Tag: kempen Obama

  • Jho Low rancang derma untuk kempen Obama pada 2012 – DiCaprio

    Jho Low rancang derma untuk kempen Obama pada 2012 – DiCaprio

    SEBUAH mahkamah di Washington diberitahu, ahli perniagaan Malaysia, Low Taek Jho atau Jho Low mendedahkan rancangannya menderma sehingga USD30 juta untuk membantu kempen pemilihan semula Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama pada 2012.

    Perkara itu dimaklumkan oleh pelakon Leonardo DiCaprio kepada juri di Washington semalam. Pendakwa raya mendakwa tindakan itu sebahagian operasi pengaruh asing yang menyalahi undang-undang.

    “Ia perbualan santai mengenai parti mana disokongnya,” kata DiCaprio kepada juri bahawa Low memaklumkan dia bercadang memberikan “derma besar” kepada Parti Demokrat “sekitar USD20-30 juta”.

    “Saya hanya cakap, ‘Wow, itu jumlah yang banyak’,” kata DiCaprio lapor agensi berita Reuters yang dipetik Free Malaysia Today.

    Bintang filem “Titanic” itu menjadi saksi dalam perbicaraan Prakazrel “Pras” Michel dari kumpulan hip-hop Fugees, yang menghadapi tuduhan jenayah atas dakwaan peranannya dalam kempen pengaruh asing ditujukan kepada pentadbiran Obama dan Donald Trump. Michel menafikan dakwaan itu.

    DiCaprio seorang daripada individu terkenal yang dikaitkan dengan Low, ahli perniagaan dalam buruan yang berdepan tuduhan persekutuan berasingan kerana didakwa menyeleweng USD4.5 bilion daripada 1MDB.

    Low, yang diketahui membayar selebriti Hollywood untuk berpesta dengannya, menyokong yayasan amal DiCaprio dan membantu membiayai “The Wolf of Wall Street”, filem pada 2013 yang dibintangi DiCaprio dan dicalonkan untuk Anugerah Oscar.

    Jabatan Kehakiman pada 2018 mencapai penyelesaian sivil dengan syarikat penerbitan filem itu, yang merampas USD60 juta dipercayai diseleweng daripada 1MDB.

    Sejak itu, DiCaprio bekerjasama dengan kerajaan AS.

    Dia keluar masuk mahkamah pada Isnin tanpa dikesan pengamal media yang mengintai ketibaannya.

    Pendakwa raya mendakwa Michel bersetuju menyalurkan wang daripada Low untuk kempen Obama pada 2012 dan menyembunyikan sumber dana itu. Undang-undang pilihan raya persekutuan melarang orang asing menderma kepada kempen AS.

    Mereka berkata, dia kemudian bekerjasama dengan orang lain untuk cuba memujuk pentadbiran Trump berhenti menyiasat Low, dan bertindak sebagai ejen asing China memujuk pentadbiran bersetuju menghantar pulang penentang Guo Wengui.

    DiCaprio memberitahu juri, dia mengenali Michel sekurang-kurangnya pada 1990-an, ketika bertemu dengan Fugees di belakang pentas.

    Sebahagian besar keterangannya tertumpu pada hubungannya dengan Low, yang mengadakan pesta mewah di atas bot dan kelab malam dengan menampilkan bintang Hollywood.

    DiCaprio berkata, dia terbang dengan jet peribadi Low bersama kumpulan besar individu pada malam Tahun Baharu antara Australia dan Las Vegas, dalam apa yang dikatakannya sebagai matlamat Low untuk meraikan Tahun Baharu dua kali dalam satu malam.

    DiCaprio berkata, ketika julung kali menemui Low sekitar 2010, dia melihatnya “seperti berbakat luar biasa dalam dunia perniagaan”.

    Beliau berkata, pasukan peguamnya, firma luar dan studio menjalankan tiga siasatan penilaian wajar berasingan sebelum mencapai perjanjian dengan Low untuk membiayai “The Wolf of Wall Street”.

    “Saya diberi lampu hijau oleh pasukan saya dan studio untuk menerima pembiayaan daripada Low.”