Tag: kemiskinan

  • Pemimpin masyarakat patut tolong orang miskin sebelum jadi isu tular

    Pemimpin masyarakat patut tolong orang miskin sebelum jadi isu tular

    PEMIMPIN masyarakat setempat diharap dapat menyalurkan maklumat berkenaan kehidupan miskin dan daif individu atau keluarga di kawasan masing-masing kepada agensi kerajaan agar bantuan sewajarnya dapat disalurkan kepada mereka.

    Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, ketua kampung, penghulu atau ahli jawatankuasa kariah masjid boleh membantu golongan miskin ini kerana ada antara mereka yang tidak tahu cara mendapatkan bantuan.

    “Yang saya bimbang itu dia tidak dapat sampaikan info dia miskin kepada orang lain. Dia miskin lepas itu tidak ada siapa yang ambil kisah mengenai dia, tiada siapa yang ambil tahu. Akhirnya pemberita (media) yang dapat tahu.

    “Kalau pemberita dapat tahu pun tidak mengapa, boleh bagi maklumat kepada kita (kerajaan). Kadang-kadang saya tengok yang tular itu yang jumpa dulu media,” katanya ketika ditemui pada Majlis Iftar bersama Warga Felcra Padang Terap di Naka, semalam.

    Beliau diminta mengulas mengenai isu kehidupan daif seorang remaja Wan Akid Afham Wan Mohd Ruhsemadi, 13, yang tinggal di sebuah rumah yang sudah rosak dan separuh roboh bersama keluarganya di Kampung Banggol, Kota Bharu, Kelantan.

    Kisah kehidupan Wan Akid Afham atau lebih dikenali dengan panggilan Akid itu tular sejak beberapa hari lepas dan mendapat perhatian pelbagai pihak termasuk pendakwah bebas Ebit Lew yang tampil membantu remaja itu dan keluarganya.

    Mengulas lanjut, Mahdzir berkata kementeriannya menerusi beberapa agensi mempunyai pelbagai program bagi membantu keluarga miskin termasuk membaik pulih atau membina rumah baharu untuk mereka.

    Menurutnya, di Kelantan, program baik pulih atau membina rumah untuk rakyat termiskin dilaksanakan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) yang boleh dipohon sekiranya rumah rosak akibat ribut, banjir ataupun telah uzur.

    “Kita ada peruntukan untuk baiki rumah, tapi siapa yang nak tolong dia? Yang nak tolong dia ini sama ada ketua kampung, penghulu mukim dan pejabat daerah untuk bawa maklumat itu kepada agensi kita,” katanya.

    Sementara itu, Mahdzir berkata, Felcra memperuntukkan sejumlah RM4.3 juta bagi melaksanakan pelbagai program pembangunan ekonomi dan sosial di kawasan tanah rancangannya di seluruh negara pada tahun ini.

    “Program itu termasuk pembangunan wanita, pembangunan ameniti sosial, ternakan dan tanaman, latihan kemahiran dan pembangunan rohani yang semuanya membabitkan RM4.3 juta yang diuruskan oleh Felcra,” katanya. – BERNAMA

  • Penyelaras pantau program kemiskinan setiap daerah

    Penyelaras pantau program kemiskinan setiap daerah

    Oleh KAMARUL ARIFFIN MD YASSIN

    SEORANG penyelaras yang berperanan dalam memantau program kemiskinan akan dilantik di peringkat daerah bagi memastikan usaha menangani isu kemiskinan dilaksanakan dengan lebih berkesan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    Beliau berkata, penyelaras itu akan diletakkan di bawah pegawai daerah, yang mungkin seorang penolong pegawai daerah yang dikhususkan untuk mendapatkan data kemiskinan dan program kemiskinan.

    Kerajaan, katanya memandang serius isu kemiskinan dan disebabkan itu ia memberi penekanan di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) dengan tumpuan kepada enam negeri dianggap miskin seperti Sabah, Sarawak, Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu yang mempunyai ramai golongan B40.

    Beliau mengharapkan pada akhir RMK12 pada 2025, sasaran kerajaan untuk mencapai 98 peratus penyediaan utiliti asas seperti air dan elektrik tercapai termasuk penyediaan rumah PPRT dan PPR serta projek perhubungan desa dan kampung yang mempunyai faedah terus kepada rakyat.

    “Selain itu dari segi projek (bantuan kemiskinan), siapa yang dapat, siapa tak dapat supaya akhirnya ia menyeluruh diterima semua orang. Kalau tidak sekarang ni kadang-kadang satu orang tu dia dapat bantuan daripada tiga, empat kementerian,” katanya semasa wawancara khas bersama editor kanan media di Kuala Lumpur, baru baru ini.

    Perdana Menteri berkata, pegawai penyelaras yang dilantik nanti itu akan mengumpulkan data kemiskinan termasuk individu yang telah berjaya mengubah kehidupan mereka seperti beralih daripada dalam golongan B40 menjadi M40.

    “Semua data tu ada pada dia. Katakan kita beri projek seperti buat roti canai untuk dia meneruskan kehidupan dia, dia berjaya ke tidak? Sekarang ni tak ada (data itu). Lepas ini akan ada outcome daripada apa yang kita bantu… akhirnya kita tahu, dalam kampung tu daripada 10 orang miskin tegar, berapa yang dah keluar dari garis kemiskinan tegar tadi.

    “Sekurang-kurangnya kita tahu kejayaan kita. Sebab itu kita nak selaraskan bukan setakat kemiskinan sahaja, tapi dari segi pembahagian sumbangan kerajaan… sumbangan daripada zakat, sumbangan jabatan kebajikan masyarakat, sumbangan macam-macam. Sebab tu, kita kalau boleh selepas ini dari segi penyelarasan kita akan buat dari semua sudut, dari segi sumbangan, dan sebagainya,” katanya.

    Beliau berkata sebelum ini, banyak kementerian mempunyai program tentang kemiskinan tetapi tiada pemantauan yang khusus mengenai keberkesanan program kemiskinan itu.

    “Kita punya rancangan kita tak nak bagi duit tunai tetapi kita latih mereka katakan untuk berniaga. (Selama ini) kita latih dia tapi tidak ada pemantauan. Esok lusa kementerian lain pula masuk ke kampung itu untuk bantu, latih lagi.

    “Esok lusa mungkin majlis agama di bawah zakat masuk lagi ke kampung tu, latih lagi. Tetapi tiada siapa yang pantau lepas tu. Pimpin tangan ni tak ada, tak ada istilah pimpin tangan. Bagi kursus, bagi barang, tinggal… akhirnya semua gagal. Akhirnya projek itu gagal kerana tidak ada pemantauan khusus,” katanya.

    Ismail Sabri berkata, tumpuan kerajaan kepada isu kemiskinan bukan hanya di luar bandar tetapi juga di bandar dengan Program Pemerkasaan Ekonomi Komuniti Bandar dan Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat Luar Bandar akan dilaksanakan.

    “Maknanya ada program khusus yang kita perkenalkan dan kos RM1.5 bilion untuk kedua-duanya. Sebab itu saya katakan ia menyeluruh dan kalau dulu kita juga dah bincang dalam Majlis Pekerjaan Malaysia. Sekarang ini banyak latihan tapi semua orang buat latihan dan latihan itu tak memenuhi dari segi kehendak pasaran.

    “ Apa permintaannya, permintaan sekarang cakap soal e-dagang, e-perniagaan, perniagaan online. Jadi latih sepatutnya supaya latih mereka yang terlibat dengan perniagaan online ini. Orang muda… ekonomi gig sekarang ini, e-hailing, p-hailing. Fokus biarlah kepada yang ada permintaan, itu yang kadang-kadang tidak padan. Kursus lain tapi bila keluar tak ada apa, tak boleh nak kerja, tak boleh nak meniaga,” katanya.

    Perdana Menteri berkata, program menangani kemiskinan sangat penting kerana ketika ini akibat pandemik COVID-19, ada golongan B40 menjadi miskin tegar, M40 menjadi B40, malah ada yang menjadi miskin tegar.

    “Sebenarnya B40 semakin meningkat dari segi jumlahnya dan miskin tegar semakin banyak sebab yang pertama kita baru sahaja menaikkan garis paras kemiskinan miskin tegar, miskin, dan kemudiannya kena pula COVID jadi lebih bertambah,” katanya.

    Ismail Sabri berkata, kerajaan juga bersetuju, perkara melibatkan latihan akan diletakkan di bawah satu kementerian sahaja iaitu Kementerian Sumber Manusia iaitu melalui Human Resources Development Fund (HRDF).

    “Kita dah setuju akan diletakkan bawah satu kementerian untuk selaraskan sebab ada enam kementerian buat kursus. Kadang-kadang yang untung syarikat yang berikan kursus. Sekarang ini kalau kita tengok kursus semua kementerian buat tapi akhirnya kursus yang sama,” katanya.

    Mengenai sasaran meningkatkan purata pendapatan isi rumah kira-kira RM10,000 sebulan pada 2025, Ismail Sabri berkata, kerajaan telah merancang beberapa program ekonomi yang melibatkan teknologi baharu

    “Fokus pertama merancakkan pertumbuhan ekonomi, ini yang saya sebut program mewujudkan centre for future industry (Pusat Kecemerlangan Industri Masa Depan), dana harta intelek, pembiayaan, digital, mcama-macam yang kita buat ini. Itu semua ke arah untuk meningkatkan pendapatan,” katanya. – BERNAMA

  • Unit khusus tangani kemiskinan, kesenjangan pendapatan

    Unit khusus tangani kemiskinan, kesenjangan pendapatan

    RMK12

    UNIT khusus peringkat Persekutuan dan di pejabat daerah akan ditubuhkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) bagi menangani isu kemiskinan dan kesenjangan pendapatan dalam kalangan rakyat, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    Ketika membentangkan RMK-12 di Dewan Rakyat hari ini, beliau berkata unit khusus itu juga merupakan inisiatif bagi membasmi kemiskinan tegar untuk memastikan rakyat miskin termasuk miskin bandar dibantu melalui pendekatan keseluruhan negara.

    “Unit ini akan bertanggungjawab menyelaras pangkalan data secara bersepadu serta semua program dan inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan, sektor korporat dan Pertubuhan Masyarakat Sivil (CSO).

    “Dengan adanya pegawai yang diberi tugas khusus untuk menguruskan perihal kemiskinan pada peringkat daerah, saya yakin kemiskinan tegar dapat dibasmi pada 2025,” katanya.

    Beliau berkata usaha yang lebih bersepadu akan dilaksana untuk meningkatkan pendapatan dan menangani kenaikan kos sara hidup isi rumah B40 serta kumpulan mudah terjejas.

    Bagi tujuan itu, bantuan bersasar seperti pemberian wang tunai dan perlindungan sosial akan diteruskan kepada mereka yang layak.

    “Program Pemerkasaan Ekonomi Komuniti Bandar dan Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat di luar bandar dengan kos sebanyak RM1.5 bilion akan diperkukuh bagi meningkatkan kebolehpasaran, kesejahteraan dan kuasa beli keluarga B40,” katanya

    Ismail Sabri turut memaklumkan kerajaan tidak boleh bersendirian dalam perjuangan menyelesaikan isu kemiskinan rakyat, justeru beliau menyeru sektor korporat dan orang perseorangan supaya membantu Keluarga Malaysia keluar dari kepompong kemiskinan.

    “Sekecil mana pun bantuan yang dihulurkan, termasuk melalui sumber pembiayaan alternatif seperti zakat dan wakaf jika digembleng akan membawa manfaat yang besar,” katanya.

    Perdana menteri berkata kemiskinan pada hari ini juga dilihat dari pelbagai dimensi selain kewangan, sehubungan itu dalam aspek pendidikan, lebih ramai murid daripada keluarga B40 akan diberi keutamaan untuk kemasukan ke sekolah berprestasi tinggi dan pemberian biasiswa.

    “Dalam aspek kesihatan pula, akses kepada penjagaan kesihatan akan diperluas. Isu kekurangan zat dan tumbesaran dalam kalangan kanak-kanak daripada keluarga B40 semakin meningkat dan untuk tujuan itu, isu ini akan ditangani secara komprehensif termasuk melalui makanan berkhasiat,” katanya

    Bagi meningkatkan keupayaan, kemahiran dan daya saing mencari pekerjaan golongan M40, Ismail Sabri berkata program latihan dan latihan kemahiran semula serta aktiviti keusahawanan akan ditingkatkan.

    “Mereka juga akan digalakkan untuk melanggan insurans kesihatan dan pekerjaan pada kadar yang mampu dibayar.

    “Selain itu, kita akan memastikan anak-anak M40 mendapat akses kepada pendidikan berkualiti pada kos yang berpatutan,” katanya. – BERNAMA