Tag: Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi

  • Zuraida bawa idea, pendekatan baharu dalam KPPK

    Zuraida bawa idea, pendekatan baharu dalam KPPK

    Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin berupaya membawa idea dan pendekatan baharu yang segar demi manfaat pemegang taruh khususnya kepada lebih 500,000 pekebun kecil dan memulihkan industri agrikomoditi yang terjejas kesan pandemik COVID-19.

    Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) berkata, pada masa yang sama, warganya akan terus melaksanakan tugasan dengan komitmen yang tinggi, beramanah serta berintegriti pada setiap masa sebagai penjawat awam.

    “Sebagai penyumbang kedua tertinggi selepas sektor elektronik dan elektrikal kepada pendapatan eksport negara, sektor agrikomoditi akan dapat mengekalkan kepentingannya malah dapat dimajukan ke tahap yang lebih tinggi dibawah kepimpinan YB Menteri baharu.

    “KPPK berharap dengan kerjasama yang erat di antara anggota pentabiran, pengurusan tertinggi, ketua pengarah dan ketua eksekutif agensi dan Majlis serta warga kementerian, ia akan menjadi tunjang kejayaan dan kemakmuran bersama,” kata kementerian itu dalam kenyataan media, hari ini.

    Pengurusan tertinggi dan seluruh warga KPPK turut mengalu-alukan kedatangan Zuraida sebagai Menteri baharu yang memulakan tugas beliau hari ini.

    KPPK juga mengucapkan selamat kembali kepada kedua-dua Timbalan Menteri iaitu Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng dan Datuk Willie Mongin yang dilantik semula bagi membantu Menteri.

    “Kementerian juga amat berbesar hati menerima seorang lagi Menteri wanita sebagai peneraju yang berketrampilan dan gaya kepimpinan tersendiri dengan pengalaman termasuk di sektor koporat serta gandingan kedua-dua Timbalan Menteri diperkuatkan dengan semangat kerjasama keseluruhan warga KPPK.

    “KPPK akan dipacu bagi mengemudi pembangunan industri agrikomoditi negara malah ke paras yang lebih tinggi sebagai antara sektor yang menjadi penyumbang utama kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan pertumbuhan ekonomi negara.

    “Penghargaan dan terima kasih daripada pengurusan tertinggi dan warga KPPK kepada bekas menteri, YB Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali atas segala panduan dan nasihat sepanjang kejayaan menerajui Kementerian sebelum ini,” kata kementerian itu.

  • Industri sawit negara kekal pemain utama pasaran dunia

    Industri sawit negara kekal pemain utama pasaran dunia

    INDUSTRI sawit negara mengekalkan kedudukannya sebagai pemain utama dalam pasaran minyak sayuran dan lelemak dunia.

    Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi berkata, pada tahun 2020, Malaysia mengeksport sebanyak 17.40 juta tan minyak sawit mentah (MSM) atau 18.3 peratus daripada keseluruhan jumlah eksport minyak sayuran dan lelemak dunia.

    Menurut kementerian, sumbangan eksport minyak dan produk berasaskan sawit kepada pendapatan eksport negara juga telah meningkat kepada RM73.25 bilion pada tahun lalu berbanding RM67.55 bilion pada tahun 2019.

    “Sumbangan subsektor sawit kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2020 bernilai RM48.31 bilion atau mewakili 56.8 peratus daripada keseluruhan sumbangan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sektor agrikomoditi negara.

    “Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi percaya, kedudukan Malaysia tidak akan tergugat pada tahun ini apabila sehingga suku kedua 2021, produk berasaskan sawit yang merupakan penyumbang terbesar iaitu sebanyak 43 peratus daripada jumlah eksport agrikomoditi, mencatatkan peningkatan kepada RM46 bilion berbanding RM33 bilion pada tahun lalu,” kata kementerian itu dalam kenyataan media, hari ini.

    Kementerian menambah, kenaikan harga MSM telah memberi kesan positif kepada pekebun kecil sawit di mana pendapatan tahunan kasar hasil jualan sawit pada tahun 2020 di Semenanjung Malaysia dianggarkan sebanyak RM9,570 satu hektar.

    Katanya, di Sabah dan Sarawak masing-masing telah menjana hasil jualan sebanyak RM7,756 dan RM7,650 satu hektar.

    “Bagi tempoh lima bulan pertama 2021, berikutan peningkatan harga MSM, hasil kutipan duti eksport MSM adalah dianggarkan berjumlah RM564.82 juta, melonjak lima kali ganda berbanding tempoh sama pada tahun 2020 iaitu sebanyak RM111 juta.

    “Oleh itu, bagi memastikan peningkatan harga MSM dirasai semua kelompok masyarakat dan meminimumkan kesan negatif, kerajaan sedang mengkaji beberapa mekanisme untuk memastikan kebaikan kenaikan harga berkenaan dalam pasaran dunia dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat pada masa hadapan.

    “Contohnya syor mewujudkan satu mekanisme khas untuk mengatasi isu kenaikan harga minyak tidak bersubsidi,” jelas kementerian itu.

    Di samping itu, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi berkata, kutipan Levi Keuntungan Luar Biasa (WPL) dianggarkan sebanyak RM950 juta bagi tahun ini berbanding hanya RM165 juta bagi tahun 2020.

    “la berikutan kenaikan harga MSM yang melebihi RM3,500 satu tan dari Januari hingga Mei 2021 dan anggaran harga MSM melebihi RM2,500 satu tan sehingga Disember 2021.

    “Peningkatan harga MSM ini dilihat memberi lebih kesan positif kepada masyarakat.

    “Secara prinsipnya, setiap kenaikan harga MSM di pasaran dunia akan memberi kesan ekonomi secara berangkai seperti pertambahan pendapatan negara, pendapatan pekebun kecil sawit bertambah dan kenaikan harga runcit minyak masak,” jelas kementerian itu.

    Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi percaya, sektor agrikomoditi khususnya subsektor sawit akan terus memainkan peranan menyumbang kepada unjuran ekonomi yang lebih positif sepanjang tahun ini serta memberikan kesejahteraan dan kemakmuran kehidupan kepada lebih 500,000 pekebun kecil sawit di seluruh negara.