannah berkata, Guang Yik juga kini tidak lagi menetap di Malaysia dan dipercayai berada di luar negara.